Arkib Tag: track day

Subaru BRZ Cup dengan rim kompang, sedia masuk litar!

SUBARU BRZ telah berada dalam pasaran Jepun sejak 2013, dengan beberapa versi diperkenalkan seperti RA dan Cup Car Basic.

Untuk 2024, coupe sports untuk peminat tegar pemanduan ini mendapat kemas kini baharu, tetapi masih murah.

Anda masih dapat rim steelies (kompang/besi) 16-inci dengan tayar 205/55 biasa, ini kerana Subaru tahu anda pasti akan tukar sebaik sahaja kereta dibeli.

Yang penting adalah bahagian-bahagian lain, seperti roll-cage enam-poin dan bar sisi yang telah dimodifikasi. BRZ Cupa Car Basic 2024 ini juga didatangkan dengan ciri keselamatan EyeSight sebagai standard, sesuatu yang tidak disangka untuk kereta kegunaan litar.

Sama seperti sebelum ini, versi hardcore ini tidak dilengkapi dengan beg udara, malah tiada penebat bunyi. Tempat duduk pemandu siap dengan lubang untuk tali pinggang keledar enam-poin manakala karpet juga berbeza.

Subaru juga memasang penyejuk minyak enjin tambahan dan sirip udara untuk mengalirkan udara ke pembeda belakang.

Dari segi berat, BRZ Cup ini tidak banyak berbeza dengan versi biasa kerana ia masih mempunyai pendingin hawa. Beg udara pemandu telah dinyah-aktifkan dan tidak akan meletup jika berlaku perlanggaran kerana bukaannya telah dihalang dengan roll-cage.

Apa pun, Subaru BRZ Cup ini sedia untuk menyertai acara kompetitif seperti track day, perlumbaan one-make, drifting, atau gymkhana sebaik sahaja keluar bilik pameran. Tukar sahaja rim dan tayar, dan anda boleh terus daftarkan nama dalam acara.

Jentera ini berharga USD24,373 (RM115,812) di Amerika Syarikat, dikira agak murah jika dibandingkan dengan BRZ biasa yang berharga USD30,195 (RM143,476).

Boleh tunggang PEV (kenderaan mudah alih elektrik) di Litar Sepang, slot RM62.50 sahaja

BAIK, ini ada peluang menarik untuk anda pemilik/penunggang kenderaan elektrik mudah alih (portable electric vehicle atau PEV). Anda boleh usung PEV anda ke Litar Sepang dan ujinya di sana!

Ya, boleh tunggang apa sahaja e-skuter, e-bike, hoverboard, electric unicycle atau e-skateboard milik anda di Litar Antarabangsa Sepang sepanjang 5.543km yang pernah menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1).

Sepang International Circuit (SIC) telah mengumumkan PEV Open Track Day yang akan diadakan buat pertama kali pada 3 Disember ini.

Sesi itu akan berlangsung pada 8:00 malam hingga tengah tengah malam, di North Paddock. Pendaftaran boleh dibuat di Pit 5 dan 6 dan anda boleh parkir kereta di ruang P1, P2 dan P3.

Yuran kemasukan ialah RM62.50 sahaja satu kepala. Berminat? Boleh daftarkan slot anda secara online, hanya imbas kod QR di poster ini.

 

Untuk keselamatan, terdapat beberapa peraturan mudah yang perlu dipatuhi. Anda mestilah mempunyai top keledar dan kasut bertutup penuh. SIC juga menyarankan anda memakai pelapik siku dan lutut.

Sudah tentu peserta mestilah telah divaksinasi sepenuhnya, bermakna telah melepasi 14 hari dari tarikh dos kedua untuk Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, atau melepasi 28 hari untuk vaksin satu dos J&J dan CanSino.

Pitstop Café juga akan dibuka sepanjang masa dan makanan serta minuman luar tidak dibenarkan.

SIC berkata bahawa penganjuran ini dibuat memandangkan peningkatan populariti kenderaan PEV di Malaysia selain mempromosikan mobiliti bersih dan mesra alam.

Sebelum ini, SIC juga pernah menganjurkan Open Track Day untuk penunggang basikal.

Kecundang di litar Ulu Yamburgring, pemandu Nissan Cefiro bertembung dengan Honda BR-V

KERAJAAN telah melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) dan membenarkan rentas daerah serta aktiviti sosial tertentu, dan bagi kaki kereta, pastinya aktiviti seperti track day dan weekend drive dinanti-nantikan.

Namun sayang sekali ‘pemanduan sukan’ di jalan raya awam sering berakhir dengan tidak begitu baik apabila apabila segala ‘bakat’ yang lama dipendam cuba dicurahkan dengan cara yang salah.

Sebuah Nissan Cefiro telah bertembung dengan Honda BR-V dari arah bertentangan selepas gagal membrek dan mengelak kenderaan yang diekorinya.

 

Dari dua klip video yang tersebar di aplikasi Whatsapp dan Facebook itu, kejadian difahamkan berlaku di Ulu Yam semalam (Ahad, 3 Oktober 2021). Kedua-dua video memaparkan rakaman dari pandangan belakang dashcam.

Video pertama yang berdurasi 15 saat menunjukkan sebuah kereta (dipercayai BMW) yang mengekori kereta kamera seperti memperlahankan kenderaan dan mengelak sesuatu sebelum perlanggaran berlaku di belakang mereka.

 

Video kedua pula yang dipercayai dari kereta di belakang BMW tadi, jelas menunjukkan kereta kamera memperlahankan kenderaan, sebelum sebuah Nissan Cefiro putih yang sedang laju cuba membrek.

Ia seperti tersasar atau cuba mengelak dan bergesel dengan sisi kereta kamera lalu bertembung dengan Honda BR-V dari arah bertentangan.

Tidak dapat dipastikan bagaimana keadaan pemandu dan penumpang kedua-dua kereta (Cefiro dan BR-V). Tetapi komen di Facebook mengatakan pemandu BR-V selamat dan hanya cedera ringan.

Kami belum dapat maklumat lanjut dari insiden ini.

Yang pasti, kami ingin sampaikan satu pesanan yang membosankan tetapi cukup penting, iaitu jalan raya bukanlah tempat berlumba.

Sentiasa amalkan pemanduan defensif di jalan raya awam kerana kita berkongsi dengan pemandu-pemandu lain.

Dan jika hendak menguji kemampuan diri dan kenderaan, lakukannya di tempat yang selamat dan betul seperti di kursus pemanduan lanjutan (advanced) atau di sesi track day.