fbpx

10 pesawat tentera pelik tapi berguna – Sembang Engear

10 pesawat tentera pelik – sembang engear

SEPERTI automotif, dunia pesawat penuh dengan rekaan-rekaan yang unik dan mempersonakan. Dalam bidang ketenteraan, pesawat biasanya dibangunkan secara menyeluruh dengan penggayaan dan formula tertentu bagi memastikan ia dapat menjalankan tugas dengan lancar.

Bagaimanapun, keadaan ini sering membawa kepada hasil rekaan yang boleh dikatakan aneh dan luar biasa, jauh berbeza dengan apa yang biasa dilihat dalam sektor komersial. Berikut ialah 10 pesawat tentera yang kelihatan pelik tetapi sangat berguna:

Britten-Norman BN-2T AEW Defender

Pesawat ini asalnya ialah Britten-Norman Islander yang direka sebagai pengangkutan ringan untuk kegunaan awam. Namun dalam aplikasi ketenteraan, ia mendapat nama Defender dan juga ‘hidung’ besar yang mengandungi sebuah radar berkuasa bagi tujuan pengesanan atau Airborne Early Warning (AEW).

North American F-82 Twin Mustang

Pesawat berkembar ini dihasilkan dengan menggabungkan dua buah pesawat P-51 Mustang. Hanya 250 unit dibina oleh North American bagi menjalankan pelbagai peranan termasuk pengiring pesawat pengebom, pemintas dan pejuang pada waktu malam.

Blackburn B-101 Beverley

Mula digunakan oleh Tentera Udara Diraja British (RAF) pada 1955, Blackburn Beverley merupakan sebuah pesawat pengangkut yang mempunyai ruang kargo berbentuk segi empat dan fiuslaj langsing yang memberikannya ekor berbentuk ‘H’. Ia menyokong operasi RAF di Asia Timur sehingga 1967.

Fairey Gannet

Jangan terpedaya dengan rekaannya yang kelihatan seperti ikan terlebih makan kerana Fairey Gannet sebenarnya sebuah pesawat anti-kapal selam yang dikatakan cukup cemerlang dalam tugasnya. Ia digunakan oleh tentera British, Australia dan Jerman dari 1950an hinggalah 1980an.

Sikorsky CH-54 Tarhe

Sekali pandang, ia kelihatan seperti helikopter yang tidak siap namun dengan kapasiti muatan mencecah 12 tan, CH-54 sebenarnya cukup kuat untuk mengangkut kereta kebal, trak, bom, malah helikopter lain. Pada masa kini, ia banyak digunakan sebagai unit udara bomba.

Antonov AN-72 Coaler

Reka bentuk pesawat ini tidaklah pelik, cuma enjinnya yang diletakkan pada bahagian hadapan sayap membuatkan ia kelihatan lain dari yang lain. Bagaimanapun, rekaan ini ada kelebihannya kerana enjin tersebut menghalakan tujahan terus ke bahagian atas sayap, memberikan daya angkat yang mengagumkan. Ini membolehkannya berlepas dari landasan yang pendek atau tidak berturap.

Beriev Be-12 Chaika

Ia mungkin nampak seperti itik, namun Chaika bermaksud “seagull” atau burung camar dalam bahasa Rusia. Pesawat ini diterbangkan buat kali pertama pada 1960 dan pernah berkhidmat untuk tentera laut Soviet sebagai peasawat anti-kapal selam. Seperti CH-54, kebanyakan unit yang masih wujud ditukarkan menjadi pesawat bomba.

De Havilland DH-112 Venom

Merupakan kesinambungan kepada jet pejuang Vampire, DH-112 Venom tampil lebih berkuasa dan berkemampuan namun sebahagian besar reka bentuknya tidak berubah. Terima kasih kepada ekor ‘twin-boom’ dan sayap yang lebar, ia berkhidmat dengan baik untuk RAF selama 10 tahun dari 1952 hingga 1962.

Handley Page Victor

 

Dihasilkan oleh Handley Page semasa Perang Dingin, pesawat milik RAF ini merupakan salah satu daripada trio ‘V bomber’ yang memiliki kebolehan nuklear. Selepas dibersarakan, ia memikul tugas sebagai penangki minyak udara-ke-udara hingga 1991.

Yakovlev Yak-28 Brewer

Sesuai dengan rekaannya yang dramatik, pesawat dari Soviet ini boleh memikul pelbagai peranan termasuk pengebom berkelajuan tinggi, pengintip, perang elektronik dan pemintas. Dengan kebolehannya untuk menjalankan lebih dari satu tugas pada satu-satu masa, Yak-28 dikekalkan dalam servis Kesatuan Soviet dan Rusia sehingga 1992.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved