Arkib Tag: v10

Lamborghini Huracan STJ model V10 terakhir sebelum memasuki era hibrid

SELEPAS 10 tahun berada dalam pasaran, Lamborghini Huracan dan enjin V10-nya akhirnya mengucapkan arrivederci bagi memberi laluan kepada supercar hibrid generasi baharu.

Namun sebelum ia pergi buat selama-lamanya, Lamborghini akan menawarkan 10 unit Huracan Super Trofeo Jota (STJ) sebagai penghormatan terakhir kepada model itu.

Secara asasnya, Huracan STJ ialah Huracan STO yang diberikan pakej aerodinamik yang dinaik taraf. Pertama sekali, terdapat dua flicks gentian karbon baharu pada bahagian kiri dan kanan bampar hadapan.

Selain itu, sudut spoiler belakang juga telah dinaikkan sebanyak 3 darjah untuk meningkatkan beban aerodinamik sebanyak 10% sambil mengekalkan keseimbangan kereta.

Cengkaman mekanikal turut dipertingkatkan melalui penggunaan penyerap hentak dengan pelarasan empat hala untuk mengoptimumkan lantunan dan redaman pada fruekuensi rendah dan tinggi.

Bukan itu sahaja, gabungan rim single nut berukuran 20 inci  dan tayar Bridgestone Potenza Race yang dibangunkan khas untuk model itu turut membantu.

Bagaimanapun, tiada seberang penambahbaikan yang dilakukan pada enjin. Seperti STO, Huracan STJ mempunyai 640 PS pada 8,000 rpm dan 565 Nm pada 8,000 rpm yang dibekalkan oleh enjin 5.2-liter V10.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar LDF – Lamborghini Doppia Frizione tujuh kelajuan.

Walaupun tidak mendapat sebarang kuasa tambahan, Lamborghini mendakwa Huracan STJ berjaya merekodkan masa satu saat lebih pantas berbanding STO di litar Nardo.

Untuk versi terakhir ini, Lamborghini menawarkan dua pilihan livery yang direka oleh studio Lamborghini Centro Stile. Livery pertama menampilkan gabungan warna kelabu Grigio Telesto dengan bumbung hitam Nero Noctis dan perincian merah Rosso Mars dan putih Bianco Isi.

Yang kedua pula didatangkan dalam warna biru Blu Eliadi dengan bumbung hitam serta perincian merah dan putih yang sama. Kedua-dua versi mempunyai plat gentian karbon yang memaparkan nombor siri pengeluaran.

Era supercar V10 Audi R8 berakhir, tiada model pengganti dirancang

Siapa sangka, supercar Audi R8 yang sebelum ini terkenal kerana dipandu oleh pelakon Iron Man hanya mampu bertahan selama dua generasi sahaja, sejak ia mula diproduksikan pada tahun 2006.

Menurut laporan daripada laman Top Gear, unit terakhir Audi R8 telah pun meluncur keluar dari kilang Böllinger Höfe dekat Stuttgart baru-baru ini.

Ia merupakan unit Performance quattro Edition dengan nadi V10 5.2 liter berkuasa 612 hp, dan dilayangkan dengan warna Vegas Yellow.

 

 

Unit terakhir ini sayang sekali tidak akan dimiliki oleh sesiapa, sebaliknya ia akan menjadi bahan pameran di muzium Audi Tradition.

Disebabkan harga jualan yang agak mahal, tidak menghairankan apabila permintaan terhadap kereta sports ini tidak begitu memberangsangkan dan semakin menurun saban tahun.

Tidak seperti kembarnya Lamborghini Huracan yang bakal digantikan dengan model baharu, Audi tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memperkenalkan model pengganti untuk R8 ini.

 

Drag race dengan bunyi paling merdu – Porsche Carrera GT vs Lexus LF-A

KERETA yang laju memang seronok, tetapi kereta laju dengan bunyi merdu pasti lebih baik. Enjin V10 dikatakan antara nadi paling merdu pernah dihasilkan.

Jika dilihat banyak kereta-kereta yang disenarai sebagai mempunyai bunyi paling merdu kebanyakannya menggunakan V10, sebagai contoh Porsche Carrera GT dan Lexus LF-A. Dan kedua-dua kereta ini akan berentap untuk perlumbaan drag paling merdu.

Yang mana lebih pantas? Kita akan ketahuinya hari ini.

Perlumbaan drag istimiewa ini diatur oleh laman Youtube Hagerty. Sebelum Carrera GT dan LF-A digandingkan, mereka membandingkan beberapa jentera 5-silinder.

Tetapi yang kita hendak fokuskan hari ini ialah jentera 10-silinder V10.

Wakil dari Jepun, LF-A yang merupakan supercar yang dihasilkan antara 2010 hingga 2012, dan hanya 500 unit pernah dikeluarkan.

Nadinya ialah unit 4.8-liter V10 72-darjah dengan sistem VVT-i. Ia menjana 553hp dan 480Nm tork, kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear automated-manual 6-kelajuan.

Sementara itu dari Jerman pula ialah Carrera GT, yang dikeluarkan sekitar 2004 hingga 2006, sejumlah 1,270 unit pernah dibina.

Porsche dengan enjin tengah ini dipacu oleh enjin V10 bersesaran 5.7-liter, cukup untuk 603hp dan 590Nm tork. Tidak seperti LF-A yang menggunakan kotak gear automatik, Carrera GT menghantar kuasa ke roda belakang melalui transmisi manual 6-kelajuan.

Jadi, yang mana akan memenangi perlumbaan kali ini? Jemput tonton video di bawah. Jika anda mahu terus ke perlumbaan antara Carrera GT dan LF-A, boleh terus ke minit 9:00.