fbpx

Ini senarai Proton limousine yang anda wajib tahu

proton limousine thumbnail

SELAIN barisan SUV dan beberapa sedan yang ditawarkan hari ini, Proton juga pernah mengeluarkan model-model limousine.

Limousine seperti yang kita semua tahu adalah versi sedan lebih panjang, dan diasaskan dari model-model sedan yang dijual Proton pada masa itu.

Harus diingat juga limousine adalah berbeza dari versi Executive yang pernah dikeluarkan Proton. Executive juga mempunyai jarak roda lebih panjang, tetapi pintu belakang dipanjangkan dan masih bersambung dengan pintu depan.

Limousine mempunyai pintu belakang bersaiz biasa, jadi dengan jarak roda lebih panjang, ia terpisah dari pintu depan. Ada juga model-model limousine yang mempunyai enam pintu, bermakna dua pintu tambahan antara depan dan belakang.

Jadi dalam artikel ini, mari kita lihatkan model-model Proton limousine yang wajib anda tahu.

Proton Saga dan Iswara Limousine

Disebabkan Saga dan Iswara adalah dua model yang hampir sama dengan penawaran enjin sama, kita masukkan kedua-dua model ini di bawah satu sub-topik.

Saga dan Iswara Limousine dikeluarkan sekitar tahun 90-an dan ditawarkan dengan beberapa saiz panjang, iaitu 4.8 meter, 5.1 meter, dan 5.5 meter. Menarik, bukan?

Lebih menarik lagi ialah harganya sekitar RM69,800 hingga RM165,000 sahaja, jauh lebih murah berbanding limousine-limousine jenama mewah lazim yang berharga dua atau tiga kali ganda lebih.

Model Limousine mendapat ciri premium seperti bumbung dengan lapisan vinil, rim aloi 14-inci, unit penghawa dingin depan dna belakang, dan tingkap berkuasa. Terdapat juga pelindung angin, perehat tangan tengah untuk penumpang belakang, kemasan krom, bumbung baldu, dan karpet mewah.

Proton Saga Grand Limousine dipertontonkan buat pertama kali pada Julai 1990 di Pameran Perdagangan Antarabangsa Shah Alam.

Proton Wira Grand Limousine

Mungkin Proton Wira Grand Limousine ini jawapan bagi mereka yang merasakan Wira Executive tidak cukup panjang. Ini kerana Wira Grand Limousine mempunyai jarak roda tambahan 915mm dari model sedan standard.

Hanya 25 unit pernah dikeluarkan, menjadikan Wira ini lebih rare dari Satria R3! Malah Wira Grand Limousine juga dibina di Australia dan bukannya di Malaysia.

Wira Limo ini dilengkapi dengan ciri-ciri seperti televisyen dengan pemain video, antena boomerang, kemasan kulit Connolly, meja dengan laci, cermin privasi antara depan dengan belakang, dan sistem intercom dengan pemandu.

Ia juga dilengkapi karpet lantai dari bulu biri-biri, kemasan kayu di papan pemuka, lampu bacaan di belakang, lampu ambien, dan bumbung balutan PVC lembut. Cukup mewah, bukan? Lebih-lebih lagi semasa tahun keluarannya pada 1996 itu.

Wira Grand Limousine dipacu enjin 1.6-liter 4-silinder dengan 113hp dan 137Nm tork. Harganya pada masa itu ialah RM108,358.97.

Proton Perdana Limousine

Ini ialah Perdana generasi lama, sebelum keluaran model V6. Tidak banyak info yang dapat kami kumpulkan melainkan gambar-gambar risalah rasmi.

Kami syak ia menggunakan enjin 4-silinder yang sama dengan Perdana SEi, iaitu 2.0-liter 4G63.

Proton Perdana (Accordana) Limousine

Untuk Perdana yang direbadge dari model Honda Accord, terdapat beberapa versi limousine. Yang pertama ialah versi lebih ‘marhaen’ untuk kegunaan para menteri kabinet dengan tambahan panjang 457mm, tiada perubahan yang banyak.

Kemudian terdapat tiga yang dibina khas untuk Najib Razak, Muhyiddin Yassin, serta satu unit pemanduan sebelah kiri untuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

Satu lagi versi adalah lebih mewah dengan pengeluaran lebih terhad. Perdana Limousine ini dihasilkan khas hanya untuk bekas Perdana Menteri Malaysia ketujuh, Tun Dr Mahathir.

Unit ini menerima sentuhan peribadi Tun, bermula dengan rim OZ Racing Italia 150 dan kabin belakang khas berwarna merah, lengkap dengan mesin kopi Nespresso.

Kedua-dua tempat duduk individu di belakang mempunyai pelarasan elektrik dengan kawalan yang dipasang pada panel pintu ala Mercedes-Benz. Sistem audio teater rumah Bose juga dapat dilihat.

Di bahagian depan pula, ia mempunyai butang push-start yang diletakkan di tengah, brek parkir elektronik, dan sesuatu yang agak luar biasa, iaitu tombol gear berputar ala Jaguar.

Proton Chancellor

Proton Chancellor diasaskan dari Waja, dengan tambahan panjang sebanyak 250mm. Ia mendapat enjin berbeza, menggunakan V6 2.0-liter dari Perdana V6 dengan gandingan kotak gear automatik 4-kelajuan. Enjin ini menghasilkan 150hp dan 179Nm tork.

Perkara menarik mengenai Proton Chancellor ialah prototaipnya pernah dihantar ke Sepanyol untuk ujian sejauh 220,000km di atas permukaan tidak rata Belgian Pave. Menurut Proton, ujian yang sama ini dilalui oleh kenderaan-kenderaan Lotus.

Terdapat juga penambahan struktur di casis dan bumbung, menjadikan Proton Chancellor lebih keras berbanding Perdana Executive. Ia direka untuk pegawai tinggi kerajaan dan golongan atasan syarikat. Harga jualannya ketika itu (2005) ialah RM138,000.

Tetapi bagi kami, Proton Chancellor lebih kepada Waja Executive. Hasil kajian kami, terdapat juga Waja Limousine sebenar yang panjang. Tetapi tiada info lanjut mengenainya, kami syak ia menggunakan enjin 1.6-liter Campro standard.

Sumber gambar: Stail.my, Harian Metro, Motoqar, Pandulaju, Wayne Phang, Kereta.info, Wapcar

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved