fbpx

Tumpahan najis sebabkan kemalangan di lebuh raya, macam Final Destination tapi versi tahi

kemalangan i-95 connecticut
Foto oleh: Polis Connecticut

KEJADIAN yang berlaku di Lebuhraya Interstate 95 (I-95) di Bridgeport, Connecticut pada Isnin lalu ini tidak ubah seperti babak kemalangan ngeri dalam filem Final Destination 2. Bagaimanapun, bukan kayu balak yang jatuh ke atas jalan tetapi sisa najis manusia yang dibawa oleh sebuah trak!

Menurut Connecticut Post, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan tetapi tumpahan itu menyebabkan beberapa kemalangan kecil, memaksa pihak polis untuk menutup sebahagian daripada laluan itu selama kira-kira tiga jam.

Polis Connecticut mendapat panggilan mengenai sebuah trak yang “menumpahkan bahan yang tidak diketahui” pada jam 10.30 malam. Apabila sampai di tempat kejadian, mereka mendapati najis “berselerak” di atas jalan sekaligus menyebabkan ia menjadi licin.

Selepas jam 11 malam, seorang penunggang motosikal menjadi mangsa pertama apabila terjatuh sebaik sahaja melalui kawasan itu. Mangsa, seorang lelaki berusia 36 tahun, dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.

Tidak lama selepas itu, sebuah Toyota Avalon hilang kawalan dan berpusing sebelum melanggar penghadang konkrit. Ia diikuti dengan satu lagi kemalangan yang melibatkan sebuah Honda Civic dan sebuah Honda CR-V.

Namun ia tidak berakhir di situ. Pada 11.41 malam, sebuah traktor Freightliner yang menghampiri lokasi kejadian tergelincir dan melanggar sebuah lagi trak. Impak perlanggaran itu menyebabkan trak tersebut merempuh dua buah kenderaan peronda polis yang diparkir.

Polis berjaya menahan pemandu trak yang membawa muatan yang tumpah itu selepas dia diarahkan untuk berhenti oleh majikannya melalui panggilan telefon. Pemandu yang berusia 34 tahun itu ditahan atas tuduhan memandu secara melulu, membawa muatan secara berbahaya dan beberapa lagi tuduhan lain.

Dia kemudiannya dibebaskan dengan bon USD25,000 (RM113,575) dan dijadualkan menghadiri perbicaraan di mahkamah pada 8 Ogos.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved