Arkib Tag: volkswagen golf

Rasmi: Volkswagen Golf GTI dan R generasi baharu takkan dapat manual

VOLKSWAGEN mempamerkan Golf GTI 2025 di acara CES Las Vegas bulan depan, dan para pengamal media telah bertanyakan pihak pengeluar akan hala tuju hot hatch itu.

Satu perkara utama yang ditanya adalah berkenaan penawaran kotak gear manual, dan perkara paling ditakuti telah berlaku. Tiada lagi kotak gear manual 6-kelajuan selepas model tahun 2024 ini.

Dalam satu emel kepada Motor1, Pakar Komunikasi Produk Volkswagen Amerika, Jerohn Anderson berkata, “Saya boleh maklumkan bahawa transmisi manual tidak akan ada lagi selepas Golf GTI dan Golf R MY2024.”

Itu dia tuan-tuan dan puan-puan.

Ada yang berkata VW mungkin berubah fikiran dengan piawaian Euro 7 yang kurang ketat, tetapi Golf GTI yang didedahkan untuk pasaran Eropah baru-baru ini hanya datang dengan DSG.

Walaupun dengan Euro 7 yang kini dilonggarkan, perubahan itu sedikit lewat untuk mengekalkan manual. Golf GTI Mk8.5 telahpun hampir siap pembangunannya.

Hal yang sama akan berlaku untuk Golf R, tiada lagi manual terutamanya untuk Eropah dan Amerika Utara.

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna tiada langsung manual untuk Golf 8. Beberapa pasaran akan mendapat versi lebih murah dengan enjin 1.5 TSI petrol dan 2.0 TDI diesel yang digandingkan dengan tiga-pedal.

Berakhirnya penawaran manual ini pastinya suatu kekecewaan buat peminat tegar yang mahu membeli GTI atau R.

Dalam perkembangan lain, VW belum bersedia mendedahkan Golf R facelift yang dijangka membuat premier global pada pertengahan tahun ini. Golf R wagon juga belum dipastikan untuk pasaran Eropah.

GTI dan R yang dikemaskini ini akan menjadi Golf terakhir dengan enjin pembakaran dalaman (ICE). VW akan menggantikan Golf Mk8 dengan model elektrik sepenuhnya.

Mereka telahpun mendaftarkan tanda nama GTI baharu dengan huruf terakhir digantikan dengan simbol petir.

Volkswagen Golf GTi kini dengan IQ. Drive – ACC, AEB, dari RM245k

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan Golf GTi Mk8 yang dikemaskini, ia kini mendapat IQ. Drive iaitu sistem bantuan pemandu (ADAS).

IQ. Drive pada Golf GTi Mk8 terdiri dari Travel Assist dan Adaptive Cruise Control (ACC) untuk pengesan kenderaan di hadapan, Side Assist untuk bantuan titik buta, dan Rear Cross Traffic Alert untuk bantuan aktif semasa mengundur.

Terdapat juga Front Assist iaitu ciri bantuan brek automoni. Ia menggunakan pengesan radar di depan untuk memantau jarak kenderaan di hadapan dan turut mampu mengenal pasti kehadiran pejalan kaki dan penunggang basikal.

Sementara itu, Lane Assist dan Adaptive Lane Guidance masing-masing membantu kenderaan agar tidak terkeluar dari lorong dan mengekalkan kenderaan di tengah-tengah lorong.

Selain dari ciri keselamatan, Golf GTi 2023 mendapat ciri tambahan merangkumi  pengecaj tanpa-wayar, sulaman logo “GTI” pada tempat duduk depan, lampu kabus, cermin sisi boleh laras dengan pemanas, dan kini dengan tujuh beg udara.

Sistem pacuan dikekalkan, bermakna Golf GTi masih dikuasakan oleh enjin 2.0-liter 4-silinder TSI yang menjana 242hp dan 370Nm tork. Output disalurkan ke roda depan melalui kotak gear DSG 7-kelajuan dan sistem XDS.

Untuk harga, terdapat sedikit penambahan kerana ia kini dijual pada harga bermula RM244,990 atas jalan, tanpa insurans. Tetapi memandangkan Golf R-Line kini tidak lagi dijual, ini menjadikan GTi masih varian Golf paling mampu milik di Malaysia.