Arkib Tag: theophilus chin

Proton S70 versi hatchback dilakar! Pengganti Suprima S?

INI baru hari Selasa, tetapi kami rasa Proton S70 akan menjadi kereta paling hangat diperbualkan dalam minggu ini.

Spesifikasi dan varian telah didedahkan, bersama gambar rupa rasmi sedan baharu Proton itu, dan pelancaran bakal dibuat tidak lama lagi.

Proton S70 dianggap sebagai pengganti Preve, dan jika anda ingat, sedan ini mempunyai kembar hatchback iaitu Suprima S. Jadi, apa kata kita gambarkan Proton S70 hatchback?

Tak perlu gunakan imaginasi terlalu tinggi, kerana sahabat kita pelakar digital kereta, Theophilus Chin telah menyumbang ideanya.

Lakaran Proton S70 hatchback ini dibuat dengan mengambil bahagian belakang Skoda Fabia. Selain dari ‘memotong’ bahagian but dan menurunkan bumbung belakang, S70 hatchback diberikan lampu belakang mirip versi sedan.

Rekaan diffuser pada S70 sedan pula digantikan dengan panel hitam biasa di bahagian bampar belakang hatchback ini, yang juga menempatkan reflektor cahaya.

Sebenarnya kemungkinan untuk penghasilan Proton S70 hatchback amatlah tipis, memandangkan Geely Emgrand (yang menjadi asas kepada kereta ini) tidak ditawarkan dengan versi itu.

Tetapi menarik juga jika Proton dapat memujuk Geely untuk membangunkan dan menghasilkan S70 hatchback ini sendiri, bukan? Kemudian ia dipasarkan pula ke pasaran luar sebagai Geely Emgrand Hatchback, amacam?

Gambar dan imej lakaran oleh: Theophilus Chin

Proton Satria Neo 2021 dibayangkan dengan 1.5 turbo dan DCT 7-kelajuan!

PROTON Satria mula diperkenalkan dengan berasaskan Mitsubishi Mirage dan kemudian pada 2006, generasi kedua hadir dengan nama Satria Neo.

Selepas beberapa versi dan dihentikan pengeluarannya pada 2015, tiada lagi penawaran model hatchback sporti dua-pintu oleh Proton.

Namun, nama Satria masih disebut-sebut hingga kini malah versi-versi prestasi seperti Satria R3, Satria GTi dan Satria Neo R3 masih dicari dan dihargai peminat.

Walaupun Proton belum mengeluarkan sebarang pengganti Satria Neo, mungkin lakaran ini boleh mengubati kerinduan anda pada hatchback legenda ini.

Proton Satria Neo 2021 ini dijelmakan hasil karya pakar manipulasi automotif, Theophilus Chin yang dimuatnaik ke Instagram beliau, @theottle.

Walaupun ia bukan kereta sebenar, tetapi lakaran ini boleh dikatakan versi yang realistik kerana mengambil elemen-elemen terkini dalam rekabentuk Proton.

Model asas lakaran ini ialah Lynk & Co 02 iaitu model hatchback prestasi terbaharu dari kumpulan Geely, kemudian pintu belakang ‘dibuang’ untuk menjadikannya sebuah model tiga-pintu seperti Satria.

Dapat dilihat rupa depan 02 ini diberikan rekaan Geely Emgrand S dan disulami dengan Infinite Weave bersama jalur merah di bawahnya seperti X50.

Dari segi mekanikal, menurut portal Paultan.org, kombinasi yang boleh digunakan oleh Proton adalah platform BMA yang sesuai untuk model segmen-B serta pakej enjin 1.5-liter 3-silinder turbo dan kotak gear dwi-klac 7-kelajuan. Trenkuasa ini juga yang serupa pada Proton X50.

Apa pendapat anda mengenai lakaran Proton Satria Neo 2021 ini? Adakah ia cukup selari dengan resepi asal Satria? Bayangkan pula ada versi R3 dari model ini dengan tambahan kuasa, casis lebih tegar dan pengendalian lebih mantap.

Boleh bersaing dengan Volkswagen Polo GTi dan Renault Clio RS!

Sumber gambar: Instagram Theophilus Chin