Arkib Tag: toyota hilux

Toyota Hilux 2026 masuk Jepun, daripada RM124 ribu

Toyota melancarkan Toyota Hilux 2026 baharu untuk pasaran Jepun. Hilux generasi kesembilan tampil dengan perubahan menyeluruh dari aspek reka bentuk, keselesaan, keselamatan dan teknologi sambungan.

Hilux dibangunkan bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden, namun masih mengekalkan identiti utama yang sinonim dengan ketahanan dan kebolehpercayaan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1968, Hilux sudah dipasarkan di lebih 190 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Di Jepun, Hilux menjadi pilihan pengguna untuk aktiviti luar dan tugasan kerja menerusi reputasi QDR atau kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaan.

Rekaan Cyber SUMO Lebih Moden

Toyota menggunakan konsep Cyber SUMO untuk Hilux baharu.

Rekaan tersebut mengekalkan karakter lasak sebuah kenderaan utiliti, namun kini tampil lebih moden dan menyerlah.

Bahagian hadapan diinspirasikan daripada pertembungan awal ahli gusti sumo menerusi bentuk fender, gril radiator dan bampar yang lebih menonjol.

Dari segi ukuran, pikap ini direka dengan ukuran panjang 5,325mm, lebar 1,885mm dan tinggi 1,865mm.

Toyota menawarkan dua varian untuk pasaran Jepun iaitu Z dan Z Adventure.

Varian Z Adventure diberikan penampilan lebih agresif menerusi kemasan bampar bawah hadapan dan sport bar yang menyerlahkan imej lebih gagah.

Praktikal dan Mudah Digunakan

Pada bahagian dalam, Hilux menerima papan pemuka mendatar bagi membantu pemandu mengenal pasti posisi kenderaan ketika pemanduan off-road.

Skrin tengah 12.3 inci direka secara berasingan untuk mengurangkan pergerakan mata pemandu.

Konsol tengah yang lebar dan lurus pula menyerlahkan karakter lasak Hilux dan Toyota turut menyusun semula suis kawalan utama.

Suis berkaitan pemanduan ditempatkan di bahagian bawah konsol supaya lebih mudah dilihat dan digunakan tanpa mengganggu suis navigasi dan pendingin hawa.

Ruang Kargo Direka Untuk Aktiviti Harian dan Rekreasi

Hilux baharu menggunakan badan bersaiz pertengahan dengan ruang kargo berasingan daripada kabin.

Susun atur tersebut meningkatkan praktikaliti untuk kegunaan harian dan aktiviti luar.

Model ini masih mengekalkan kapasiti muatan sehingga 500 kg bersama lantai ruang kargo rata.

Toyota turut menambah baik aspek penggunaan harian menerusi ketinggian ruang kargo 845 mm ketika pintu belakang dibuka.

Pemijak pada dua sisi panel belakang juga disediakan untuk memudahkan proses memuat dan mengeluarkan barang.

Pemanduan Lebih Stabil Atas Jalan dan Off-road

Hilux baharu masih menggunakan struktur ladder frame tradisional bersama sistem pacuan empat roda separuh masa.

Toyota meningkatkan ketegaran casis menerusi penambahan ketebalan pada bahagian sisi rangka.

Langkah tersebut membantu menghasilkan keseimbangan lebih baik terhadap lenturan dan putaran badan kenderaan.

Sebanyak 36 titik kimpalan tambahan turut digunakan pada panel lantai.

Ia membantu meningkatkan ketegaran struktur selain mengurangkan getaran dan bunyi resonans.

Toyota menyatakan perubahan tersebut meningkatkan kestabilan, kawalan dan keselesaan pemanduan.

Hilux baharu turut dilengkapi sistem Multi Terrain Select.

Sistem tersebut mengawal penghantaran kuasa dan tekanan brek hidraulik untuk meningkatkan keupayaan off-road di pelbagai permukaan jalan.

Multi Terrain Monitor juga ditawarkan bagi membantu pemandu ketika pemanduan off-road.

Suspensi dan Stereng Baharu Tingkat Keselesaan

Toyota menyemak semula talaan suspensi dengan kadar spring dioptimumkan mengikut tahap ketegaran badan.

Talaan penyerap hentak baharu pula membantu menghasilkan pemanduan lebih stabil dan selesa di atas jalan serta off-road.

Hilux kini menggunakan stereng kuasa elektrik.

Sistem tersebut memberikan respons stereng lebih baik pada kelajuan rendah selain mengurangkan getaran ketika pemanduan off-road.

Brek parkir elektrik turut ditawarkan bersama fungsi stop hold untuk Radar Cruise Control dengan fungsi pengesanan semua kelajuan.

Ciri tersebut membantu pemanduan lebih selesa ketika kesesakan lalu lintas.

Enjin Diesel 2.8 Liter

Toyota Hilux 2026 menggunakan enjin diesel suntikan terus 2.8 liter 1GD-FTV.

Enjin tersebut dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan 6 Super ECT.

Toyota menyatakan kombinasi itu memberikan pecutan kuat ketika bergerak, kecekapan bahan api yang baik dan pemanduan lebih senyap.

Sistem pacuan empat roda separuh masa membolehkan mod pemanduan dipilih menerusi suis transfer case.

Toyota Safety Sense Dipertingkat

Toyota turut meningkatkan ciri keselamatan Hilux baharu menerusi sistem Toyota Safety Sense.

Sistem tersebut kini menerima fungsi tambahan seperti Proactive Driving Assist.

Sistem itu membantu operasi stereng dan brek ketika pemanduan di jalan raya awam.

Pre-collision Safety pula mampu mengesan kenderaan dari arah bertentangan ketika membelok ke kanan.

Sistem itu juga mampu mengesan pejalan kaki yang melintas ketika membelok ke kanan atau kiri.

Sistem Sambungan dan Navigasi Moden

Hilux baharu turut menerima Display Audio Plus dengan skrin HD 12.3 inci yang menyokong Connected Navigation.

Sistem tersebut menggunakan sambungan berterusan melalui DCM untuk mendapatkan peta dan maklumat trafik terkini.

Toyota turut menyediakan fungsi Help Net.

Fungsi tersebut akan menghubungi operator secara automatik apabila beg udara diaktifkan untuk mempercepatkan bantuan kecemasan.

Toyota turut mengesahkan fungsi keselamatan dan ciri kenderaan akan terus dipertingkat menerusi kemas kini perisian menggunakan DCM.

Harga Toyota Hilux 2026 Di Jepun

Toyota menawarkan Hilux baharu dalam dua varian untuk pasaran Jepun dengan menyasarkan jualan bulanan sebanyak 690 unit

Varian Z dijual pada harga 4,980,800 yen atau sekitar RM124,303.

Varian Z Adventure pula berharga 5,500,000 yen atau sekitar RM137,170.

Aksesori Tambahan Untuk Aktiviti Luar

Toyota turut menawarkan beberapa aksesori tambahan yang memberi fokus kepada penggunaan ruang kargo Hilux.

Antara aksesori yang ditawarkan termasuk bed liner over rail, tailgate lift assist jenis damper dan emblem pintu kargo berwarna perak.

Aksesori tersebut dibangunkan untuk meningkatkan praktikaliti dan pengalaman penggunaan ketika aktiviti bersama keluarga dan rakan.

Toyota Hilux 2026 untuk pasaran Jepun dihasilkan di kilang Ban Pho milik Toyota Motor Thailand Co., Ltd.

Toyota Hilux BEV 2026 di Australia selepas Thailand, harga lebih tinggi

Toyota Hilux BEV bakal menemui pelanggan di pasaran Australia menjelang Mei 2026.

Pengenalan ini menyusuli pelancaran model sama di Thailand yang dikenali sebagai Hilux Travo-e.

Di Australia, trak pikap elektrik ini akan ditawarkan dalam dua varian dengan harga jualan bermula dari $74,990 (RM207,422).

Model ini merupakan kenderaan komersial ringan atau light-commercial vehicle (LCV) elektrik sepenuhnya yang pertama daripada Toyota.

Ia tampil bersama Hilux generasi kesembilan turbo-diesel yang baru sahaja dilancarkan.

Pihak Toyota menyasarkan Hilux BEV ini untuk kegunaan kerajaan serta sektor perlombongan dan pembinaan.

Pikap elektrik ini dibangunkan untuk mengurangkan pelepasan ekzos tanpa mengabaikan aspek kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaan atau QDR.

Ujian ketahanan Toyota Hilux BEV

Bagi memastikan Hilux BEV mampu menangani persekitaran lasak di Australia, Toyota telah menjalankan program ujian menyeluruh.

Ujian ini dilakukan dengan kerjasama rangkaian kenderaan perlombongan terkemuka di kawasan pedalaman.

Pikap ini telah melalui ujian ekstensif dalam dunia nyata dan persekitaran permintaan tinggi.

Ini termasuklah operasi di kawasan pedalaman yang bersuhu panas mencecah 50°C serta pelbagai laluan off-road.

Langkah ini diambil bagi memberikan input kukuh mengenai prestasi dan keupayaan kenderaan tersebut.

Pilihan varian dan harga

Hilux BEV dilancarkan di Australia secara eksklusif dalam bentuk badan double-cab dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dua motor.

Ia ditawarkan dalam varian pertengahan SR dan gred mewah SR5. SR double cab-chassis ditawarkan pada harga $74,990 (RM207,422).

Varian SR pick-up pula bermula dari $76,490 (RM211,571) manakala varian tertinggi SR5 pick-up dijual pada harga $82,990 (RM229,550).

Sebagai perbandingan, di Thailand model ini dijual pada harga 1.491 juta baht atau sekitar RM180,000. Malaysia pula bakal menyusul khabarnya berharga RM226,300.

Rangkaian kuasa dan prestasi Hilux BEV

Sistem rangkaian kuasa elektrik Hilux BEV terdiri daripada bateri litium-ion 59.2 kWj yang baru dibangunkan bersama sistem AWD dua motor.

Unit motor hadapan menghasilkan 82 kW (112 ps) dan 206 Nm. Unit motor belakang yang lebih berkuasa pula menghasilkan 129 kW (176 ps) dan 269 Nm.

Ini memberikan hantaran kuasa yang lebih mantap untuk tugasan berat dan pemanduan mencabar.

Output gabungan sistem bagi Hilux BEV ini adalah 144 kW (196 ps) dan 468 Nm.

Agihan tork dikawal secara berubah-ubah antara gandar hadapan dan belakang semasa pemanduan di atas jalan raya.

Sistem ini memberikan cengkaman AWD sepanjang masa yang tinggi untuk kestabilan maksimum.

Untuk pemanduan off-road, sistem kawalan cengkaman Multi-Terrain Select menawarkan enam mod pemanduan berbeza untuk menyesuaikan keadaan permukaan jalan.

Pengecasan dan jarak gerak

Bateri 59.2 kWj menyokong keupayaan pengecasan pantas DC CCS2 sehingga 150 kW di Australia.

Walau bagaimanapun, spesifikasi di Malaysia dan Thailand hanya menyokong pengecasan sehingga 125 kW DC.

Sistem pengecasan ini boleh mengisi semula bateri dari 10 ke 80 peratus dalam masa sepantas 30 minit.

Untuk pengecasan AC tiga fasa 10 kW atau 11 kW, ia mengambil masa kira-kira 6.5 jam.

Jarak gerak bagi varian pick-up sejauh 315 km berdasarkan kitaran NEDC. Bagi varian SR cab-chassis, jarak gerak yang dicatatkan adalah sejauh 245 km mengikut standard yang sama.

Mengikut kitaran WLTP yang lebih ketat, jarak geraknya adalah sekitar 240 km. Angka ini lebih menyamai penggunaan sebenar terutamanya bagi pemanduan di kawasan bandar dan lebuh raya.

Kerangka dan reka bentuk luaran Hilux BEV

Untuk memuatkan rangkaian kuasa elektrik, Hilux BEV menggunakan sistem ampaian yang dibangunkan secara unik dengan pengukuhan kerangka.

Ia menggunakan ampaian hadapan MacPherson strut yang telah diperkukuh.

Sistem ampaian belakang menggunakan jenis dedaun De-dion bagi menempatkan motor elektrik tetapi masih mengekalkan gandar hidup atau live axle.

Ini penting bagi mengekalkan ketahanan lasak sebuah Hilux.

Dari sudut luaran, ia dibezakan melalui gril hadapan bahagian atas yang tertutup serta rim aloi 17-inci aerodinamik.

Brek cakera berliang digunakan untuk kuasa hentian yang kuat dan pemulihan tenaga melalui brek regeneratif.

Kapasiti tunda maksimum adalah 2,000 kg bagi kesemua varian Hilux BEV.

Ini membolehkan pemilik menarik bebanan berat walaupun kenderaan ini beroperasi menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Kelengkapan dalaman dan ciri Hilux BEV SR

Varian SR dilengkapi dengan lampu hadapan LED dengan pelarasan manual dan bampar hadapan berwarna.

Turut disertakan adalah cermin sisi dan pemegang pintu berwarna, antena sirip yu serta pemijak sisi.

Di dalam kabin, ia menggunakan kemasan fabrik, alas lantai kalis cuaca dan stereng urethane.

Ciri moden lain termasuk penukar gear shift-by-wire, kawalan iklim automatik dua zon dan sistem kemasukan pintar.

Terdapat juga inverter 1,500W pada kotak konsol tengah untuk menguasakan peralatan elektrik kecil.

Sistem multimedia menggunakan skrin sentuh 12.3-inci yang dipadankan dengan paparan maklumat multimedia 12.3-inci.

Sistem ini menyokong navigasi satelit, arahan suara dan ketersambungan tanpa wayar Apple CarPlay® serta Android Auto™.

Terdapat juga radio digital DAB+ serta dua port USB-C di depan dan belakang.

Spesifikasi tambahan SR5

Varian SR5 pick-up menambah ciri lampu hadapan LED gred tinggi dengan pelarasan automatik dan cermin sisi pemanas.

Turut ditambah adalah lampu kabus dan lampu belakang LED serta kaca privasi belakang.

Bahagian dalaman pula lebih mewah dengan kemasan kulit sport dan tempat duduk hadapan dengan pemanas.

Pemandu mendapat pelarasan kuasa serta sokongan tulang belakang atau lumbar support dua hala.

Ia juga dilengkapi stereng dengan pemanas, lantai berkarpet dan cermin pandang belakang elektrokhromatik.

Sistem audio lapan pembesar suara dan pengecas telefon tanpa wayar turut menjadi kelengkapan standard bagi varian ini.

Panel instrumen pula menggunakan bahan lembut berpenutup dengan pemegang pintu berwarna perak.

Ini memberikan suasana yang lebih premium di dalam ruang kabin bagi pengguna yang mementingkan keselesaan.

Keselamatan dan teknologi sambungan

Ciri keselamatan aktif Toyota Safety Sense adalah standard, merangkumi Pre-Collision System autonomi dengan brek kecemasan.

Turut disertakan adalah kawalan jelajah radar dinamik dan Lane Trace Assist.

Ciri lain termasuk amaran trafik lintas belakang, bantuan brek parkir belakang bagi varian pick-up dan bantuan papan tanda jalan.

Sistem lampu tinggi automatik turut membantu pemanduan pada waktu malam.

Ia juga dilengkapi monitor pandangan panoramik, penderia parkir hadapan dan belakang serta pemantau tekanan tayar.

Penumpang turut dilindungi oleh lapan beg udara SRS yang dipasang secara standard.

Fungsi Toyota Connected Services membolehkan pemilik mengakses ciri keselamatan secara jarak jauh melalui aplikasi myToyota Connect.

Di Australia, pelanggan persendirian juga menerima pengecas wallbox AC 7 kW secara percuma.

Spesifikasi Toyota Hilux BEV 2026 Australia

  • Motor elektrik hadapan: 82 kW (112 ps)
  • Tork motor hadapan: 206 Nm
  • Motor elektrik belakang: 129 kW (176 ps)
  • Tork motor belakang: 268 Nm
  • Output gabungan: 144 kW (196 ps) / 468 Nm
  • Bateri: 59.2 kWj Litium-ion
  • Jarak gerak: 315 km (NEDC) / 240 km (WLTP)
  • Pengecasan DC: 150 kW (Australia)
  • Pengecasan AC: 10 kW atau 11 kW
  • Sistem pacuan: AWD dua motor
  • Kapasiti tunda: 2,000 kg
  • Rim: Aloi 17-inci
  • Skrin multimedia: 12.3-inci
  • Beg udara: 8 unit
  • Penumpang: 2 atau 5 orang (mengikut varian)

Toyota Land Cruiser FJ lahir dari platform Hilux, bawakan semangat off-road dalam pakej lebih kompak

Menjelang Japan Mobility Show 2025, Toyota mendedahkan sebuah lagi model baharu sebagai pelengkap kepada keluarga Land Cruiser sedia ada, dinamakan sebagai Land Cruiser FJ.

Dengan saiz yang lebih kompak, Land Cruiser FJ diposisikan sebagai sebuah LC aras mula tanpa mengorbankan aspek ketahanan, kebolehpercayaan dan prestasi pemanduan off-road.

Land Cruiser FJ 2026 ini akan dipamerkan di reruai Toyota di Japan Mobility Show 2025 yang akan berlangsung pada 30 Oktober ini.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Land Cruiser FJ 2026:

 

1. Kongsi plaform Hilux

Tidak seperti Land Cruiser 300 Series dan 250 Series yang dibina berdasarkan platform TNGA-F, Land Cruiser FJ pula menggunakan platform IMV.

Ini bermakna, FJ merupakan adik-beradik kepada model seperti Hilux, Fortuner dan dua generasi terawal Innova.

Biarpun menggunakan pelantar yang agak berusia, Toyota tetap melengkapkan FJ ini dengan pendakap tambahan bawah lantai serta badan yang lebih tegar untuk memastikan pengendalian yang lebih stabil.

 

2. Dimensi

Land Cruiser FJ berukuran sepanjang 4,575 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,960 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,580 mm – jauh lebih kecil berbanding Land Cruiser 300 Series dan 250 Series.

Jika diletakkan bersebelahan dengan Corolla Cross, FJ mempunyai kelebihan 114 mm dari segi panjang, namun jarak antara roda 58 mm lebih pendek.

 

3. Luaran

Reka bentuk Land Cruiser FJ berpetak itu banyak mengambil inspirasi daripada rekaan Land Cruiser 250 Series.

Seperti contoh, FJ boleh didapati dengan dua rekaan muka hadapan yang berbeza, satu daripadanya menampilkan DRL berbentuk C dan sebuah lagi menggunakan DRL berbentuk bulat.

Kehadiran tayar simpanan saiz penuh yang tergantung di belakang menambahkan lagi imej lasak FJ.

 

Menurut Toyota, model ini turut hadir dengan sudut bampar depan dan belakang yang mudah untuk digantikan, selain boleh dimuatkan dengan bermacam-macam aksesori.

Antaranya ialah Land Hopper, sebuah kenderaan mobiliti peribadi berkuasa elektrik dengan tetapan tiga roda, dengan rekaan yang boleh dilipat dan disimpan di dalam ruang kargo.

 

4. Ruang kabin

Ruang kabin FJ ini masih lagi menampilkan gugusan butang kawalan fizikal yang besar dan mudah untuk dicapai.

Selain skrin infohibur di tengah, terdapat juga skrin kluster digital disediakan untuk memudahkan urusan pemandu.

Di bahagian konsol tengah terdapat tombol gear fizikal yang lengkap dengan tuil brek tangan serta dial rotari yang khusus untuk pemanduan off-road.

5. Enjin

Land Cruiser FJ dikuasakan oleh nadi empat silinder sebaris 2TR-FE 2.7 liter menghasilkan kuasa 163 PS dan daya kilas 246 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan empat roda separuh masa 4WD menerusi transmisi automatik Super ECT 6 nisbah kelajuan.

Dalam pada itu, Toyota tidak merancang untuk memasarkan ‘baby’ Land Cruiser ini untuk pasaran seperti Amerika dan Eropah.

Sebaliknya, Toyota akan memfokuskan Land Cruiser FJ ini untuk pasaran seperti Asia Tenggara, Afrika, Amerika Latin dan juga Timur Tengah.

SUV off-road ini akan dipasang di kilang Toyota yang terletak di Thailand.

UK haramkan iklan Toyota Hilux sebab pamer aksi off-road

DUA video iklan yang menunjukkan sekumpulan trak pikap dipandu dalam hutan belantara telah diharamkan oleh regulator United Kingdom (UK) kerana menggalakkan pemandu membuat aksi yang boleh merosakkan alam sekitar.

Dalam satu video iklan Toyota Hilux yang dipromosikan di Facebook, berdozen trak pikap itu dilihat dipandu menyeberangi sungai, hutan, dan tanah terbuka. Suara latar pula menerangkan babak itu sebagai “pemandangan sebenar alam sekitar”.

Versi poster pula digunakan di hentian-hentian bas sekitar negara itu menunjukkan trak pikap tersebut dengan slogan “Born to Roam” (Dilahirkan untuk Merayap/Menjelajah).

Kedua-dua iklan itu tidak boleh dipamerkan di UK selepas keputusan oleh Advertising Standards Authority (ASA). Menurut mereka, iklan itu “mempersembahkan dan menggalakkan penggunaan kenderaan yang tidak menghiraukan kesan kepada alam sekitar.”

Keputusan itu adalah yang terkini dalam siri pengharaman ASA yang memfokuskan kepada alam sekitar yang mula dilancarkan pada 2020.

Ini juga kali pertama ASA mengharamkan iklan yang menunjukkan pemanduan off-road, sesuatu yang kerap dibuat oleh iklan-iklan trak dan SUV.

Pada 2021, satu iklan oleh Jaguar Land Rover menunjukkan kereta di dalam hutan dengan slogan, “Life is so much better without restrictions” (hidup jauh lebih baik tanpa halangan).

ASA pernah menilai iklan itu dan mengambil keputusan tidak mengharamkannya, berkata bahawa konsumer (pada masa itu) pastinya faham konteks slogan untuk menghapuskan halangan-halangan Covid-19.

Boleh tahan juga tegas pengamal alam sekitar di sana ya. Kami faham kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar, tapi jika iklan Toyota Hilux dengan pemanduan off-road diharamkan, iklan bagaimana pula yang boleh dibuat nanti? Mungkin tunjuk Hilux dipandu pergi ke tempat kerja sahaja nampaknya.

Perodua Alza dan Toyota Hilux bertembung, lima sekeluarga maut

LIMA sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan Toyota Hilkux di jalan raya Timur Barat arah Gerik-Jeli berdekatan Hentian Titiwangsa di Gerik petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Gerik menerima panggilan mengenai nahas itu pada 3:45 petang.

Beliau berkata, kemalangan itu menyaksikan kesemua mangsa yang disahkan meninggal dunia menaiki Perodua Alza manakala dua lagi, yang menaiki Toyota Hilux, hanya cedera ringan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rodhi Othman, 58; Ahmad Khomaini Abu, 30; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 5 tahun.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli, Kelantan untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada 7 malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kedua-dua kenderaan masing-masing dinaiki lima orang.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood pula berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan waris telah dimaklumkan untuk proses selanjutnya.