Arkib Tag: YAMAHA

Gaya retro moden Yamaha FZ-X yang ‘mencairkan’

YAMAHA India terus mengembangkan perniagaan mereka di pasaran negara itu dengan pengenalan model terbaharu FZ-X.

Berada dalam ‘keluarga’ naked bike, FZ-X memiliki gaya retro sama seperti model XSR 155.

FZ-X didatangkan dengan enjin satu silinder SOHC penyejukan udara berkapasiti 149 cc.

Sama seperti model FZS-FI, ia juga dikatakan dapat menghasilkan kuasa 12.4 PS pada 7,250 rpm dan 13.3 Nm tork pada 5,500 rpm.

Bagaimanapun, FZ-X hanya mempunyai transmisi lima kelajuan dan tidak didatangkan dengan sistem Variable Valve Actuation (VVA).

Memiliki look and feel retro, FZ-X masih mempunyai beberapa sentuhan moden.

Ia termasuk penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) dengan DRL, brek ABS serta panel meter LCD yang mempunyai sistem Y-Connect.

Secara tidak langsung, ia dapat disambungkan kepada telefon pintar dan memaparkan fungsi seperti penggunaan bahan api, waktu servis serta notifikasi mesej atau panggilan.

Model Yamaha FZ-X mempunyai rekaan retro yang ‘disulami’ teknologi moden. – Foto ihsan Facebook/Maxabout.com

Berikut antara ciri-ciri menarik lain terdapat pada FZ-X:

• Tangki bahan api 10 liter
• Fork teleskopik 41 mm
• Monoshock di belakang
• Tempat dengan ketinggian 810 mm bagi penunggang utama
• Berat keseluruhan 139 kilogram
• Brek cakera depan dan belakang
• Rim 17 inci

Setakat ini, harga model FZ-X di pasaran India sekitar Rs1,19,800 atau bersamaan RM6,702.

Namun, persoalan paling penting yang perlu dijawab adalah, “adakah model ini akan memasuki pasaran Malaysia?”

Itu kita kena tunggu dan lihat ya!

Ketahui mengapa lima motosikal ini sering tarik perhatian polis?

AKTIVITI lumba haram sering kali mendapat ‘perhatian’ media sama ada secara dalam talian, televisyen atau di dada akhbar.

Dikaitkan dengan masalah moral, lumba haram bukan sahaja dikecam masyarakat malah dianggap sebagai satu ‘pembaziran’ bakat negara.

Penulis masih teringat ketika zaman persekolahan yang mana baru berjinak dengan ‘dunia’ motosikal.

Walaupun, bukan hardcore ‘Mat Rempit’ tetapi disebabkan penulis menunggang motosikal jenis Yamaha Y125Z maka, kerap kali ditahan polis dalam sekatan jalan raya.

Tidak berniat untuk mengaitkan mana-mana model motosikal dengan gejala lumba haram, tetapi itulah realitinya.

Bagaimanapun, adakah benar kebanyakan pemilik Y125Z adalah ‘Mat Rempit’? Bagaimana pula dengan motosikal jenama lain?

Untuk itu, jom kita semak antara beberapa motosikal yang sering dikaitkan dengan gejala ‘rempit’ sejak 90-an sehingga kini.

Senarai motosikal pilihan ‘Mat Rempit’

Terdapat lima motosikal yang penulis dapati sering kali diguna untuk tujuan lumba haram.

Motosikal ini akan diubahsuai pada bahagian enjin agar menghasilkan kelajuan luar biasa berbanding model asal keluaran kilang.

Jom kita semak satu per satu!

Suzuki Panther ‘Jerung’

Model Suzuki TXR150R atau dikenali sebagai ‘Panther Jerung’ antara yang popular suatu ketika dahulu dalam kalangan ‘kaki’ motor.

Mempunyai kapasiti enjin 150cc, motosikal ini tidak dinafikan mempunyai kelajuan luar biasa berbanding kebanyakan model setarafnya.

Apa yang menarik, kebanyakan anggota polis juga sering menggunakan motosikal ini untuk menahan ‘Mat Rempit’!

‘Panther Jerung’ telah ditamatkan pengeluaran sejak tahun 1997 atau bersamaan 24 tahun lalu.

Yamaha SS Two Racing Spirit

Motosikal Yamaha SS Two Racing Spirit dihentikan pengeluaran pada tahun 1998.

Desas-desus mengatakan model ini dihentikan pengeluaran kerana ia mempunyai spesifikasi ‘racing’ yang tidak sesuai untuk kegunaan di Malaysia.

Namun, tidak dapat dipastikan sejauh mana kebenaran dakwaan ini.

Harga jualan motosikal ini adalah di antara RM 5,705 sehingga RM 6,020.

Maka, tidak hairan motosikal ini dianggap ‘kayangan’!

Yamaha Y125Z

Pengeluaran Yamaha Y125Z adalah kesinambungan bagi model Yamaha SS Two Racing Spirit yang dihentikan pengeluarannya.

Reka bentuk yang ‘garang’ dengan kelajuan super padu membuatkan ramai yang menggemari model ini.

Penulis sendiri memiliki sebuah Y125Z pada usia 16 tahun dan menggemari aktiviti modifikasi terhadap jentera ini.

Percaya atau tidak sehingga kini Y125Z masih banyak di atas jalan raya dan harganya masih maintain bro!

Suzuki RGV250

Pada tahun 1987 sehingga 1998, Suzuki RGV250 atau ‘Gamma’ antara model ‘laku keras’ di pasaran negara ini.

Melihat kepada kapasiti enjinnya, maka sudah boleh diagak sejauh mana kelajuan jentera ini.

Tambah gempak, motosikal ini semakin laju dengan beberapa modifikasi enjin meliputi komponen tertentu seperti carburettors, ekzos dan sebagainya.

Kelajuan maksima sebuah ‘Gamma’ standard boleh mencapai 209 km/j!

Yamaha RX-Z 135

Mempunyai kapasiti enjin 135, jangan dipertikai ‘kemampuan’ jentera Yamaha ini.

Ia bukan sahaja laju ‘membelah’ jalan raya namun, sering menjadi ‘barang panas’ jika tidak dijaga rapi.

Kebiasaannya, RX-Z yang dicuri akan dileraikan dan komponen tersebut akan dijual di pasaran gelap.

Sehingga ke hari ini, RX-Z masih mempunyai nilai tinggi sehingga mencecah RM70,000!

Tak percaya? Google la sendiri…

Berdasarkan kesemua motosikal disenaraikan, sekali lagi penulis ingatkan bahawa ia tidak bermaksud mengaitkan mana-mana motosikal dengan gejala lumba haram.

Mungkin secara kebetulan, model yang disenaraikan sering kali disalahgunakan bagi tujuan lumba haram.

Apa pun ingatlah, lumba haram tidak memberi sebarang faedah.

Hidup hanya sekali dan jika berminat sangat dengan sukan lumba, gunakan saluran sebetulnya.

#MajulahPermotoranDemiNegara

Modifikasi ‘wajib’ Yamaha R15 jadi lebih ‘mantul’

KEHADIRAN Yamaha YZF-R15 atau R15 di jalan raya Malaysia bukan suatu yang baharu.

Tidak keterlaluan jika model ini boleh dikatakan ‘bersepah’ serata pelosok negara sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.

Walaupun mempunyai kapasiti enjin yang kecil (155cc) namun, reka bentuk sportbike ala superbike ini membuatkan ia diminati ramai.

Pelbagai modifikasi dilakukan sebilangan besar pemilik R15 sama ada melibatkan bahagian enjin atau komponen lain.

Berdasarkan research dilakukan EnGear, berikut antara modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15 ke atas jentera mereka.

Ekzos

Rata-rata pemilik R15 pasti menukar ekzos asal kepada aftermarket.

Terdapat pelbagai jenama ekzos aftermarket antaranya seperti Akrapovic, SC Project, AHM, Sakura, Kozi, R9, MHR dan banyak lagi.

Bagaimanapun, perlu diingat penukaran ekzos adalah suatu tindakan yang salah di sisi undang-undang.

Bak kata bidalan, “berani buat berani tanggung”.

Uma Racing antara syarikat menghasil dan mengedar ECU atau Engine Control Unit.

ECU

Pemilik R15 yang telah menukar ekzos asal kebanyakannya pasti akan menggunakan ECU aftermarket bagi jentera mereka.

Apakah itu ECU? ECU bermaksud Engine Control Unit.

Komponen ini merupakan peranti kawalan elektronik yang mengawal penggerak dalam enjin seperti kadar kemasukan udara, bahan api dan tekanan bahan api dalam sistem.

Monoshock

Salah satu komponen yang sering ditukar pemilik R15 adalah monoshock.

Monoshock ditukar kepada jenama aftermarket mengikut cita rasa masing-masing.

Bagi kebanyakan ‘kaki leper’, penukaran monoshock adalah suatu yang wajib.

Namun, ini tidak bermakna monoshock asal keluaran Yamaha tidak berkualiti ya!

Tayar

Penukaran tayar sering dilakukan juga bagi kebanyakan motor R15.

Menerusi pemerhatian EnGear di media sosial, terdapat sebilangan pemilik mendakwa tayara asal (keluaran kilang) tidak begitu sesuai untuk gaya tunggangan agresif.

Antara jenama tayar boleh didapati di pasaran adalah Timsun, Bridgestone, Pirelli, Metzeler dan banyak lagi.

Jentera R15 kelihatan lebih 'garang' tanpa mudguard belakang.

‘Sunat ekor’

‘Sunat ekor’ adalah tindakan mengeluarkan komponen mudguard terdapat di bahagian belakang motosikal.

Tindakan ini tidak memberi kesan kepada kelajuan motosikal tetapi tidak lain hanya untuk kelihatan lebih ‘garang’.

Oh ya! Jika mudguard dikeluarkan maka apabila waktu hujan faham-faham sahajalah.

Sebenarnya ada banyak modifikasi lain sering dilakukan pemilik R15 yang tidak dapat disenaraikan di sini.

Apa pun, apa yang EnGear senaraikan di atas adalah modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15.

Memang seronok untuk melakukan sebarang modifikasi terhadap jentera kesayangan tetapi perlu diingat jangan sampai langgar undang-undang okey!

Yamaha R7 2022 bakal dipasarkan dalam masa terdekat?

NAMA Yamaha terus gah dalam industri permotoran dunia dengan kemunculan model terbaharu R7 2022.

Menggantikan Yamaha YZF R6 yang dihentikan pengeluaran tahun lalu, model ini dijangka memberi saingan sengit kepada jentera lain termasuk Kawasaki Ninja 650 dan Aprilia RS660.

Menerusi foto dan video tular di media sosial, R7 2022 kelihatan tampil dengan reka bentuk lebih ‘garang’.

Bagaimanapun, R7 2022 masih memiliki reka bentuk tipikal jentera keluaran Jepun selain menyerupaikan seakan model YZF R6.

Yamaha R7 2022 dijangka akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.

Pada bahagian hadapan, R7 2022 turut kelihatan seperti Yamaha R1.

Namun, lampu utama R7 2022 sedikit berbeza kedudukannya selain memiliki DRLs yang lebih mempersona.

Selain itu, R7 2022 juga mempunyai cermin depan yang lebih tinggi dan lebar berbanding R6.

Setakat ini, masih tiada maklumat lanjut mengenai prestasi enjin R7 2022.

Apa yang pasti jentera ini dikatakan menggunakan platfom enjin daripada model Yamaha MT-07.

EnGear akan terus mengikuti rapat perkembangan R7 2022 terutama bagi mengetahui kemampuan deruman enjin jentera ini.

Sama-sama kita nantikan dalam waktu terdekat!

Proton Wira bertembung Yamaha Y150, tiga maut

KEMALANGAN membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Kuala Nerang-Semeliang menyaksikan tiga individu maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki.

Insiden jam 4.15 petang semalam melibatkan kenderaan jenis Proton Wira dan motosikal jenis Yamaha Y150 atau Y15.

Memetik laporan media, mangsa meninggal dunia adalah pemandu kereta dan seorang penumpang serta penunggang motosikal.

Siasatan polis mendapati kemalangan berlaku apabila kereta terbabit terbabas sebelum melanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.