Nissan hanya mampu bertahan 12-14 bulan sahaja, eksekutif beri amaran


Syarikat pengeluar automotif Jepun Nissan Motor Co kini perlu berusaha untuk mencari pelabur jangka panjang bagi menstabilkan semula operasinya ditengah-tengah penstruktruran dan jualan yang merudum.
Menurut laporan terbaharu daripada The Financial Times, sekurang-kurangnya dua pegawai eksekutif Nissan yang tidak dinamakan itu mengesahkan jenama itu sedang mencari pelabur baharu.
Nissan menyasarkan pelabur institusi seperti syarikat perbankan atau insurans untuk menggantikan sebahagian daripada pegangan Renault.
Sumber tersebut turut memberitahu di mana syarikat itu mungkin mempunyai tempoh masa 12 atau 14 bulan sahaja untuk bertahan.
Nissan sebelum ini diselamatkan daripada kebankrapan pada tahun 1999 oleh Nissan, di mana sebanyak 36.8 peratus pegangan dibeli oleh Renault.
Pada tahun 2002, Nissan memperoleh 15 peratus pegangan di dalam Renault, dan Renault pula meningkatkan saham dalam Nissan kepada 43 peratus.
Namun pada tahun 2023, Renault mengurangkan sahamnya di dalam Nissan kepada 15 peratus, selari dengan apa yang dikuasai oleh Nissan di dalam Renault.
Beberapa bulan kebelakangan ini, Nissan (dan Mitsubishi) dilapor meneroka kerjasama dengan Honda untuk membangunkan kenderaan elektrik (EV) dan perisian teknologi sebagai satu cara berdepan dengan persaingan daripada syarikat China.
Kerjasama itu diumumkan secara rasmi pada bulan Ogos lalu, namun perkembangan tersebut dilihat tidak dapat diterima dengan baik oleh bekas CEO Nissan, Carlos Ghosn yang menyifatkan gabungan tersebut sebagai pengambilalihan yang disamarkan.
“Saya tidak dapat membayangkan satu ketika bagaimana kerjasama antara Honda dan Nissan terjadi, melainkan ia sebuah pengambilalihan oleh Honda terhadap Nissan dan Mitsubishi.
“Ia akan menjadi satu pengambilalihan, pengambilalihan yang disamarkan.”

Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.