Arkib Tag: x5

BMW X5 xDrive50e M Sport buat kemunculan di Malaysia, harga anggaran RM530k

BMW Malaysia hari ini mempertontonkan BMW X5 generasi keempat versi facelift, yang akan ditawarkan dalam varian xDrive50e M Sport sebagai model pemasangan tempatan (CKD).

Dari segi penampilan, Sports Activity Vehicle (SAV) kini tampil lebih segak dengan lampu hadapan yang lebih langsing sebanyak 35 mm berbanding sebelum ini, serta signatur lampu nyalaan siang LED baharu. Turut disertakan adalah kit badan M Sport dan rim aloi M berukuran 21 inci.

Di dalam, terdapat BMW Curved Display 14.9 inci yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5, BMW Live Cockpit Professional, iDrive Controller, Light Bar dengan struktur permukaan berhablur dan sistem audio Harman Kardon.

Konsol tengah X5 pula menampilan susun atur baharu, butang fungsi sentuh tambahan serta rocker switch untuk penukaran gear. Ciri-ciri lain yang turut disertakan termasuk BMW Comfort Access, Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Professional.

Seperti varian xDrive45e sebelum ini, X5 xDrive50e masih dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris yang digandingkan motor elektrik namun trenkuasa hibrid plug-in itu kini menghasilkan 489 PS dan 700 Nm, iaitu 95 PS dan 100 Nm lebih tinggi.

Selain kuasa, jarak pandu elektrik turut meningkat kepada 110 km (kitaran WLTP) manakala pengecasan kini boleh menyokong kapasiti sehingga 7.4 kW, membolehkan kenderaan ini dicas dari 0 hingga 100 peratus dalam tempoh 4.5 jam.

X5 xDrive50e M Sport akan ditawarkan dalam empat warna luaran iaitu Black Sapphire, Manhattan, Mineral White dan Skyscraper Grey. Ruang dalamannya dihiasi dengan upholsteri kulit Merino yang boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Black dan Tartufo.

Harga jualan rasmi masih belum diumumkan namun menurut BMW Malaysia, anggaran harga model ini adalah sekitar RM530,000.

BMW iX5 Hydrogen selesai jalan ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu

UNTUK emisi sifar, BMW percaya ada beberapa cara lain lagi selain elektrik (EV), salah satunya adalah dengan tenaga hidrogen.

BMW iX5 Hydrogen merupakan sebuah platform untuk cara ini, dan baru-baru ini beberapa unit SUV itu telah selesai ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu (EAB).

Walaupun berdepan dengan suhu sehingga 45-darjah Celsius serta mengharungi pasir, debu, dan pelbagai permukaan jalan, SUV hidrogen ini tetap cemerlang dan lulus.

Dari sistem bahan api sel, motor elektrik, hingga tangki hidrogen, segala perkakasan berfungsi dengan cara sepatutnya di samping pasukan pembangun terbang dari Munich untuk menjalankan analisis.

Timur Tengah bukan satu-satunya lokasi ujian BMW iX5, kerana terdapat sekumpulan prorotaip sedang diuji di Jepun, China, Korea Selatan, Eropah, dan Amerika Syarikat.

Sebenarnya, belum ada perancangan untuk menjual SUV ini, tetapi pihak atasan BMW ada menyebut untuk menawarkan model hidrogen sebelum penghujung dekad ini (2030).

Untuk spesifikasi, BMW iX5 Hydrogen mempunyai output keseluruhan sebanyak 401hp (295kW) dan menampilkan dua tangki CFRP yang mampu menampung kira-kira 6kg.

Ini memberikan iX5 Hydrogen jarak pemanduan sehingga 504km (menurut kitaran WLTP), iaitu serupa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman. Hanya tiga hingga lima minit masa diperlukan untuk mengisi tangki hidrogen, juga sama dengan mengisi petrol pada kereta biasa.

Walaupun menekankan bab kecekapan, BMW menyebut bahawa iX5 tidaklah perlahan juga. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa kurang enam saat. Ia juga dilengkapi mod Sport yang akan mengeraskan suspensi dan memberikan kuasa penuh.

Peluang tipis untuk anda menjumpai iX5 ini di jalan raya kerana kurang dari 100 unit sahaja dihasilkan. Kesemuanya dikeluarkan di kilang Spartanburg iaitu di fasiliti pemasangan BMW X5 biasa tetapi perubahan teknikal lain dibuat di Munich.

BMW X5 xDrive45e M Sport terima penambahan harga dan spesifikasi

BMW Malaysia telah mengumumkan harga baharu untuk X5 xDrive45e M Sport, iaitu RM457,498. Harga ini adalah sekitar RM6,000 lebih tinggi berbanding sebelumnya, tetapi SUV plug-in hybrid (PHEV) ini juga menerima peningkatan dari segi spesifikasinya.

Perlu diketahui juga bahawa harga ini termasuk dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan ditambah semula menjelang Julai depan, serta jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Baik, untuk peningkatan pada X5 xDrive45e, ia kini mendapat lampu depan LED Laserlight. Terdapat juga penambahan fungsi bad weather (cuaca buruk) menggantikan lampu kabus yang kini tidak ditawarkan pada SUV ini.

Rimnya kini lebih besar, iaitu 21-inci dengan rekaan Y-spoke Style 741M berwarna Orbit Grey.

Untuk keselamatan, X5 xDrive45e M Sport mendapat beg udara belakang sisi, menjadikan lapan beg udara kesemuanya. Terdapat juga Active Protection yang akan menutup tingkap dan bumbung suria serta mengetatkan tali pinggang keselamatan sekiranya ia mengesan akan berlaku perlanggaran.

Ciri lain dikekalkan, seperti instrumen Live Cockpit Professional dengan skrin 12.3-inci, Driving Assistant, Parking Assistant Plus, Rear Seat Entertainment, serta balutan kulit Vernasca.

Teknologi lain pula termasuklah BMW Display Key, kamera 360-darjah, sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara, dan pintu but berkuasa.

Aspek mekanikal juga tidak berubah, bermakna X5 xDrive45e masih dikuasakan oleh enjin 3.0-liter turbo 6-silinder sebaris B58 yang menjana 286hp dan 450Nm tork. Enjin ini dibantu dengan motor elektrik berkuasa 113hp dan 265Nm, menjadikan jumlah output SUV ini 394hp dan 600Nm.

Kotak gear ialah automatik 8-kelajuan dari ZF. Ini membolehkan BMW X5 ini mencapai 100km/j dalam 5.6 saat, dan kelajuan maksima pada 235km/j. Memandangkan ia sebuah PHEV, SUV ini mampu mencapai kecekapan bahan api serendah 2.5liter per 100km (40km per liter).

BMW Malaysia mencari pemilik BMW M tertua sempena sambutan ulangtahun ke-50

BMW M GmbH akan menyambut ulangtahun yang ke-50 pada Selasa depan, 24 Mei 2022. Dan untuk itu, BMW Group Malaysia akan menyertai sambutan itu dengan mencari pemilik BMW M tertua di negara ini.

Sebelum itu, sedikit latar belakang. BMW M dikatakan sebagai “huruf paling berkuasa di dunia”, dengan penghasilan jentera-jentera berprestasi tinggi dan jentera lumba yang mendominasi litar-litar seluruh dunia.

Ianya bermula dengan penubuhan divisyen BMW Motorsport GmbH pada sekitar 1972 dan menjadi elemen penting dalam BMW Group memandangkan mereka mampu menggabungkan fungsi perlumbaan dengan rupa sporti untuk sesebuah kenderaan.

Pasukan ini bermula dengan projek 3.0 CSL yang dibina untuk European Touring Car Championship. Jentera ini terus mendominasi perlumbaan ini setiap tahun dari 1975 hingga 1979.

BMW 3.0 CSL juga menjadi dua model pertama di BMW Art Cars yang dicat oleh artis terkenal Alexander Calder dan Frank Stella.

Sehingga hari ini, BMW M telah menghasilkan pelbagai jentera berprestasi tinggi yang seronok dipandu, bermula M1, M2, M3, M4, M5, M6, M8, termasuk SUV mereka X3 M, X4 M, X5 M dan X6 M.

Berbalik kepada pencarian BMW M tertua di Malaysia, BMW Malaysia mencari model BMW M tertua dalam setiap siri.

Jika anda adalah pemilik atau anda mengenali pemilik berkenaan, anda boleh hantarkan butiran di pautan ini.

Dan ada pemenang! Ya, pemenang berpeluang memenangi barangan BMW M eksklusif dan kenderaan mereka akan dipamerkan oleh BMW Group Malaysia. Mereka yang bukan pemilik tetapi menghantar butiran yang betul juga akan memenangi hadiah.

Tarikh tutup penghantaran/penyertaan adalah pada 8 Jun 2022 ini.