Arkib Tag: Ukraine

Ini 6 jenama kereta buatan Rusia, kenapa tak masuk Malaysia?

TELAH beberapa minggu berlaku konflik antara Rusia dan Ukraine, terdapat juga kesannya dalam industri automotif seluruh dunia, sebagai contoh kenaikan harga minyak mentah dunia.

Kami sejujurnya tidak menyokong keganasan dan sangat bersimpati dengan mereka yang menerima kesan dari konflik peperangan ini.

Apa pun, kali ini kita bercerita mengenai industri automotif Rusia dan kenderaan-kenderaan buatan negara itu. Kita hanya akan memfokus kepada enam jenama terbesar dan paling popular di sana.

1. LADA

Sebuah jenama kereta yang dikilangkan dan dimiliki oleh AvtoVAZ, sebuah syarikat Rusia yang dimiliki oleh French Groupe Renault. Avtovaz ialah pembuat atau pengilang kereta terbesar di Rusia dan Eropah Timur.

Lada mula muncul dalam pasaran pada 1973, menjadi jenama utama AvtoVAZ sehingga diambil alih oleh kumpulan Renault pada 2016.

Model popular termasuklah Lada Granta, Vesta, XRAY, dan Largus. Setiap model ini juga ada banyak varian dan bentuk badan seperti sedan, active, hatchback, cross, wagon, dan macam-macam.

2. UAZ

Berpangkalan di UlyanovskRussia, jenama ini menghasilkan kenderaan-kenderaan off-road, bas, dan trak. UAZ merupakan sebahagian dari kumpulan Sollers sejak 2000.

Dikenali dengan kenderaan utiliti UAZ-469 yang digunakan agak meluas sebagai kenderaan tentera di Eropah Timur dan seluruh dunia. Ala, macam Jeep tu. UAZ mula mengeluarkan kenderaan pada 1941 semasa perang Soviet.

3. Aurus

Ditubuhkan pada 2012, Aurus sebuah jenama kenderaan mewah dan kenderaan motorcade (pengiring).

Sebelum ini mereka hanya fokus kepada kenderaan pengiring, tetapi baru-baru ini mula mengeluarkan kenderaan pertama mereka untuk orang awam, iaitu Aurus Senat.

Senat mempunyai gaya mirip Rolls-Royce. Model lain adalah Limousine dan Arsenal.

4. GAZ

Seterusnya ialah GAZ, pengeluar yang berpangkalan di Nizhny Novgorod dan sebelum ini dikenali sebagai Gorky (1932-1990).

Mereka mengeluarkan kenderaan komersil ringan, van panel, bas mini, bas bandar, bas persiaran, malah ada bas elektrik.

GAZ dieksport ke lebih 40 negara, antara pengeluar utama di Eropah dalam segmen LCV (kenderaan komersil ringan).

5. Kamaz

Kamaz pula ialah pengeluar trak, bas, traktor, casis dan enjin, ibupejabat terletak di Naberezhnye Chelny.

Kamaz mula ditubuhkan pada 1969, dan sejak itu kenderaan berat mereka dieksport ke merata dunia seperti Amerika Latin, Timur Tengah, Afrika dan negara-negara Komanwel lain.

Setakat 2014, Kamaz merupakan pengeluar trak terbesar di Rusia, kilangnya mengeluarkan 43,000 trak setahun dengan pegangan pasaran sekitar 45 peratus.

Kalau korang tengok rali Dakar, mesti perasan dominasi pasukan Kamaz. Mereka merupakan pemenang kategori trak paling banyak dalam rali ini iaitu sebanyak 18 kali!

6. Ural

Satu lagi pengeluar trak, Ural, yang ditubuhkan pada 1941. Ural fokus dalam menghasilkan lori, traktor, casis, kenderaan khas dan kenderaan tentera.

Jenama lain

Sebenarnya ada banyak lagi jenama lain buatan Rusia, antaranya SeAZ, Aleko, Avtokam, VIS, dan ada juga jenama pakatan seperti Ford Sollers dan Renault Russia.

Apa model kenderaan penumpang paling popular di Rusia?

Kalau dilihat lima kenderaan paling popular di Rusia pada 2021 mengikut turutan dari paling popular adalah Lada Vesta, Lada Granta, Kia Rio, Hyundai Creta dan Hyundai Solaris. Sumber: Rusautonews.com.

Jadi Lada Vesta dan Granta ni pada 2021 masing-masing dijual sebanyak 113,698 dan 111,430 unit.

Kenapa kereta jenama Rusia tidak masuk Malaysia?

Kalau dilihat, kebanyakan pengeluar Rusia menghasilkan kenderaan komersil, berat, dan kenderaan khas mungkin kerana faktor cuaca ekstrem di sana. Kenderaan yang sesuai untuk permukaan lasak, off-road, salji tebal, dan kenderaan tentera.

Dan untuk jenama kenderaan penumpang pula, kebanyakannya nampak kurang menarik, sebagai contoh Aleko dan SeAZ Oka. Untuk kenderaan sebegini, banyak model lain jenama Jepun yang lebih terbukti dan lebih biasa dengan pasaran kita.

Untuk Lada pula, memang keretanya nampak lebih elok dan agak menarik, mungkin boleh laku di sini. Kereta-keretanya ada rupa seperti Renault, Opel, atau Volkswagen. Malah Lada Granta tu nampak gaya Proton Saga!

Tetapi jika dilihat Lada langsung tidak masuk ke pasaran Asia Tenggara, mungkin masing-masing tak memerlukan?

Jualan amal Halloween Nuts Wheels raih sumbangan untuk bantuan Ukraine

Nuts Wheels baru-baru ini menganjurkan acara Halloween Charity Bake Sale, iaitu jualan amal untuk disumbangkan kepada tabung bantuan kemanusiaan Ukraine yang terlibat dengan perang.

Acara itu dijalankan di garaj kustom Nuts Wheels di Puchong, Selangor dan dihadiri oleh beberapa rakan media, pelanggan, dan influencer Youtube.

Mereka telah berjaya membuat kutipan hampir RM1,600 dan akan disumbangkan ke tabung bantuan kemanusiaan Ukraine melalui NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang terlibat.

Sumbangan berjaya dikutip dari jualan barangan dan produk Nuts Wheels serta makanan dan minuman. Antara makanan yang dihidangkan adalah dua sajian tradisional Ukraine iaitu mlyntsi (crepe) diisi keju dan bawang putih, serta roti purizhky dengan inti cendawan dan kentang.

Hidangan lain adalah roti pisang, brownies, dan cinnamon roll, serta pilihan kopi dan minuman ringan.

Beberapa hadirin juga dilihat mengenakan kostum seperti Batman, Batwoman, The Joker, dan Harley Quinn.

Nuts Wheels merupakan salah satu pakar kustom motosikal yang menghasilkan komponen seperti perumah lampu depan, fender tepi, belly pan, mud guard, crash bar, lengan ayun, dan pemijak kaki.

Masalah logistik angkara Rusia – Ukraine, Michelin tutup kilang di Eropah

MICHELIN Group bakal menghentikan pengeluaran di beberapa kilang seluruh Eropah susulan masalah logistik dan pengangkutan.

Memetik laporan The Wall Street Journal, masalah berpunca daripada krisis Rusia – Ukraine yang masih belum menunjukkan tanda bakal reda.

Syarikat pengeluar tayar terkemuka dunia itu setakat ini masih belum mengumumkan tempoh pemberhentian pengeluaran terbabit.

Krisis Rusia – Ukraine telah menyaksikan banyak syarikat terkesan termasuk beberapa jenama besar automotif seperti Mitsubishi, Toyota dan banyak lagi.

Terdahulu,   berjanji akan terus memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan dan cuba mengurangkan kesan negatif terhadap mutu pemgeluarannya.

Sementara itu, pihak syarikat juga berjanji tidak mengabaikan kebajikan pekerja yang terjejas selain mengikut peraturan tempatan.

Sebelum ini, krisis Rusia – Ukraine memberi impak besar kepada ekonomi global termasuk peningkatan harga bahan api mentah.

Hal ini memberi kebimbangan kepada seluruh masyrakat dunia termasuk di Malaysia yang bimbang berlaku kenaikan harga barang.

Krisis Rusia – Ukraine: Minyak mentah Brent cecah paras tertinggi

PENANDA aras minyak mentah melonjak berikutan masalah bekalan, potensi gangguan perdagangan dan isu perkapalan akibat sekatan ke atas Rusia.

Niaga hadapan minyak mentah Brent meneruskan pergerakan rancak tanpa henti, melonjak 3.62 peratus kepada US$117 setong.

Minyak mentah West Texas Intermediate pula meningkat 3.44 peratus kepada US$114.40 setong.

Terdahulu, niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat setinggi US$118.22 setong sekaligus menjadikan ia tertinggi sejak Februari 2013.

Memetik laporan Bernama, pasaran bertindak balas terhadap pusingan terbaru sekatan Amerika Syarikat ke atas sektor penapisan Rusia.

Ia membawa kepada kebimbangan bahawa sekatan eksport boleh beralih kepada sektor minyak dan gas Rusia.

Untuk rekod, Rusia menyumbang kira-kira 10 peratus daripada bekalan minyak global.

Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, Rusia merupakan pengeluar minyak ketiga dunia dan pengeksport minyak terbesar ke pasaran global.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) termasuk Rusia mengambil keputusan mengekalkan pertambahan dalam pengeluaran sebanyak 400,000 tong sehari pada Mac.

Pengeluaran Toyota terjejas, ada kaitan dengan perang Rusia – Ukraine?

TOYOTA Motor Corp berpusat di Tokyo mengesahkan sistem perisiannya berdepan ancaman virus dipercayai angkara serangan siber.

Memetik laporan Rueters, keadaan tersebut menjejaskan pengeluaran kenderaan syarikat itu bagi pasaran tempatan.

Kojima Industries Corp yang merupakan rakan dagang Toyota berkata, serangan virus turut menyebabkan gangguan komunikasi di antara syarikat itu dengan para pembekal lain.

Susulan serangan siber, Toyota telah membuat aduan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat insiden terbabit.

Terdahulu, wujud dakwaan bahawa serangan siber dihadapi Toyota mempunyai kaitan dengan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Hal ini kerana serangan berlaku sejurus kerajaan Jepun memberi sokongan kepada pihak menentang tindakan Rusia di Ukraine.

Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi daripada pihak berwajib mengenai dakwaan tersebut.

Serangan siber dihadapi Toyota telah menjejaskan pengeluaran lebih 13,000 unit kenderaan bagi pasaran Jepun.

Setakat ini, tiada laporan melibatkan gangguan fasiliti perisian Toyota di negara lain termasuk Malaysia.