Arkib Tag: Wira

Proton Wira 1.5 Aeroback di UK ini mahu dijual dengan RM4.4k sahaja, perbatuan cuma 51k km!

SEBUAH Proton Wira 1.5LXi Hatchback disenaraikan untuk dijual di Worcester, Worcestershire, United Kingdom (UK) dengan harga GBP800 (RM4,356).

Wira 1.5 Hatchback atau lebih dikenali sebagai Aeroback di Malaysia ini didaftarkan pada tahun 2000 dan menurut iklan di laman Facebook UK Spec Proton, kereta ini mempunyai perbatuan cuma sekitar 32,000 batu (51,499km).

Jika dilihat pada gambar, memang Wira ini nampak masih sangat cantik dan terjaga, keadaannya dikira sangat baik untuk kereta berusia 22 tahun. Kereta 10 tahun pun belum tentu dapat kekalkan keadaan sebegini!

Proton Wira ini dikatakan hanya dimiliki oleh seorang pemilik sebelum ini, dan ia juga secara kasar menunjukkan satu petanda baik sekiranya anda mahu cari kereta terpakai.

Bahagian dalaman juga kelihatan terjaga rapi dengan karpet bersih, papan pemuka kemas, tempat duduknya sedikit kusam tetapi kusyennya masih berbentuk cantik.

Menurut iklan ini lagi, Proton Wira 1.5 ini telah lulus ujian MOT (Ministry of Transport, seperti ujian Puspakom di Malaysia), mempunyai tayar baharu dan boleh dipandu dengan baik.

Proton Wira 1.5LXi ini merupakan model S edisi terhad yang diberikan potongan harga oleh Proton UK untuk menghabiskan stok-stok lama sebelum model dengan enjin VDO-Siemens diperkenalkan.

Inilah sebabnya Wira ini tidak mempunyai rim sport dan mempunyai pakej jaminan yang lebih ringkas semasa ia masih baharu. Oh ya, Wira 1.5 ini dilengkapi sunroof yang datang dari kilang!

Apa pun, cukup menarik untuk melihat model-model Proton lama (era sebelum Waja) yang masih dalam keadaan baik, lebih-lebih lagi di pasaran eksport seperti UK.

Jika anda seorang rakyat Malaysia yang tinggal di UK, adakah anda akan beli kereta ini? Terasa nostalgia pula melihat Wira Aeroback dengan panel hitam di tiang-C dan tulisan ‘proton’ di situ.

Di Malaysia, Proton Wira pernah ditawarkan varian 1.3 GL, 1.5 GL, 1.5 GLi, 1.6 XLi dan 1.8 EXi. Bergantung kepada varian, Wira boleh didapati dengan pilihan sedan dan Aeroback serta pilihan transmisi manual 5-kelajuan serta automatik 3-kelajuan.

Akibat sekat aliran trafik, polis rakam percakapan pemandu Wira

POLIS merakam percakapan seorang lelaki dipercayai telah bertindak menyekat aliran trafik di sebuah lampu isyarat dekat Setiawan, Perak baru-baru ini.

Keterangan diambil berikutan laporan polis dibuat kira-kira pukul 2.29 petang tadi (Isnin).

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP Chong Boo Khim berkata, pihaknya turut merampas kenderaan milik suspek jenis Proton Wira.

“Lelaki berusia 29 tahun itu telah dirakam percakapan dan polis telah merampas sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna kelabu berjalur kuning,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial tindakan sebuah kereta menyekat aliran trafik bagi memberi laluan kepada konvoi sekumpulan kereta.

Sementara itu, polis mengesahkan suspek bebas daripada pengaruh dadah selepas menjalani ujian air kencing.

Kes disiasat mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu galangan disebabkan kenderaan di jalan.

Insiden melibatkan orang awam berlagak seperti pihak berkuasa mengawal aliran trafik semakin menjadi-jadi.

Antara mencuri perhatian tindakan seorang lelaki berlagak seperti polis trafik ketika menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi di Melaka.

Pokok tumbang hempap Proton Wira, seorang mekanik maut

SEORANG lelaki maut selepas kereta jenis Proton Wira dipandunya dihempap sebuah pokok dalam satu kejadian di Jalan Perak, Georgetown hari ini.

Mangsa Yong Geeng Huei, 53, merupakan seorang mekanik dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Memetik laporan Bernama, kenderaan mangsa dihempap sebatang pokok yang mempunyai ukur lilit lebih dua meter.

Ia secara tidak langsung menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu dan mengalami kecederaan serius.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Proton Wira bertembung Yamaha Y150, tiga maut

KEMALANGAN membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Kuala Nerang-Semeliang menyaksikan tiga individu maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki.

Insiden jam 4.15 petang semalam melibatkan kenderaan jenis Proton Wira dan motosikal jenis Yamaha Y150 atau Y15.

Memetik laporan media, mangsa meninggal dunia adalah pemandu kereta dan seorang penumpang serta penunggang motosikal.

Siasatan polis mendapati kemalangan berlaku apabila kereta terbabit terbabas sebelum melanggar sebuah motosikal dari arah bertentangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.