Arkib Kategori: VIRAL

Pokok tumbang di Jalan Tun Ismail libatkan hampir 10 kenderaan, seorang maut dan seorang cedera

SEORANG maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah hotel.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian jam 2:19 petang.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, M Fatta M Amin berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

Beliau berkata, tiga jentera bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Jalan Tun Razak dan Sentul turut dihantar ke lokasi membabitkan kekuatan keseluruhan seramai 27 pegawai serta anggota.

“Sebaik tiba di lokasi mendapati terdapat pokok besar tumbang di atas jalan raya dan sebanyak 17 kenderaan terbabit.

“Landasan monorel di sebelah atas turut dihalang dengan dahan pokok dan beberapa fasiliti awam termasuk perhentian bas rosak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi menyelamat segera dijalankan dan dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota.

“Mangsa pertama seorang lelaki berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan manakala mangsa kedua lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan,” katanya.

Berdasarkan beberapa video yang tular, pokok menghempap hampir 10 kenderaan sehingga menyebabkan remuk teruk.

Chery Malaysia umum kempen recall, libatkan 600 unit Omoda 5

Chery Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan kempen panggil semula (recall) melibatkan sebanyak 600 unit SUV Omoda 5 untuk proses pemeriksaan dan menggantikan komponen gandar rasuk belakang.

Menurut kenyataan yang baharu sahaja dikeluarkan, Chery Malaysia mengenalpasti kes yang tular di laman sosial Facebook sebagai kes terpencil.

Sebagai usaha untuk mempamerkan ketelusan dan tanggungjawab sebagai pengeluar, Chery Malaysia turut menghubungi vendor alat ganti untuk menjalankan analisis terperinci terhadap komponen yang dihasilkan.

 

Difahamkan, sebanyak 600 unit Omoda 5 mungkin berpotensi terjejas akibat kerja-kerja naiktaraf yang dijalankan di fasiliti kemudahan vendor yang menghasilkan komponen gandar rasuk belakang tersebut.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Chery Malaysia akan menghubungi pelanggan yang terjejas berdasarkan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) yang terjejas untuk pemeriksaan terperinci.

Proses penggantian komponen tersebut akan mengambil masa kira-kira dua jam, dan tiada sebarang bayaran akan dikenakan kepada pemilik.

Untuk ketenangan minda, para pemilik Omoda 5 yang tidak tertakluk di bawah kempen panggil semula terbaharu ini juga boleh menghubungi pihak Chery Malaysia (+603-2771 7070) bagi membolehkan kenderaan mereka diperiksa dengan terperinci.

 

Chery keluar kenyataan berhubung isu gandar belakang Omoda 5 patah

BARU-baru ini tular di media sosial satu hantaran yang dibuat oleh seorang pemilik Chery Omoda 5 yang mengatakan gandar belakang SUV miliknya itu patah ketika sedang bergerak.

Susulan itu, Chery Auto Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu tersebut. Menurut syarikat itu, pemilik Omoda 5 tersebut sudah dihubungi dan kenderaannya sudah pun dibawa ke pusat servis Chery untuk pemeriksaan dan penyiasatan menyeluruh.

“Sebagai langkah proaktif dan selaras dengan protokol keselamatan kami, Chery Auto Malaysia kini sedang menghubungi pelanggan-pelanggan yang terbabit. Bagi memberi ketenangan minda, para pelanggan yang khuatir boleh menempah temu janji di pusat servis terdekat untuk pemeriksaan rapi. Pelanggan bagi semua kenderaan yang diperiksa akan menerima laporan penuh,” kata syarikat itu.

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih, khasnya buat pelanggan dan para pengikut kami atas kesabaran anda. Kami komited terhadap ketelusan dan menjamin dedikasi kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kualiti dan kepuasan,” tambahnya.

Sementara itu, pelanggan Chery dan Omoda yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Chery Malaysia di +603- 2771 7070.

Pada Sabtu lalu, individu bernama Stephanie mendakwa gandar belakang Omoda 5 miliknya patah ketika sedang memandu. Menurutnya, jalan yang dilalui ketika itu tidak mempunyai sebarang bonggol dan lubang, malah keretanya itu juga tidak pernah terlibat dalam sebarang kemalangan.

Dia juga mendakwa bahawa bahagian yang patah itu hanya mempunyai dua titik kimpalan serta kesan karat.

Ferrari F40 ranap dalam kemalangan di Stuttgart

DALAM tempoh lima tahun iaitu dari 1987 hingga 1992, hanya sebanyak 1,315 unit Ferrari F40 yang keluar dari kilang penghasilan syarikat itu di Maranello, Itali.

Berapa banyak F40 yang masih wujud tidak diketahui namun jumlah supercar itu semakin berkurang selepas sebuah lagi remuk selepas merempuh dinding terowong di Jerman.

Menurut laporan, F40 berkenaan dipandu oleh seorang pekerja pengedar kenderaan mewah Mechatronik yang sedang dalam perjalanan ke acara Motorworld di Böblingen.

Kira-kira 18 km dari destinasi, pemandu berusia 24 tahun itu dikatakan hilang kawalan ketika memandu di dalam terowong Engelberg di Stuttgart.

Seorang jurucakap polis memberitahu akhbar tempatan Bild, buat masa ini tidak diketahui sama ada kemalangan tersebut disebabkan oleh kerosakan teknikal atau kelajuan berlebihan.

Pemandu tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan itu namun egonya sudah tentu tercalar. Dia juga mungkin tidak bekerja di situ lagi.

Ini kerana dia telah meranapkan salah satu kereta Ferrari paling ikonik pernah dihasilkan. Sebelum kejadian ini, F40 berkenaan diiklankan dalam laman web Mechatronik dengan harga $3.2 juta (RM15.3 juta).

F40 dikuasakan oleh enjin 2.9-liter twin-turbo V8 yang menghamburkan 471 hp ke roda belakang menerusi transmisi manual lima kelajuan.

Lupakan tentang sistem bantuan pemandu kereta ini memang ‘kosong’. Radio, karpet dan pendingin hawa pun tak ada, apatah lagi sistem elektronik canggih yang dapat menyelamatkan pemandu dari kesilapan mereka sendiri.

Namun itulah tarikan F40 yang membuatkan ramai tergila-gila sehingga ke hari ini.

Kedai kereta terpakai cuba kenakan caj keuntungan 12%

SEORANG pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati apabila seorang jurujual dari sebuah pengedar kereta terpakai cuba mengenakan profit charge atau caj keuntungan 12% ke atas sebuah BMW 118i 2018 yang hendak dibeli.

Dalam satu hantaran di Facebook, individu tersebut menjelaskan dia memilih kedai tersebut kerana harga yang ditawarkan lebih murah berbanding kedai lain untuk model dan tahun yang sama.

Bagaimanapun, dia terkejut apabila kiraan yang dibuat oleh jurujual berkenaan menunjukkan terdapat caj keuntungan 12% yang dikenakan ke atas harga jualan 118i itu.

“Terkejut kami bila nmpak ada Profit Charge 12%. Nak dekat 10K weh,” tulisnya.

Apabila ditanya mengenai hal itu, jurujual tersebut berkata caj keuntungan itu adalah untuk syarikat dan caj yang sama akan dikenakan kepada kereta-kereta lain.

“Dia tanya nak proceed ke tak. Kalau nak dia suruh submit dokumen nak masuk loan. Kau rasa? Memangg tak la kannnn,” katanya.

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang rata-rata mengatakan bahawa itu merupakan salah satu taktik licik peniaga untuk mendapatkan keuntungan berlebihan.

“Ini salah satu helah penjual kereta. Sebab tu dia boleh letak harga rendah. Lepastu dia charge dalam processing fee atau dia tambah profit charge 12%. Pandai dia orang sebab kebanyakan orang ambil loan jer kalau boleh 90-100%,” kata Derek Alan De Souza.

Seorang lagi netizen, Tuan Azuan Jaffar menasihatkan individu tersebut supaya tidak membeli kereta berkenaan kerana terdapat kemungkinan perbatuannya juga telah diubah.

Profit kedai sepatutnya dah disertakan dalam body price,” tulisnya.

Sementara itu, Awan Nano berkata mengikut pengalamannya, profit charge biasanya akan masuk ke poket sendiri.

“Ibarat duit suap untuk lepaskan semua loan atau sebagainya, perkara ni boleh diambil tindakan sebenarnya pergi buat report,” katanya.

Proton S70 Flagship X alami 73 masalah sehari selepas dibeli

NASIB malang menimpa seorang pemilik Proton S70 apabila kereta baharunya itu didakwa mengalami sebanyak 73 masalah walaupun baru sahaja dibeli.

Dalam satu hantaran di laman Proton S70 Malaysian Community (MYS70COM), Ku Azhar berkata beliau menerima S70 Flagship X berwarna Space Grey pada 2 Februari 2024 namun kereta itu dikatakan mengalami masalah pada keesokan harinya (3 Februari) dengan perbatuan hanya 300 km.

Beliau menghantar keretanya ke pusat servis pada 5 Februari dan terpaksa meninggalkannya selama 15 hari. Jelas beliau, kereta itu turut dihantar ke ibu pejabat Proton selama sehari dan ke kilang Proton di Tanjung Malim selama 15 hari.

Katanya lagi, sebanyak 33 masalah dikenal pasti ketika S70 itu dihantar ke Tanjung Malim dan setakat 17 Mac, sebanyak 69 masalah telah dikesan.

Ku Azhar berkata jumlah masalah terkini adalah 73 dan setakat hantaran itu dibuat, terdapat 54 masalah yang belum dapat diselesaikan.

Berikut adalah antara masalah yang dialami oleh S70 Flagship X milik Ku Azhar:

  1. Stereng rack/absorber berbunyi
  2. Enjin terlalu bergegar (disahkan oleh SC, tidak normal berbanding S70 lain, bergegar selepas dipulangkan oleh Proton Tanjung Malim)
  3. AEB tiba-tiba membrek semasa mengambil selekoh – penjelasan pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) pemilik yang tekan brek sebab sistem tidak log sebarang info dalam EDR.
  4. IHU tergendala, tidak dapat tukar mod/buat apa-apa di screen
  5. Brake pad berbunyi nyaring: Proton Tanjung Malim dah tukar brake pad dan brake disc disebabkan ada kesan overheat spot.
  6. Air-cond bunyi bubbling kuat : Proton Tanjung Malim dah tukar o-ring, piping, condensor dan tambah coolant tangki simpanan sampai maksimum
  7. Bunyi knocking kuat setiap kali compressor mula jalan
  8. Gear rendah mula-mula jalan bunyi sangat kuat berbanding dengan S70 yang dipandu uji – disahkan oleh SC, pinjam unit pandu uji untuk buat perbandingan.
  9. Powertrain missing next service mileage semasa di Proton Tanjung Malim, perbatuan tidak berjalan tapi next service mileage tinggal 776 km – HQ suruh ke SC buat service 10,000 km pada perbatuan 9,400 km dengan kos tanggungan pemilik sendiri untuk mengelakkan masalah waranti kemudian hari.
  10. Kereta susah hidup, remote start pun tak boleh. Tiada maklumbalas daripada pihak HQ/SC bila dalam keadaan kecemasan tersadai di R&R.
  11. Gear auto-hold tak engage walaupun dah tekan brek dan berhenti, kereta masih bergerak ke depan, simbol P hijau tidak menyala.

Bukan itu sahaja, beliau berkata keretanya juga masalah kosmetik luaran dan dalaman yang rosak dan tidak dipasang dengan betul selepas dipulangkan dari Proton Tanjung Malim.

Antaranya termasuk kesan batu atau stone chip pada bahagian bampar dan hud, dan kesan calar pada papan pemuka. Malah, beliau mendakwa terdapat kesan tapak kasut pada tempat duduk belakang.

Kata Ku Azhar lagi, perjumpaan terakhir dengan CRM adalah pada 18 Mac lalu di Proton Centre of Excellence (COE) di Shah Alam.

“Rancangan untuk rektifikasi adalah pada minggu seterusnya tetapi telah ditunda ke tarikh 15 April 2024 atas sebab kereta ganti yang dijanjikan masih tidak tersedia,” tulisnya.

Katanya lagi, tarikh itu ditunda sekali lagi ke 16 April kerana PIC masih bercuti pada 15 April 2024. Buat sementara waktu, Proton sarankan pandu kereta dahulu sehingga rektifikasi dibuat.

“Kemampuan membeli Proton S70 ni bukan hanya kemampuan membayar ansuran bulanan, kesilapan saya tidak mengambil kira kemampuan dari segi masa untuk berulang alik ke SC. Ingatkan beli kereta kuranglah berkampung di bengkel,” tulis beliau.

Proton Waja terbalik selepas dihimpit Honda City, 2 cedera

DUA beranak cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas akibat dirempuh sebuah kenderaan lain dalam satu kejadian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata kejadian berlaku pada 10.15 pagi di KM49.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (menghala Kuala Lumpur).

Video berdurasi satu minit 41 saat yang tular di media sosial menunjukkan Proton Waja masuk ke lorong kanan dari lorong kiri.

Akibat tidak berpuas hati dengan tindakan Waja itu yang tidak memberi isyarat lebih awal, Honda City bertindak untuk mengekori rapat Waja tersebut.

Selepas kejar-mengejar dan himpit-menghimpit antara satu sama lain, pemandu Waja akhirnya hilang kawalan sebelum kenderaan itu terbabas dan terbalik di bahu jalan.

Pemandu Waja yang merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 56 tahun dan anak lelakinya yang berusia 25 tahun mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.

Ketika kejadian dua beranak itu dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Kedah, manakala pemandu City, lelaki warganegara tempatan berumur 34 tahun sedang menuju ke Shah Alam dari Temerloh.

“Sebelum kemalangan jalanraya berlaku kedua-dua kereta didapati telah memandu secara cuai, melulu serta menghimpit dan membuat provokasi kerana tidak berpuas hati dari pemanduan kereta masing-masing,” kata Zaiham.

Tambah Zaiahm, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Beliau turut mengingatkan semua pengguna jalanraya agar  memahami dan mengalamkan etika semasa memandu atau menunggang bagi mengurangkan kemalangan.

“Didik diri agar bertimbang rasa dan bertolak ansur ketika berada di atas jalanraya,” katanya.

Pemilik Omoda 5 dakwa brek gagal berfungsi, Chery Malaysia beri penjelasan

BARU-baru ini tular sebuah video di media sosial yang dirakam oleh seorang pemilik Chery Omoda 5 yang mendakwa brek keretanya tiba-tiba gagal berfungsi ketika sedang memandu di lebuh raya.

Dalam video berdurasi hampir dua minit itu, wanita bernama Jc Jess mendakwa isu berkenaan telah dibangkitkan kepada pusat servis namun ia tidak dapat diselesaikan.

Lebih malang lagi, pengadu memberitahu bahawa kereta miliknya itu baru berusia dua bulan.

Berikutan isu tersebut, Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang dalam satu kenyataan rasmi berkata pihaknya mengambil perkara itu dengan sangat serius.

“Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Kami telah berhubung dengan pelanggan yang terlibat sejak Sabtu (6 April 2024) untuk menangani kebimbangannya dan seterusnya sebuah kereta guna sementara telah ditawarkan kepadanya.

“Kami ingin menekankan bahawa Chery Malaysia komited untuk menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan diyakini, dan kami berazam untuk memastikan bahawa semua kenderaan kami memenuhi standard keselamatan yang tertinggi,” katanya.

Pelanggan Chery yang menghadapi sebarang masalah dengan kenderaan mereka digesa untuk menghubungi Chery Malaysia di talian +603 2771 7070 atau melalui emel di cherycareline@chery.my.

Polis kesan individu lawan arus di LTU Raub Bypass

Baru-baru ini, tular satu video yang memaparkan segelintir pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab memandu secara lawan arus di Lingkaran Tengah Utama (LTU) Raub Bypass.

Menurut laporan Sinar Harian, pihak polis kini sedang mengesan beberapa individu yang didapati membuat pusingan U secara haram bagi mengelak kesesakan lalu lintas di jalan tersebut.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, buat masa ini, pihaknya tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan pemilik kenderaan yang merakam video berkenaan.

“Walau bagaimanapun, selepas pemerhatian dari video tersebut, terdapat beberapa buah kenderaan yang dapat dikesan selepas melakukan pemeriksaan melalui aplikasi Mysikap JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) bagi membantu siasatan.

“Manakala semua kenderaan lain yang terlibat dalam video tersebut termasuk pemilik video sedang dikesan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelasnya lagi, tindakan pemandu-pemandu tersebut melakukan pusingan U secara haram adalah tidak mematuhi peraturan jalan raya, di mana perbuatan tersebut telah menyebabkan kegusaran dan boleh mengakibatkan kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.

Gagal kemuka maklumat pembaikan, pemilik bengkel didenda RM4,000

SEORANG pemilik bengkel kenderaan dikenakan hukuman denda oleh Mahkamah Majistret Bentong atas kesalahan gagal memberikan kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan yang akan dilakukan ke atas sebuah kenderaan kepada seorang pelanggan.

Menurut laporan Malaysia Gazette, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 7, Peraturan- Peraturan Perlindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002.

Tertuduh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 atau penjara dua minggu jika gagal membayarnya.

“Berdasarkan fakta kes, pasukan Pegawai Penguat kuasa KPDN Raub telah menjalankan siasatan aduan ke atas sebuah premis pada 18 Ogos 2022,” kata Pengarah KPDN Pahang, Jeslily Jamaludin.

Tambah beliau, pihak KPDN sebelum ini menerima aduan yang menyatakan premis tersebut gagal mengemukakan kenyataan bertulis berkaitan jenis dan kos pembaikan sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux sebelum kerja-kerja pembaikan.

Kejadian itu menyebabkan pemilik kenderaan tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan selepas kerja-kerja pembaikan dilakukan.

Jeslily dalam kenyataannya mengalu-alukan pengguna untuk sama-sama membantu menjadi mata dan telinga kementerian dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan oleh peniaga.

Pemilik Honda City kecewa, baru cecah 20,000 km sudah rosak, tak boleh tuntut waranti

Seorang pemuda dilapor sangat kecewa dengan layanan buruk yang diberikan oleh jenama terkenal di Malaysia.

Menurut laporan laman Sinar Harian, pemilik kereta jenis Honda City, Heinrich Tan mendakwa beliau diminta untuk menyelesaikan kos pembaikan kenderaan sebanyak RM13,000 dan tidak boleh membuat tuntutan waranti.

Pemilik tersebut turut berkongsi kronologi peristiwa yang berlaku kepada dirinya di laman Facebook peribadi, di mana beliau mula menghantar kereta tersebut ke Honda Ban Lee Heng Melaka untuk servis 20,000 km pada Januari lepas.

Malangnya, ketika dalam perjalanan pulang, beliau mendapati ikon suhu kenderaan berkelip, dan setelah melakukan pemeriksaan mendapati tangki radiator kering walaupun baharu sahaja siap menjalani servis.

Menurut Heinrich, beliau tidak dapat melakukan tuntutan waranti disebabkan enjin keretanya dikatakan ‘sudah rosak’ sejak Julai 2023 berdasarkan laporan yang dihantar oleh sebuah pusat servis rasmi Honda di Johor Bahru pada bulan yang sama.

Biarpun menggunakan perkhidmatan servis jenama tersebut, Heinrich mendakwa proses siasatan yang dilakukan terhadap keretanya amat melulu, ditambah pula dengan tindakan pihak Honda Malaysia yang mahu terus menutup kes tersebut.

Heinrich menjelaskan beliau terpaksa membayar sendiri kos pembaikan berjumlah RM7,961.45 selepas diskaun, dan keretanya dibenarkan keluar dari pusat servis selepas dua bulan lebih berlalu.

Jelas sekali pemilik ini berasa sangat kecewa dengan sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh pihak Honda Malaysia sepanjang mengendalikan kes kerosakan melibatkan kereta milik beliau.

Pada akhir hantaran, beliau turut berharap agar pihak Honda Malaysia dapat mengendalikan kes ini secara adil.

Youtuber beli Rolls-Royce Wraith Mansory milik Marcus Rashford

SEORANG Youtuber terkenal dari United Kingdom telah membeli Rolls-Royce Wraith milik penyerang Manchester United, Marcus Rashford yang rosak akibat kemalangan.

Kejadian itu berlaku pada September tahun lalu ketika Rashford keluar meninggalkan pusat latihan Carrington di Manchester selepas tamat perlawanan menentang Burnley.

Dia dikatakan melanggar sebuah lagi kereta yang dipandu oleh seorang wanita berusia 74 tahun sebelum merempuh tiang lampu berdekatan.

Rashford dan wanita itu tidak cedera namun kereta bernilai £700,000 (RM4.2 juta) itu mengalami kerosakan yang agak teruk.

Disebabkan kerosakan itu, Wraith itu dilelong dalam talian dan akhirnya dibeli oleh Mat Armstrong pada harga yang jauh lebih murah iaitu £184,000 (RM1.1 juta).

Perlu diingat yang ini bukan Wraith biasa-biasa – ia dikustom oleh Mansory dan didatangkan dengan komponen-komponen forged carbon dan pelbagai lagi ciri tambahan yang menjadikan ia lebih eksklusif.

Dalam satu video berdurasi lebih 30 minit, Armstrong memperincikan setiap kerosakan yang dialami oleh kereta tersebut.

Seperti yang boleh dilihat, keseluruhan bahagian hadapan termasuk gril, bampar, lampu dan fender hilang terus, manakala cermin sisi dan tingkap sebelah kiri pecah akibat perlanggaran itu.

Lebih teruk lagi, sistem suspensi sebelah kiri juga telah patah. Bahagian belakang kelihatan masih elok cuma sebahagian besar daripada bampar terkoyak dan but pula terkeluar sedikit.

Ketika kereta ini dibeli oleh Armstrong, ia mempunyai perbatuan yang sangat rendah iaitu sekitar 1,135 batu (1,827 km) sahaja.

Enjin 6.6-liter V12 itu pada mulanya gagal dihidupkan walaupun pengimbas menunjukkan yang ia tidak mempunyai sebarang kerosakan. Namun setelah beberapa kali mencuba, akhirnya enjin itu hidup semula.

Armstrong berkata misinya adalah untuk membaik pulih sepenuhnya Wraith itu supaya ia boleh dipandu semula. Walaupun enjin sudah boleh dihidupkan, dia masih lagi perlu mencari komponen dan alat ganti yang sesuai.

Bagi Rashford, kehilangan Wraith Mansory ini bukanlah suatu perkara yang besar kerana dia masih lagi mempunyai sekurang-kurangnya dua buah lagi Rolls-Royce dan beberapa kereta mewah lain termasuk sebuah McLaren 765LT dan Lamborghini Urus Performante.

Lelaki tunjuk hebat buat aksi drift dengan Toyota GR Supra ditahan

Tindakan seorang lelaki memandu secara berbahaya dengan melakukan aksi drift mengundang padah apabila kereta jenis Toyota GR Supra dipandunya merempuh kenderaan lain.

Malah, aksi lelaki berusia lingkungan 20-an itu tular di media sosial baru-baru ini dengan kejadian berlaku di Jalan Desa Botani 1, Taman Botani, Batu Pahat pada 21 Februari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata susulan itu polis menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan lelaki itu pada jam 1.15 tengahari.

Shahrulanuar berkata, penahan itu dibuat susulan aksi dilakukan suspek yang bekerja kilang, mula tular di Facebook jam 12 tengahari tadi.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) daerah Batu Pahat mengesan paparan video tular di Facebook menunjukkan rakaman kereta dipandu secara berbahaya sambil melakukan drift.

“Tindakan suspek menyebabkan keretanya dipandu merempuh pacuan empat roda yang diparkir di tempat kejadian.

“Bertindak atas maklumat serta hasil risikan lanjut, polis berjaya mengenal pasti pemandu dan kenderaan yang terbabit.

“Suspek ditahan dan saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah. Pada masa sama, kereta terbabit turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat esok untuk perintah reman.

Kenderaan rasmi ekori rapat ambulans, Nga Kor Ming sedia bayar kompaun

PADA 3 Februari lalu, tular gambar yang menunjukkan sebuah Toyota Vellfire yang dikatakan kenderaan rasmi seorang menteri mengekori rapat sebuah ambulans ketika kesesakan lalu lintas.

Berikutan kejadian itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah tampil memberi penjelasan menerusi satu hantaran di akaun rasmi Facebook beliau.

Menurut Nga, kejadian tersebut berlaku sewaktu beliau sedang dalam perjalanan untuk menghadiri program rasmi di Ipoh.

Beliau berkata pemandu beliau sedar bahawa terdapat sebuah ambulans swasta mengekori kenderaannya untuk ke lokasi kemalangan. Pemandunya telah memberi laluan kepada ambulans tersebut bagi memberi keutamaan kepada usaha penyelamatan.

“Memandangkan keadaan jalan raya yang sesak, pemandu saya terpaksa mengekori ambulan tersebut sementara mencari ruang untuk meneruskan perjalanan ke Ipoh setelah kereta ambulans sudah beredar,” tulisnya.

Nga menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk melanggar undang-undang dan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha penyelamatan sepertimana yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak yang berkuasa dan bersedia untuk membayar kompaun kesalahan bagi pemandu saya sekiranya beliau didapati bersalah,” katanya lagi.

Tesla Model 3 rempuh tembok, pemandu dakwa tak nampak jalan gelap

SEORANG pemandu Tesla Model 3 merempuh sebuah tembok dalam kejadian dipercayai berlaku di Serdang, Selangor.

Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang lelaki memuat naik beberapa gambar dan video yang menunjukkan dinding batu-bata kelihatan ‘berlubang’.

Lelaki itu mendakwa pemandu Tesla berkenaan merupakan pelanggan dari sebuah restoran di Kuala Lumpur.

Pemandu kereta elektrik (EV) itu mendakwa tidak nampak tembok itu disebabkan jalan gelap.

“Pelanggan itu datang dari restoran dan merempuh dinding batu-bata.

“Dia mendakwa jalan di situ terlalu gelap sehingga tidak melihat dinding di hadapan,” tulisnya dalam satu hantaran pada awal pagi semalam.

Mengulas lanjut, lelaki itu tampil menjelaskan berhubung persoalan ramai mengenai kewujudan tembok berkenaan di tengah jalan kawasan itu.

“Tembok itu sebenarnya sudah dibina hampir 10 tahun lalu ketika kawasan belum dimajukan sepenuhnya.

“Kewujudan tembok itu sudah dikemaskini dalam semua peta dalam talian. Pelik pelanggan tu tak nampak,” katanya.

Hantaran yang tular itu meraih perhatian netizen di semua platform media sosial.

“Tesla yang kemalangan, restoran yang dapat nama.”

“Dia nak pergi mana sebenarnya. Pakai waze salah ke?”

“Lain macam jalan tu tiba-tiba depan ada tembok,” antara komen warga maya.

Bagaimanapun tidak dipastikan punca sebenar kejadian dan tiada kenyataan rasmi daripada polis setakat ini.

19 topi keledar Shoei, Arai bernilai RM63,200 dicuri

SEORANG peniaga topi keledar berputih mata apabila 19 topi keledar jenama Arai dan Shoei bernilai RM63,200 lesap dicuri orang pada 29 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pemiliknya mendakwa telah keluar dari kediamannya di Taman Bukit Kuchai, Puchong pada jam 2 petang dalam keadaan pintu biliknya berkunci.

Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun menyedari kehilangan topi keledar itu selepas pulang ke bilik sewanya pada jam kira-kira 4.45 petang.

“Suspek disyaki masuk ke bilik mangsa melalui pintu pagar hadapan rumah yang tidak berkunci. Kemudian suspek dipercayai masuk melalui tingkap belakang bilik mangsa yang terletak di tingkat atas,” katanya.

Tambah beliau lagi, tempat kejadian adalah di sebuah rumah teres dua tingkat dan bilik mangsa berada di tingkat atas.

Siasatan awal mendapati mangsa menjalankan perniagaan menjual topi keledar jenama Arai dan Shoei sejak tahun 2011 di laman Facebook dan TikTok.

“Polis telah mengesan beberapa cap jari di lokasi kejadian dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti suspek terlibat untuk tindakan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sementara itu, kejadian itu turut dikongsikan di laman grup Facebook RXZ Members – Official yang memaparkan senarai jenis topi keledar yang hilang selain memohon jasa baik semua pihak untuk sebarkan berita ini agar barang terbabit dapat dipulangkan semula.

Pemandu Thailand tersangkut di jambatan gantung gara-gara GPS

GPS sepatutnya membantu pemandu tiba ke destinasi dengan lebih cepat namun kadang-kala teknologi itu tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan pengguna tersesat.

Itulah yang berlaku kepada seorang pemandu di Thailand baru-baru ini. Lebih malang lagi, wanita itu bukan sahaja tersesat malah keretanya tersangkut di sebuah jambatan gantung berketinggian 120 meter akibat mengikuti arahan GPS.

Menurut laman web Thaiger yang memetik laporan ThaiRath, kejadian berlaku pada 28 Januari lalu di Sungai Yom yang terletak di daerah Sung Men di Phrae.

Kereta jenis Honda City yang dipandu wanita malang itu tidak dapat bergerak selepas salah satu daripada tayar hadapannya tersangkut di celah kayu jambatan tersebut. Difahamkan kereta itu berada 15 meter dari hujung jambatan.

Wanita tersebut memberitahu pasukan penyelamat bahawa itu merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke kawasan tersebut untuk melawat rakan beliau yang tinggal di seberang sungai.

Beliau tidak tahu bahawa terdapat sebuah jambatan baru yang terletak 30 hingga 40 meter dari jambatan gantung itu.

Sebelum kejadian itu berlaku, wanita itu dikatakan sudah menyeberangi jambatan tersebut namun selepas menemui jalan mati, beliau mengambil keputusan untuk berpatah balik.

Malangnya, ketika itulah salah satu daripada lantai kayu jambatan tersebut patah sehingga menyebabkan tayar keretanya tersepit.

“Saya keluar untuk meminta bantuan penduduk tempatan. Saya bukan orang tempatan dan tidak tahu jalan di sini. Pada masa akan datang, saya berharap akan ada tanda amaran kepada pemandu supaya tidak menyeberangi jambatan,” katanya.

“Bayar kat balai RM300, sini RM100” – Polis siasat anggota tawar diskaun saman

POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung video tular yang memaparkan seorang anggota polis trafik mengambil RM100 daripada sepasang pelancong dari United Kingdom.

Dalam video yang dimuat naik di saluran YouTube ‘Tread the Globe’ itu, pasangan pelancong yang dikatakan memandu sebuah van telah ditahan oleh seorang anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Anggota polis trafik tersebut menjelaskan kepada pasangan terbabit bahawa mereka didapati memandu sekitar 80 km/j berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 km/j.

Apabila ditanya apa yang perlu dilakukan, polis berkenaan memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di lokasi itu.

Pasangan berkenaan kemudiannya menyerahkan wang tunai berjumlah RM100 kepada anggota polis tersebut.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum video yang tular itu dan sedang menjalankan siasatan terperinci.

Katanya lagi, pihak JSPT tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat. Azman turut menggesa pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan.

Menurut laman web Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), secara umumnya hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pencuri sanggup kopak fender Taycan, bawa lari lampu matriks LED

Kes kecurian komponen kereta bukanlah satu perkara yang asing.

Kebiasaannya, golongan pencuri ini akan menyasarkan komponen yang mudah untuk dibawa lari, seperti contoh set rim sport berharga puluhan ribu, spoiler, serta emblem yang berstatus ‘rare’.

Namun, kes yang berlaku di Düsseldorf, Jerman ini merupakan kes kecurian yang paling brutal pernah terjadi, di mana sebuah Porsche Taycacn Cross Turismo telah dikopak pada bahagian fender hadapan oleh pencuri semata-mata untuk membawa lari unit lampu matriks LED EV tersebut.

Kes kecurian ini mengakibatkan pemiliknya terpaksa menanggung kerugian bernilai lima angka.

Bergantung kepada spesifikasi, kos untuk sepasang unit lampu utama menelan belanja antara $2,829.43 hingga $3,602.11 (RM13,380-RM17,034), tidak termasuk kos penggantian modul dan motor kawalan untuk setiap unit lampu, dan juga kos penggantian fender bernilai $652.96 (RM3,088) setiap satu.

PDRM bakal terima 20 unit BMW R 1250 RT untuk iringi PM, TPM

Menerusi satu hantaran yang dikongsikan oleh laman Facebook Armorblaze, pihak Polis Diraja Malaysia nampaknya akan menerima 20 unit motosikal jenis BMW R 1250 RT baharu.

Menurut Armorblaze, motosikal-motosikal itu akan digunakan sebagai kenderaan pengiring Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Armorblaze merupakan sebuah pusat perincian (detailing) kenderaan dari Ampang yang ditanggungjawabkan untuk menghasilkan livery untuk projek tersebut.

Seperti yang boleh dilihat, kesemua unit R 1250 RT ini menampilkan tema warna biru-putih yang sinonim dengan PDRM serta set pelekat pemantul cahaya yang dihasilkan oleh pusat perincian tersebut.

Bukan itu sahaja, motosikal-motosikal ini juga kelihatan mempunyai lampu tambahan berwarna biru pada bahagian depan dan belakang.

R 1250 RT dikuasakan oleh enjin boxer dua silinder bersesaran 1,249 cc yang mampu menghasilkan 136 hp dan 143 Nm, membolehkan ia memecut melebihi kelajuan 200 km/j.

Antara ciri utama motosikal ini termasuklah sistem suspensi Telelever dan Paralever, sistem ABS Pro, Adaptive Cruise Control, Dynamic Traction Control, tiga mod tunggangan dan skrin TFT 10.25 inci.