Arkib Tag: wrx

Subaru WRX GD25 dan BRZ ZC15 edisi terhad diperkenal sempena ulang tahun

Sempena sambutan ulang tahun ke-25 WRX di Amerika Syarikat dan 15 tahun BRZ, Subaru telah memperkenalkan dua model edisi terhad iaitu WRX GD25 dan BRZ ZC15.

Kedua-duanya diperkenalkan di acara Boxerfest 2026 di Pennsylvania, dengan pengeluaran terhad serta pelbagai aksesori prestasi Subaru.

WRX GD25 tampil dengan tema rali

WRX GD25 dibina sebagai penghormatan kepada WRX generasi pertama yang tiba di Amerika Syarikat pada 2002 dengan kod casis “GD”. Ia hanya ditawarkan dalam warna World Rally Blue, dipadankan dengan rim aloi 19 inci berwarna emas, angkup brek Brembo emas dan tayar Bridgestone Potenza S007.

Di belakang, ia menerima spoiler STI jenis swan-neck yang diperbuat daripada gentian karbon, iaitu komponen yang sama digunakan pada jentera WRX ARA25L milik Travis Pastrana.

Bahagian kabin pula dilengkapi tempat duduk Recaro dengan kemasan Ultrasuede hitam dan jahitan merah, serta tombol gear STI.

WRX lebih fokus kepada pengendalian

WRX GD25 masih menggunakan enjin boxer 2.4 liter turbo yang menghasilkan 271 hp dan 350 Nm, bersama sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive. Ia hanya ditawarkan dengan transmisi manual enam kelajuan bersama STI short shifter.

Subaru turut memasang flexible strut tower bar untuk meningkatkan ketegaran casis. Suspensi pula menerima talaan prestasi dengan spring lebih keras dan tetapan peredam yang dikalibrasi semula.

Gabungan ini, bersama tayar Potenza S007, bertujuan memberikan pengendalian yang lebih kemas dan yakin ketika mengambil selekoh.

Pengeluarannya dihadkan kepada 350 unit, dengan penghantaran dijadualkan bermula musim panas 2027.

BRZ ZC15 dengan tema putih dan gangsa

Sementara itu, BRZ ZC15 memberi penghormatan kepada BRZ generasi pertama yang diperkenalkan pada 2012 dengan kod casis “ZC”.

Model ini hanya ditawarkan dalam warna Ceramic White, yang eksklusif untuk ZC15, bersama rim gangsa matte, angkup Brembo emas dan grafik gangsa pada bahagian sisi.

Ia turut didatangkan dengan spoiler belakang hitam serta V-bar fleksibel di bawah bonet. Skema warna putih dan gangsa ini diinspirasikan daripada BRZ tS keluaran tahun 2020.

Di dalam, ZC15 mendapat upholsteri kulit hitam dengan sisipan Bordeaux Red serta plak edisi khas “ZC15”.

Enjin 2.4 liter, transmisi manual enam kelajuan

Seperti versi standard, BRZ ZC15 menggunakan enjin boxer 2.4 liter berkuasa 228 hp dan 249 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda belakang.

Pengeluaran BRZ ZC15 dihadkan kepada 300 unit, dengan model ini dijangka tiba pada awal 2027.

Apa sudah jadi? Jualan Subaru WRX menjunam di Amerika, kurang 500 unit terjual pada Mei

Subaru of America telah mengumumkan angka jualan bagi Mei 2025, dan hasilnya boleh dikatakan bercampur-campur.

Walaupun jenama ini masih mencatat sedikit peningkatan secara keseluruhan untuk tahun ini, bulan Mei menyaksikan prestasi jualan yang kurang memberangsangkan, terutamanya bagi salah satu model ikoniknya.

Model yang dimaksudkan adalah WRX, yang mencatatkan kejatuhan mendadak dengan penurunan jualan sebanyak 71.2% berbanding bulan yang sama tahun lalu. Hanya 482 unit berjaya dijual sepanjang Mei, meneruskan tren penurunan yang telah bermula sejak tahun 2024.

Setakat ini, jualan WRX bagi 2025 menurun sebanyak 23.6%, selepas mencatatkan penyusutan 24.7% tahun lalu. Hanya 6,081 unit telah diserahkan sepanjang lima bulan pertama tahun ini, berbanding 18,587 unit yang dijual sepanjang tahun lalu.

Apa yang lebih menakutkan untuk Subaru, ini adalah sebelum sebarang kenaikan harga dilaksanakan.

Sebaliknya, BRZ menunjukkan prestasi yang lebih positif. Coupe kompak ini mencatat peningkatan jualan sebanyak 43.6% bagi bulan Mei, dengan 326 unit terjual. Jumlah keseluruhan untuk tahun ini juga meningkat 24.6%, dengan 1,459 unit telah dijual setakat ini.

Walaupun jumlahnya kecil, ia merupakan satu pencapaian positif dalam portfolio model berprestasi Subaru.

Model-model lain pula menunjukkan prestasi bercampur. Legacy dan Crosstrek masing-masing mencatat pertumbuhan 17.4% dan 14.1%. Namun begitu, peningkatan ini tidak cukup untuk menampung kejatuhan jualan model lain.

Ascent mencatat penurunan besar sebanyak 32.8%, manakala Outback menurun sebanyak 32.1%. Model elektrik sepenuhnya iaitu Solterra juga tidak terkecuali apabila jualannya susut 18.4% berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun berdepan penurunan pada beberapa model utama, jumlah keseluruhan jualan Subaru bagi tahun ini masih kekal positif. Setakat Mei 2025, Subaru telah menjual sebanyak 275,260 unit kenderaan, meningkat 3.0% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Namun, dengan prestasi lemah dalam beberapa segmen penting, usaha Subaru untuk mengekalkan pertumbuhan ini semakin mencabar.

Subaru Project Midnight adalah WRX paling pantas setakat ini

PADA 2020, Subaru memperkenalkan Airslayer, sebuah kereta berasaskan WRX STI yang menarik perhatian dunia dengan pelbagai stunt yang mengagumkan termasuk lompatan sejauh 230 kaki.

Kini, Subaru memperkenalkan pula evolusi kepada Airslayer yang dikenali sebagai Project Midnight. Ini merupakan kereta lumba WRX yang paling pantas pernah dihasilkan oleh Subaru Motorsports USA.

Tidak seperti Slayer yang dibangunkan untuk mendominasi Gymkhana dan rallycross, Project Midnight direka untuk satu tujuan sahaja iaitu kelajuan.

Oleh itu, langkah pertama yang diambil oleh Subaru adalah dengan mengurangkan berat. Project Midnight menggunakan badan gentian karbon dan casis yang lebih ringan, menjadikannya hampir 136 kg lebih ringan berbanding Airslayer dan 453 kg lebih ringan berbanding WRX standard.

Untuk aerodinamik, Subaru menggunakan kit badan ultra lebar dan spoiler lebih besar seperti yang terdapat pada kereta rali WRX ARA24, manakala untuk roda pula ia menggunakan rim OZ Racing Superturismo LMP berukuran 18 inci yang dibalut tayar Yokohoma Advan.

Selain itu, geometri sistem suspensi juga telah ditala semula untuk mendapatkan cengkaman yang lebih tinggi di atas permukaan tar.

Di bawah bonet adalah enjin turbo 2.0 liter empat silinder yang menghasilkan 670 hp dan 921 Nm. Diambil dari pasukan rallycross Subaru, enjin ini boleh berputar sehingga 9,500 rpm dan mempunyai ekzos yang keluar dari bonet.

Project Midnight akan membuat kemunculan sulungnya menerusi acara Goodwood Festival of Speed yang akan berlangsung bulan ini.

Subaru berkata Project Midnight akan mengharungi pelbagai cabaran dan menetapkan rekod baharu dengan bantuan pemandu Subaru Motorsports USA iaitu Scott Speed.

Inilah Subaru WRX wagon dengan manual 6-kelajuan yang kita tak boleh beli

SUBARU akhirnya memperkenalkan pakej kombinasi idaman ramai peminat tegarnya; WRX, wagon, dan manual. Ia hadir dalam bentuk Subaru WRX Sportwagon.

Masalahnya, seperti anda baca pada tajuk, kita tidak boleh membelinya. Subaru WRX Sportwagon ini hanya ditawarkan untuk Mexico. Ya, untuk Jepun atau Amerika Syarikat pun tiada.

Kenderaan prestasi tinggi wagon ini akan mula dijual di Mexico tidak lama lagi, dan tempahan sudah mula dibuka.

WRX Sportwagon dikuasakan oleh enjin 2.4-liter boxer 4-silinder turbo dengan output 271hp dan 350Nm tork. Enjin ini digandingkan dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

Ciri standard wagon adalah pintu but berkuasa dan tempat duduk belakang dengan lipatan 40/20/40.

Subaru WRX Sportwagon ini akan dijual pada harga MX$819,900 (RM230k). Sementara itu WRX tS berharga MX$919,900 (RM258k) manakala WRX dengan kotak gear CVT dijual pada MX$899,900 (RM252k).

Ramai peminat WRX wagon manual di sini? Adakah kemungkinan kita boleh beli dari Mexico dan import ke Malaysia? Tinggalkan pendapat anda di ruangkan komen.

Buku manual pemilik ada kesalahan, Subaru WRX 2022 dipanggil semula

SUBARU terpaksa memanggil semula lebih dari 4,600 unit model WRX 2022 disebabkan terdapat kesilapan dalam manual pemilik.

Menurut National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), manual itu berkemungkinan mengandungi arahan tidak betul untuk melaras sensitiviti lampu tinggi. Ia berkemungkinan menyebabkan kereta yang terbabit melanggar undang-undang Federal Motor Vehicle Safety Standards.

Panggilan semula itu melibatkan 4,615 unit WRX 2022 iaitu yang dilengkapi dengan ciri bantuan lampu tinggi itu. Kereta yang tidak hadir dengan ciri itu adalah terkecuali.

Arahan dalam manual itu telah merujuk kepada suis pemalap lain yang mungkin meningkatkan risiko kemalangan.

Subaru telah peka akan masalah ini pada Oktober lepas, menghabiskan dua bulan berikutnya menyiasat isu ini sebelum mengambil keputusan panggila semula itu. Mereka menyatakan tidak menerima sebarang kemalangan, kecederaan atau masalah berkenaan kesalahan ini.

Subaru WRX 2022 merupakan model yang direka semula dengan pelantar dan enjin baharu, dalam pakej yang sudah dikenali. Ia membawakan casis yang lebih tegar dari sebelum ini.

Subaru WRX dikuasakan oleh enjin 2.4-liter turbo boxer 4-silinder, peningkatan dari 2.0-liter. Enjin ini menjana 271hp dan 349Nm tork, dan kuasa dihantar ke semua roda melalui sistem AWD dan pilihan manual 6-kelajuan atau CVT.

Walaubagaimanapun, panggilan semula ini tidak memerlukan pemilik untuk hadir ke pusat servis. Subaru akan mengirim maklumat pembetulan kepada pemilik untuk dimasukkan ke dalam buku manual.

Subaru WRX 2022 dengan tambahan sedikit kuasa, rupa lebih rugged

PERCAYA atau tidak, sudah hampir 20 tahun Subaru WRX (sebelum ini menggunakan nama Impreza) berada di pasaran. Kini, sedan yang lahir dari dunia rali itu sudah pun memasuki generasi kelima dan kali ini ia tampil dengan enjin dan platform baharu, serta penambahan varian tertinggi yang dikenali sebagai GT.

Untuk model tahun 2022, WRX masih dikuasakan oleh enjin turbo flat-four namun kapasitinya telah dipertingkatkan dari 2.0-liter kepada 2.4-liter. Enjin tersebut menjana 271hp pada 5,600rpm, iaitu 3hp lebih tinggi berbanding sebelum ini, manakala tork pula sama seperti sebelum ini iaitu 349Nm dari 2,000 hingga 5,200rpm.

Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan transmisi manual enam kelajuan dengan nisbah gear yang dioptimumkan atau CVT Subaru Performance Transmission baharu yang mempunyai lapan nisbah kelajuan dalam mod manual. Menurut Subaru, transmisi automatik itu menawarkan penukaran gear yang lebih pantas – 30 peratus ketika menaikkan gear dan 50 peratus ketika menurunkan gear.

Seperti sebelum ini, kuasa disalurkan menerusi sistem pacuan semua-roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive dan Active Torque Vectoring. Karakteristik enjin dan transmisi pula boleh diubahsuai menerusi SI-Drive Performance Management System yang menawarkan tiga tetapan.

WRX baharu dibina di atas platform global Subaru (Subaru Global Platform) baharu yang membawakan beberapa penambahbaikan seperti tahap ketegaran yang lebih tinggi dan pusat graviti yang lebih rendah. Selain itu, bar penstabil belakang kini dipasang terus pada badan berbanding pada sub-rangka sebelum ini, manakala geometri suspensi diubah suai bagi mendapatkan kawalan stereng yang lebih responsif.

Sekilas pandang, reka bentuk model baharu ini tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model generasi terdahulu. Namun, jika diperhatikan dengan lebih teliti, ia jelas lebih agresif dengan gril heksagon dan skup bonet yang lebih besar, lampu belakang berbentuk-C serta kemasan plastik hitam di sekeliling badan.

Di dalam, WRX menampilkan rekaan kabin baharu dengan skrin sentuh menegak berukuran 11.6-inci sebagai elemen utama. Selain itu, terdapat juga stereng flat bottom, jahitan kontras berwarna merah, trim gentian karbon, sistem infotainmen Subaru Starlink dengan Apple CarPlay, Android Auto dan Bluetooth serta sistem teknologi EyeSight Driver Assist.

Barisan WRX 2022 akan diketuai oleh varian GT yang dilengkapi dengan peredam elektronik dengan tetapan Comfort, Normal dan Sport, serta sistem Drive Mode Select yang menawarkan sehingga 430 tetapan untuk stereng, peredam dan SI-Drive.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan kerusi Recaro dengan balutan Ultrasuede, rim aluminium aloi 18-inci berwarna kelabu matte serta beberapa ciri lain seperti Adaptive Cruise Control dan Automatic Emergency Steering.