Arkib Tag: Triumph Motorcycles

Triumph lancar Trident 660 dengan livery ‘Slippery Sam’

Triumph memberi penghormatan terhadap motosikal perlumbaan terkenalnya dengan melancarkan Trident 660 edisi khas yang menampilkan livery Slippery Sam. 

Triumph mencipta nama pada era 70an menerusi jentera Trident 750cc yang merangkul pelbagai kejuaraan pada waktu itu dan dikenali sebagai Slippery Sam. 

Sebagai penghargaan, Trident 660 bukan sahaja tampil dengan warna Slipper Sam malah turut dilengkapi dengan komponen tambahan yang tidak ada pada model Trident 660 biasa. 

Ini kerana Trident 660 edisi khas ini dilengkapi dengan Triumph Shift Assist (quickshifter), ‘belly pan’ serta ‘fly screen’. 

Untuk rekod, Triumph Slipper Sam yang berlumba pada era 70an itu beraksi dalam pelbagai litar pendek termasuk di Isle Of Man TT. Jolokan Slippery Sam itu diberi kerana jentera lumba pada waktu itu sering kebocoran minyak sehinggakan bahagian ‘fairing’ dan pelumba dipenuhi minyak di hujung perlumbaan. 

Triumph bakal dedah Tiger Rally 660 tahun ini?

Baru sebulan selepas memperkenalkan Daytona 660, Triumph Motorcycles dilaporkan akan melancarkan Tiger Rally 660 pula tahun lewat tahun ini sebagai model 2025. 

Untuk rekod, ketika ini Triumph menawarkan tiga model dengan sesaran enjin tiga silinder 660cc termasuk Trident 660, Tiger Sport 660 dan terbaru Daytona 660. 

Kemunculan Tiger Rally 660 itu sudah pun dijangka kerana lakaran awal barisan model 660cc itu telah pun didedahkan beberapa tahun lalu.

Pada masa sama, dengan tiga daripada empat model yang didedahkan sebelum ini telah pun menjadi kenyataan maka tidak hairanlah motosikal ‘adventure’ pula yang akan diperkenalkan. 

Memetik laporan media antarabangsa, Triumph dijangka memperkenalkan Tiger Rally 660 itu selewatnya tahun ini sebagai model keluaran 2025. 

Triumph buka tirai 2024 dengan Daytona 660 – 94hp, 69Nm

Triumph Motorcycles membuka tirai 2024 dengan pelancaran Triumph Daytona 660 baharu. 

Daytona 660 menandakan kelahiran semula model ‘sportbike’ Daytona yang sebelum ini telah pun ditamatkan pengeluaran menerusi Daytona 765 Moto2 Edtiion pada 2021. 

Menariknya, meskipun dikuasakan unit tiga silinder 660cc yang sama terdapat pada Trident 660, enjin tersebut telah dinaik taraf dari pelbagai segi termasuk camshaft, crankshaft, cylinder dan sistem ekzos baharu. Hasilnya, Daytona 660 ini menawarkan 94hp dan 69Nm berbanding 81hp dan 64Nm. 

Meskipun begitu, Daytona 660 ini masih lagi berkongsi kebanyakan komponen dari Trident 660 termasuk kerangka utama, suspensi Showa SFF BP 41mm (tidak boleh laras) dan monoshock Showa pra-beban (boleh laras) selain dari panel meter digital dan TFT. 

Bagaimanapun, pakej brek pada Daytona 660 telah dinaik taraf kepada kaliper radial 4-pot berkembar depan dengan cakera brek 310mm. 

Dalam pada itu, kapasiti tangki adalah 14L (sama dengan Trident 660) dan berat bersih diletakkan pada 201kg. 

Menurut Triumph, Daytona 660 ini hadir dengan tiga mod menunggang yang merangkumi Road, Sport dan Rain serta fungsi traction control dan ABS. Sistem quickshifter pula adalah ciri tambahan (optional). 

Triumph Daytona kembali 9 Januari ini

Triumph Daytona bakal kembali pada tahun 2024 menerusi Daytona 660 dengan pelancaran dijadualkan berlangsung 9 Januari depan berdasarkan pengumuman terbaru yang dikongsikan di media sosial.

Triumph Daytona 660 itu bakal dikuasakan enjin tiga silinder 660cc yang sama diguna pakai pada Tiger Sport 660 dan Trident 660. 

Selain enjin, kami juga berasakan Daytona 660 itu akan turut mengguna pakai casis sama dengan Trident 660. 

Ini adalah kali pertama Daytona akan kembali ke pasaran global setelah jenama Britain itu menghentikan model Daytona 675 pada 2017. Walaupun kembali dengan Daytona 765 namun model itu hanya terhad kepada 1,530 unit dan hanyalah model penghargaan kepada kejayaan Triumph menjadi pembekal enjin Moto2 pada 2020. 

Untuk rekod, Daytona 660 ini dijangka menawarkan angka kuasa sama dengan Trident 660, sekitar 80hp dan 64Nm. Bagi peminat Daytona terdahulu pastinya rasa kecewa kerana model 675 terdahulu menawarkan 126hp dan 70.2Nm.

Selain itu, reka bentuk Daytona 660 ini juga berbeza terutamanya lampu hadapan yang jelas meminjam reka bentuk sama dengan Tiger Sport 660. 

Buat masa ini maklumat terperinci masih lagi samar namun segalanya akan terjawab pada 6 Januari depan. 

Triumph Batu Caves dilancarkan, pusat penjualan pertama di bawah Didi Automotive

TRIUMPH Motorcycles Malaysia akan merasmikan tiga pusat jualan baharu sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk memperkembangkan rangkaian pengedaran dan memperkukuhkan jenama motosikal itu di negara ini.

Nampaknya Batu Caves menjadi lokasi pilihan pertama untuk pusat penjualan Triumph di bawah kendalian Didi Automotive. Ia dioperasikan oleh Gene Advance Sdn Bhd yang telah dilantik sebagai rakan pengedar rasmi.

Menurut Didi Automotive, fasiliti baru di pusat pameran Triumph ini menyediakan pengalaman terbaik dalam industri kepada pelanggan, menawarkan kemudahan bertaraf dunia, kakitangan yang terlatih, serta servis selepas jualan dan khidmat pelanggan yang terbaik.

“Semangat Gene Advance terhadap motosikal dan dedikasi mereka yang teguh untuk menyampaikan pengalaman pelanggan yang cemerlang sepadan dengan nilai-nilai Triumph Motorcycles. Kecekapan mereka akan meningkatkan keupayaan kami untuk menyampaikan kegembiraan, kepuasan, dan kejayaan kepada peminat motosikal di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Bersempena dengan pelancaran ini, syarikat itu turut mengumumkan harga rasmi Triumph Trident 660 versi 2023 iaitu RM45,900.

Jentera naked ini dikuasakan oleh enjin sejukan cecair tiga silinder bersesaran 660 cc yang menghasilkan 81 PS pada 10,250 rpm dan 63.7 Nm pada 6,250 rpm. Ia dilengkapi dengan fork terbalik 41 mm dan penyerap hentak RSU dengan pelarasan pramuatan, kedua-duanya dari Showa.

Mereka yang berminat untuk melihat dengan lebih dekat barisan motosikal Triumph, boleh mengunjungi Triumph Batu Caves di No 1-3, Jalan Sri Batu Caves 9, Taman Sri Batu Caves, 68100 Batu Caves, Selangor.

Didi Automotive jadi pengedar rasmi Triumph Motorcycles bermula Januari 2023

BERMULA 15 Januari 2023, rangkaian motosikal Triumph Motorcycles akan diedarkan di pasaran tempatan oleh Didi Automotive selaku pengedar rasmi baharu jenama itu.

Dalam satu kenyataan rasmi, Triumph Motorcycles berkata syarikat itu dan Didi Automotive akan bekerjasama untuk menguruskan pengimportan, jualan dan pengedaran motosikal serta pembangunan berterusan jenama Triumph di Malaysia.

Triumph Motorcycles dan Didi Automotive turut merancang untuk membuka bilik pameran baharu di Petaling Jaya dan Pulau Pinang bagi memberikan pelanggan pengalaman pemilikan terbaik, serta menawarkan kemudahan terkini, kakitangan terlatih dan perkhidmatan servis, selepas jualan dan penjagaan pelanggan tahap tertinggi.

Malaysia merupakan pasaran yang penting bagi Triumph dan menjadi salah satu pasaran motosikal utama di rantau Asean. Didi Automotive akan menawarkan rangkaian lengkap motosikal Triumph yang terdiri daripada model moden klasik, roadster dan Tiger.

Ini termasuk Rocket 3 dengan enjin 2.5-liter dan model 660 seperti Trident dan Tiger Sport yang dijangka menjadi antara yang paling popular di kalangan pelanggan di Malaysia.

Dalam masa terdekat, model Triumph berkapasiti kecil yang dibangunkan dengan kerjasama Bajaj akan menjadikan jenama itu lebih mudah akses di Malaysia. Ini ditambah lagi dengan perancangan Triumph Motorcycles dan Didi Automotive untuk membuka enam cawangan di seluruh negara.

Fast Bikes beralih ke Honda Big Wing bermula 2023

PENGEDAR rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd mengumumkan bahawa mereka tidak akan lagi menjadi pengedar motosikal jenama United Kingdom itu bermula 14 Januari 2023.

Menurut Ketua Eksekutif Fast Bikes, Datuk Razak Al-Malique Hussain, pihaknya juga telah menandatangani perjanjian untuk menjadi pengedar Honda Big Wing.

Ini bermakna bilik pameran dan ibu pejabat Triumph Motorcycles yang terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya akan diubahsuai sebagai persediaan untuk memulakan operasi sebagai pengedar Honda Big Wing pada suku pertama 2023.

Sementara itu, semua cawangan Fast Bikes yang lain di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu juga akan ditamatkan operasi.

Pelanggan dan pemilik Triumph Motorcycles di Malaysia tidak perlu risau kerana Triumph Motorcycles UK dan wakilnya akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi semua terma dan syarat untuk motosikal yang masih dalam tempoh jaminan yang ditetapkan.

“Kepada semua pelanggan kami, terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi selama ini. Ia amat bermakna bagi kami dan mengharapkan sokongan berterusan daripada anda untuk terus maju ke hadapan,” kata Razak Al-Malique.

Fast Bikes memulakan operasinya pada 2010 dan bertanggungjawab membawa semula jenama Triumph Motorcycles ke pasaran motosikal Malaysia.

Sepanjang tempoh itu, Fast Bikes telah menaikkan Triumph Motorcycles menjadi jenama kedua terbesar dari segi saiz pasaran dalam kategori motosikal premium 500 cc dan ke atas.

Bukan itu sahaja, jualan syarikat itu juga meningkat dua kali ganda antara 2019 dan 2022 dengan jumlah tempahan yang memberangsangkan.