Arkib Tag: x-terrain

Isuzu D-Max jadi kenderaan rasmi KL Fashion Week 2022, akan dipamer di Pavilion 15 hingga 21 Ogos

ISUZU Malaysia kini mempamerkan trak pikap mereka yang telah memenangi pelbagai anugerah, iaitu D-Max sebagai kenderaan rasmi KL Fashion Week (KLFW) 2022.

Tema KLFW 2022 tahun ini, “The Bigger, The Better” dilihat bersesuaian dengan imej dan intipati yang dibawakan oleh Isuzu D-Max generasi ketiga ini.

“Dengan rekaan canggih, kelengkapan penuh serta kemampuan untuk melakukan apa jua di mana saja, Isuzu D-Max mencabar norma kebiasaan dan membolehkan anda untuk mengukir memori tersendiri dengannya,” ujar Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

“Bersama KLFW, kami ingin membawakan rekaan imaginatif yang mengilhami ini selangkah lagi ke hadapan dan untuk dikongsi bersama khalayak.”

Unit yang dipamerkan merupakan varian Isuzu D-Max X-Terrain sebagai penaja Kenderaan Gaya Hidup Terulung untuk acara berkenaan.

D-Max dilengkapi pelbagai ciri praktikal seperti kamera 360-darjah, pengecas telefon tanpa wayar, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta ciri Advanced Driving Assist System (ADAS).

Isuzu D-Max X-Terrain akan ditampilkan dalam acara KLFW tahun ini yang akan bermula pada 15 hingga 21 Ogos 2022 di Pavilion Kuala Lumpur.

Tiga unit Isuzu D-Max X-Terrain akan dipamerkan di pusat ibu kota dengan warna berbeza. Valencia Orange membawakan tema kembara, Onyx Black untuk tema premium, manakala Silky Pearl White mencerminkan kompleksiti dan kepintaran.

Anda boleh lihat kesemua Isuzu D-Max ini dengan lebih dekat di laluan pejalan kaki utama di tiga lokasi berbeza iaitu di ruang legar air pancut Pavilion, satu di laluan penghubung ke Quivio dan satu lagi di seberang jalan di hadapan Fahrenheit.

Isuzu D-MAX X-Terrain dikemaskini dengan ciri baharu, dua warna tambahan

ISUZU Malaysia telah memperkenalkan kemaskini untuk D-MAX X-Terrain dengan beberapa ciri baharu serta dua warna tambahan.

Trak pikap dengan lima anugerah Trak Tahunan Terbaik itu juga mencatatkan rekod jualan yang baik sejak diperkenalkan.

Model utama Isuzu ini ingin memastikan pelanggan menikmati sejumlah ciri yang benar-benar hebat yang akan menjadikan pemanduan mereka lebih selamat dan menyenangkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

Antara ciri tambahan baharu pada D-MAX X-Terrain adalah seperti berikut:

Welcome Light LED di bahagian luar kenderaan dengan lampu Follow Me Home
Scuff plate berlampu di bingkai pintu
Around-View Monitor 360-darjah dengan pilihan paparan 3D
Pengecaj tanpa-wayar Qi di konsol tengah
Pilihan warna baharu Silky Pearl White dan Onyx Black, tambahan kepada Valencia Orange sedia ada

Spesifikasi lain pada trak pikap ini dikekalkan. Ia dipacu oleh enjin 3.0-liter diesel turbo yang berkuasa menghasilkan 190hp pada 3,600rpm dan 450Nm tork dari 1,600 hingga 2,600rpm.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 6-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda.

Kelengkapan standard di bahagian luaran termasuklah lampu depan bi-LED, lampu kabus LED, rel bumbung, pemijak sisi, Tailgate Assist, dan rim aloi 18-inci.

Di bahagian dalam pula, D-MAX X-Terrain mendapat stereng balutan kulit, panel meter e-LUMAX dengan paparan MID bersaiz 4.2-inci, sistem infotainmen dengan skrin 9-inci dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

Ciri lain adalah tempat duduk kulit berkuasa, sistem pendingin hawa automatik dwi-zon, soket USB, dan 18 pembesar suara.

Dari segi keselamatan, selain ciri pasif dan aktif biasa, Isuzu D-MAX X-Terrain juga didatangkan dengan sistem keselamatan maju (ADAS) yang merangkumi sistem seperti Forward Collision Warning, Adaptive Cruise Control, Automatic High Beam, Lane Departure Warning dan Blind Spot Monitor.

Isuzu D-MAX X-Terrain baharu kini dibuka untuk tempahan di semua pengedar sah Isuzu dan akan mula diserahkan kepada pemilik pada pertengahan bulan Julai.

Model baru ini dijual dengan kenaikan harga minimum dengan harga atas jalan (tanpa insurans) bermula RM146,938.40 (untuk Semenanjug Malaysia.

Pandu uji: Ini persamaan antara Isuzu D-MAX X-Terrain 3.0 dengan sebiji burger wagyu

TRAK pikap boleh dikatakan seperti burger kerana ada beberapa bahan penting yang perlu ngam/serasi, baru jadi sedap. Untuk membuktikan kepada anda, kami ada Isuzu D-MAX X-Terrain 3.0, varian tertinggi untuk D-MAX kali ini.

Ianya model serba baharu, menawarkan saiz terbesar dalam kelasnya dan hadir dengan semua ciri keselamatan terkini. Kabin pula selesa dan mewah, hampir seperti sebuah SUV.

Dan Abang Shamsul ingin menyamakan setiap elemen Isuzu D-MAX dengan bahan-bahan dalam sebiji burger.

Daging – enjin

Kekal dengan 3.0-liter 4JJ3-TCX, dikekalkan kerana terbukti berkuasa dan lasak. Ia berkuasa turbo, menghasilkan 190PS dan 450Nm. Tork setinggi 450Nm ini membuatkan ia sedap dipandu, dan kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 6-kelajuan.

Pengunci pembeda belakang ditambah untuk lebih keupayaan off-road. Sementara itu, kedalaman meranduk air juga dipertingkat, sekarang sehingga 800mm. Setakat banjir kilat, tak risau!

Roti – badan

Seterusnya, burger sedap macam mana pun, bun (roti) kena cantik. Dalam kes trak pikap ini, bun ialah badannya.

Isuzu D-MAX X-Terrain dilengkapi tailgate dengan gas strut yang memudahkannya ia dibuka dan ditutup. Terasa ringan, boleh guna satu tangan sahaja!

Ruang kargo belakang juga mempunyai dulang (tray) khas yang boleh ditarik dan dikunci, memudahkan anda mengisi barang.

Rekabentuk depan D-MAX ini ‘semakin cantik, semakin canggih, semakin ranggi’ bak kata Abang Shamsul.

Tempat duduk belakang boleh diturunkan untuk lebih praktikaliti. Dan ciri Passive Entry and Start – membolehkan enjin dihidupkan dari luar (sehingga 20 meter), guna kunci sahaja!

Keju – dalam kabin

Untuk keju pula, kita merujuk kepada kabin trak pikap ini. Untuk Isuzu D-MAX X-Terrain, kabinnya kini lebih mewah. Atas papan pemuka ada warna berbeza yang nampak cantik dan premium. Kemudian, banyak balutan kulit pada tempat duduk dan roda stereng.

Roda stereng mempunyai pelbagai butang. Di sebelah kiri untuk kawalan infotainmen, dan untuk sebelah kanan bagi kawalan Adaptive Cruise Control.

Menariknya, depan belakang D-MAX ini luas!

Varian X-Terrain juga hadir dengan ADAS (Advanced Driver Assist System) bermakna ada Adaptive Cruise Control dan pelbagai ciri lain.

Ini sangat memudahkan untuk pemanduan dan mengurangkan beban pada pemandu kerana ia akan bantu menjaga jarak dengan kereta depan, dan dia sentiasa pastikan kita tidak terkeluar dari lorong.

Jadi, sama seperti burger wagyu yang sedap, Isuzu D-MAX X-Terrain cukup sempurna serba-serbi dan menjadikannya sebuah trak pikap yang berbaloi.

Spesifikasi Isuzu D-MAX X-Terrain

Harga: RM141,938.41
Enjin: 3.0-liter turbodiesel dengan Variable Geometry Turbocharger dan Common-rail Direct Injection
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan
Kuasa: 187hp @ 3,600rpm
Tork: 450Nm @ 1,600rpm
Jaminan: 7-tahun tanpa had perbatuan