fbpx

Fast Bikes beralih ke Honda Big Wing bermula 2023

Triumph Speed Triple 1200

PENGEDAR rasmi Triumph Motorcycles di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd mengumumkan bahawa mereka tidak akan lagi menjadi pengedar motosikal jenama United Kingdom itu bermula 14 Januari 2023.

Menurut Ketua Eksekutif Fast Bikes, Datuk Razak Al-Malique Hussain, pihaknya juga telah menandatangani perjanjian untuk menjadi pengedar Honda Big Wing.

Ini bermakna bilik pameran dan ibu pejabat Triumph Motorcycles yang terletak di Seksyen 13, Petaling Jaya akan diubahsuai sebagai persediaan untuk memulakan operasi sebagai pengedar Honda Big Wing pada suku pertama 2023.

Sementara itu, semua cawangan Fast Bikes yang lain di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu juga akan ditamatkan operasi.

Foto ihsan Triumph

Pelanggan dan pemilik Triumph Motorcycles di Malaysia tidak perlu risau kerana Triumph Motorcycles UK dan wakilnya akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi semua terma dan syarat untuk motosikal yang masih dalam tempoh jaminan yang ditetapkan.

“Kepada semua pelanggan kami, terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi selama ini. Ia amat bermakna bagi kami dan mengharapkan sokongan berterusan daripada anda untuk terus maju ke hadapan,” kata Razak Al-Malique.

Fast Bikes memulakan operasinya pada 2010 dan bertanggungjawab membawa semula jenama Triumph Motorcycles ke pasaran motosikal Malaysia.

Sepanjang tempoh itu, Fast Bikes telah menaikkan Triumph Motorcycles menjadi jenama kedua terbesar dari segi saiz pasaran dalam kategori motosikal premium 500 cc dan ke atas.

Bukan itu sahaja, jualan syarikat itu juga meningkat dua kali ganda antara 2019 dan 2022 dengan jumlah tempahan yang memberangsangkan.

 

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved