Arkib Tag: ustaz azhar idrus

Mati kerana merempit haram hukumnya, ibarat bunuh diri – Ustaz Azhar Idrus

SUKA atau tidak, kejadian kemalangan maut melibatkan mat rempit sudah menjadi satu kebiasaan di negara kita. Ini kerana ia sudah terlalu kerap berlaku dan golongan ini pula tidak pernah insaf walaupun yang terkorban itu adalah rakan atau ahli keluarga sendiri.

Kes terkini melibatkan mat rempit berlaku Ahad lalu (4 Jun 2023) di Lebuhraya Tun Dr. Lim Choong Eu berhampiran Astaka Seagate di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Mangsa, seorang remaja berusia 18 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian selepas merempuh bahagian sisi sebuah Proton Persona yang sedang membelok.

Kejadian menyanyat hati ini dirakam oleh sekumpulan penonton yang berkumpul di sepanjang lebuh raya itu. Berdasarkan video yang tular di media sosial, mangsa dilihat melakukan aksi ‘Superman’ dan sedang berlumba bersama seorang rakannya.

Bukanlah niat penulis untuk menghukum, namun perbuatan sedemikian adalah sia-sia dan tidak ubah seperti membunuh diri.

Sumber gambar: widerimage.reuters.com

Malah, perkara ini sebenarnya sudah dijelaskan oleh penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menerusi satu video yang dimuat naik ke akaun Youtube miliknya.

Dalam video berdurasi 2 minit 39 saat itu, UAI berkata hukum mati kerana merempit adalah haram dan ada sesetengah ulama menfatwakan perbuatan itu sebagai bunuh diri.

“Contohnya, dia berlumba dengan keadaan ada lori di hadapan. Maka haram kerana dia bukan hendak mengejar masa untuk sampai cepat di destinasi, tetapi berlumba secara bersuka-suka yang merosakkan nyawanya sendiri,” katanya.

Beliau turut memberikan pesanan dengan memetik hadis yang bermaksud: “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

Dengan itu, jelaslah bahawa perbuatan merempit ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah haram di sisi agama.

Bagi mereka yang betul-betul minat berlumba motosikal, gunakan saluran yang betul. Misalnya, mengikuti aktiviti track day di litar-litar yang telah disediakan. Tidak dinafikan kosnya lebih tinggi tetapi sekurang-kurangnya keselamatan anda lebih terjamin dan anda tidak membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Solat hormat waktu semasa kesesakan jalan raya: UAI beri penjelasan

ANDA yang beragama Islam pasti pernah dalam perjalanan pulang dari tempat kerja dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya, tetapi waktu hampir Maghrib dan anda belum sempat menunaikan solat Asar.

Gambar oleh: MalayMail

Kesesakan jalan raya merupakan suatu perkara yang biasa dihadapi oleh pemandu-pemandu di Malaysia, tidak kira sama ada ke tempat kerja setiap hari atau semasa musim perayaan.

Malah, ia juga sukar dijangka, kerana terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepadanya seperti bencana alam, kemalangan jalan raya, atau pembinaan.

Jadi, antara persoalan yang timbul adalah; bolehkah kita menunaikan solat hormat waktu dengan isyarat di dalam kereta?

Gambar oleh: Youtube

Baru-baru ini, penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus menjawab persoalan ini yang diajukan oleh hadirin. Menurutnya, jika kita terpaksa solat isyarat hormat waktu kerana tidak dapat keluar dari kereta dan kita mempunyai wuduk, ianya sah dan tidak wajib qada.

“Solat fardhu tidak dibenarkan menggunakan isyarat dalam kereta, melainkan tidak boleh turun,” katanya.

“Tetapi kalau boleh turun (keluar dari kereta), wajib berhenti sama ada di R&R atau tepi jalan. Hanya solat sunat dibolehkan dengan isyarat,” tambah beliau.

Dalam situasi terperangkap kesesakan jalan raya dan ada wuduk, ianya sah dan bukan solat hormat waktu.

“Solat hormat waktu ialah ketika tiada wuduk dan tidak boleh keluar dari kereta. Sebelum habis waktu tanpa menunaikan solat, dikerjakan juga solat dalam keadaan tidak cukup syarat, maka solat itu kerana menghormati waktu.

“Sampai di rumah, ambil wuduk, wajib ulang,” terangnya.

Diharapkan ini sedikit sebanyak dapat membantu memberi penjelasan memandangkan kita bakal pulang ke kampung menyambut lebaran dan jalan raya juga dijangka sesak.