Arkib Tag: y16zr

HLYM pamer Yamaha Y16ZR edisi MotoGP – bukan untuk dijual

Hong Leong Yamaha Motor membuat kejutan ketika meraikan ketibaan pelumba MotoGP, Fabio Quartararo dan Alex Rins dan Sungai Buloh apabila mendedahkan dua unit Yamaha Y16ZR edisi khas. 

Kedua-dua motosikal berkenaan tampil dengan livery Monster Energy Yamaha dan memaparkan nombor perlumbaan #20 Quartararo dan #42 Rins. 

Kedua-dua pelumba turut menurunkan tandatangan masing-masing sambil disaksikan pengurusan HLYM dan prinsipal pasukan Yamaha MotoGP, Lin Jarvis. 

Bagaimanapun,sayangnya kami dimaklumkan Yamaha belum ada perancangan untuk memperkenalkan Y16ZR edisi MotoGP itu buat masa ini.  

Namun, mengambil kira Yamaha pernah melancarkan Y15ZR dan R15 dengan livery Monster Energy Yamaha itu maka kami jangkakan perkara sama akan turut dilaksanakan kemudian. 

Dalam pada itu, Quartararo dan Rins akan turun  beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena ujian rasmi Sepang Test dari 6 hingga 8 Februari ini. 

Yamaha Y16ZR 2024 dilancar – cakera brek lebih besar, ABS, RM11,398

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini memperkenalkan versi terkini kapcai popular, Y16ZR 2024. Ia bukan sahaja membawa perubahan kosmetik, tetapi juga beberapa pembaharuan teknikal.

Yamaha Y16ZR kini didatangkan dengan fairing depan dan visor baharu, lampu depan dan DLR baharu, memberikannya rupa lebih agresif dan sporti.

Perubahan besar ialah brek ABS satu saluran baharu dan cakera yang lebih besar. Sistem brek belakang dikekalkan seperti sebelum ini.

Ciri lain tidak berubah, dimana Yamaha Y16ZR dikuasakan enjin 155cc 4-lejang sejukan cecair SOHC dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA).

Enjin ini menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm tork pada 8,000rpm, sementara kuasa disalurkan melalui kotak gear 6-kelajuan dan Assist and Slipper Clutch.

Suspensi depan adalah fork teleskopik, kemudian monoshock di belakang. Y16ZR 2024 juga dilengkapi penghidup elektrik, rim 17-inci, dan tangki bahan api 5.4-liter.

Yamaha Y16ZR 2024 ditawarkan dengan tiga pilihan warna baharu – Violet Knight, Ocean Neon, dan Mag Grey. Ia boleh ‘dipinang’ pada harga RM11,398.

Yamaha Y16ZR kini dalam 3 warna baharu – RM11,118

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan Yamaha Y16ZR kini boleh didapati dalam tiga warna baharu iaitu Glacier White, Phantom Neon dan Flaming Silver.

Menurut syarikat itu, pilihan warna baharu ini boleh didapati menerusi rangkaian pengedar Yamaha di seluruh negara bermula hari ini (27 Oktober 2022). Ia dijual pada harga RM11,118 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.

Phantom Neon

Seperti biasa, setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek percuma.

Dari segi penampilan, warna Glacier White dan Phantom Neon masing-masing tampil menarik dengan grafik segar berwarna ungu dan kuning berserta rim hitam, manakala warna Flaming Silver dilihat paling menonjol dengan rim merah.

Glacier White

Tiada sebarang perubahan dari segi trenkuasa, bermakna Y16ZR versi 2022 masih lagi dikuasakan oleh enjin empat lejang SOHC bersesaran 155 yang dilengkapi dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA).

Enjin tersebut menghasilkan 17.7 hp pada 9,5000 rpm dan 14.4 Nm pada 8,000 rpm, disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac Assist & Slipper yang menjanjikan penukaran gear lebih lancar.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary diperkenal, hanya 5,000 unit, RM11,688

HONG Leong Yamaha mengumumkan satu edisi khas untuk Y16ZR iaitu World GP 60th Anniversary. Hanya 5,000 unit akan dihasilkan dan ia akan hadir dengan beberapa aksesori seperti berikut:

Sijil penghargaan
Tumbler premium World GP 60th Anniversary
Pin edisi khas
Keychan premium

Kesemua aksesori ini juga akan diisi dalam kotak premium khas.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary ini tampil dengan livery ikonik merah putih untuk gaya sporti. Skema warna ini dipadankan pula dengan rim berwarna emas yang didatangkan dengan emblem 60th Anniversary.

Yamaha Y16ZR ini dikuasakan oleh enjin 155cc 4-silinder 4-lejang SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA). Ia menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm tork pada 8,000rpm. Output disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan.

Sama seperti model-model terkini, Y16ZR juga mendapat sistem klac Assist and Slipper untuk tunggangan dan penukaran gear lebih lancar terutamanya semasa downshifting.

Turut diperkenalkan ialah koleksi pakaian World GP 60th Anniversary yang juga boleh didapati di Genblu Online Shop untuk anda memadankan gaya dengan motosikal ini.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary dijual pada harga cadangan RM11,688 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Anda boleh mula melihat motosikal ini di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara.

Seperti biasa, anda juga akan mendapat kunci brek cakera untuk setiap pembelian Yamaha Y16ZR ini.