fbpx

8 traktor terpantas di dunia – Sembang Engear

8 traktor terpantas di dunia – featured image

Traktor secara amnya direka untuk menjalankan kerja-kerja berat dalam bidang agrikultur. Namun dengan peredaran zaman serta perkembangan teknologi, semakin lama semakin banyak pengeluar yang membangunkan traktor berkuasa tinggi yang boleh bergerak pada kelajuan yang mungkin tidak mampu dicapai pada zaman dahulu.

Berikut adalah lapan model traktor terpantas di dunia:

JCB Fastrac 8000

Traktor yang terpantas di dunia dihasilkan oleh pengeluar jentera berat dari Staffordshire, England iaitu JCB. Dikenali sebagai Fastrac 8000, ia dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 166.7km/j.

Tidak hairanlah kerana traktor ini dibangunkan dengan kerjasama pasukan Formula 1 Williams dan mempunyai ‘nadi’ berupa enjin diesel 7.2-liter enam silinder dengan dua pengecas turbo yang menjana 1,000hp.

The 8NCREDIBLE

Menurut pemandu NASCAR Jack Donohue, beliau terinspirasi dari David “Ab” Jenkins ketika membangunkan traktor ini. Pada 1935, Ab Jenkins yang merupakan seorang pelumba professional menarik perhatian dunia apabila beliau mencatat rekod kelajuan darat untuk traktor pada masa itu dengan kelajuan mencecah 109km/j.

Berbalik pada 8NCREDIBLE, ia dikuasakan oleh enjin Ford 8N V8 Flathead yang membolehkan jentera ini mencapai kelajuan kira-kira 154km/j. Apa yang menarik, ia menggunakan tayar pesawat dengan rating kelajuan yang tinggi.

Top Gear Track-tor

Siapa yang tidak kenal dengan Top Gear? Di samping kereta-kereta yang biasa kita lihat, siri televisyen berkonsepkan automotif itu kadang kala menampilkan rekaan-rekaan ‘gila’ seperti Track-tor ini.

Direka oleh hos Matt LeBlanc, Track-tor mempunyai enjin Chevrolet V8 bersesaran 5.7-liter yang menghasilkan 500 hp, sistem suspensi udara dan rim berukuran 50 inci. Pada Mac 2018, ia berjaya menempa namanya dalam Buku Rekod Guinness sebagai traktor terpantas dengan kelajuan maksimum 140km/j. Siapa lagi yang memandu kalau bukan The Stig.

Valtra T234

Valtra merupakan pengeluar jentera agrikultur yang berasal dari Finland namun produk-produknya juga popular di negara-negara Nordik yang lain serta Amerika Selatan. Model T234 adalah antara traktor yang terpantas di dunia, dengan rekod kelajuan 130km/j yang dicatat pada 2015 oleh juara empat kali WRC, Juha Kankkunen.

Dengan berat keseluruhan mencecah 7,300kg, ia sememangnya berat namun itu ternyata tidak menjadi penghalang dengan adanya enjin turbodiesel enam silinder yang menjana 247hp dan 1,000Nm.

Allis-Chalmers Model U

Dihasilkan pada 1932 oleh syarikat jentera berat dari Amerika Syariakt iaitu Allis-Chalmers, Model U mungkin model yang tertua dalam senarai ini namun kehebatannya tidak boleh dinafikan. Ini kerana ia pernah mencapai kelajuan kira-kira 109.2km/j dan berada di belakang stereng ketika itu adalah ketua bandar Salt Lake City, Utah yang juga merupakan pelumba professional, David “Ab” Jenkins.

Percaya atau tidak, rekod itu dipegang oleh Ab Jenkins selama 81 tahun.

JCB Fastrac 8330

Diperkenalkan pada 2021, Fastrac 8330 merupakan traktor terbesar yang dihasilkan oleh JCB setakat ini, namun ini tidak bermakna ia boleh dipandang rendah. Ini kerana ia mempunyai 348hp dan 1,440Nm yang dibekalkan oleh enjin 8.4-liter enam silinder. Dengan transmisi jenis CVT, kelajuan 70km/j boleh dicapai dengan mudah.

Ia juga antara model JCB yang cukup lengkap, hadir dengan fungsi Cruise Control yang ditambah baik, Hill-Hold dan juga ABS.

JCB Fastrac 8290

Satu lagi traktor keluaran JCB dalam senarai ini adalah Fastrac 8290. Traktor agrikultur ini tidak seperti traktor-traktor lain yang kebanyakannya mempunyai kelajuan maksimum sekitar 30 hingga 40km/j kerana ia mampu memecut sehingga 60km/j, angka yang cukup mengagumkan untuk sebuah jentera seberat 11,090kg.

Fendt 939 Vario

Satu-satunya model traktor yang dihasilkan oleh syarikat dari Jerman, Fendt 989 Vario mempunyai kelajuan maksimum sekitar 60km/j. Prestasi ini dicapai terima kasih kepada enjin diesel 9.0-liter enam silinder keluaran MAN yang menghasilkan 385hp. Kuasa disalurkan ke roda oleh transmisi jenis CVT menerusi sistem pacuan roda 4WD.

Lihatkan Ulasan (2)
  • I am sorting out relevant information about gate io recently, and I saw your article, and your creative ideas are of great help to me. However, I have doubts about some creative issues, can you answer them for me? I will continue to pay attention to your reply. Thanks.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved