Cycle & Carriage, salah satu jenama automotif terkenal dengan legasi selama 125 tahun itu mengumumkan kerjasama dengan Stellantis Malaysia untuk menambah jenama Peugeot di bawah portfolio produknya.
Untuk permulaan, dua bilik pameran Cycle & Carriage sedia ada yang terletak di Cheras dan Batu Caves akan digunakan untuk mempamerkan kenderaan jenama Peugeot di bawah satu bumbung dengan kehadiran khidmat jualan dan selepas jualan menjelang suku keempat tahun ini (Q4 2024).
Kerjasama dengan Cycle & Carriage ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan lagi jaringan pengedar Stellantis Malaysia.
Ia bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan dalam negara, malah untuk mengenal pasti lokasi penting dalam menawarkan perkhidmatan yang berkualiti dan mudah dicapai kepada pelanggan di dalam komuniti.
Selain itu, terdapat juga perancangan untuk memperkenalkan lebih banyak jenama di bawah Stellantis Malaysia, selain mengembangkan jaringan ke utara dan selatan Semenanjung Malaysia bermula tahun 2025.
Menurut Thomas Tok selaku CEO Cycle & Carriage berkata, “kami amat teruja untuk memulakan lembaran baru dengan Stellantis Malaysia, untuk menawarkan barisan produk yang lebih meluas, dibantu dengan kepakaran Cycle & Carriage dalam industri ini selama 125 tahun.
“Ini adalah sejajar dengan strategi kami untuk menawarkan pengalaman yang luar biasa kepada pangkalan pelanggan yang lebih meluas, mengembangkan capaian pasaran dan memacu nilai pemegang kepentingan. Kami percaya pelanggan sedia ada dan pelanggan baru akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini,” ujarnya lagi.
Jamie Morais, Pengarah Urusan Stellantis Malaysia berkata, “hari ini menandakan satu pencapaian penting buat Stellantis Malaysia, dan kami teruja untuk mengalu-alukan kehadiran rakan pengedar baharu kami ke dalam jaringan pengedar yang sedang berkembang.
“Reputasi Cycle & Carriage untuk kecemerlangan adalah selari dengan nilai kami, dan kami berharap agar dapat menetapkan piawaian baharu di dalam industri dalam menawarkan pengalaman pelanggan yang tiada tandingannya.
Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance (SDAP) baru-baru ini menganjurkan kejohanan perlumbaan simulasi Porsche Esports Sprint Challenge Malaysia 2024 bersempena dengan penganjuran Porsche Carrera Cup Asia (PCCA) yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada bulan depan.
Kejohanan tersebut terbuka kepada semua rakyat Malaysia bertujuan untuk mencari 10 pelumba simulasi terpantas menerusi format perlumbaan catatan masa terpantas.
Terdapat sehingga tiga kategori umur yang dipertandingkan, iaitu 10-14 tahun, 15-17 tahun, serta 18 tahun dan ke atas, di mana setiap peserta diberikan peluang mengendalikan jentera lumba 911 GT3 Cup generasi 992 menerusi platform Assetto Corsa.
Pusingan kelayakan pertama telah dianjurkan sebelum ini di mana hanya 30 pelumba terpantas akan dipilih berdasarkan format time-trial lima pusingan di Litar Buriram.
Pusingan kelayakan kedua pula baharu sahaja berlangsung di Porsche Centre Ara Damansara pada 27-28 Julai yang lalu, di mana setiap peserta diberikan kelas bimbingan perlumbaan khas, diikuti sesi latihan selama 20 minit di Litar Suzuka.
10 orang finalis dengan catatan masa pusingan terpantas akan mara ke peringkat akhir bertempat di Litar Antarabangsa Sepang pada 9-11 Ogos ini, serentak dengan perlumbaan PCCA 2024 yang akan berlangsung pada tarikh yang sama.
Di sana, kesemua peserta akan diberikan peluang untuk membiasakan diri dengan Litar Sepang ketika sesi latihan bebas selama 30 minit, sebelum cubaan untuk merebut petak pertama dalam sesi kelayakan 15 minit dan berpeluang untuk menambah 10 mata perlumbaan untuk kedudukan keseluruhan.
Kami di Engear.tv turut berkesempatan untuk menyertai sendiri sesi kelayakan kedua yang dianjurkan baru-baru ini di Porsche Centre Ara Damansara.
Sebelum dibenarkan ‘memandu’, kami dibawa menyertai satu kelas bimbingan perlumbaan simulasi oleh pelumba muda Mika Hakimi, merangkumi teknik-teknik pemanduan yang perlu diamalkan semasa di Litar Suzuka.
Selain itu, peserta juga diajar cara untuk menyerang setiap selekoh yang wujud di dalam litar tersebut, bermula dari T1 hinggalah ke selekoh terakhir T18.
Kami juga turut diberikan peluang untuk merasai sendiri berlumba menggunakan rig perlumbaan simulasi taraf T20 yang disediakan di Porsche Centre Ara Damansara.
Biarpun tidak berjaya merekodkan catatan masa yang lebih pantas, pengalaman berharga yang diperoleh sepanjang seharian berkampung di sana tidak akan dapat dilupakan.
Puas hati juga bila dapat mencuba sendiri setup rig simulasi perlumbaan yang jauh lebih mahal berbanding apa yang penulis ada di rumah. Diharapkan lebih banyak acara sebegini dapat dianjurkan pada masa hadapan demi merancakkan lagi arena e-sports Malaysia pada masa akan datang.
Pengeluar tempat duduk Recaro Automotive dilapor telah memfailkan kebankrapan pada 29 Julai yang lepas.
Menurut media tempatan Heise Online, hampir 1,000 orang pekerja syarikat tersebut tidak menyedari perkembangan terbaharu ini.
Berita ini turut mengejutkan kira-kira 215 pekerja dalam kesatuan IG Metall yang bekerja di kilang Kircheim unter Teck, dekat Stuttgart, Jerman.
Menurut bos IG Metall Alessandro Lieb memberitahu outlet berita Süddeutsche Zeitung, “kami tidak dimaklumkan tentang langkah ini, dan hanya mengetahui hal ini menerusi intranet.”
Recaro Automotive telah menjadi pembekal tempat duduk kepada pelbagai syarikat automotif seperti Aston Martin, Ford, Mitsubishi, Porsche, Volkswagen dan banyak lagi sejak beberapa dekad yang lepas.
Mungkin tidak ramai yang tahu, Recaro sebenarnya bermula sebagai sebuah syarikat pembina koc automotif yang dinamakan sebagai Reuterr Carosserie sejak 1906 lagi, dengan membekalkan binaan badan kereta kepada syarikat seperti Porsche dan Volkswagen.
Pemfailan kebankrapan di Mahkamah Daerah Esslingen ini akan membolehkan operasi Recaro diteruskan di bawah pengawasan pentadbir.
Buat masa ini, pemfailan kebankrapan hanya terpakai untuk Recaro Automotive, manakala syarikat lain yang bertanggungjawab mengeluarkan tempat duduk kanak-kanak, tempat duduk kapal terbang, kerusi gaming dan tempat duduk stadium tidak terjejas.
Memandu di atas jalan raya Malaysia yang tercinta ini merupakan satu bentuk perjudian yang sangat berisiko.
Nasib baik, anda mungkin akan sampai ke destinasi dengan selamat. Nasib kurang baik, anda mungkin sangkut di pertengahan jalan/lebuh raya disebabkan oleh tayar pancit atau pecah.
Masalah tersebut boleh terjadi akibat beberapa faktor seperti contoh tercucuk bendasing yang tajam, dinding sisi yang mungkin terkoyak akibat impak pelanggaran jalan kawah bulan atau mungkin sekali masalah kebocoran pada struktur injap itu sendiri.
Sekiranya masalah ini terjadi, anda mungkin sekali akan berdepan dengan situasi seperti respons stereng yang semakin berat, kesukaran untuk mula bergerak, serta bunyi tayar yang semakin bising.
Kereta anda juga mungkin cenderung untuk melencong ke kiri atau ke kanan, atau hilang kawalan walaupun sedang melalui jalan yang lurus.
Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini (seperti tayar pecah), usah panik dan cuba ikuti lima langkah yang perlu anda buat:
1. Kawal daya brek
Menekan brek secara mengejut mungkin akan membuatkan kenderaan anda hilang kawalan dan mampu membahayakan bukan sahaja nyawa diri sendiri, malah nyawa pengguna lain atas jalan.
Jadi perkara pertama yang perlu anda buat ialah dengan menekan dan mengepam pedal brek dengan perlahan sehingga kenderaan berada pada kelajuan yang boleh dikawal.
Untuk pemilik kereta non-ABS, masa inilah anda merealisasikan ABS – Aku Brek Sendiri!
2. Kawal arah stereng dengan lembut
Dalam situasi kecemasan, anda mungkin dapat rasa kereta cenderung untuk ditarik ke kiri atau ke kanan bergantung kepada kedudukan tayar mana yang pecah.
Sama halnya dengan brek, roda stereng juga perlu dikawal dengan baik dan lembut berlawanan dengan arah kecenderungan kereta, dan paling penting pastikan kereta berada dalam laluan yang sepatutnya.
Memulas roda stereng dengan agresif akan membuatkan kereta anda berpusing dan hilang kawalan.
3. Gunakan gear rendah
Salah satu cara yang boleh dibuat untuk memperlahankan pergerakan kereta adalah dengan menggunakan teknik brek enjin (engine braking).
Pemilik kereta bertransmisi manual pasti sudah arif dengan teknik ini – tukar sahaja kepada posisi gear yang lebih rendah.
4. Nyalakan lampu kecemasan
Pastikan lampu kecemasan dihidupkan semasa dalam proses mengawal dan memberhentikan kereta bagi memberikan amaran kepada pengguna jalan raya yang lain.
Kereta-kereta moden masa kini sudah pun mempunyai ciri nyalaan lampu kecemasan automatik saat berlakunya situasi yang mencemaskan.
Jika anda tergolong dalam kategori pemilik kereta yang olskool, usah risau dan panik kerana lampu kecemasan kereta anda juga boleh diaktifkan secara manual. Anda hanya perlu tahu di mana letaknya butang lampu kecemasan itu pada kereta anda.
Yang anda perlu risau ialah golongan pemandu yang sengaja menyalakan lampu kecemasan sewaktu memandu dalam hujan.
5. Segi tiga amaran – mana nak letak?
Semasa berhenti di lorong kecemasan, pastikan anda meletakkan segi tiga amaran pada jarak 45 meter dari belakang kereta yang rosak.
Kebanyakan kereta baharu kini sudah pun dilengkapi dengan kit kecemasan ini, jadi ia bukanlah satu alasan untuk anda mengabaikan aspek keselamatan sewaktu menunggu bantuan tiba.
Dalam artikel yang terdahulu, kami telah pun menyenaraikan 10 buah kereta produksi dengan angka kuasa kuda paling tinggi di dunia.
Berikut merupakan senarai 10 lagi kereta produksi baharu dengan angka kuasa kuda yang paling tinggi dalam dunia.
1. Lucid Air Sapphire
Lucid Air Sapphire merupakan sebuah sedan empat pintu yang direka untuk bersaing dengan Tesla Model S dan Porsche Taycan.
Varian Air Sapphire menggandingkan tiga motor elektrik dengan output keseluruhan 1,234 hp dan 1,939 Nm, menjadikan pecutan 0-96 km/j sepantas 1.9 saat sahaja.
Untuk sekali cas penuh, Air Sapphire boleh bergerak sejauh 687 km.
2. Aston Martin Valkyrie
Kereta sports hibrid produksi terhad ini merupakan hasil kerjasama antara Aston Martin dan juga Red Bull.
Dikuasakan oleh enjin V12 aspirasi semula jadi 6.5 liter yang dibina oleh Cosworth yang dipadankan dengan sistem hibrid, Valkyrie mampu menghasilkan kuasa 1,160 hp dan daya kilas 900 Nm.
0-100 km/j? 2.6 saat sahaja!
3. Chevrolet Corvette ZR1
Chevrolet baru sahaja mendedahkan model terbaharu Corvette ZR1 yang dibekalkan dengan nadi bentangan V8 flat-plane berkapasiti 5.5 liter turbo berkembar.
Enjin V8 yang paling berkuasa pernah diproduksikan di Amerika itu mampu menjana kuasa setinggi 1,064 hp dan 1,121 Nm yang memacu roda belakang sahaja!
4. Mercedes-AMG One
Mercedes-AMG One boleh disifatkan sebagai kereta F1 yang boleh dipandu secara halal atas jalan raya, dengan angka produksi dihadkan sebanyak 275 unit sahaja.
Ia menampilkan enjin F1 bentangan V6 1.6 liter dengan empat motor elektrik, dimana kuasa keseluruhan mampu mencecah 1,049 hp.
Sayang sekali, enjin tersebut hanya mampu bertahan sejauh 50,000 km sebelum ia perlu dibina semula.
Antara pemilik AMG One ini termasuklah Lewis Hamilton, Nico Rosberg, David Coulthard dan Valtteri Bottas.
5. Rivian R1T
Trak pikap elektrik tugas ringan Rivian R1T boleh didapati dalam tiga tetapan trenkuasa, di mana konfigurasi paling berkuasa dengan empat motor elektrik mampu menjana sehingga 1,025 hp dan 1,624 Nm, jauh lebih berkuasa berbanding angka 835 hp dan 1,231 Nm yang terdahulu.
Tidak seperti casis ladder frame yang digunakan oleh kebanyakan trak pikap, Rivian R1T menggunakan casis papan selaju yang menggandingkan bateri, sistem penyejukan, suspensi dan brek dalam satu struktur tunggal.
6. Tesla Model S Plaid
Walaupun Model S merupakan antara kereta yang tertua dalam senarai ini, namun varian Plaid telah diperkenalkan pada tahun 2021, sembilan tahun selepas Model S dilancarkan.
Dengan tiga motor elektrik, Tesla Model S Plaid mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,020 hp dan 1,420 Nm, dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 2.07 saat diikuti kelajuan tertinggi 320 km/j.
7. Lamborghini Revuelto
Ini ialah supercar pertama Lamborghini yang mengguna pakai sistem pacuan plug-in hybrid (PHEV) berbanding model seperti Sian FKP 37 dan Countach LPI 800-4 yang dilengkapi dengan sistem hibrid ringan.
Nadi V12 6.5 liter NA (814 hp/725 Nm) digandingkan dengan tiga motor elektrik (187 hp/336 Nm) dengan kuasa keseluruhan 1,001 hp dan 1,062 Nm.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.5 saat, sementara kelajuan tertinggi pula melebihi 350 km/j.
8. GMC Hummer EV Edition 1
GMC Hummer EV merupakan kenderaan elektrik bateri dengan berat yang mampu mencecah 4,500 kg.
Varian Edition 1 didatangkan dengan tiga motor elektrik berkuasa 1,000 hp, jarak gerak sejauh 529 km, pakej Extreme Off-Road, dan ciri pergerakan Crab Walk.
Selain daripada versi trak pikap, GMC Hummer EV juga boleh didapati dalam versi SUV lima pintu.
9. Ferrari SF90
Ferrari SF90 dilengkapi dengan enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar, tiga motor elektrik, dan pek bateri berkapasiti 7.9 kWh yang membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 26 km.
Kuasa keseluruhan mampu mencecah 986 hp dan daya kilas maksimum 800 Nm.
Menariknya, SF90 tidak mempunyai gear undur, di mana operasi tersebut diambil alih oleh dua motor elektrik yang duduk pada gandar hadapan.
10. Tesla Cybertruck Cyberbeast
Model trak pikap elektrik yang paling banyak menimbulkan kontroversi untuk tahun 2024 ini turut mempunyai varian yang paling berkuasa – Cyberbeast.
Varian tiga motor elektrik itu berupaya menghasilkan 845 hp dan daya kilas 1,396 Nm, di mana pecutan 0-96 km/j adalah sepantas 2.6 saat sahaja.
Dengan opsyen penambah jarak, Cyberbeast boleh bergerak sejauh 710 km.
Masalah utama yang melanda para pemilik Cybertruck ialah kualiti binaan yang kurang memuaskan, serta kemasan luaran keluli tahan karat yang cenderung untuk berkarat.
Mitsubishi Motors dilapor akan menyertai pakatan automotif Honda-Nissan dalam usaha untuk meningkatkan daya saing dan bertahan dalam pasaran yang sangat kompetitif.
Perkembangan terbaharu ini dilihat akan membahagikan industri automotif Jepun kepada dua kumpulan besar, iaitu Toyota Motor Group serta pakatan Honda-Nissan-Mitsubishi.
Menurut laporan Nikkei, Mitsubishi Motors telah menandatangani perjanjian yang tidak boleh didedahkan (NDA) dengan pengeluar kedua dan ketiga terbesar di Jepun itu.
Untuk tahun fiskal berakhir Mac 2024, Honda mencatatkan jualan sebanyak 4.1 juta unit di peringkat global, diikuti dengan Nissan sebanyak 3.44 juta unit. Dengan jumlah jualan Mitsubishi sekitar 810,000 unit, pakatan tersebut akan mempunyai jumlah jualan sebanyak 8.35 juta unit.
Sebagai perbandingan, Toyota selaku pengeluar automotif terbesar telah membentuk pakatan dengan pengeluar seperti Daihatsu, Suzuki, Subaru, Mazda dan Hino Motors, menjadikan jumlah jualan kenderaan secara keseluruhan mencecah 16 juta unit.
Butiran khusus berkenaan perjanjian antara Mitsubishi dan Honda-Nissan akan dimuktamadkan kelak.
Namun menurut laporan itu lagi, ketiga-tiga jenama itu berhasrat untuk menyeragamkan perisian dalam kenderaan, selain melengkapkan barisan kenderaan masing-masing terutama berkaitan elektrifikasi rangkaian kuasa dan segmen kenderaan mini.
Didi Group selaku pengimport dan pengedar tunggal motosikal jenama Royal Enfield di Malaysia telah pun selesai melancarkan model Himalayan bertempat di Art Of Speed 2024 baru-baru ini.
Ia dikuasakan oleh enjin Sherpa 452 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 40 PS @ 8,000 rpm dan daya kilas maksimum 40 Nm @ 5,500 rpm.
Dengan jarak lega bumi yang agak tinggi (230 mm), Royal Enfield Himalayan turut mempunyai suspensi jenis long travel terdiri daripada fork hadapan Showa 43 mm jenis terbalik dan penyerap hentak tunggal belakang untuk memudahkan urusan menawan pelbagai bentuk muka bumi.
Royal Enfield Himalayan mengekalkan kombinasi rim aloi aluminium bersaiz 21 inci depan/17 inci belakang, dengan saiz tayar belakang 140/80 yang lebih lebar untuk memberikan lebih cengkaman.
Tangki bahan api sebesar 17 liter itu telah direka semula untuk memberikan keselesaan kepada penunggang, diikuti dengan pilihan tinggi pelana bermula serendah 805 mm dan boleh diubah kepada 845 mm bergantung kepada ketinggian penunggang.
Segala info penting boleh dibaca menerusi skrin paparan berbentuk bulat TripperDash yang turut menawarkan fungsi navigasi pemetaan menggunakan Google Maps Platform, dan bimbingan audio lebih daripada 130 bahasa dunia.
Penunggang boleh memilih untuk menetapkan mod tunggangan Performance atau Eco menerusi tetapan pendikit ride-by-wire, serta mematikan fungsi ABS roda belakang untuk pengalaman tunggangan off-road yang lebih mengujakan.
Royal Enfield Malaysia turut menawarkan lebih daripada 30 pilihan aksesori asli untuk Himalayan, termasuklah kotak storan aluminium, penghadang angin yang lebih tinggi, lampu kabus LED, mudguard, pelana rali, beg lembut dan bermacam-macam lagi.
Terdapat tiga varian ditawarkan, iaitu Base (warna Kaza Brown), Pass (Slate Himalayan Salt atau Slate Poppy Blue), serta Summit (Hanle Black atau Kamet White) dengan harga jualan bermula dari RM30,600 hingga RM32,200.
Suatu ketika dahulu, kereta produksi sebenar dengan kuasa melebihi 1,000 hp agak sukar untuk ditemukan.
Namun dengan kemajuan teknologi semasa, ia kini sudah menjadi satu kelaziman di mana tiap pengeluar berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta yang mampu menghamburkan sehingga dua ribu kuasa kuda, baik kereta berenjin pembakaran dalaman atau kereta berkuasa elektrik.
Selagi wujudnya teknologi yang lebih maju, perlumbaan mengejar kuasa kuda tertinggi ini tidak akan padam.
Berikut merupakan senarai kereta produksi baharu yang paling berkuasa wujud di atas muka bumi ini:
1. Koenigsegg Gemera
Koenigsegg Gemera merupakan sebuah grand tourer empat tempat duduk, dan dibekalkan dengan nadi V8 hibrid 5.0 liter yang mampu menjana kuasa setinggi 2,300 hp dan daya kilas 2,750 Nm.
Mahukan versi yang kurang berkuasa? Boleh dapatkan varian berenjin tiga silinder sebaris 2.0 liter hibrid, dengan output keseluruhan 1,400 hp dan 1,800 Nm.
Itu pun mungkin tidak akan dihasilkan oleh Koeniggsegg dalam masa terdekat memandangkan majoriti pemilik Gemera lebih menggemari nadi V8.
2. Lotus Evija
Lotus yang sangat terkenal dengan kereta-kereta ringan kini mula menceburkan diri dalam penghasilan kereta sports/supercar elektrik.
Evija yang diperkenalkan pada tahun 2019 mempunyai tetapan empat motor elektrik, setiap satu menjana kuasa 503 PS dengan kuasa keseluruhan 2,011 hp dan 1,704 Nm.
Kereta sports produksi terhad ini mampu bergerak sejauh 346 km, terima kasih kepada pek bateri 93 kWh.
3. Aspark Owl
Nama tak macam kereta Jepun, tapi Aspark Owl sebenarnya merupakan sebuah kereta sports elektrik yang dibangunkan oleh firma kejuruteraan Aspark yang berasal dari Negara Matahari Terbit.
Dengan tetapan empat motor elektrik (satu untuk setiap roda), Aspark Owl mampu menghasilkan kuasa 1,984 hp dan tork 2,000 Nm.
Pek bateri 69 kWh membolehkan ia bergerak sejauh 451 km untuk sekali cas penuh.
4. Pininfarina Battista
Sebuah lagi kereta pantas berkuasa elektrik yang wujud dalam senarai yang dihasilkan oleh Automobili Pininfarina GmbH.
Ia turut dikuasakan oleh empat motor elektrik dengan output keseluruhan mencecah 1,900 hp dan tork 2,300 Nm.
Pengecasan penuh bateri membolehkan kereta ini bergerak sejauh 450 km.
5. Rimac Nevera
Supercar buatan Rimac ini lahir dalam kilang sama yang turut digunakan untuk memasang Pininfarina Battista.
Rimac Nevera dipasangkan dengan empat motor elektrik yang menggerakkan setiap roda, menghasilkan kuasa 1,888 hp dan 2,360 Nm, dan kelajuan tertinggi mencecah 412 km/j – antara EV paling pantas dalam dunia.
6. Hennessey Venom F5
Hennessey Special Vehicles mula menghasilkan kereta sports Venom F5 sejak tahun 2020 di mana terdapat beberapa variasi yang ditawarkan kepada pelanggannya.
Tanpa mengira versi yang telah habis dijual atau versi Roadster yang sedang diproduksikan, setiap satu unit datang dengan nadi bentangan V8 6.6 liter turbo berkembar, menjana kuasa setinggi 1,817 hp dan daya kilas 1,617 Nm.
Kelajuan maksimum? Lebih 500 km/j!
7. Bugatti Tourbillon
Ini ialah kereta sports hibrid yang bakal diproduksikan bermula tahun 2026, Bugatti Tourbillon.
Dihadkan sebanyak 250 unit sahaja, Bugatti Tourbillon membawakan enjin bentangan V16 bersesaran 8,355 cc yang dipadankan dengan tiga motor elektrik.
Enjin itu sahaja berupaya menjana 986 hp/900 Nm, namun dengan bantuan motor elektrik, Tourbillon mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,775 hp dan 3,000 Nm.
0-100 km/j adalah sepantas 2.0 saat, diikuti 0-200 km/j bawah lima saat, sementara 0-400 km/j pula di bawah tempoh 25 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 380 km/j.
8. Koenigsegg CC850
Dibina sebagai satu penghormatan kepada model CC8S, Koenigsegg CC850 merupakan kereta produksi terhad sebagai sambutan ulang tahun kelahiran pengasasnya Christian von Koenigsegg yang ke-50.
CC850 meminjam enjin bentangan V8 5.0 liter turbo berkembar daripada model Jesko, dengan output 1,385 hp dan 1,385 Nm, atau 1,185 dengan menggunakan bahan api biasa.
9. SSC Tuatara
SSC Tuatara pada asalnya dikuasakan enjin bentangan V8 6.9 liter turbo berkembar, namun kapasiti enjin telah diturunkan kepada 5.9 liter bagi membolehkan ia mencapai garis merah yang lebih tinggi (8,800 rpm).
Menurut SSC, Tuatara berupaya menghasilkan kuasa setinggi 1,350 hp/1,735 Nm, atau sehingga 1,750 hp dengan menggunakan bahan api E85.
10. Czinger 21C VMax
Kereta dalam senarai terakhir ini dihasilkan oleh pengeluar automotif Amerika, Czinger Vehicles.
21C secara asasnya merupakan kereta sports hibrid dengan enjin V8 2.88 liter yang dipadankan dengan tiga motor elektrik, berkuasa 1,250 hp dan 1,830 Nm.
Pecutan 0-96 km/j hanyalah sepantas 1.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 407 km/j!
Lexus Malaysia telah pun selesai melancarkan SUV elektrik pertama jenama itu, Lexus RZ 450e 2024 untuk pasaran tempatan.
Ditawarkan dalam unit yang terhad, Lexus RZ450e hadir dengan spesifikasi tunggal Luxury, di mana ia didatangkan standard dengan tetapan motor elektrik berkembar.
Motor hadapan mampu menjana kuasa 204 hp/266 Nm, sementara motor gandar belakang pula 109 hp/169 Nm.
Secara keseluruhan, Lexus RZ 450e mampu menghasilkan kuasa setinggi 308 hp yang memacu sistem pacuan semua roda DIRECT4.
Pek bateri berkapasiti 71.4 kWh pula membenarkan jarak pemanduan sejauh 440 km untuk sekali cas penuh, selain menyokong pengecasan AC 11 kW dengan tempoh pengecasan penuh 6.5 jam, atau pengecasan pantas DC sehingga 150 kW (tempoh dipendekkan kepada 30 minit).
Antara ciri yang dimuatkan pada Lexus RZ 450e termasuklah sistem gantungan topang MacPherson/Double Wishbone, sistem stereng berkuasa elektronik (EPS), rim aluminium bersaiz 20 inci, lampu projektor Bi-AHS LED dengan fungsi suluhan tinggi adaptif, lampu belakang rekaan L-Bar, pemegang pintu e-Latch luar dan dalam, serta ‘jeriji hadapan’ Lexus Spindle Body.
Ruang kabin pula mendapat kelengkapan skrin kluster instrumen tujuh inci TFT, skrin infohibur sebesar 14 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan Ultrasuede dengan larasan lapan tahap untuk pemandu dan penumpang, roda stereng balutan kulit sintetik, sistem pendingin hawa tiga zon, serta tombol penukaran gear jenis shift-by-wire.
Tidak ketinggalan, sepanjang perjalanan anda akan ditemani dengan alunan muzik daripada sistem bunyi keliling Mark Levinson Premium dengan 13 pembesar suara tersedia.
Selain daripada ciri keselamatan pasif seperti 7 beg udara, ABS, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TCS) dan bermacam-macam lagi, Lexus RZ 450e turut dilengkapi dengan Lexus Safety System+ yang merangkumi ciri berikut:
• Sistem Pra-Pelanggaran Hadapan (PCS)
• Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop & Go dan Curve Speed Reduction
• Sistem Pengekalan Lorong (LKS) dengan fungsi Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) dan Amaran Keluar Lorong (LDA)
• Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)
Terdapat juga dua ciri yang khusus untuk kenderaan Lexus, iaitu Lexus Parking Assist Monitor serta Lexus Teammate Advanced Park yang dibantu dengan fungsi kamera pemantauan keliling panorama (PVM).
Harga jualan Lexus RZ 450e 2024 bermula dari RM429,888.
Ulasan Pandu Uji Ringkas
Serentak dengan sesi pandu uji yang disediakan untuk Lexus LBX 2024 tempoh hari, kami turut diberikan peluang untuk merasai sendiri pemanduan SUV elektrik ini dalam perjalanan pulang dari Janda Baik ke Lexus Mutiara Damansara.
Impresi pertama kami, Lexus RZ 450e boleh dipertimbangkan sebagai satu alternatif jika anda tidak berminat untuk mendapatkan SUV elektrik buatan Jerman yang turut dijual dalam julat harga yang sama.
Prestasi pecutan yang ditawarkan oleh Lexus RZ 450e juga adalah apa yang anda harapkan daripada sebuah SUV dengan konfigurasi dua motor elektrik.
Ia tidaklah seagresif kereta elektrik yang memang ditala untuk prestasi, tapi memadai dan cukup untuk anda memalukan mana-mana kereta yang masih menggunakan bahan bakar fosil di persimpangan lampu isyarat.
Berdasarkan pemanduan di lebuh raya, anda boleh merasakan tahap NVH Lexus RZ 450e berada pada tahap yang selesa.
Cuma, kuasa 308 hp yang dihamburkan itu tidak diseimbangkan dengan talaan suspensi yang bersesuaian untuk laluan berliku, dan anda boleh rasa sendiri olengan badan SUV seberat 2 tan ini yang agak ketara bila mana Lexus RZ 450e ini dibawa dengan agresif.
Penulis faham, Lexus RZ 450e bukanlah sebuah SUV berprestasi tinggi bertaraf F-Sport, jadi kelemahan ini boleh dimaafkan memandangkan perasaan yang sama turut dialami ketika penulis pernah memandu uji sebuah SUV elektrik buatan Jerman yang bukan versi prestasi tinggi.
Untuk ruang kabin pula, pendekatan konsep Tazuna yang diterapkan itu sememangnya sangat membantu pemandu dalam menumpukan perhatian penuh pada pemanduan atas jalan. Gugusan butang operasi diminimumkan, di mana hanya butang penting sahaja yang masih dikekalkan.
Cuma, penulis rasa sedikit ralat kerana mana-mana kereta baharu Lexus kini (termasuklah RZ 450e ini) tidak lagi disertakan dengan jam analog di bahagian tengah.
Tidak banyak yang boleh dikongsikan buat masa ini memandangkan tempoh masa pandu uji yang sangat singkat. Mungkin lebih banyak info bakal kami ulas sekiranya ada peluang untuk memandu uji Lexus RZ 450e ini pada masa hadapan.
Selagi penulis belum dapat merasai sendiri pemanduan di dalam model GLS atau G-wagen, GLE 450 kekal menjadi SUV yang paling besar pernah penulis pandu dalam sejarah hidup.
SUV mewah dengan konfigurasi tiga baris tempat duduk ini telah pun dikemas kini untuk model tahun 2024 beberapa bulan yang lepas.
Ia menampilkan beberapa perubahan bersifat kosmetik di bahagian luar, diikuti kemaskini pada ruang kabin serta naik taraf kuasa pada unit rangkaian kuasa sedia ada.
Jika anda lihat SUV ini sekali imbas di atas jalan, mungkin agak sukar untuk membezakannya dengan versi terdahulu.
Namun setelah memandu ujinya selama beberapa hari, ada beberapa perkara yang membuatkan penulis rasa GLE 450 CKD ini sukar untuk dipertimbangkan pembeliannya.
1. Unit pencahayaan lebih ringkas dan minimalis
Percaya atau tidak, lampu sebenarnya memainkan peranan penting dalam memastikan penampilan SUV ini lebih elegan di atas jalan raya.
Jika unit GLE terdahulu datang dengan grafik DRL berbentuk boomerang, kali ini GLE 450 datang dengan grafik yang lebih ringkas.
Samalah juga halnya dengan lampu belakang, di mana grafik LED menjadi lebih nipis.
Masih lagi nampak segak dan elegan di atas jalan, namun imejnya mungkin tenggelam jika duduk sebelah dengan GLE 450 yang lama.
2. Rupa masih sama
Jika sebelum ini anda mengharapkan GLE 450 membawakan perubahan yang lebih dramatik, lupakan saja niat itu, kerana GLE 450 tahun 2024 masih mengekalkan imej luaran yang hampir serupa.
Ya, anda boleh lihat bampar hadapan kini tampil lebih agresif, struktur jeriji hadapan juga yang lebih kemas, namun itu sahaja perubahan yang wujud.
Rekaan rim bersaiz 21 inci AMG itu masih lagi sama diguna pakai daripada model terdahulu, malah susun atur papan pemuka juga kekal tidak berubah.
3. Roda stereng kini mesra habuk, cap jari
Antara perkara yang penulis kurang gemar pada GLE 450 selain daripada dua poin yang disebutkan di atas ialah rekaan roda stereng.
Roda stereng GLE 450 kini lebih sporti dan canggih dengan operasi berasaskan sentuhan, namun ia bukanlah poin utama yang cuba diketengahkan.
Penulis cuma berharap agar Mercedes-Benz global dapat mengembalikan semula kemasan yang lebih premium pada roda stereng mana-mana model bagi menggantikan penggunaan plastik hitam.
Ini kerana apa yang penulis perasan plastik hitam tersebut lebih gemar memerangkap habuk dan cap jari, di mana pemilik/pemandu nampaknya perlu kerap mengelap bahagian tersebut dengan kain.
4. Enjin berkuasa, tapi transmisi ‘potong stim’
Mercedes-Benz GLE 450 masih lagi mengekalkan enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo, namun dengan peningkatan kuasa kepada 375 hp @ 5,800 rpm dan daya kilas 500 Nm @ 1,800-5,000 rpm.
Ia juga turut mendapat sistem hibrid ringan 48 voltan, menampilkan sistem ISG generasi kedua yang mampu memberikan kuasa ekstra 20 hp dan 200 Nm.
Atas kertas, ia nampak mengujakan, namun ada kalanya transmisi automatik 9GTronic itu sedikit mengecewakan saat lampu merah bertukar hijau.
Bermula dengan gear pertama, ia tidak memberikan masalah untuk menggerakkan anak gajah seberat 2 tan ini, namun pemanduan dirasakan tidak begitu lancar dan sedikit tersengguk apabila sistem kotak gear mahu membuat penukaran gear yang berikutnya (dari gear satu ke gear dua).
5. Harga lebih mahal, walaupun status CKD
Apa yang pasti, Mercedes-Benz GLE 450 CKD ini tidak datang dengan harga yang lebih murah.
Model SUV yang dipasang di Pekan, Pahang ini dijual pada harga bermula dari RM528,888 atas jalan tanpa insurans, atau RM13 ribu lebih mahal berbanding model terdahulu.
Jika anda boleh berkompromi dengan lima perkara di atas, lima perkara berikutnya ini mungkin sekali akan membuatkan anda rasa ini sebuah SUV famili yang patut dipertimbangkan.
1. SUV yang selesa untuk seisi keluarga
GLE 450 membawakan kelebihan yang sukar untuk ditandingi – aspek keselesaan untuk seisi keluarga, terutama bila duduk di baris kedua.
Ini kerana GLE 450 menawarkan fungsi keselesaan yang hampir sama dengan penumpang hadapan, seperti corong pendingin hawa kiri, tengah dan kanan, kawalan iklim berasingan, tempat duduk yang boleh dilaras sudut sandarannya, serta ruang kepala dan kaki yang boleh tahan luasnya!
Bumbung panorama yang cukup besar membolehkan penumpang belakang menikmati pemandangan persekitaran yang cantik apabila pulang ke kampung halaman.
Tidak ketinggalan, terdapat slot pengecasan USB-C disediakan untuk kegunaan mengecas peranti pintar sepanjang perjalanan.
2. Berat, tapi lincah
Harus diingat, Mercedes-Benz GLE 450 sejak azali merupakan sebuah SUV dengan berat melebihi dua tan.
Memang berat, akan tetapi dengan sistem enjin dan pacuan semua roda yang cekap, sepanjang masa anda mungkin terlupa ia sebuah SUV yang berat.
Dengan kuasa enjin 381 hp dan 500 Nm, pecutan 0-100 km/j hanya memakan masa 5.6 saat sahaja, menjadikan ia sebuah SUV yang agak lincah terutama apabila dibelasah di laluan yang berselekoh.
Tayar Continental SportContact6 yang dibekalkan standard dari kilang juga sedikit sebanyak membantu memastikan SUV ini melekat dengan baik di atas pelbagai keadaan permukaan jalan.
Berdasarkan data, penulis berjaya mencapai kadar penggunaan bahan api serendah 9.0 liter/100 km.
3. Suspensi boleh laras tinggi rendah
Secara standard, Mercedes GLE 450 dibekalkan dengan sistem gantungan udara Airmatic yang dibantu dengan sistem peredam adaptif ADS+.
Bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih, sistem ini akan menaikkan atau merendahkan tetapan ketinggian jarak lega bumi, selain memudahkan anda untuk memuat naik barangan di ruang kargo sebesar 630 liter itu.
Sepanjang masa, penulis lebih gemar mengekalkan mod Comfort yang lebih sesuai dengan keadaan jalan raya Malaysia yang tidak sempurna ini, ia cukup selesa dan mampu menyerap segala ketidakrataan jalan tanpa memberikan efek negatif kepada pemandu dan penumpang.
Namun, anda juga boleh menetapkan mod pemanduan tersendiri dengan mengubah tetapan respons enjin, ESP dan suspensi supaya menjadi lebih sporti.
4. Mod pemanduan Off-road
Seperkara yang membuatkan GLE 450 unik ialah kehadiran mod pemanduan baharu Off-road.
Selain dengan tetapan suspensi yang lebih tinggi dan pemanduan yang mementingkan aspek cengkaman yang lebih optimum, ia turut memberikan amaran kepada pengguna supaya tidak menggunakan mod ini di atas jalan raya umum, dengan kelajuan dihadkan kepada 110 km/j sahaja.
Mod Off-road ini turut menyediakan paparan bawah kenderaan supaya pemandu dapat memeriksa kewujudan benda yang mampu menghalang pemanduan di hadapan, tapi terlindung di sebalik badan yang gedabak ini. Kucing contohnya.
5. Dari sudut pandang pemandu
Secara keseluruhannya, pemanduan GLE 450 model tahun 2024 ini tidak banyak membawakan perubahan yang ketara.
Ia menawarkan tempat duduk yang cukup selesa dan mampu memegang erat tubuh pemandu sepanjang perjalanan, dengan respons stereng yang memadai – tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan.
Aspek NVH juga cukup baik untuk sebuah Mercedes-Benz, di mana bunyi bising yang datang dari luar berjaya ditepis dan ditapis dengan berkesan.
Bunyi bising enjin hanya akan kedengaran apabila ia dikerah dengan kasar, namun tidaklah sampai boleh mengganggu pendengaran, samalah juga halnya dengan bunyi bising angin.
Berbanding dengan model-model SUV Mercedes lain yang menggunakan tetapan dua panel iPad yang serupa, penulis paling suka rekaan papan pemuka yang digunakan pada GLE 450, nampak seperti papan pemuka yang lebih konvensional.
GLE 450 juga masih lagi mengekalkan kewujudan butang fungsi fizikal yang diperlukan pada papan pemuka dan konsol tengah, dibantu dengan kehadiran pad sesentuh bagi memudahkan urusan mencari menu di dalam skrin tanpa perlu menekan skrin sentuh.
Untuk tidak memeningkan kepala, Mercedes-Benz Malaysia hanya menawarkan varian tunggal sahaja untuk GLE-Class, jadi anda hanya perlu berfikir dengan lebih panjang sebelum membuat keputusan untuk melabur wang bernilai lebih setengah juta untuk mendapatkan SUV yang selesa untuk kegunaan keluarga.
UMW Toyota Motor menjemput rakyat Malaysia yang berminat dengan perlumbaan simulasi Gran Turismo 7 untuk menyaksikan sendiri pusingan akhir Toyota Gazoo Racing GT Cup 2024 musim ketujuh yang akan berlangsung di Sunway University Campus 27 hingga 28 Julai ini.
Acara selama dua hari itu terbuka kepada umum, di mana pusingan separuh akhir akan berlangsung pada 27 Julai untuk memilih pelumba simulasi terpantas akan akan bertempur pada 28 Julai untuk merebut hadiah terkumpul bernilai RM120,500.
Peringkat separuh akhir bakal menyaksikan 20 pelumba memandu Toyota GR Corolla MORIZO Edition di litar Alsace, Perancis, serta Toyota GR Supra RZ di litar Deep Forest Raceway, Switzerland.
10 peserta terpantas akan mara ke peringkat akhir untuk mengendalikan jentera prototaip GR010 di Litar Monza, Itali dan jentera lumba GR Supra Racing Concept di litar Circuit De La Sarthe Le Mans, Perancis.
Antara yang bakal mencuri tumpuan umum pada tahun ini ialah Taj Izrin Aiman Taj Madira yang sedang memburu gelaran juara untuk kali keempat menentang naib juara tahun lalu Danesh Wigneswaran dan Chong Kai Chang, serta Muhammad Iqbal selaku juara tahun 2022.
Pusingan akhir GR GT Cup ini juga bakal menampilkan perlumbaan khas melibatkan TGR Rookies, para pengamal media, serta 10 pelumba terpantas dari GR Tour yang terdiri daripada pelajar Sunway University, USM Nibong Tebal, MMU, UKM dan UiTM Pasir Gudang.
Orang ramai juga dijemput untuk mencabar kemahiran diri berlumba dan berpeluang membawa pulang hadiah istimewa.
Terdapat juga pameran model kenderaan diecast Tomica serta barangan eksklusif Gazoo Racing untuk dibeli, serta pameran kenderaan-kenderaan terkini Toyota.
Menurut Presiden UMW Toyota, Datuk Ravindran K berkata, “perlumbaan simulasi terus berkembang di peringkat global, dan kini diiktiraf sebagai langkah penting untuk mana-mana individu yang berhasrat untuk beralih kepada perlumbaan sebenar.
“Ia juga turut menjadi pra-syarat penting dalam pemilihan dan latihan calon yang mahu menyertai Program Pembangunan Pelumba Muda Gazoo Racing untuk peluang bertempur sebagai seorang Rookie dalam GR Vios Challenge,” ujarnya lagi.
Pengeluar peranti pintar Xiaomi nampaknya belum cukup berpuas hati dengan produk automobil SU7 sedia ada.
Demi memberikan saingan yang lebih sengit kepada sedan elektrik berprestasi tinggi dalam pasaran, pengeluar itu kini memperlihatkan model prototaip karbon penuh Xiaomi SU7 Ultra.
Dalam masa yang sama, Xiaomi turut mengumumkan kemunculan unit pacuan elektrik baharu yang dinamakan sebagai HyperEngine V8s.
Ia bukanlah sebuah nadi bentangan V8, sebaliknya HyperEngine V8s merupakan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 578 PS dan daya kilas 635 Nm.
Pada model SU7 Ultra, Xiaomi menggandingkan dua unit motor elektrik HyperEngine V8s dan sebuah motor elektrik V6s, dengan output keseluruhan mencecah 1,548 PS yang memacu semua roda!
Dengan balutan getah Pirelli P Zero, Xiaomi SU7 Ultra mampu memecut 0-100 km/j sepantas 1.97 saat, 0-200 km/j dalam 5.97 saat, dan mencecah 300 km/j dalam masa 15 saat sahaja.
Kelajuan maksimum adalah sekitar 350 km/j.
Pek bateri Qilin 2.0 yang disumberkan daripada CATL itu memang dikhaskan untuk perlumbaan, berkeupayaan untuk menyahcaj kuasa puncak setinggi 1,808 PS.
Walaupun pek bateri itu mempunyai SoC sekitar 20 peratus, ia masih lagi mampu menyahcas kuasa setinggi 1,088 PS!
Berbeza dengan SU7 standard, SU7 Ultra membawakan binaan badan gentian karbon penuh, lengkap dengan kit badan (splitter dan diffuser hadapan, sayap belakang, diffuser gergasi) yang dikatakan mampu menjana daya mendap seberat 2,145 kg pada kelajuan 350 km/j.
Pun begitu, Xiaomi SU7 Ultra masih lagi sebuah sedan berprestasi tinggi dengan berat badan hampir mencecah 2 tan, atau lebih tepat lagi 1,900 kg.
Sistem brek terdiri daripada angkup enam omboh AP Racing pada gandar depan dan belakang, serta pelapik brek perlumbaan yang mampu bertahan pada suhu melebihi 800 darjah Celcius.
Di bawah keadaan brek penuh, Xiaomi SU7 Ultra mampu menjana daya G melebihi 2.36G, dengan jarak pemberhentian 100-0 km/j sependek 25 meter sahaja.
Xiaomi merancang untuk memecahkan rekod baharu dalam kategori sedan elektrik empat pintu di Litar Nurburgring pada Oktober ini.
Pada ketika ini, rekod terpantas Litar Neraka Hijau dipegang oleh Porsche Taycan Turbo GT dengan catatan masa 7:07.55 minit.
Ini mungkin sekali kereta Lexus yang paling kecil pernah ditawarkan dan paling murah untuk sebuah kereta Lexus baharu yang wujud di pasaran.
Biarpun dengan ciri yang biasanya dikaitkan dengan kereta marhaen, namun Lexus LBX 2024 ini tetap menawarkan identiti yang tersendiri bagi menjadikannya sebahagian daripada keluarga kenderaan mewah Jepun yang ternama.
Baru-baru ini kami telah diberikan peluang untuk merasai sendiri pengalaman pertama memandu LBX merentas sempadan negeri Selangor-Pahang.
Walaupun jarak yang diberikan itu agak singkat, namun laluan yang telah ditetapkan itu merangkumi resepi yang diperlukan untuk kami menilai tahap pemanduan Lexus LBX atas jalan raya yang sebenar, bukan sekadar pusing-pusing mengelilingi pusat pameran semata-mata.
Berikut merupakan lima penemuan kami:
1. Platform Toyota, tapi dengan rekaan luaran identikal Lexus
Ini merupakan model Lexus pertama yang menggunapakai platform TNGA-B, menjadikan Lexus LBX model ‘kembar tidak seiras’ kepada model crossover Toyota Yaris Cross pasaran Eropah.
Dimensi ukuran LBX tidak jauh beza dengan ukuran Yaris Cross, namun LBX nampak lebih gagah duduk di atas jalan raya dengan struktur bahu yang lebih menonjol, diikuti dengan jeriji spindle tanpa rangka yang aerodinamik itu.
Malah, penampilan LBX lebih elegan dan ringkas di mana plastik pelindung gerbang roda lebih berbentuk bulat berbanding rekaan bersegi pada Yaris Cross.
Untuk rekaan belakang pula, LBX membawakan struktur lampu yang lebih ringkas yang dihubungkan dengan bar LED melintang. Logo L Lexus telah digantikan dengan perkataan L E X U S.
Bentuk cermin sisi LBX ini sebenarnya mengingatkan penulis pada sebuah lagi model Lexus yang lebih mahal dan berkongsi format nama tiga huruf, iaitu Lexus LFA.
2. Enjin hibrid tetapan tiga silinder sebaris
Secara standard, Lexus LBX hanya dilengkapi dengan enjin tiga silinder sebaris (kod M15A-FXS) yang dipadankan dengan sistem hibrid.
Enjin itu sahaja berupaya menjana kuasa 90 hp dan 120 Nm, sementara motor elektrik menyumbang 93 hp dan 185 Nm, dengan output keseluruhan dicatatkan sekitar 136 hp.
Mesti ramai yang skeptikal dengan enjin tiga dapur bukan? Geng Proton X50 mungkin dah lama buang perasaan tersebut jauh-jauh. Tak percaya, tengoklah model apa yang paling kerap kuasai laluan kanan lebuh raya pada ketika ini selain daripada model berkuasa rendah Perodua.
Walaupun dengan hanya enjin tiga silinder sebaris, tetapi bagi kami yang sudah merasai sendiri pemanduan LBX tempoh hari, boleh dikatakan respons yang diberikan sangat memuaskan hati.
Anda boleh menikmati pecutan yang menyeronokkan saat kereta beredar dari plaza tol atau lampu merah bertukar hijau di persimpangan lampu isyarat.
Kuasa yang dihamburkan itu sentiasa ada bila diperlukan pada kelajuan rendah, dibantu dengan kecekapan transmisi eCVT lapan kelajuan yang memastikan roda hadapan bergerak mengikut arahan pemandu.
Sama seperti mana-mana model hibrid Toyota (dan Lexus), Lexus LBX turut mempunyai mod EV bagi membolehkan crossover ini bergerak tanpa setitik minyak pada kelajuan yang rendah.
3. Tetapan suspensi ringkas, tapi sesuai dengan jalan raya Malaysia
Secara standard, Lexus LBX dipasangkan dengan topang MacPherson di hadapan, diikuti dengan torsion beam di bahagian belakang.
Nampak ringkas, dan sama saja macam model crossover segmen B yang ada di pasaran.
Namun, talaan yang diberikan pada sistem gantungan LBX ini menjadikannya seronok untuk dibelasah di laluan yang berliku, seperti contoh ‘litar kelajuan tinggi kegemaran ramai’ Lebuhraya KL-Karak.
Sepanjang pemanduan, SUV kecil ini rasa stabil dan melekat di setiap selekoh, dengan olengan badan yang terhasil apabila ia dipaksa secara agresif.
Untuk pemanduan yang biasa-biasa, olengan badan yang terhasil agak minimum, cukup sesuai dan selesa untuk kegunaan mereka yang tidak menggemari pemanduan yang bersemangat.
Paling penting, respons stereng itu sendiri yang sangat patuh pada setiap arahan pemandu, dan ia juga merupakan apa yang penulis harapkan pada sebuah Lexus setelah beberapa kali menguji model yang lebih besar dan mahal sebelum ini – Lexus ES, Lexus RX, dan Lexus NX.
Nak bercerita lebih, kami perlu pinjam LBX ini sekali lagi untuk ulasan yang lebih menyeluruh. Pendek kata, LBX merupakan salah sebuah Lexus yang seronok dipandu!
Dengan casis, enjin, transmisi, dan sistem gantungan yang mampu berkerja dengan harmoni, penulis rasa tidak sabar pula untuk menguji varian MORIZO RR yang datang dengan resipi yang lebih istimewa – nadi tiga silinder sebaris GR Yaris dan transmisi manual!
Harapnya pihak Lexus Malaysia dapat mempertimbangkan varian ini kelak.
4. Konsep Tazuna yang menyenangkan pemandu
Sama seperti mana-mana model Lexus dalam pasaran, Lexus LBX turut mengutamakan konsep Tazuna pada rekaan kokpit pemandu.
Pada bahagian tersebut, Lexus telah meminimumkan kehadiran butang fungsi dan hanya mementingkan butang operasi yang penting sahaja, bertujuan untuk memaksimumkan tumpuan pemandu di atas jalan raya.
Skrin kluster digital 12.3 inci itu menawarkan informasi yang mudah untuk dibaca, samalah juga halnya dengan skrin tengah sebesar 9.8 inci yang turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
Saat penulis memegang stereng, ia menawarkan perasaan yang sukar untuk diungkapkan, seolah-olah ia memang dicipta untuk mereka yang menghargai dan menikmati pemanduan sebuah Lexus.
Tempat duduk hadapan juga agak selesa dan mampu memegang erat pemandu sepanjang tempoh pemanduan, dibantu dengan fungsi larasan berkuasa elektrik.
Sayang sekali, tempat duduk penumpang hadapan hanya diberikan larasan manual. Tidak menjadi satu masalah, selesa juga bila duduk di sebelah pemandu.
Aspek NVH crossover ini juga sangat baik, di mana boleh dikatakan kurang gegaran, bunyi bising angin dan ‘nyanyian’ tayar yang terhasil menderu masuk ke dalam ruang kabin.
Bohonglah kalau kami katakan bunyi enjin tidak kedengaran, ia masih lagi wujud, cuma runut yang lebih agresif hanya akan terhasil saat pedal pendikit dipijak rapat ke lantai. Itu pun tidaklah sebising yang disangka.
5. Lexus LBX, sesuai untuk siapa?
Satu perkara yang membuatkan LBX kurang sesuai untuk kegunaan seisi keluarga ialah tempat duduk belakang yang agak sempit.
Keadaan ini mungkin disumbangkan oleh struktur tempat duduk hadapan itu sendiri yang agak berisi, di mana ruang kaki penumpang belakang yang terhasil itu lebih terhad.
Mungkin sekali sesuai untuk kanak-kanak kecil, atau orang dewasa yang memiliki fizikal remaja belasan tahun.
Bahagian kargo pula menyediakan ruang sebesar 315 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan keperluan harian.
Jadi, kalau LBX ini tidak sesuai untuk kegunaan keluarga, siapa yang lebih sesuai?
Bagi kami, ia mungkin sekali boleh dipertimbangkan sebagai kereta kedua yang digunakan khusus untuk kegunaan dalam bandar oleh golongan yang tidak mementingkan ruang, atau diberikan kepada anak-anak dan isteri muda yang baru mula belajar memandu.
Fizikalnya yang kecil, selain mudah untuk dipandu menjadikan Lexus LBX salah sebuah kereta mewah yang patut diberikan peluang.
Di penghujung hari, tidak semua orang mahukan kereta spesifikasi mewah bersaiz besar, bukan?
Untuk pasaran Malaysia, Lexus LBX dijual pada harga bermula dari RM238,888, dan boleh didapati dalam dua varian, iaitu Premium dan Luxury.
Honda Amerika Syarikat telah mengemaskini penawaran bagi varian Civic Si 2025, menampilkan beberapa perubahan bersifat kosmetik, casis yang lebih sporti dan paling penting, mengekalkan penawaran transmisi manual!
Ia mungkin sekali boleh disifatkan sebagai alternatif kepada Civic Type R yang lebih mampu milik, namun sayang sekali harga jualan Civic Si meningkat sebanyak $850 (RM3,972) kepada $29,950 (RM140 ribu).
Dari segi kuasa, Civic Si 2025 masih lagi mengekalkan nadi empat silinder sebaris 1.5 liter menghasilkan kuasa sekitar 200 hp dan 260 Nm, memacu roda hadapan seperti biasa.
Apa yang pasti, aspek pengendalian jentera ‘Civic Type R murah’ ini telah dipertingkatkan, di mana ia kini mendapat casis yang lebih tegar termasuklah tiang B dan sokongan ambang pintu baharu.
Komponen peredam suspensi juga telah ditentukur semula, di mana Honda menjanjikan peningkatan dari segi kekakuan kilasan dan lenturan.
Bagi mereka yang mahukan lebih keseronokan pemanduan, Honda turut menambah baik fungsi rev-match terutama apabila menukar gear dua kepada gear satu.
Dari segi kosmetik, apa yang dibawakan pada Civic Si 2025 adalah sama saja dengan Civic 2025 facelift sedia ada.
Cuma, Civic Si 2025 telah diberikan set rim rekaan jejari berkembar berwarna hitam kusam yang lebih sporti.
Ruang kabin juga turut mendapat skrin paparan infohibur sebesar 9 inci yang kini menyokong Google Assistant, selain sokongan sambungan peranti pintar Apple CarPlay dan Android Auto secara standard.
Untuk skrin kluster digital 10.2 inci, terdapat grafik eksklusif untuk model Civic Si tersedia termasuklah takometer digital, lampu indikasi penukaran gear, tolok boost, serta meter daya G.
Akhir sekali, Civic Si 2025 dilengkapi dengan sepasang tempat duduk sports yang memegang erat pemandu dan penumpang hadapan, selain fungsi pemanas terbina secara standard.
Berita kurang enaknya sejak diperkenalkan pada tahun 1984, varian sporti Honda Civic Si hanya menjadi model eksklusif untuk beberapa pasaran tertentu seperti Amerika Syarikat (dan Jepun untuk beberapa ketika), tidak seperti hot hatch Civic Type R yang lebih meluas pasarannya.
Ucapkan selamat datang kepada Lexus LBX 2024, sebuah SUV kompak yang baharu sahaja dilancarkan untuk pasaran Malaysia.
Lexus LBX (Lexus Breakthrough X-over) diposisikan sebagai kenderaan Lexus aras mula yang direka untuk golongan yang lebih muda, serta mereka yang mahukan sebuah kenderaan yang dapat memenuhi keperluan gaya hidup aktif.
Ia merupakan kenderaan Lexus pertama yang dibina berdasarkan platform global TNGA-B, bermakna ia berkongsi pelantar yang sama dengan model Yaris Cross pasaran Eropah.
Lexus LBX direka berdasarkan pendekatan Lexus Next Chapter Design di mana ia masih lagi mengekalkan identiti signatur Lexus namun dengan karakter yang lebih kasual dan relaks.
Di bahagian hadapan, Lexus LBX menampilkan struktur jeriji spindle tanpa rangka yang lebih aerodinamik, serta unit lampu projektor tunggal dengan fungsi Auto High Beam yang mengintegrasikan lampu membelok berserta lampu nyalaan siang DRL LED.
Penampilan gagah LBX turut disumbangkan oleh struktur bahu yang lebar, diikuti dengan rekaan lampu belakang yang lebih kemas dihubungkan dengan bar LED yang nipis.
Untuk pasaran Malaysia, Lexus LBX hanya ditawarkan dengan nadi hibrid elektrik 1.5 liter (kod M15A-FXE), menghasilkan kuasa setinggi 136 hp dan 185 Nm yang dipadankan dengan eCVT lapan nisbah kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sekitar 9.2 saat.
Ruang kabin Lexus LBX turut menerapkan pendekatan konsep Tazuna di mana susun atur papan pemuka telah diringkaskan serta butang kawalan telah diposisikan di sekitar pemandu bagi mewujudkan ruang yang lebih fokus terhadap pemanduan.
Antara kelengkapan yang wujud termasuklah skrin kluster digital sebesar 12.3 inci (7 inci untuk model Premium), skrin tengah sebesar 9.8 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio Mark Levinson Premium Surround Sound dengan 13 pembesar suara (6 unit untuk LBX Premium).
Lexus LBX turut menerima manfaat keselamatan yang menyeluruh, terima kasih kepada kelengkapan Lexus Safety System+ yang merangkumi Amaran Pra-Pelanggaran, Kawalan Jelajauh Dinamik Radar, Bantuan Pengesanan Lorong, Bantuan Pengekalan Lorong, Bantuan Papan Tanda Jalan.
Selain itu, Lexus LBX didatangkan standard dengan sistem bukaan pintu e-latch untuk keempat-empat pintu yang dipadankan dengan sistem keselamatan Safe Exit Assist, Lexus Teammate Advanced Park, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Sistem Pemantauan Titik Buta.
Terdapat dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Premium dan Luxury, dengan harga jualan bermula dari RM238,888 hingga RM268,888.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengambil tindakan terhadap sebuah stesen minyak dipercayai menjual minyak RON95 kepada kenderaan bernombor asing susulan video berkaitan insiden itu tular di media sosial, lapor Sinar Harian.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md Anuar berkata, pihaknya telah melakukan siasatan dan pemeriksaan di stesen minyak berkenaan pada jam 5.30 petang, Ahad.
“Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada jam 5.11 petang, Jumaat, pemeriksaan dan semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu mendapati sebuah kereta Honda warna hitam disyaki bernombor pendaftaran asing tengah membuat pengisian minyak RON95,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Nurul Syarina berkata, pemilik kenderaan berkenaan membuat pembayaran secara tunai sebanyak RM100 serta telah membuat pengisian petrol RON95 sebanyak RM45.
“Pemilik kenderaan tersebut telah masuk semula ke dalam stesen minyak dan mengambil baki wang dari juruwang yang bertugas ketika kejadian,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, pembantu pam yang bertugas dan juruwang di kaunter bayaran dilihat tidak memberikan sebarang teguran atau amaran kepada pemilik kenderaan berkenaan.
“Sehubungan itu, stesen minyak berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana melanggar Arahan Pengawal Bekalan iaitu menjual petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing seperti peruntukan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Pihak KPDN telah menyita resit bayaran, rakaman CCTV ketika kejadian dan dokumen-dokumen perniagaan bagi membantu siasatan kes.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku stesen minyak atau isu yang berkaitan supaya membuat aduan atau menyalurkan maklumat segera kepada pihak KPDN.
“Kami mohon agar perakam video itu tampil bagi membantu siasatan serta melengkapkan siasatan kes,” ujarnya.
Lotus Cars Malaysia mengumumkan ketibaan sebuah lagi model kenderaan elektrik iaitu Lotus Emeya ke pasaran Malaysia.
Jentera Hyper-GT (grand tourer) berkuasa elektrik itu bakal dilancarkan dalam masa terdekat, namun pelanggan yang berminat boleh mendaftar sesi pratonton eksklusif bertempat di Pavillion Kuala Lumpur bermula 30 Julai hingga 4 Ogos menerusi pautan INI.
Lotus Emeya merupakan antara GT empat pintu yang paling berkuasa dalam dunia.
Dengan spesifikasi dua motor elektrik, ia berupaya menjana kuasa sehingga 905 hp dan 985 Nm yang dipadankan dengan transmisi dua nisbah kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.78 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi melebihi 250 km/j.
Lotus Emeya menampilkan pelbagai ciri aerodinamik aktif termaju, seperti contoh struktur jeriji hadapan aktif yang pertama kali diperlihatkan pada model SUV hiper Eletre.
Struktur jeriji hadapan itu direka untuk mengurangkan kesan seretan dan menambah tahap kecekapan kereta apabila ditutup, namun boleh digunakan untuk tujuan penyejukan bateri dan sistem brek apabila ia dibuka.
Selain itu, terdapat juga ‘active air dam‘ yang mampu meningkatkan daya mendap pada kelajuan tinggi untuk menambah baik aspek pengendalian dan kestabilan, peredam belakang aktif yang diinspirasikan daripada sukan permotoran, serta spoiler belakang aktif dua lapis yang mampu menjana daya mendap lebih 215 kg.
Pek bateri Lotus Emeya mampu menawarkan jarak gerak antara 490 km hingga 600 km bergantung kepada varian, selain menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW.
Ini bermakna, pemilik boleh menambah jarak gerak sejauh 150 km dalam tempoh masa lima minit, atau pengecasan 10-80 peratus dalam tempoh 18 minit sahaja.
Lotus Emeya turut mempunyai pelbagai kelengkapan ADAS termasuklah amaran keluar lorong, amaran pelanggaran hadapan, dan sistem pemantauan titik buta, di mana segala data penting boleh dipaparkan menerusi skrin head-up realiti terimbuh (AR) sebesar 55 inci.
Pelanggan yang berminat boleh membuat bayaran tempahan sebanyak RM5,000 dan sebarang pertanyaan boleh diajukan ke Lotus Cars Malaysia di talian 016-611 2388.
Pengilang komponen Kelengkapan Asli Pengeluar (OEM) MCE Holdings Berhad dan syarikat subsidiarinya mengumumkan perolehan kontrak bernilai RM19.6 juta daripada Perodua untuk membekalkan pelbagai komponen elektronik dan mekatronik untuk model EV pertama Perodua.
Antaranya ialah unit paparan multimedia, panel kluster instrumen, sistem bantuan pemandu termaju, suis fungsi, sistem pencahayaan dalaman dan pelbagai lagi.
Menurut MCE, kontrak selama tiga tahun itu akan bermula pada suku kedua tahun kewangan syarikat tersebut yang akan berakhir pada 31 Julai 2026.
Ini adalah bertepatan dengan laporan terdahulu di mana Perodua merancang untuk memulakan produksi model EV pertama lewat tahun 2025.
Bertempat di Malaysia Autoshow 2024 beberapa bulan lepas, Perodua telah memperlihatkan model konsep yang dinamakan sebagai emo-1.
Mengikut spesifikasi, emo-1 dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa 68 PS dan 220 Nm, dipadankan dengan pek bateri 55.7 kWh yang membenarkan jarak gerak sejauh 350 km untuk sekali cas penuh.
EV ini juga turut menyokong pengecasan AC 11 kW, atau pengecasan pantas DC sehingga 50 kW.
Perodua juga sebelum ini turut mengumumkan projek EV pertama ini dilakukan dengan kerjasama daripada tiga universiti tempatan, iaitu Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sementara pembangunan teknologi penukaran kuasa pula dilakukan bersama rakan teknikal dari Australia yang masih lagi belum didedahkan identitinya.
Difahamkan, harga jualan EV Perodua ini akan berada dalam julat RM50,000 hingga RM100,000.
Lotus Cars Malaysia baru-baru ini memperkenalkan semula varian asas Lotus Eletre 2024 sebagai pelengkap kepada penawaran varian Eletre S dan Eletre R sedia ada.
Penghantaran pertama dijadualkan bermula seawal bulan Oktober ini, dengan harga jualan meningkat kepada RM598,800 berbanding harga asal RM578 ribu sewaktu pelancaran pada April 2023.
Lotus Eletre 2024 versi asas ini mengekalkan spesifikasi dua motor elektrik berkuasa 603 hp dan 710 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD).
Pecutan 0-100 km/j memakan masa 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 245 km/j.
Pek bateri berkapasiti 112 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 600 km (mengikut data WLTP), selain menyokong pengecasan pantas 350 kW di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam tempoh 20 minit sahaja.
Membezakan antara Eletre varian asas dengan varian Eletre S dan Eletre R ialah padanan rim aloi aerodinamik lima jejari berukuran 20 inci diikuti dengan sistem brek empat omboh.
Pembeli boleh menaik taraf sistem brek enam omboh berserta rim bersaiz 22 inci dengan tambahan RM30,000.
Antara opsyen lain termasuklah kamera sisi serta spoiler belakang aktif yang dapat meningkatkan lagi jarak pemanduan Eletre.
Secara standard, Lotus Eletre dibekalkan dengan ciri keselamatan ADAS termasuklah kawalan jelajah adaptif pintar (ACC), sistem pemantauan pemandu, amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran lintasan trafik hadapan (FCTA), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, sistem pemantauan titik buta, serta bantuan parkir.
Terdapat sehingga lima mod pemanduan disertakan, iaitu Range, Tour, Sport, Off-Road, dan Individual (tambahan Track untuk Eletre R), dibantu dengan kawalan casis dinamik pintar Lotus.
Lotus Eletre turut didatangkan dengan sistem audio premium KEF 1,380 watt yang diiringi 15 unit pembesar suara, teknologi Uni-Q™ dan kawalan bunyi tiga dimensi.
Untuk pasaran Malaysia, pembeli boleh memilih dua warna baharu iaitu Akoya White serta Cinnabar Red, serta warna lain termasuklah Kaimu Grey, Solar Yellow, Natron Red, Galloway Green, Stellar Black dan Blossom Grey.
Setiap Eletre dilindungi jaminan pengeluar selama lima tahun/jarak perbatuan 150,000 km serta jaminan bateri selama lapan tahun atau perbatuan sehingga 200,000 km.
September 2021, Genesis merupakan antara pengeluar yang mengumumkan pelan elektrifikasi di mana setiap model baharu akan mendapat versi elektrik penuh bermula tahun 2025.
Namun disebabkan oleh permintaan terhadap EV yang semakin lemah, pengeluar automotif Korea Selatan itu telah melakukan semakan semula terhadap perancangan tersebut di mana strategi mereka kini adalah untuk melancarkan sebanyak mungkin model kenderaan berenjin hibrid.
Dalam satu temu bual oleh Top Gear, bos global Genesis Mike Song memberitahu, “ramai pelanggan kini mahukan (kenderaan) hibrid lebih daripada EV”.
Ujarnya lagi, “elektrifikasi masih lagi menjadi visi kami. Kami akan mempunyai 100 peratus kenderaan berelektrik, namun disebabkan pasaran dan pelanggan yang mahukan hibrid lebih daripada EV, jadi kami akan membawakan lebih banyak model hibrid Genesis secepat mungkin.
Sementara itu, ketua unit pembangunan kenderaan Tyrone Johnson menambah, “kami sentiasa menilai semula apa yang kami lakukan, dan kadangkala anda perlu melakukan sedikit pelarasan.”
“Seperti yang diperkatakan oleh Mike, strategi EV masih lagi kekal kukuh, namun anda tidak seharusnya berkeras dengan perkara tertentu apabila keadaan berubah, anda perlu bertindak balas dan itulah yang seharusnya berlaku,” tambahnya lagi.
Dalam temubual tersebut, Mike Song tidak mendedahkan perincian jenis rangkaian kuasa hibrid manakah yang akan digunakan pada kenderaan Genesis.
Namun yang pasti, pada masa hadapan para pelanggan Genesis akan disajikan dengan lebih banyak pilihan kenderaan hibrid untuk disesuaikan dengan kegunaan masing-masing, dan tidak terhad kepada model elektrik bateri (BEV) semata-mata.