Arkib Tag: tudm

Pesawat Airbus A400M kawalan radio ini terima anugerah Malaysia Book of Records!

SEBUAH kapal terbang kawalan jauh Airbus A400M telah menerima anugerah Malaysia Book Records sebagai Model Pesawat Kawalan Radio Terbesar.

Anugerah itu diterima oleh pemilik Airbus A400M kawalan radio (RC), iaitu Syed Fadley dan pembinanya, Nazrul Hisham Abd Manaf, yang lebih dikenali sebagai Nas Rc di kalangan komuniti kapal terbang kawalan jauh.

Menurut Nazrul yang dihubungi Engear, pensijilan itu dilakukan pada Sabtu, 9 Oktober 2021 dimana beberapa pegawai dari Malaysia Book of Records hadir ke ‘lapangan terbang’ di Telipot International RC Airport, Rawang, Selangor.

“Untuk proses mendapatkan sijil, mereka (wakil Malaysia Book of Records) melakukan ukuran dimensi pada badan model pesawat, kemudian demonstrasi penerbangan perlu dilakukan sekali,” kata Nazrul.

“Video-video sebelum ini tidak sah untuk pensijilan, sebaliknya demonstrasi sebenar diperlukan untuk pengesahan.”

Menariknya, model Airbus A400M RC ini juga dikenakan warna kelabu Ash Grey seperti pesawat sebenar milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), lengkap dengan liveri dan nombor identifikasi M54-01.

Menggunakan bahan EPS foam (gabus), model Airbus A400M ini mempunyai lebar sayap 2.6 meter dan panjang fuselage (badan) 2.9 meter.

Ia dikuasakan oleh empat motor brushless 4250-800KV (menyerupai empat enjin turboprop pesawat sebenar), dengan ESC dari Hobbywing berkuasa 60A dan servo Surpass 17gram.

Dengan dua biji bateri 4S 5000mAh, A400M TUDM ini mampu terbang antara empat hingga enam minit.

Menurut Nazrul, model gergasi ini mengambil masa kira-kira empat bulan untuk dibina.

Nazrul, Syed dan juruterbang lain biasa berkumpul dan terbang di Telipot International RC Airport, Rawang setiap pagi Ahad, dan aktif di kumpulan Facebook DIY RC Plane Group Malaysia.

Untuk maklumat lanjut atau berhubung terus dengan Nazrul, boleh terus ke Facebook beliau, Nas RC.

Tahniah!

Aermacchi MB-339 TUDM akan diganti dengan pesawat baharu dwi-fungsi

TUJUH pesawat latihan lanjut Aermacchi MB-339 di bawah operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal diganti dengan platform tunggal baharu dengan keupayaan dwi-fungsi. Pesawat baharu itu bakal memikul tugas latihan lanjutan dan tempur ringan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata pesawat buatan Itali berkenaan yang memasuki perkhidmatan TUDM pada 2009 kini digantung pengoperasiannya sejak 2018. Ia adalah susulan kemalangan di Kuantan, Pahang dan beberapa masalah teknikal berkaitan enjin.

Beliau berkata perolehan pesawat baharu bagi menggantikannya menjadi antara fokus 10 tahun pertama (2021 hingga 2030) di bawah Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

“Berdasarkan tempoh hayat ekonomi pesawat pejuang dan CAP55, pesawat ini (Aermacchi MB-339) dirancang ditamat pengoperasian pada 2028.

“Perolehan pesawat baharu yang berupaya melaksanakan dwifungsi bukan sahaja mampu memberi pulangan penjimatan kepada kewangan kerajaan, malah turut meningkatkan keupayaan pertahanan negara,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai rancangan penamatan operasi Aermacchi MB-339 dan jumlah rekod penerbangan tujuh buah pesawat hingga kini.

Ikmal Hisham berkata hala tuju pesawat itu juga akan ditentukan selepas Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) melaksanakan audit ke atas pihak pengeluar peralatan tulen (OEM) enjin.

Menurut Ikmal Hisham, tujuh pesawat berkenaan melengkapkan sebanyak 5,961 jam penerbangan.

China ‘tunjuk taring’ selepas TUDM buat latihan bersama Tentera Udara AS

TIDAK sampai 24 jam selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan latihan bersama-sama United States Pacific Air Force (US PACAF), China mula bertindak balas memberi ‘amaran’.

Beberapa portal pertahanan antarabangsa melaporkan sejumlah kapal Pengawal Pantai negara itu menceroboh perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pagi tadi.

Antaranya adalah dua kapal dengan kod CCG 5202 dan CCG 6307 bertindak biadab memasuki kawasan Sabah yang kaya dengan gas dan minyak mentah berkualiti.

Kapal pengawal pantai China yang dikatakan mencerobohi perairan Malaysia. Sumber: Facebook

Mereka dilihat mengiringi kapal peninjau penyelidikan China dikenali Da Yang Hao yang sebelum itu angkuh menceroboh perairan Vietnam sebelum diusir.

Setakat pukul 10.20 pagi waktu Malaysia semalam, kapal itu hanya sejauh 50 batu nautika atau 93km dari kapal carigali West Capella disewakan syarikat petroleum nasional, Petronas.

Langkah mengejut itu dipercayai sebagai isyarat amaran kepada Malaysia yang melancarkan Op Curiga bagi mengekang kehadiran banyak pesawat tentera udara China akhir-akhir ini.

Latihan melibatkan B-52 Amerika Syarikat dan beberapa jenis pesawat pejuang TUDM. Sumber: Facebook

Kebetulan, TUDM pada hari berkenaan mempamerkan ‘kekuatan’ menerusi latihan bersama pesawat pengebom B-52 dari pangkalan udara Amerika Syarikat (AS) di Guam, sebuah pulau di Lautan Pasifik.

Sumber: Facebook

Ia menyaksikan buat julung kali aset pesawat pejuang TUDM iaitu Sukhoi Su-30 MKM, F/A-18D Hornet serta Hawk 208 dan 108 ‘menawan’ ruang angkasa ZEE negara kita.

Tindakan Malaysia itu sebagai respon kepada China yang sebelum itu melakukan latihan dengan beberapa kapal perang Tentera Laut Singapura di zon dipertikaikan sekitar Laut China Selatan.

Kehadiran banyak kapal tentera dan pesawat rejim komunis itu dipercayai bagi memberi mesej kepada negara-negara anggota ASEAN agar tidak cuba menuntut perairan berkenaan.

Sumber: Facebook

Latihan bersama antara TUDM dan US PACAF adalah sebahagian dari Eksesais PASSEX B-52 Siri 2/21.

Ianya berlangsung pada 24 September di kawasan latihan yang digazetkan di Selat Melaka melibatkan pesawat pengebom B-52 dari US PACAF serta Su-30 MKM, F/A-18D Hornet, Hawk dan A400M dari TUDM.

Eksesais gabungan dua hala ini dilaksanakan bertujuan mengeratkan hubungan diplomatik dua hala dan diplomasi ketenteraan.

Rusia mahu tawar MiG-35 untuk tender jet pejuang TUDM

SELEPAS India, Pakistan dan Korea Selatan, Rusia pula mahu menyertai perlumbaan untuk kontrak jet pejuang Malaysia.

Dmirty Shugaev, pengarah Russian Federal Service For Military-Technical Cooperation berkata Moscow akan membentangkan sebuah jet pejuang pelbagai fungsi untuk menyertai tender Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akhir bulan ini.

“Pihak Rusia sedang mempertimbangkan kemungkinan penyertaan Rosoboronexport dengan MiG-35 untuk tender pembekalan pesawat pejuang ringan dan latihan TUDM,” kata Shugaev.

“Cadangan kami akan meletakkan Rusia dalam persaingan terus dengan Tejas India yang dibangunkan Hindustan Aeronautics Limited (HAL).”

Pesawat pejuang ringan baharu untuk Malaysia

Pada Jun lepas, Malaysia membuka tender untuk pesawat pejuang termaju dan LCA (Light Combat Aircraft).

Kementerian Pertahanan bercadang memperoleh 18 buah Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA) untuk menggantikan armada 18 unit BAE Hawk 108 dan 208 (latihan dan pejuang ringan) serta 7 unit Aermacchi MB-339CM (pesawat latihan).

HAL Tejas. Sumber: Eurasian Times

Salah satu faktor utama yang mendorong Malaysia membuka tender ini adalah selepas pencerobohan ruang udara oleh China membabitkan 16 pesawat tentera di Laut China Selatan pada Jun lepas.

Pada Disember 2018, Kuala Lumpur telah membuat permintaan maklumat untuk program FLIT-LCA ini. Ia telah mendapat respon dari lapan negara membabitkan Boeing T-7 Red Hawk (AS), HAL Tejas (India), PAC JF-17 Thunder (China dan Pakistan), Hongdu L-15 (China) dan Yak-130 (Rusia).

HAL Tejas dari India berkata akan memberi respon kepada RFP (Request For Proposal) dari TUDM pada minggu ketiga September. Sementara itu, satu pencabar baharu hadir dari Rusia iaitu MiG-35.

Tejas vs MiG-35

Tejas direka untuk keperluan pertempuran moden, dengan penekanan kepada kelajuan, pecutan, maneuverabiliti dan kelincahan. Pesawat ini juga berkemampuan untuk berlepas dan mendarat di landasan pendek.

Ia turut dilengkapi sistem kawalan penerbangan fly-by-wire, radar pelbagai mod dan sistem utiliti mikroprosesor.

MiG-35. Sumber: Eurasian Times

MiG-35 pula merupakan versi eksport MiG-29M OVT (Fulcrum F), pesawat penguasaan ruang udara satu tempat duduk yang sangat lincah dan dilengkapi enjin berkuasa. Ia dikategorikan sebagai pesawat ‘peralihan generasi ke-4++’.

Pesawat sebegini juga biasanya mempunyai jangka hayat lebih panjang, dan mampu dinaiktaraf seperti pesawat generasi ke-5.

Berkenaan harga, MiG-35 bernilai USD30 juta (RM124.35 juta) seunit berbanding HAL Tejas iaitu USD43 juta (RM178.23 juta) seunit.

Malaysia dan TUDM khususnya pernah menggunakan MiG-29 sebelum ini yang telah dilucut tauliah perkhidmatan pada 2017. Jadi mungkinkan MiG-35 mempunyai kelebihan atas faktor keserasian?