fbpx

Sukar tukar tayar pancit? Ini yang anda perlu tahu

Proses menukar tayar pancit menjadi sukar jika tidak mengetahui cara yang betul untuk melakukannya
Proses menukar tayar pancit menjadi sukar jika tidak mengetahui cara yang betul untuk melakukannya.

PERNAHKAH anda berdepan situasi tayar pancit ketika memandu? Tahukah anda apakah yang perlu dilakukan?

Pengalaman berdepan situasi tayar pancit tidak dinafikan menjadi antara ‘mimpi’ buruk bagi seseorang pemandu atau penumpang.

Apatah lagi ia berlaku ketika cuaca panas terik, hujan lebat atau paling menakutkan di kawasan sunyi sepi.

Jangan risau, kami di EnGear ada beberapa tips berguna untuk anda jika berdepan situasi tayar pancit!

1. Sediakan peralatan lengkap dalam kenderaan

Ramai di kalangan kita sering mengambil ringan mengenai keperluan peralatan mekanikal dalam kenderaan. Apa yang lebih parah apabila ada yang tidak mengetahui di mana alat perkakas mekanik diletakkan dalam kenderaan mereka.

Jadi, pastikan beberapa peralatan berikut berada dalam ‘boot tray’ kereta anda:-

  • Safety triangle 
  • Jack
  • Tow hook
  • L Handle atau Wrench Nut
  • Anchor
2. Lokasi tukar tayar

Keselamatan adalah aspek paling utama yang perlu dititiberatkan dalam setiap pemanduan. Makanya, sudah pasti anda tidak boleh berhenti di mana-mana lokasi sesuka hati untuk menukar tayar kenderaan.

Apa yang anda perlu lakukan adalah tidak panik dan terus memperlahankan kenderaan sebaik mengetahui tayar kenderaan pancit.

Sebaik-baiknya, berhenti di jalan lurus serta tidak berbukit dan meletakkan safety triangle sekurang-kurangnya 50 – 100 meter di belakang kenderaan agar ia dapat dilihat jelas oleh pengguna jalan raya lain.

Perlu diingat, elak berhenti di kawasan selekoh kerana ia menyukarkan pemandu lain melihat kenderaan anda dengan jelas.

Oh ya! Jangan lupa hidupkan juga lampu kecemasan (hazard light) terutama di waktu malam.

3. Jom tukar tayar!

Terdapat beberapa langkah utama yang perlu anda lakukan untuk menukar tayar pancit. Berikut turutan langkah-langkah menukar tayar:-

  • Longgarkan skru nut di bahagian tengah rim kenderaan dengan memusing mengikut arah jam
  • Keluarkan tayar simpanan dan letakkan di bawah kenderaan. Ini penting bagi tujuan keselamatan jika berlaku situasi ‘jack collapse
  • Pasangkan jack pada bahagian railing atau besi berlekuk di bawah kenderaan. Anda diingatkan untuk memastikan jack berada pada kedudukan lekuk sebelum menaikkan kenderaan
  • Pusing jack menggunakan anchor mengikut arah jam sehingga tayar kereta terangkat dan tidak mencecah permukaan jalan
  • Buka semua skru nut pada rim dan masukkan tayar simpanan
  • Pasangkan semua skru nut kembali dan jangan ketatkan selagi jack tidak diturunkan
  • Turunkan jack dengan memusing arah lawan jam sehingga tayar mencecah permukaan jalan
  • Ketatkan skru nut menggunakan wrench nut

Sebaik anda menukar tayar kenderaan, adalah dinasihatkan agar tidak memandu laju.

Ini kerana tayar simpanan kebiasaannya cepat panas dan boleh menyebabkan ia pecah.

Sebaik-baiknya, anda segera ke kedai tayar berdekatan dan kembali menukar kepada tayar baharu.

Semoga apa yang dikongsikan dapat membantu anda jika berdepan masalah tayar pancit di masa hadapan.

Selamat mencuba!

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved