fbpx

Cristiano Ronaldo dapat hadiah Rolls-Royce Dawn dari teman wanita

Cristiano Ronaldo Rolls-Royce Dawn 01

SELAIN kelincahan di atas padang, Cristiano Ronaldo juga terkenal dengan barisan kereta mewahnya yang terdiri daripada model-model termahal di pasaran seperti Bugatti Centodieci, Ferrari Monza SP1, Brabus G-Wagon dan McLaren Senna.

Kini, penyerang terbaru kelab Al-Nassr itu telah menambah sebuah lagi kereta mewah dalam koleksinya iaitu Rolls-Royce Dawn berwarna putih. Terdapat reben merah besar di atas bonetnya kerana kereta itu merupakan hadiah Hari Krismas daripada teman wanitanya, Georgina Rodriguez.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Georgina Rodríguez (@georginagio)

Detik-detik manis apabila Ronaldo menerima kejutan itu dimuat naik oleh Rodriguez ke akaun Instagramnya pada Disember tahun lalu. Rodriguez, yang pernah bekerja sebagai seorang jurujual di sebuah butik fesyen mewah, mempunyai 45.4 juta pengikut manakala Ronaldo mempunyai 541 juta pengikut.

Walaupun sudah memiliki beberapa buah Rolls-Royce seperti Phantom dan Cullinan, riak wajah Ronaldo menunjukkan yang beliau benar-benar gembira dengan pemberian Rodriguez. Pemberian itu dilihat tepat pada masanya memandangkan musim mencabar yang dihadapi oleh Ronaldo di kelab terdahulunya, Manchester United.

Setelah menghentam kelab dan pengurus pasukan, Erik Ten Hag dalam satu temu bual bersama Piers Morgan, penyerang berusia 37 tahun itu akhirnya meninggalkan The Red Devils. Dia kemudiannya menandatangani kontrak yang dilaporkan bernilai 200 juta euro bersama Al-Nassr.

Berbalik kepada Dawn, ia diperkenalkan buat pertama kali pada September 2015 sebagai pengganti kepada Phantom Drophead Coupe. Secara asasnya, Dawn adalah Wraith dalam versi convertible. Ia mempunyai bumbung soft top yang boleh dibuka atau ditutup dalam 20 saat.

Harga model ini bermula dari $356,500 namun kos akhir yang perlu dibayar sudah tentu berbeza-beza bagi setiap unit kerana Rolls-Royce menawarkan pelbagai jenis pilihan trim, kemasan, perincian dan warna yang membolehkan pelanggan memberikan sentuhan peribadi kepada kereta mereka.

Spesifikasi yang dipilih oleh Rodriguez tidak diketahui namun dalam video tersebut, Dawn pemberiannya itu didatangkan dengan bumbung hitam, kemasan perak pada bonet, patung ‘Spirit of Ecstasy’ berwarna emas dan upholsteri dua tona.

Prestasi convertible empat tempat duduk ini boleh diibaratkan sebagai Ronaldo 10 tahun yang lalu. Dengan ‘jantung’ 6.6-litre twin-turbo V12 yang menghasilkan 563 hp dan 780 Nm, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Pendek kata, ‘mainan’ terbaru ini sememangnya sepadan dengan status Ronaldo sebagai pemain bola sepak terhebat dunia. Cuma penulis tertanya-tanya, ia dibeli dengan duit Ronaldo atau Rodriguez?

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved