Arkib Tag: world car of the year

Hyundai Ioniq 6 menang besar di World Car Awards 2023

HYUNDAI Ioniq 6 telah berjaya menggondol bukan satu atau dua, tetapi tiga anugerah World Car Awards 2023 di New York International Auto Show (NYIAS) baru-baru ini.

Diperkenalkan di peringkat global pada Julai tahun lalu, kenderaan elektrik (EV) itu merangkul anugerah World Car of the Year, World Electric Vehicle dan World Car Design of the Year. Ia dipilih oleh panel juri yang terdiri daripada 100 wartawan automotif dari 32 buah negara.

Apa yang menarik, ia merupakan kali kedua berturut-turut Hyundai memenangi tiga anugerah tersebut sekali gus. Tahun lalu, Ioniq 5 dipilih sebagai pemenang bagi kategori yang sama.

Ioniq 6 merupakan model kedua dalam barisan EV Hyundai yang dikenali sebagai Ioniq. Ia dibina menggunakan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) yang menawarkan pengecasan pantas 800V yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 18 minit.

Dengan pekali seret serendah 0.21, Ioniq 6 merupakan antara EV yang paling aerodinamik dan cekap tenaga dalam pasaran sekarang. Ia menawarkan jarak pemanduan sejauh 614 km dengan satu cas penuh dan kadar penggunaan tenaga 13.9 kWh/100 km bagi varian 2WD dengan tayar 18 inci.

Model ini menawarkan pelbagai teknologi canggih termasuk Vehicle-to-Load (V2L), sistem bantuan pemandu dan kemas kini perisian Over-The-Air (OTA).

Dengan tapak roda berukuran 2,950 mm, Ioniq 6 mempunyai ruang kabin yang luas dan ergonomik yang sarat dengan ciri-ciri terkini seperti pencahayaan ambien dwi warna, Electric Active Sound Design (e-ASD), panel instrumen digital dan pelbagai lagi.

Hyundai Ioniq 5 rangkul anugerah World Car of the Year 2022

HYUNDAI Ioniq 5 menang besar dalam World Car Awards tahun ini. Hatchback elektrik (EV) itu menjadi juara keseluruhan World Car of the Year 2022, dan turut menang dua anugerah lain.

Ioniq 5 mengalahkan dua finalis lain iaitu Ford Mustang Mach-E dan Kia EV6, yang juga berkongsi platform dengan Hyundai itu.

Ioniq 5 turut memenangi anugerah World Electric Vehicle of the Year 2022. Dua lagi finalis lain dalam kategori ini adalah Audi E-Tron GT dan Mercedes-Benz EQS, kedua-duanya jauh lebih mahal dari Ioniq 5!

Satu lagi anugerah yang dimenangi crossover EV ini ialah World Car Design of the Year 2022.

Hyundai Ioniq 5 ditawarkan di Malaysia dalam tiga varian dengan harga seperti berikut:

Ioniq 5 Lite: RM199,888 (58.2kW)
Ioniq 5 Plus: RM229,888 (58.2kWh)
Ioniq Max: RM259,888 (72.6kWh)

Harga di atas adalah termasuk jaminan kenderaan 2-tahun atau 50,000km dan jaminan bateri EV untuk 8-tahun atau 160,000km (yang mana dahulu).

Bergantung kepada varian, Hyundai Ioniq 5 hadir dengan dua pilihan pakej bateri iaitu 58kWh (untuk Lite dan Plus) dan 72.6kWh (untuk Max).

Varian dengan 58kWh mendapat satu motor di gandar belakang berkuasa 170PS (125kW) dan 350Nm, menjadikannya sebuah kenderaan rear-wheel drive.

Powertrain ini cukup untuk membantu Ioniq 5 memecut dari pegun ke 100km/j dalam 8.5 saat dan memberikan jarak pemanduan 384km (mengikut kitaran WLTP).

Sementara itu, varian Max yang lebih berkuasa dibekalkan dengan pek bateri 72.6kWh yang menghasilkan 305PS (225kW) dan 605Nm, dan ia mampu mencapai 100km/j dalam hanya 5.2 saat.

Varian ini dilengkapi dua motor elektrik (satu di depan dan satu di belakang) menjadikannya all-wheel drive. Jarak pemanduan pula ialah sehingga 430km untuk setiap caj penuh.

Kelajuan maksima untuk kesemua varian adalah 185km/j.