fbpx

Lamborghini Huracan STJ model V10 terakhir sebelum memasuki era hibrid

Lamborghini Huracan STJ 01

SELEPAS 10 tahun berada dalam pasaran, Lamborghini Huracan dan enjin V10-nya akhirnya mengucapkan arrivederci bagi memberi laluan kepada supercar hibrid generasi baharu.

Namun sebelum ia pergi buat selama-lamanya, Lamborghini akan menawarkan 10 unit Huracan Super Trofeo Jota (STJ) sebagai penghormatan terakhir kepada model itu.

Secara asasnya, Huracan STJ ialah Huracan STO yang diberikan pakej aerodinamik yang dinaik taraf. Pertama sekali, terdapat dua flicks gentian karbon baharu pada bahagian kiri dan kanan bampar hadapan.

Selain itu, sudut spoiler belakang juga telah dinaikkan sebanyak 3 darjah untuk meningkatkan beban aerodinamik sebanyak 10% sambil mengekalkan keseimbangan kereta.

Cengkaman mekanikal turut dipertingkatkan melalui penggunaan penyerap hentak dengan pelarasan empat hala untuk mengoptimumkan lantunan dan redaman pada fruekuensi rendah dan tinggi.

Bukan itu sahaja, gabungan rim single nut berukuran 20 inci  dan tayar Bridgestone Potenza Race yang dibangunkan khas untuk model itu turut membantu.

Bagaimanapun, tiada seberang penambahbaikan yang dilakukan pada enjin. Seperti STO, Huracan STJ mempunyai 640 PS pada 8,000 rpm dan 565 Nm pada 8,000 rpm yang dibekalkan oleh enjin 5.2-liter V10.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar LDF – Lamborghini Doppia Frizione tujuh kelajuan.

Walaupun tidak mendapat sebarang kuasa tambahan, Lamborghini mendakwa Huracan STJ berjaya merekodkan masa satu saat lebih pantas berbanding STO di litar Nardo.

Untuk versi terakhir ini, Lamborghini menawarkan dua pilihan livery yang direka oleh studio Lamborghini Centro Stile. Livery pertama menampilkan gabungan warna kelabu Grigio Telesto dengan bumbung hitam Nero Noctis dan perincian merah Rosso Mars dan putih Bianco Isi.

Yang kedua pula didatangkan dalam warna biru Blu Eliadi dengan bumbung hitam serta perincian merah dan putih yang sama. Kedua-dua versi mempunyai plat gentian karbon yang memaparkan nombor siri pengeluaran.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved