Arkib Tag: veloz

Perodua Alza recall: Pemilik terima surat untuk pemeriksaan suspensi depan

PEMILIK-pemilik Perodua Alza generasi-kedua yang telah menerima surat jemputan panggilan semula (recall) boleh membawa kenderaan mereka untuk khidmat pemeriksaan kualiti.

Menurut surat yang dikongsi oleh seorang pemilik dalam forum Facebook Perodua Alza D27A Malaysia, isu itu adalah berkenaan suspensi depan dimana bolt mungkin perlu diketatkan jika ia longgar.

Kerja-kerja pemeriksaan itu akan mengambil masa sejam, dan semua kos ditanggung oleh Perodua.

Gambar oleh: Facebook Perodua Alza D27A Malaysia

“Kami memberi jaminan kenderaan anda selamat dipandu. Pemeriksaan kualiti ehsan ini bagi memberikan standard kualiti dan penjagaan tertinggi buat pelanggan kami yang dihargai” tulis surat itu.

Pemeriksaan bahagian atas suspensi depan ini difahamkan adalah serupa dengan kempen yang dijalankan untuk Toyota Veloz dan Vios sebelum ini.

Toyota Veloz rasmi dilancar – CKD, satu varian, TSS, RM95k

TOYOTA Veloz dilancar secara rasmi hari ini selepas dibuka tempahannya sejak Jun lepas. Ia ditawarkan dalam satu varian tunggal di Malaysia, dengan harga RM95,000.

Harga ini juga termasuk jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan dan bantuan Road Assist 24SEVEN untuk bantuan kecemasan tepi jalan.

Baik, jadi apa yang anda dapat untuk tambahan RM20k dari Perodua Alza AV yang berharga RM75,500?

Seperti yang anda semua mungkin sudah ketahui, Toyota Veloz merupakan ‘kembar’ Perodua Alza (dan Daihatsu Xenia di Indonesia), kesemua model ini dibangunkan pada pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture).

Veloz juga berkongsi enjin yang sama, iaitu unit 2NR-VE 1.5-liter 4-silinder DOHC dengan kuasa 105hp dan 138Nm tork. Enjin ini menghantar outputnya ke roda depan melalui kotak gear CVT. Terdapat juga mod pemanduan Normal, Eco dan Power.

MPV segmen-B ini dipasang secara CKD di Malaysia, dan hadir dengan lima pilihan warna: White, Metallic Bluish Black, Red Metallic, Silver Metallic (with Black Roof), dan Blue Metallic (with Black Roof).

Dari segi rupa luaran, Toyota Veloz mendapat lampu LED sepenuhnya untuk depan dan belakang, serta lampu kabus. Lampu depan ini juga lengkap dengan fungsi auto-levelling, Follow Me dan Adaptive Driving Beam.

Veloz juga dilengkapi rim 17-inci dan jarak kelegaan tanah 205mm. Ini adalah lebih tinggi berbanding Alza yang hadir dengan pilihan rim 15- serta 16-inci, dan mempunyai kelegaan tanah 160mm.

Selain itu, Toyota Veloz dilengkapi rel bumbung yang mampu menampung sehingga 75kg.

Di bahagian dalam, ia menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan baris kedua dan ketiga yang boleh dilipat untuk pelbagai keperluan. Tempat duduknya mendapat balutan kulit, selain lampu ambient biru di panel pintu dan konsol tengah.

Di depan pemandu, Veloz dilengkapi dengan paparan digital 7-inci dimana anda boleh menukar mod paparan atau susunan meter kepada empat pilihan.

Unit infotainmen di konsol tengah pula ialah skrin sesentuh 9-inci yang menyokong Android Auto dan Apple Carplay tanpa-wayar.

Ciri lain termasuklah pengecaj tanpa-wayar Qi, tiga soket USB, satu soket 12 volt, dan 15 pemegang cawan di seluruh kabin.

Sistem pendingin hawa adalah jenis automatik, manakala terdapat satu lagi panel di tengah siling untuk penumpang barisan kedua dan ketiga.

Untuk keselamatan, Toyota Veloz mendapat pakej Toyota Safety Sense yang terdiri dari empat sistem utama iaitu Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP), dan Lane Keeping Control (LKC).

Ciri keselamatan lain termasuklah enam beg udara, Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, dan perakam digital (dashcam).

Toyota Veloz – 5,200 tempahan diterima, pelancaran tidak lama lagi

UMW Toyota Motor  (UMWT) mengumumkan bahawa mereka telah menerima 5,200 tempahan untuk Toyota Veloz. Jika anda masih ingat, MPV tujuh tempat duduk itu dibuka untuk tempahan pada 24 Jun lalu.

Tarikh pelancaran Veloz masih belum diumumkan, namun menurut UMWT, kembar kepada Perodua Alza itu akan membuat kemunculan rasminya di pasaran Malaysia “tidak lama lagi”.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, “Pengenalan Toyota Veloz akan menjadi detik penting bagi kami dan kami yakin ia akan menjadi popular di kalangan rakyat Malaysia dengan tawaran premium bernilai untuk wang, ciri-ciri canggih dan sudah tentu, kualiti dan kebolehpercayaan Toyota yang terkenal.”

Seperti Alza, Veloz dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder 2NR-VE dengan Dual VVT-i. Enjin berkenaan dipadankan dengan transmisi D-CVT yang memacu roda depan.

Ditawarkan dalam varian tunggal dengan harga jangkaan sekitar RM95,000, ia didatangkan standard dengan lampu LED, rel bumbung, brek parkir elektronik, paparan multi-info berukuran tujuh inci, paparan audio sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem keselamatan Toyota Safety Sense.

Prestasi jualan Ogos

Dalam pada itu, UMWT turut mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Ogos 2022, di mana mereka berjaya menjual sebanyak 8,961 unit kenderaan Toyota dan 130 unit kenderaan Lexus, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 9,091 unit. Angka ini menunjukkan peningkatan berbanding 6,637 unit yang direkodkan pada Julai 2022.

Sementara itu, jumlah jualan keseluruhan untuk tahun ini setakat Ogos adalah sebanyak 61,639 unit bagi jenama Toyota dan Lexus, naik 62 peratus berbanding 38,085 unit yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Fortuner, Hilux dan Innova baharu

UMWT juga akan memperkenalkan model siri Innovative International Multi-Purpose Vehicle (IMV) yang dipertingkatkan iaitu Fortuner dan Hilux pada September, dan Innova pada Oktober. Tempahan untuk model-model siri IMV itu telah pun dibuka pada 1 September lalu.

Toyota Veloz dibuka untuk tempahan – 1.5, D-CVT, RM95,000

UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Veloz kini dibuka. Telah dilancarkan di Indonesia pada November lepas, crossover tujuh tempat duduk itu akan menggantikan Avanza yang telah menjadi satu MPV popular dalam segmen-B.

Tidak seperti Avanza yang dibina pada platform semi-monocoque, Veloz menggunakan pelantar Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang juga menjadi asas kepada Ativa.

Dari segi ukuran, Veloz lebih besar dari Avanza secara kasar. Crossover baharu ini berukuran 2,750mm panjang, 1,730mm lebar, dan 1,700mm tinggi. Veloz juga menawarkan ruang dalaman yang besar hampir menyamai saiz MPV segmen-C.

Toyota Veloz dikuasakan oleh enjin 1.5-liter 4-silinder 2NR-VE dengan Dual VVT-i, mampu emnghasilkan sekitar 106hp pada 6,000rpm dan 138Nm tork pada 4,200rpm. Transmisinya ialah D-CVT yang sama pada Ativa dan Myvi baharu, menggantikan kotak gear automatik 4-kelajuan pada Avanza sebelum ini.

Kuasa disalurkan ke roda depan, jadi pemanduannya pasti sangat berbeza berbanding Avanza.

Toyota Veloz dilengkapi dengan lampu LED dengan DRL LED, rim 17-inci, rel bumbung, sistem pendingin hawa automatik, brek parkir elektrik (EPB), pengecaj tanpa-wayar Qi, dan sistem keselamatan Toyota Safety Sense.

Crosover ini dibuka untuk tempahan dengan harga RM95,000 (atas jalan, tanpa insurans), dan ditawarkan dengan lima pilihan warna; Silver Metallic, Blue Metallic, White, Metallic Bluish Black, dan Red Metallic.