Arkib Tag: tgr

Pelumba muda mula tunjuk taring dalam GR Vios Challenge S6R1

PERLUMBAAN pembukaan untuk GR Vios Challenge musim keenam (S6) menyaksikan bakat-bakat muda mula menunjukkan taring mereka dalam kesemua empat kelas.

Dalam pusingan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang itu, ada pelumba yang memperoleh podium dalam kedua-dua hari perlumbaan, sementara ada juga yang berhadapan kesukaran seperti penalti dan insiden tidak diingini.

Tetapi yang jelas, ia menunjukkan pelumba muda telah mempamerkan rentak yang cukup pantas.

“Dalam permulaan musim keenam ini, kita sudah dapat melihat banyak pelumba muda menunjukkan dominasi mereka terutamanya dalam kelas Sporting (amateur) dan Super Sporting (profesional). Ini satu perkara positif dalam sukan ini,” kata Presiden UMT Toyota Motor, Datuk Ravindran K.

Ini disebabkan format unik GR Vios Challenge yang membariskan perlumbaan one-make, memberikan satu platform adil untuk semua pelumba.

Pelumba muda perlu cepat belajar selok-belok perlumbaan di samping barisan pelumba berpengalaman. Perlumbaan pada hari Sabtu dan Ahad lepas telah meraih lebih 3.5 juta tontonan, menampilkan lima selebriti baharu, enam pelumba rookie baharu, dalam grid 45 pelumba.

Super Sporting

Mitchell Cheah (Prima Pearl TD Racing) bermula di petak pertama Race 2 dalam format terbalik, membolehkannya mengetuai perlumbaan Super Sporting sepanjang 20 pusingan.

Dia tamat 0.4 saat di depan Putera Adam (Laser Motor Racing), dan di tempat ketiga ialah Hayden Haikal dari Axle Sport yang juga juara bertahan kelas Super Sporting.

Rookie

Dalam kelas Rookie, Ariff Azmi merangkul kemenangan Race 2 di depan Nazmir Azlan dan Iman Danish.

“Semalam (Race 1) saya di depan tetapi di separuh perlumbaan mengalami masalah ABS yang membuatkan saya jatuh ke tempat keenam, bukan suatu keputusan yang saya harapkan,” kata Ariff yang berusia 16 tahun.

“Perubahan dari karting kepada kereta sedan memang mencabar, tetapi ianya menjadi lebih baik dengan banyak bantuan dari GR Young Talent Development Program dan orang sekeliling grid perlumbaan,” tambahnya.

Gazoo Racing Yougn Talent Development Program bermula pada 2020 dan telah melahirkan 12 pelumba muda yang sangat berbakat antara umur 14 hingga 20 tahun.

Sporting

Dalam kelas Sporting pula, pelumba Race Rally KL, Mohd Syafiq Samsudin memanfaatkan permulaan petak depan untuk membina jarak sehingga 1.7 saat di depan Bradley Benedict Anthony (Crestmax Motorsport) dalam pusingan pertama.

Tetapi keluarnya Safety Car menghapuskan jarak yang dibinanya. Tiga pusingan kemudian, Syafiq membina semula jarak sebelum dikenakan penalti kerana false start.

Ini menyebabkan perlumbaan beralih kepada persaingan sengi tantara Bradely dan Nabil Azlan, juara Rookie musim kelima.

Bradley menjuarai perlumbaan 0.7 saat di depan Nabil, diikuti oleh Abdul Miqail di tempat ketiga.

Promotional

Race 2 dalam kelas Promotional dikatakan oleh pengulas perlumbaan sebagai “ZizanShukri Show” dimana pelakon Zizan Razak berentap dengan Shukri Yahaya di dua tempat teratas. Hanya 0.3 saat memisahkan kedua-dua pelumba ini.

Pendatang baharu Ezzrin Loy tamat di tempat ketiga dalam perlumbaan 18 pusingan itu, 13.3 saat di belakang.

Shukri berkata, “Saya akui Zizan pemandu yang lebih baik. Sukar untuk saya bukan sahaja memotongnya tetapi juga untuk ‘lari’ darinya bila saya di depan.”

Aksi GR Vios Challenge akan kembali lagi untuk pusingan kedua pada 2 hingga 4 Jun depan, juga akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

Muhammad Iqbal Suji juara perlumbaan Toyota GR Velocity Esports Championship musim kelima

MUHAMMAD Iqbal Suji dinobatkan sebagai juara Toyota GR Velocity Esports Championship musim kelima selepas bertarung dalam perlumbaan sengit dan emosional baru-baru ini.

Iqbal yang berusia 24 tahun membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, mengalahkan sembilan lagi pelumba lain dalam siri tiga perlumbaan.

Dengan perlumbaan diadakan secara langsung di depan para peminat dan orang awam di pusat beli-belah 1Utama, ia juga menunjukkan tahap profesionalisme dan semangat kesukanan yang tinggi dalam pelumba online terbaik negara ini.

“Aktiviti perlumbaan Toyota di litar dan di atas talian (online) adalah berkenaan memenuhi impian mereka yang mahu berjaya dalam bidang ini,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Penganjuran Toyota GR Velocity Esports Championship menawarkan platform kepada mereka yang berbakat untuk membangunkan dan menunjukkan potensi mereka dengan ada yang berpindah ke perlumbaan sebenar,” tambahnya.

Iqbal akan berganding bahu dengan dua lagi pesaing iaitu Muhammad Uzair dan Taj Izrin Aiman Taj Madira untuk mengetuai pasukan tiga-pelumba, mewakili Malaysia ke acara akhir Toyota GAOO Racing GT Cup pada 2 Oktober depan.

Ini juga akan memberi peluang kepada pasukan Malaysia untuk mewakili Asia untuk ke saingan akhir peringkat global yang akan diadakan di Monaco pada 25 November.

“Memenangi perlumbaan ini mengingatkan saya kepada semua emosi dan kekecewaan beberapa tahun sebelum ini, dan kini saya berjaya memperolehinya, rasa sangat teruja!” kata Iqbal.

Toyota Gazoo Racing S5R2 penuh aksi perlumbaan hujan, peminat kembali selepas dua tahun

RIBUAN peminat dan pengunjung membanjiri Toyota Gazoo Racing (TGR) dan Vios Challenge Season 5 Round 2 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lepas selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian disebabkan pandemik Covid-19.

Pengunjung juga dapat mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti sampingan seperti berbasikal, skuter, roller blade, papan luncur, dimana mereka dapat menunggangnya di Litar Antarabangsa Sepang. Aktiviti lain termasuklah zumba dan konsert oleh Bunkface serta Judika.

Super Sporting Class

Sementara itu di litar, perlumbaan Race 2 Vios Challenge dalam TGR Season 5 menyaksikan drama mendebarkan dengan disebabkan hujan semasa Super Sporting Class. Perlumbaan pada mulanya ditangguhkan selama 25 minit dan kemudiannya dimulakan dengan Safety Car sebanyak dua pusingan.

Selepas Safety Car kembali ke paddock, Fariqe Hairuman (M7 Japan Project Team) terus mendahului perlumbaan. Kemudian bermulalah aksi apabila Hayden Haikal (Axle Motorsport) cuba untuk merebut posisi pertama.

Hayden berjaya memotong Fariqe dengan Mark Darwin (Laser Motor Racing) mengekori di belakang. Posisi pertama bertukar-tukar selama 10 pusingan, dan penonton menjangkakan aksi ini berterusan.

Tetapi Tengku Djan (Prima Pearl TD Racing) mencuri tumpuan dengan mencatatkan masa pusingan terpantas ‘memanjat’ dari kedudukan ke-12 dan terus menjuarai perlumbaan dengan 1.5 saat di depan Mark, manakala Hayden di tempat ketiga.

Tengku Djan berkata: “Sepang merupakan litar yang sangat mencabar, keadaannya boleh banyak berubah dan racing line yang biasa digunakan boleh menjadi sangat licin. Jadi pemandu perlu meneroka racing line baharu untuk mengambil selekoh.”

Rookie Class

Dalam Rookie Class, Muhammad Hamdany memperoleh kejuaraan pertamanya dari rekod podium empat kali dalam empat musim setakat ini.

Pelumba gokart berusia 19 tahun dari Kuching, Sarawak itu tamat di depan pelumba simulator Nabil Azlan, manakala satu-satunya pemandu wanita dalam kategori ini, Adele Lew di tempat ketiga.

Sporting Class

Pelumba-pelumba dalam Sporting Class mempamerkan aksi mengujakan di litar dengan Naquib Azlan (Axle Motorsport) mendominasi kedua-dua perlumbaan pada Sabtu dan Ahad.

Di tempat kedua dan mungkin paling mengejutkan adalah Abdul Miqail (23 Motors) diikuti oleh Ahmad Tarmimi Tahang (M7 Japan Project Team).

Promotional Class

Drama tidak kurang juga dalam Promotional Class yang menyaksikan Zizan Razak dan Shukri Yahaya berada di depan perlumbaan sama seperti Race 1 pada hari sebelumnya.

Menjadi pemandu kegemaran perlumbaan, Zizan mensasarkan kemenangan kedua dan terus berada di depan sebelum menghadapi masalah teknikal dengan kotak gearnya. Ini ‘memaksa’ beliau jatuh di tempat kelima.

Shukri menjadi yang terawal untuk mengambil kesempatan di atas isu ini, tetapi malangnya menghadapi masalah sama dan ini memberi peluang untuk Nabil Ahmad merampas posisi pertama.

Dengan perlumbaan berbaki dua pusingan, Wany Hasrita dan Janna Nick terus memintas Zizan dan Shukri untuk merangkul tempat kedua dan ketiga.

Di tempat keempat adalah Nabila Razali, diikuti Shukri dan Zizan di tempat kelima dan keenam.

Pusingan ketiga (Season 5 Round 3) untuk TGR dijadualkan berlangsung pada September depan.

Toyota GRMN Yaris versi yang lebih hardcore, sedia untuk tawan litar dan rali

TOYOTA memulakan Tokyo Auto Salon 2022 (TAS2022) hari ini dengan pelancaran GRMN Yaris iaitu versi yang lebih hardcore untuk hot hatch popular itu.

Secara umumnya, Toyota GRMN Yaris ini sedia dibawa berlumba di litar-litar atau rally stage sebaik sahaja keluar dari kilang. GR Yaris yang ‘biasa’ pun sebenarnya sudah cukup bersedia untuk masuk litar, cuma GRMN ini versi yang lebih ringan dan fokus.

Pertamanya, tiada perubahan pada enjin 1.6-liter 3-silinder turbo yang diklasifikasikan paling berkuasa di dunia dalam kelasnya itu. Ia masih menjana 268hp dengan pilihan kotak gear manual 6-kelajuan dan pacuan semua-roda GR-Four.

Tetapi perubahan yang membezakan GRMN dengan versi biasa lebih kepada bahagian ‘bawah kulitnya’. Ia kini 20kg lebih ringan, jadi berat keseluruhan kini pada 1,260kg.

Diet ini adalah hasil penggunaan komponen gentian karbon pada hud, bumbung dan spoiler. Tempat duduk belakang juga telah ‘dibuang’, selain mendapat tempat duduk depan Recaro serta roll-cage.

Kerangkanya juga kini lebih kukuh. Kemudian, GRMN Yaris ini lebih lebar sebanyak 20mm, dan ia direndahkan 10mm untuk aerodinamik lebih baik.

Seterusnya, kotak gear 6-kelajuan itu telah ditala dengan nisbah lebih rapat, jadi ini sepatutnya memberikan pecutan lebih baik. LSD (limited-slip differential) mekanikal juga diberikan standard, berbanding LSD Torsen pada GR Yaris biasa.

Untuk yang mahu lebih prestasi, anda boleh pilih Circuit Package yang memberikan kelengkapan seperti penyerap hentak boleh-laras Bilstein, brek lebih besar, rim 18-inci BBS dengan tayar Yokohama Advan A052, dan tambahan skirt tepi dan lip depan lebih agresif.

Walaubagaimanapun hanya 50 unit akan dihasilkan, dan khas untuk pasaran Jepun sahaja bagi Circuit Package. Rally Package pula akan mendapat penyerap hentak GR, set bar anti-oleng lebih pendek, set pelindung bawah GR dan roll bar GR.

Jika anda sudah pun mempunyai GR Yaris, Toyota dikatakan bakal menawarkan komponen-komponen GRMN ini untuk anda beli.

Toyota GRMN Yaris dijual pada harga bermula 7.317 juta Yen (kira-kira RM269k).