fbpx

Sindiket tipu pelanggan, Perodua kongsi tips penting

Perodua mengingatkan orang ramai sentiasa dapatkan maklumat menerusi pengedar jualan dan servis yang sah. - Foto Facebook/Perodua
Perodua mengingatkan orang ramai sentiasa dapatkan maklumat menerusi pengedar jualan dan servis yang sah. - Foto Facebook/Perodua

TERDAPAT pelbagai taktik licik segelintir pihak tidak bertanggungjawab saban hari bertujuan menipu orang ramai.

Taktik digunakan meliputi macam-macam modus operandi termasuk penyamaran sebagai ejen jualan syarikat pengeluar kenderaan.

Perkara ini didedahkan syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang meminta orang ramai peka dan berwaspada dengan sindiket terbabit.

Perodua mengakui menerima aduan orang ramai bahawa ada pihak cuba melakukan penipuan menggunakan nama syarikat itu.

“Baru-baru ini kami telah mengenalpasti dan menemui sekurang-kurangnya dua individu
yang telah menyamar sebagai penasihat jualan Perodua.

“Individu terbabit meminta pelanggan membuat bayaran tempahan atau wang pendahuluan ke dalam akaun bank peribadi,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua.

Terdahulu, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Pada masa sama, Zainal turut meminta orang ramai berwaspada dan menghubungi Perodua jika mengesyaki wujud kegiatan mencurigakan.

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua pelanggan kami yang
dihargai untuk hanya membuat sebarang pembayaran ke dalam akaun syarikat rasmi,” katanya.

Tips elak ditipu

Perodua memandang serius akan kegiatan penipuan menggunakan nama syarikat itu.

Justeru, terdapat beberapa langkah utama yang boleh diikuti bagi mengelak daripada ditipu.

1. Hubungi Pusat Jualan Perodua yang sah untuk mendapatkan maklumat mengenai produk atau perkhidmatan

2. Layari laman web Perodua atau ikuti akaun media sosial yang sah

3. Jangan terima sebarang tawaran sama ada secara cetak atau dalam talian tanpa maklumat lengkap

4. Jangan beri maklumat peribadi seperti nombor akaun bank, alamat rumah dan nombor kad pengenalan tanpa memastikan individu terbabit adalah kakitangan Perodua

5. Laporkan kepada polis jika ada individu mendakwa diri mereka sebagai wakil jualan Perodua dan meminta membuat pembayaran ke dalam akaun peribadi

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved