Arkib Tag: waranti

Pemilik Honda City kecewa, baru cecah 20,000 km sudah rosak, tak boleh tuntut waranti

Seorang pemuda dilapor sangat kecewa dengan layanan buruk yang diberikan oleh jenama terkenal di Malaysia.

Menurut laporan laman Sinar Harian, pemilik kereta jenis Honda City, Heinrich Tan mendakwa beliau diminta untuk menyelesaikan kos pembaikan kenderaan sebanyak RM13,000 dan tidak boleh membuat tuntutan waranti.

Pemilik tersebut turut berkongsi kronologi peristiwa yang berlaku kepada dirinya di laman Facebook peribadi, di mana beliau mula menghantar kereta tersebut ke Honda Ban Lee Heng Melaka untuk servis 20,000 km pada Januari lepas.

Malangnya, ketika dalam perjalanan pulang, beliau mendapati ikon suhu kenderaan berkelip, dan setelah melakukan pemeriksaan mendapati tangki radiator kering walaupun baharu sahaja siap menjalani servis.

Menurut Heinrich, beliau tidak dapat melakukan tuntutan waranti disebabkan enjin keretanya dikatakan ‘sudah rosak’ sejak Julai 2023 berdasarkan laporan yang dihantar oleh sebuah pusat servis rasmi Honda di Johor Bahru pada bulan yang sama.

Biarpun menggunakan perkhidmatan servis jenama tersebut, Heinrich mendakwa proses siasatan yang dilakukan terhadap keretanya amat melulu, ditambah pula dengan tindakan pihak Honda Malaysia yang mahu terus menutup kes tersebut.

Heinrich menjelaskan beliau terpaksa membayar sendiri kos pembaikan berjumlah RM7,961.45 selepas diskaun, dan keretanya dibenarkan keluar dari pusat servis selepas dua bulan lebih berlalu.

Jelas sekali pemilik ini berasa sangat kecewa dengan sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh pihak Honda Malaysia sepanjang mengendalikan kes kerosakan melibatkan kereta milik beliau.

Pada akhir hantaran, beliau turut berharap agar pihak Honda Malaysia dapat mengendalikan kes ini secara adil.

Ducati Malaysia umum Waranti Kilang 3 Tahun Ever Red

Berita baik bagi bakal pemilik motosikal Ducati yang dibeli selepas 1 Mac 2024 apabila Ducati Malaysia mengumumkan waranti kilang Ever Red tiga tahun. 

Pengumuman terbaru itu menyaksikan kesemua model Ducati termasuk Scrambler Ducati keluaran 2024 antaranya Panigale V4 dan Scrambler termaktub dalam waranti kilang tiga tahun tersebut. 

Menurut Ducati, waranti kilang tiga tahun ini adalah khas untuk pemilik Ducati di Malaysia. 

Antara ditawarkan menerusi waranti tiga tahun Ever Red ini termasuk perbatuan tanpa had dan pindah milik waranti sekiranya motosikal masih berada dalam lindungan waranti tiga tahun. 

Proton beri jaminan lanjutan selama setahun untuk kenderaan pra-milik

BAGI memberikan ketenangan minda kepada pembeli, Proton mengumumkan bahawa mereka akan memberikan jaminan lanjutan selama satu tahun untuk semua kenderaan Pra-Milik Bertauliah Proton (PCPO).

Berkuatkuasa serta-merta, semua kenderaan PCPO yang dijual melalui cawangan kereta terpakai Proton layak untuk Program Waranti Lanjutan PCPO (PCPO-EW) yang ditaja jamin oleh Allianz General Insurance.

Di bawah program ini, bahagian enjin dan transmisi yang didapati rosak semasa penggunaan biasa akan dibaiki atau diganti untuk tempoh 25,000 km atau 12 bulan.

“Proton ingin mengalu-alukan Allianz sebagai rakan kongsi insurans dalam usaha kami untuk memberikan jaminan tambahan kepada pelanggan. Dengan jaminan lanjutan, pemilik kenderaan PCPO dilindungi daripada kos yang tidak dijangka akibat kegagalan mekanikal untuk bahagian enjin dan transmisi,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.

Sejak penubuhannya pada 2019, unit Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) Proton telah memperkenalkan prosedur operasi dan menyediakan latihan kepada pemeriksa kereta terpakai untuk menguruskan transaksi di setiap cawangan dan memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah selaras dengan paras yang ditetapkan oleh jenama itu. Kini, terdapat 36 cawangan yang menjual kenderaan PCPO dalam negara.

“Dengan jumlah jualan Proton yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah melihat peningkatan yang sama dalam transaksi jual beli atau tukar beli. Oleh itu, dengan mengutamakan kepuasan pelanggan, kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami untuk memastikan pemilikan kenderaan PCPO adalah pengalaman yang memuaskan dan setanding dengan jenama lain,” tambah Roslan Abdullah.

Tangkap layar laman web kereta terpakai Proton

Kenderaan yang dijual di bawah program PCPO menjalani pemeriksaan menyeluruh 201 mata dan dijamin bebas daripada sebarang kerosakan banjir atau kemalangan besar. Selain menikmati jaminan lanjutan setahun yang meliputi enjin dan transmisi, pelanggan juga mendapat sekali perkhidmatan servis asas yang percuma selepas 6 bulan dari tarikh pembelian.

Dengan peralihan kepada platform dalam talian yang makin meningkat, UCM juga telah menubuhkan laman web khusus untuk kereta terpakai Proton untuk menarik pembeli yang mahir teknologi. Pengguna boleh melihat stok tanpa mengunjungi bilik pameran dan melayari laman web untuk mendapatkan anggaran harga pasaran bagi kereta terpakai.

Pelanggan Mercedes-Benz Malaysia kini boleh langgan Program Waranti Terhad Lanjutan

MERCEDES-Benz Services Malaysia dan Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Program Waranti Terhad Lanjutan (Extended Limited Warranty Programme) yang ditawarkan dengan kerjasama AXA Affin General Insurance Berhad.

Ditawarkan kepada pemilik kenderaan Mercedes-Benz tahun kelima dan keenam, program ini mempunyai dua pelan perlindungan iaitu Essential dan Comprehensive. Ia menawarkan fleksibiliti untuk langganan selama satu atau dua tahun, dengan perlindungan sehingga RM250,000 setiap pelan.

Komponen yang digantikan di bawah pelan ini dilindungi oleh jaminan Mercedes-Benz Parts selama 24 bulan yang membolehkan pembaikan atau penggantian percuma di mana-mana pusat servis Mercedes-Benz walaupun telah melebihi tempoh jaminan lanjutan.

Selain itu, program ini juga menyediakan perlindungan perbatuan tanpa had untuk kereta tidak melebihi 125,000 km sebelum tahun kelima mereka dan 150,000 km sebelum tahun keenam mereka.

Jadual-jadual berikut menunjukkan harga bagi pakej perlindungan Essential dan Comprehensive untuk model-model yang ditawarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia:

Pakej perlindungan Essential menawarkan perlindungan terhad komponen-komponen seperti pendingin hawa, brek, enjin, pacuan roda depan dan belakang, tingkap kuasa, stereng, suspensi dan juga transmisi.

Sementara itu, pakej Comprehensive pula meliputi sembilan komponen tambahan daripada pakej Essential iaitu komponen keselamatan aktif dan pasif, topang Airmatic, sistem audio, ECU, sistem pemantauan tekanan tayar, kluster instrumen, sensor, komponen elektrikal serta sistem infohibur belakang untuk kenderaan terpilih.

Kedua-dua pakej ini boleh dipilih semasa atau selepas pembelian kenderaan, untuk kenderaan baharu atau pra-milik dalam tempoh empat tahun pertama dari tarikh pendaftaran.

Setiap pelanggan layak mendapat tuntutan berjumlah RM125,000 untuk pelan Essential dan RM150,000 untuk pelan Comprehensive untuk pembelian secara individu, dan RM200,000 (Essential) dan RM250,000 (Comprehensive) untuk pelanggan yang membeli perlindungan tahun kelima dan keenam secara kombo.

Volvo Car Malaysia lancar program jaminan alat ganti sepanjang hayat untuk pemilik

PELANGGAN dan pemilik Volvo kini tidak perlu risau lagi akan alat ganti kenderaan mereka. Volvo Car Malaysia hari ini melancarkan program jaminan baharu iaitu Customer Lifetime Parts Warranty.

Di bawah program jaminan ini, pelanggan yang telah membeli dan memasang alat ganti tulen Volvo melalui wakil pengedar sah Volvo mulai 1 Oktober 2021 akan layak untuk mengambil bahagian dalam program ini.

Jaminan itu bermula pada tarikh pembelian alat ganti kereta dan sah selagi kereta tersebut berada di bawah hak milik pemilik kereta yang didaftarkan.

Sekiranya pelanggan memerlukan pembaikan atau penggantian mana-mana bahagian Volvo yang tulen kerana kerosakan bahan atau pembuatan, Volvo Car Malaysia akan membaik pulih dan mengganti alat ganti tersebut secara percuma.

Sebaliknya, pelanggan yang memiliki model lama kereta Volvo yang tidak mengunjungi wakil pengedar Volvo lebih dari dua tahun perlu membawa kereta mereka untuk menjalani Pemeriksaan Kenderaan Volvo (Volvo Health Check).

Keperluan ini membolehkan pelanggan layak untuk mengambil bahagian dalam program jaminan ini sambil memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan tidak diubah suai dengan apa cara sekalipun.

Pelanggan kemudiannya boleh membeli alat ganti di bawah program jaminan ini dan diminta untuk menghantar kereta ke mana-mana pengedar sah Volvo untuk perkhidmatan servis di masa hadapan bagi memastikan jaminan tersebut sah digunakan.

Customer Lifetime Parts Warranty tidak termasuk alat ganti haus dan lusuh (wear and tear) seperti yang dinyatakan dalam manual jaminan.

Anda boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Volvo kami untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai skop keseluruhan bahagian yang dilindungi.

Pemilik Ferrari LaFerrari kini dapat lanjutan waranti

BERTUAH betul pemilik Ferrari LaFerrari, sudahlah dapat memilik jentera flagship yang terhad dari jenama Prancing Horse, kini dapat pula satu lagi berita baik. Jaminan dan program servis penyelenggaraan mereka dipanjangkan pula.

Ferrari mengumumkan lanjutan jaminan ini khas untuk dua varian LaFerrari iaitu model coupe dan Aperta iaitu convertible/spyder.

Dinamakan LaFerrari Power, servis ini khas untuk mereka yang mahu mengekalkan prestasi kereta hibrid pertama Ferrari itu, yang dilengkapi dengan sistem HY-KERS dari Formula 1.

LaFerrari Power ialah program dua-tahun yang boleh diperbaharui dan boleh diaktifkan di mana-mana pengedar rasmi Ferrari, tanpa mengira tahun pengeluaran kereta.

Pemilik LaFerrari atau LaFerrari Aperta yang mengambil program ini akan mendapat lanjutan jaminan kilang termasuk untuk sistem HY-KERS dan bateri bervoltan tinggi.

Ini ialah kali pertama Maranello menawarkan lanjutan jaminan untuk salah satu model terhad mereka. Ini juga menunjukkan kualiti dan ketahanan kereta-kereta ini.

LaFerrari Power juga merangkumi penyelenggaraan berjadual tahunan dimana juruteknik terlatih akan membuat pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kereta berada pada tahap optimum.

Pelancaran LaFerrari Power ini serentak dengan ulangtahun ke-10 pengenalan Genuine Maintenance, iaitu program penyelenggaraan premium yang memberikan jaminan model-model terkini Ferrari hingga tujuh tahun.

Ducati beri diskaun 15 peratus tukar alat ganti tamat waranti

BERITA gembira untuk semua pemilik jentera Ducati di Malaysia.

Ducati Malaysia menawarkan diskaun sehingga 15 peratus untuk alat ganti bagi sebarang pembaikan yang tidak lagi dilindungi waranti.

Selain itu, syarikat berkenaan turut menawarkan diskaun khas sehingga 35 peratus bagi aksesori dan pakaian kepada pelanggan yang membuat temujanji.

Pengurus Besar Ducati Malaysia Dennis Michael berkata, tawaran ini sebagai penghargaan kepada para pelanggan yang sentiasa menyokong jenama itu.

“Ini adalah tanggungjawab kami kepada para pelanggan dan pemilik jenama Ducati dalam mengharungi pandemik Covid-19 yang mencabar ini,” katanya.

Foto ihsan Ducati Malaysia

Sementara itu, Ducati Malaysia turut menawarkan lanjutan masa sehingga tiga bulan bagi kenderaan yang tempoh jaminannya berakhir antara Ogos 2021 hingga September 2021.

Lanjutan jaminan ini khusus kepada pemilik jentera yang berdepan masalah menghantar motosikal untuk diselenggara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, para pelanggan dinasihatkan membuat temujanji dengan pusat servis Ducati berdekatan.

Program lanjutan jaminan berakhir 15 Oktober 2021.