fbpx

10 syarikat automotif yang buat produk selain kereta – Sembang Engear

10 syarikat automotif yang buat produk selain kereta – sembang engear

Secara umumnya, syarikat kenderaan diwujudkan untuk membangunkan, menghasilkan dan seterusnya menjual kenderaan. Sudah tentu, sebagai sebuah perniagaan, syarikat-syarikat ini perlu membuat keuntungan kerana tanpanya, mereka tidak boleh terus berkembang dan maju.

Sebab inilah ada di antara pengeluar yang mengambil keputusan untuk mempelbagaikan perniagaan mereka dengan menghasilkan produk-produk selain kereta atau motosikal. Berikut adalah 10 syarikat tersebut:

Honda – Pesawat jet

Honda merupakan pengeluar kereta dan motosikal yang terkemuka dunia namun tahukah anda bahawa syarikat itu juga membangunkan jet sejak 1980-an? Pada 1999, Honda Aircraft Company berjaya menyiapkan pembangunan Honda HA-420 HondaJet dan empat tahun kemudian, jet itu melakukan penerbangan pertamanya.

Dibangunkan sebagai jet peribadi untuk pemilik perniagaan, taikun dan sebagainya, HondaJet boleh memuatkan enam penumpang dan mencapai kelajuan 420knot (780km/j). Harganya dikatakan bermula dari $3.5 juta.

Chrysler – Roket

Pada masa kini, Chrysler mungkin lebih dikenali sebagai pengeluar kenderaan mewah namun pada era 50-an, syarikat itu memainkan peranan penting dalam membangunkan misil PGM-11 Redstone yang dikatakan misil pertama Amerika Syarikat yang membawa kepala peledak nuklear.

Ia bermula pada 1952 apabila presiden Chrysler dilantik sebagai ketua program misil oleh Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry S. Truman. Syarikat itu berjaya melengkapkan pembangunan misil tersebut pada 1958 dan misil tersebut digunakan oleh tentera sehingga 1964.

General Motors – Kereta api

General Motors (GM) diwujudkan pada tahun 1908 namun syarikat itu hanya mula menghasilkan lokomotif sejak era 1930-an. GM pada ketika itu membeli pengeluar kereta api dari Canada iaitu Electro-Motive Diesel (EMD) dan mula menghasilkan lokomotif sehingga 2005, apabila GM menjual EMD kepada Greenbriar Equity Group dan Berkshire Partners.

Dalam tempoh itu, GM menghasilkan beberapa varian lokomotif termasuk lokomotif industri, kereta api pengangkut barang, kereta api penumpang serta kereta api tentera.

Peugeot – Pengisar lada hitam

Dalam senarai ini,  banyak pengeluar kereta memperkembangkan portfolio mereka dengan menghasilkan kenderaan dan pengangkutan jenis lain seperti jet dan kereta api, namun tidak kurang juga yang lari jauh dari bidang automotif.

Sebagai contoh, Peugeot tidak bermula sebagai pengeluar kereta. Sebaliknya, syarikat Perancis itu menghasilkan pengisar lada hitam dan perkakasan dapur lain terlebih dahulu sebelum ia mula menceburi bidang perniagaan automotif. Sehingga ke hari ini, pengisar lada Peugeot dikatakan antara yang terbaik di pasaran.

Buick – Kereta kebal

Sekitar 1940-an, industri automotif dunia terhenti akibat Perang Dunia Ke-2. Buick, yang merupakan divisyen General Motors, beralih arah daripada perniagaan automotif kepada penghasilan kereta kebal untuk kegunaan tentera Amerika Syarikat dalam Perang Dunia dan juga Perang Korea.

Dikenali sebagai M18 Hellcat, kereta kebal itu dikatakan antara yang terpantas ketika itu dengan kelajuan mencecah 89km/j.

Toyota – Rumah

Toyota, antara pengeluar kenderaan terbesar dunia dengan produksi mencecah 10 juta unit setahun, mula menceburi industri perumahan pada 1975 di bawah nama Toyota Housing Corporation.

Sejak kewujudannya, Toyota Housing Corporation telah membina hampir 250,000 ribu buah rumah dan mewujudkan beratus-ratus komuniti yang menggunakan rumah buatan mereka. Tidak ramai yang tahu mengenai perkara ini kerana rumah Toyota hanya dijual di Jepun.

General Motors – Jantung mekanikal

Dodrill-GMR merupakan jantung mekanikal pertama dunia yang membolehkan pakar bedah melakukan pembedahan jantung terbuka dengan menggunakan mesin pintasan (bypass machine). Apa yang menarik, jantung ini dibangunkan dengan kerjasama General Motors.

Pada tahun 1952, Dr. Forest Dewey Dodrill membangunkan jantung mekanikal dengan pembiayaan daripada Persatuan Jantung Amerika dan jurutera sukarelawan dari General Motors dan General Motors Research di Harper University Hospital di Detroit, Michigan. Ia digunakan buat pertama kali pada 3 Julai tahun yang sama.

Chrysler – Kereta kebal

Walaupun Chrysler menghasilkan misil nuklear pertama Amerika Syarikat pada 1952, syarikat itu sebenarnya terlibat dengan aktiviti ketenteraan negara itu sejak Perang Dunia Ke-2 lagi.

Ketika itu, Chrysler membina kereta kebal untuk tentera AS di bawah divisyen khas iaitu Chrysler Defense yang dibangunkan pada 1940. Syarikat itu memasang kereta kebal M2 dan kemudiannya M3 di kilang mereka yang terletak di Detroit.

Volkswagen – Sosej

Seperti Peugeot dan pengisar lada hitamnya, produk Volkswagen ini langsung tidak ada kena mengena dengan kereta atau apa jua jenis kenderaan. Sejak 1973, syarikat itu menghasilkan sosej ‘currywurst’ di kilang pengeluarannya di Wolfsburg. Sosej itu dijual di enam kilangnya di Jerman, di pasaraya dan stadium, serta diberikan percuma kepada pelangganVolkswagen.

Apa yang menarik, sosej ini disenaraikan sebagai ‘Volkswagen Original Part’ dan mempunyai nombor siri 199 398 500 A. Dengan 6.81 juta sosej dihasilkan pada 2018, pengeluarannya dikatakan melebihi mana-mana bahagian atau komponen lain keluaran Volkswagen. Sebagai pelengkap, Volkswagen turut menghasilkan sos tomato mereka sendiri.

Mitsubishi – Pelbagai jenis barangan

Selain kereta dan jentera berat seperti jentolak, anda pasti pernah melihat pendingin hawa dan peti sejuk berjenama Mitsubishi, bukan? Syarikat itu sebenarnya terlibat dalam pelbagai jenis lagi perniagaan selain automotif dan elektrikal. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Kumpulan Mitsubishi terdiri daripada 40 buah syarikat yang masing-masing memiliki anak syarikat mereka sendiri.

Antara bidang perniagaan yang diceburi oleh syarikat-syarikat yang bernaung di bawah payung Kumpulan Mitsubishi termasuklah perlombongan, perkapalan, pembinaan kapal, perkhidmatan kewangan, hartanah dan juga elektronik.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved