Arkib Tag: Tiguan

Volkswagen Tiguan generasi ke-3 diperkenalkan – lebih aerodinamik, ada varian PHEV

TIGUAN merupakan antara model keluaran Volkswagen yang paling popular dengan jualan peringkat global mencecah 7.6 juta unit sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 2007.

Kini, SUV itu telah pun memasuki generasi ketiga dengan reka bentuk yang lebih segar, ukuran yang lebih panjang dan sudah tentunya pelbagai teknologi serta kelengkapan baharu. Model ini akan memasuki pasaran seawal tahun 2024.

Menurut Volkswagen, ukuran panjang Tiguan telah bertambah sebanyak 3 cm, manakala ukuran tinggi, lebar dan jarak roda sama seperti model sebelum ini. Walaupun perubahan saiz luaran tidak begitu ketara, kapasiti ruang but model ini membesar 37 liter kepada 652 liter.

Seperti yang boleh dilihat, penampilan luaran Tiguan kini lebih ‘lembut’ jika dibandingkan dengan model terdahulu. Lampu LED-nya mempunyai bentuk yang lebih rata, manakala bukaan radiator kini terletak pada sudut kiri dan kanan bampar untuk pengaliran udara yang optimum.

Rekaan baharu ini secara tidak langsung menjadikan Tiguan lebih aerodinamik, di mana kadar pekali seretannya menurun dari 0.33 kepada 0.28. Bahagian belakang pula tampak lebih lebar dengan lampu LED melintang yang dikontraskan dengan panel berwarna hitam.

Ruang dalaman SUV ini menampilkan susun atur panel instrumen digital yang lebih kemas dan pintar. Kelengkapan yang tersedia termasuk Digital Cockpit berasaskan MIB4, skrin sentuh 15 inci dengan struktur menu dan grafik baharu, serta paparan head-up display.

Selain itu, Tiguan juga didatangkan dengan tombol ‘pengalaman pemanduan’ multifungsi dengan skrin mini OLED pada konsol tengah. Ciri ini membolehkan pemandu memilih profil, mengawal multimedia dan juga mengubah warna pencahayaan ambien.

Sebagai alternatif, pemandu juga boleh mengakses pelbagai fungsi kenderaan dan sistem infohibur menerusi sistem bantuan suara IDA baharu. Satu lagi ciri baharu adalah tempat duduk ergoActive Plus yang mempunyai pelarasan lumbar pneumatic empat hala, fungsi urutan, serta pemanasan dan ventilasi automatik.

Dibina menggunakan platform MQB evo, Tiguan akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin turbodiesel (TDI), turbo petrol (TSI), turbo petrol mild hybrid (eTSI) dan hibrid plug-in (eHybrid). Perincian mengenai trenkuasa ini belum didedahkan namun Volkswagen berkata model-model hibrid mempunyai jarak pandu elektrik sejauh 100 km.

Bukan itu sahaja, semua versi eHybrid menyokong pengecasan AC yang lebih pantas, manakala pengecasan pantas DC juga akan tersedia secara standard buat pertama kalinya untuk Tiguan.

Volkswagen turut menaik taraf kawalan casis adaptif (DCC) dengan pilihan DCC Pro yang mempunyai penyerap hentak dua injap. Vehicle Dynamics Manager yang diperkenalkan menerusi Golf GTI turut disertakan pada model ini. Ia berfungsi untuk mengawal differential lock elektronik (XDS) dan DCC Pro.

Ciri-ciri lain yang disertakan, sama ada secara standard atau opsyen, termasuk lampu matrix IQ.Light HD, Side Assist, Front Assist (Autonomous Emergency Braking), Lane Assist, Rear View, Dynamic Road Sign Display, Park Assist Pro dan Trailer Assist.

Jimat sehingga RM23,000 untuk model Volkswagen IQ.Drive – Tiguan, Golf GTI, Arteon

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan promosi Gemilang Deals sempena sambutan Merdeka dan Hari Malaysia.

Kempen tersebut menawarkan penjimatan sehingga RM23,000 untuk model-model Volkswagen yang dilengkapi sistem IQ.Drive iaitu Tiguan Allspace, Golf GTI, dan Arteon R-Line 4Motion.

Sah sehingga 31 Oktober, senarai promosi Gemilang Deals adalah seperti berikut:

Bergantung kepada mode, IQ.Drive membawakan beberapa ciri bantuan pemandu termasuk Front Assist, Adaptive Cruise Control, Side Assist, Rear Cross Traffic Alert dan Lane Assist.

VPCM juga akan mengadakan Jelajah Volkswagen bermula 6 hingga 10 September 2023 di pusat membeli-belah 1Utama. Terletak di Oval New Wing, tarikan utama jelajah berkenaan ialah debut umum model Golf R yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Dijangka ditawarkan pada harga di antara RM330,000 hingga RM350,000 seunit, Golf R pemasangan tempatan (CKD) itu hadir dengan R Performance Package sebagai ciri standard.

Pakej itu merangkumi ekzos titanium Akrapovič, mode Drift dan Special, spoiler belakang baharu serta rim aloi Estoril bersaiz 19-inci.

RM13k lebih murah! VW Tiguan Allspace Life kini berharga RM159,990

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) mengumumkan harga baharu untuk Tiguan Allspace Life, yang kini berharga RM159,990. Harga ini kira-kira RM13k lebih rendah, dimana SUV itu dijual pada RM173,590 semasa pelancarannya awal tahun ini.

Harga baharu RM160k ini berkuat kuasa serta-merta dan penyerahan akan bermula pada Januari 2023 depan.

Volkswagen Tiguan Allspace Life merupakan SUV varian asas jenama itu, tetapi ia tetap padat dengan pelbagai ciri sebagai sebuah kenderaan keluarga moden.

Ia dilengkapi dengan rupa yang tajam dan dinamik seperti keluarga Volkswagen yang lain, termasuk gril depan baharu yang mempunyai strip lampu LED.

Ciri dan tarikan utama Tiguan Allspace pastinya konfigurasi tujuh tempat duduk yang menawarkan ruang sehingga 1,775 liter, terbaik dalam kelasnya menurut Volkswagen.

Tiada perubahan dari segi teknikal. Tiguan Allspace Life dikuasakan oleh enjin 1.4TSI turbo dengan padanan kotak gear dwi-klac DSG 6-kelajuan. Enjin 4-silinder itu menjana 150hp dan 250Nm tork tetapi memberikan kecekapan sehingga 7.7 liter/100km/

Tiguan Allspace Life hadir dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, penyelenggaraan percuma 3-tahun, dan bantuan tepi jalan 5-tahun.

Volkswagen Tavendor satu lagi SUV baharu dari platform MQB, untuk China sahaja

VOLKSWAGEN telah memperkenalkan satu SUV saiz besar yang baharu iaitu Tavendor, tetapi ia hanya untuk pasaran China. Ia dipasang dengan kerjasama FAW-VW dan dibina dari platform MQB Evo.

Volkswagen Tavendor menampilkan rekaan moden dan terkini jenama itu dengan penuh teknologi dan ciri di dalam kabin.

 

Rekaan depannya mendapat strip melintang pada gril dengan warna badan, serupa dengan elemen LED di atas lampu utamanya yang ditarik dari hujung kedua-dua sisi.

Profil sisi pula mempunyai garisan tingkap serupa dengan Audi Q6, manakala bahagian belakang diberikan sedikit elemen dari model-model ID walaupun grafik lampu belakang LED adalah unik untuk Tavendor.

Varian R-Line seperti dalam gambar-gambar ini dilengkapi dengan rekaan bampar lebih sporti dan rim aloi lebih besar.

Dari segi dimensi, Volkswagen Tavendor berukuran 4,936mm panjang, 2,015mm lebar, 1,756mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 2,980mm. Tavendor ini adalah 58mm lebih panjang dari Volkswagen Touareg.

Di bahagian dalam, ia mendapat rekaan papan pemuka yang menjadi kebiasaan Volkswagen. Ia menempatkan kluster instrumen 10.2-inci dan skrin infotainmen 12-inci.

Papan pemuka minimalis ini digabungkan dengan panel tengah yang agak tinggi dan menempatkan ruang simpanan terbuka. Sementara itu, bumbung panoramik dan tempat duduk balutan fabrik menjadi kelengkapan standard.

Seperti model-model Volkswagen di China, Tavendor akan dipacu oleh enjin 2.0-liter 4-silinder TSI, dengan dua tahap output.

Model asas akan menghasilkan 183hp manakala model lebih berkuasa menjana 217hp. Kotak gear adalah standard automatik DSG 7-kelajuan, tetapi kuasa dihantar sama ada ke roda depan atau semua-roda (4Motion).

Model ini akan dilancarka di China menjelang suku keempat tahun ini dan harga akan diumum kemudian semasa pelancaran. Menurut Car News China, ia dijangka dijual pada harga sekitar USD42,000 (RM188,328).

Volkswagen Tiguan Allspace kini dengan varian asas 1.4 TSI Life, RM173k

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan varian ketiga untuk Tiguan Allspace facelift, iaitu 1.4 TSI Life. Varian ini akan menyertai dua lagi versi iaitu 1.4 TSI Elegance dan 2.0 TSI R-Line 4Motion yang diperkenalkan sebelum ini.

Secara visual, Volkswagen Tiguan Allspace 1.4 TSI Life berkongsi rekaan facelift termasuklah lampu LED baharu, kemasan ‘Allspace’, perumah cermin sisi berwarna perak, dan rim aloi 18-inci Frankfurt.

Tiada perubahan besar pada bahagian kabin dimana varian 1.4 TSI Life ini juga mendapat konfigurias tujuh tempat duduk dan ruang but sehingga 1,775 liter.

Ciri lain merangkumi sistem infotainmen Discover Pro bersaiz 9.2-inci dengan ketersambungan aplikasi tanpa wayar, sistem navigasi, kawalan suara, pendingin hawa Climatronic tiga-zon dan stereng sport multi-fungsi dibalut kulit.

Tiguan 1.4 TSI Life dikuasakan oleh enjin 1.4-liter turbo yang menjana 150PS dan 250Nm tork. Output dihantar ke roda depan melalui kotak gear DSG 6-kelajuan. Gabungan ini penggunaan bahan api serendah 7.7L/100km.

Aspek keselamatan tidak dikompromi, dimana Tiguan ini juga mendapat kelengkapan menyeluruh. Ini termasuklah enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Lane Assist dan sistem-sistem Driver Alert.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berkata: “Dengan Life, kami menawarkan sebuah SUV berprestasi tinggi yang akan memberikan nilai terbaik kepada pelanggan. Ia juga boleh menjadi pilihan ideal untuk keluarga muda yang ingin membeli kenderaan mereka.”

Tiguan Allspace 1.4 TSI Life ditawarkan pada harga RM172,990 dan hadir dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 5-tahun, dan penyelenggaraan percuma 3-tahun. Lima warna boleh dipilih iaitu Atlantic Blue, Platinum Grey, Pyrite Silver, Deep Black, dan Oryx White.

Tempahan serta pandu uji kini boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, layari www.volkswagen.com.my.

VW Tiguan Allspace facelift dilancar: Elegance dan R-Line 4MOTION, harga dari RM174k

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Tiguan Allspace facelift 2022. SUV tujuh tempat duduk ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) dan hadir dengan dua varian seperti berikut:

Tiguan Allspace Elegance: RM174,475
Tiguan Allspace R-Line 4MOTION: RM219,443

Sokongan selepas jualan merangkumi penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun.

Dengan facelift ini juga, VPCM turut berkongsi bahawa mereka tidak lagi menawarkan Tiguan versi lima tempat duduk kerana kebanyakan pelanggan lebih gemar model tujuh tempat duduk.

Apa pun, mari kita lihatkan pembaharuan yang diberi pada Volkswagen Tiguan Allspace facelift ini.

Dari segi rupa luaran, kedua-dua varian mendapat gril yang direka semula, bampar depan baharu, dan lampu LED rekaan baharu berserta strip LED di dalam gril sama seperti Golf Mk8.

Terdapat juga perkataan ‘TIGUAN’ di pintu but belakang dan model ini juga memakai logo baharu Volkswagen.

Peningkatan di bahagian dalam termasuklah sistem infotainmen Discover Pro dengan skrin 9.2-inci yang menyokong sambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar.

Seterusnya, roda stereng Tiguan Allspace ini mendapat butang kawalan dengan sentuhan haptik selain tombol-tombol pendingin hawa yang dinaik taraf serta tombol gear baharu.

Terdapat juga empat mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport atau Individual yang boleh disesuaikan dengan keperluan pemandu.

Ciri lain adalah sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon, Air Care, serta fungsi Easy Open dan Easy Close untuk pintu but belakang.

Untuk perbezaan bagi Tiguan Allspace varian Elegance dengan R-Line 4Motion, pertamanya dari segi rupa luaran, Elegance mendapat rim 18-inci, sementara R-Line diberikan 19-inci.

Dan sudah tentu perbezaan utama adalah enjin masing-masing. Tiguan Allspace Elegance dikuasakan enjin 1.4TSI turbo berkuasa 150PS dan 250Nm tork, dipadankan dengan kotak gear DSG 6-kelajuan, menggunakan pacuan roda depan.

Tiguan Allspace R-Line pula dikuasakan oleh enjin 2.0TSI turbo yang menjana 220PS dan 350Nm tork. Enjin ini menghantar kuasa ke semua roda melalui kotak gear DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan 4MOTION.

R-Line ini juga mendapat Dynamic Chassis Control (DCC) yang memberikan mod pemanduan tambahan iaitu On-road, Off-road, Off-road Expert dan Snow.

Akhir sekali, ciri keselamatan adalah enam beg udara (tujuh untuk R-Line), Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS), Brake Assist (BA), brek Multi-collision, Intelligent Crash Response System (ICRS), dan Electronic Parking Brake (EPB).

Lane Assist dan Driver Alert juga standard untuk kedua-dua model, manakala Hill-Descent Control khas untuk R-Line 4MOTION.

Volkswagen Tiguan Allspace facelift ini boleh didapati dengan lima warna: Atlantic Blue, Oryx White, Deep Black, Platinum Grey, and Pyrite Silver.

Galeri Tiguan Allspace Elegance

Galeri Tiguan Allspace R-Line 4MOTION

Tiguan Allspace R-Line tidak sesuai untuk wanita? Betul ke ni?

MEMILIKI rangka badan besar dan enjin berkuasa tinggi, Volkswagen Tiguan Allspace R-Line 2021 mungkin dianggap kurang sesuai bagi kebanyakan kaum wanita.

Namun, sejauh mana kebenaran dakwaan ini? Adakah ia hanya persepsi atau merupakan satu fakta?

Engear berkesempatan menguji Tiguan Allspace R-Line 2021 dan kami mempertaruhkan Hana Ismail untuk memberikan pandangannya terhadap model ini.

Jom check it out ladies!

Spesifikasi Tiguan Allspace R-Line 2021

Volkswagen Tiguan Allspace R-Line 2021 lebih bergaya dan berkuasa. – Foto ihsan VW

Volkswagen Tiguan Allspace R-Line 2021 dikuasakan oleh enjin turbo 2.0 TSI.

Model ini dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift (DSG) 7-kelajuan yang mampu menjana kuasa mencecah 220PS dan tork 350Nm.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk ini juga turut didatangkan dengan sistem pacuan semua roda 4MOTION.

Justeru, tidak menjadi masalah untuk kenderaan ini ‘perform’ di semua jenis permukaan jalan di Malaysia!

Selain itu, model ini turut dilengkapi port pengecas data USB-C dan radio dengan ciri App-Connect.

Tiguan Allspace R-Line: Sesuai atau tidak untuk wanita?

Tiguan Allspace R-Line juga sesuai untuk kegunaan ‘santai’. – Foto oleh EnGear

Sesuai dengan fungsi sebagai kenderaan SUV, model ini mempunyai saiz luaran dan ruang dalaman yang luas sekaligus selesa untuk seisi keluarga.

Walaupun begitu, ia tidak bermakna kenderaan ini sukar untuk dikendalikan oleh kaum wanita.

Berdasarkan pengalaman Hana, kenderaan ini mudah dipandu dan tiada masalah baginya untuk melalui jalan yang agak sempit.

Antara ciri menarik lain terdapat pada model ini adalah sistem navigasi yang terletak di panel meter sekaligus memudahkan pemanduan.

Pemandu akan lebih fokus dalam pemanduan dan ini amat penting kepada keselamatan penumpang dan individu lain.

Tiguan Allspace R-Line 2021 dilengkapi sistem gear yang mampu memberi keselesaan pemanduan di atas setiap permukaan jalan raya. – Foto oleh Engear

Sementara itu, pemandu khususnya golongan wanita tidak perlu risau dengan tahap keselamatan model jika berdepan kemalangan jalan raya.

Tiguan Allspace R-Line 2021 mempunyai enam airbags, Automatic Post Collision Brake System dan Rest Assist (Driver Alert System).

Ingin tahu lebih lanjut sejauh mana Tiguan Allspace R-Line 2021 sesuai untuk kegunaan pemandu wanita, saksikan video disediakan.

Chiow!

Miliki Volkswagen Passat R-Line untuk minyak percuma selama setahun

PANDEMIK Covid-19 tidak menghalang kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Sehubungan itu, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) tampil melancarkan kempen Aidilfitri khas bagi seluruh pelanggannya.

Bermula hari ini sehingga 31 Mei, pelanggan Volkswagen berpeluang menikmati rebat duit raya sebanyak RM1,000 untuk model terpilih.

Antara model tersebut termasuk varian Passat Elegance dan Passat R-Line.

Passat Elegance hadir bersama insurans percuma selama setahun sementara Passat R-Line ditawarkan dengan petrol percuma selama setahun!

Dua varian Passat ini ditawarkan dengan penjimatan tambahan dalam talian sebanyak RM3,500 jika pelanggan menempah menerusi Volkswagen eShowroom.

Selain Passat, model Tiguan Allspace Highline 2021 juga ditawarkan dengan tawaran menarik.

Pelanggan Tiguan Allspace Highline turut menikmati rebat duit raya sebanyak RM1,000 selain penjimatan dalam talian berjumlah RM3,500.

Sementara itu, kempen raya selepas jualan VPCM pula berlangsung sehingga 13 Jun depan.

Pelanggan menghantar kenderaan untuk diservis akan menikmati potongan sebanyak 20 peratus untuk minyak enjin tulen Volkswagen.

Mereka yang berbelanja minimum RM1,200 pula akan menerima kit penjagaan kereta secara percuma.

Terdapat juga penambahan baharu bagi kempen selepas jualan raya iaitu promosi bilah pengelap cermin.

Pemilik bakal menerima diskaun sebanyak 20 peratus ke atas semua bilah pengelap cermin sehingga 30 Jun.

Volkswagen Tiguan R-Line, SUV ‘boy racer’ berkeluarga

VOLKSWAGEN Tiguan berada dalam pasaran automotif Malaysia sejak tahun 2008.

Ketika itu, Tiguan generasi pertama gagal menarik perhatian saya. Reka bentuk model ini boleh dikatakan langsung tidak menyerlahkan ia sebagai sebuah jentera yang ‘segak’.

Lapan tahun berlalu, Volkswagen memperkenalkan pula Tiguan MK2 di Malaysia.

Sedikit ‘bergaya’ namun, masih kelihatan seperti sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tipikal yang hanya sesuai untuk individu berkeluarga.

Disebabkan itu juga, Tiguan masih gagal menarik perhatian ramai orang terutama golongan muda.

Bagaimanapun, usaha Volkswagen untuk melakukan penambahbaikan terhadap model Tiguan tidak terus terhenti.

Terbaharu, jenama itu memperkenalkan Tiguan Allspace R-Line yang kelihatan semakin ‘garang’.

Tiguan Allspace R-Line juga sesuai untuk kegunaan 'santai'. - Foto oleh EnGear

Tiguan Allspace R-Line lebih padu, jitu

Pada asalnya, enjin 1.4 Tsi yang dipadankan pada Volkswagen Tiguan ini sudah cukup memadai.

Namun, setelah memandu kereta ini untuk beberapa hari barulah saya faham tujuan variasi R-Line ini dipadankan dengan enjin 2.0 Tsi.

Pertama sekali, rupa luaran Tiguan R-Line ini sememangnya sangat ‘menawan’ apatah lagi dipadankan dengan bodykit lebih ‘garang’.

Lampu belakang jenis diod pemancar cahaya (LED) menyerlahkan lambang kemegahan selain turut memiliki rim bersaiz 19 inci.

Bahagian dalam pula, kenderaan asal Jerman ini sememangnya kelihatan kemas dengan odometer digital serta mempunyai skrin sesentuh yang besar.

Selain itu, pemasangan Apple CarPlay turut memudahkan pemandu menggunakan sistem navigasi dan lain lain fungsi.

Tiguan Allspace R-Line juga lebih ‘panjang’ sekaligus memberi keselesaan kepada pamandu dan penumpang.

Jadi, perlukah Volkswagen mengeluarkan enjin 2.0 ini memandangkan enjin 1.4 sudah memadai?

Saya yakin, jawapannya “perlu”.

Ini kerana Tiguan R-Line ini mempunyai satu ruang khas yang dinantikan oleh kebanyakan peminat Volkswagen.

Istilah 'Allspace' membuktikan kenderaan ini memiliki ruang dalaman sangat luas.

Ruang dalaman Tiguan Allspace R-Line

Bayangkan jika pengguna Volkswagen Golf GTI sudah terbiasa dengan kelajuan kenderaan itu.

Pastinya, individu itu ingin memiliki kuasa yang sama pada Tiguan R-Line.

Tanpa ragu-ragu, saya yakin Tiguan R-Line layak menjadi pengganti kepada Golf GTI bagi mereka yang berkeluarga.

Apabila anda memandu kereta ini, ia sangat selesa dan langsung tidak merasakan ia sebuah SUV.

Kotak gear DSG 7 kelajuan turut membantu pecutan dan kelancaran penukaran gear.

Berdasarkan pengalaman saya, Tiguan R-Line amat berbaloi untuk dimiliki.

Volkswagen tampil model Tiguan Allspace R-Line 2021

BERITA baik bagi penggemar Volkswagen.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia hari ini melancarkan beberapa penambahan ciri baharu bagi model Tiguan Allspace R-Line 2021.

Tiguan Allspace R-Line 2021 dikuasakan dengan enjin turbo 2.0TSI selain dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift (DSG) tujuh kelajuan.

Ia mampu menjana kuasa mencecah 220PS dan tork 350Nm.

Antara ciri penting lain terdapat pada kenderaan utiliti sukan (SUV) ini adalah sistem  4MOTION yang membolehkan ia mengharungi apa jua permukaan jalan.

Selain itu, Tiguan Allspace R-Line 2021 juga dilengkapi dengan port pengecas dan data USB-C termasuk sistem yang mampu disambungkan kepada Apple Car Play.

Tiguan Allspace R-Line 2021 dilengkapi sistem gear yang mampu memberi keselesaan pemanduan di atas setiap permukaan jalan raya.

Aidilfitri bersama Volkswagen

Volkswagen berbesar hati memberi potongan diskaun kepada para pelanggannya bermula hari ini sehingga 13 Jun bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Para pelanggan bakal menikmati potongan 20 peratus bagi setiap penukaran minyak enjin Volkswagen.

Pada masa sama, pelanggan yang berbelanja minimum RM1,200 juga akan menerima satu kit penjagaan kereta secara percuma!

Ia merangkumi penggilap berlilin, syampu, produk penjagaan plastik dan kulit serta sampul wang bersempena Aidilfitri.

Model Passat antara kenderaan 'laku keras' yang ditawarkan oleh Volkswagen. - Foto oleh Volkswagen Malaysia

ACE 2021: Nantikan kemunculan Volkswagen

Auto Car Expo (ACE) yang diadakan pada 17 dan 18 April ini di Setia City Convention Centre bakal menyaksikan penglibatan Volkswagen.

Pelbagai program dan tawaran menarik bakal menanti pengunjung termasuk rebat tunai tambahan RM1,000 bagi setiap pembelian kenderaan Volkswagen.

Pelanggan yang mendapatkan model Passat Elegance dan R-Line pula bakal menikmati hadiah percutian mewah di Pangkor Laut Resort ditaja sepenuhnya oleh Volkswagen.

Sebagai tambahan, Passat Elegance hadir dengan insurans percuma selama setahun bernilai RM5,500.

Manakala Passat R-Line pula, didatangkan bersama petrol percuma selama setahun bernilai RM2,500.

Model keluaran Volkswagen seperti Arteon R-Line, Passat Elegance, Passat R-Line, Tiguan Allspace R-Line dan Highline juga akan dipertontonkan kepada pengunjung.