Arkib Tag: TGDI

PROTON X70 1.5 TGDi ternyata SUV paling ngam untuk orang berkerjaya

SEKIRANYA anda seorang yang berkerjaya dan berkeluarga, sudah  pasti anda mahukan kenderaan yang mampu membantu melancarkan urusan seharian anda.

Bagi menjalani rutin kehidupan harian seperti berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, membeli barang keperluan, hinggalah membawa keluarga beriadah di hujung minggu; anda memerlukan sebuah kenderaan yang mempunyai prestasi terbaik, ruang yang luas, dan keselesaan di tahap yang terbaik.

PROTON X70 merupakan salah satu model yang menepati ciri-ciri ini. Walaupun sudah beberapa tahun berada dalam pasaran, ia sentiasa dikemas kini dengan ciri terkini agar kekal kompetitif dan berdaya saing.

Reka bentuk bergaya dan premium

PROTON X70 membawakan rupa yang bergaya dan premium, suatu cerminan sempurna untuk imej anda sebagai seorang yang berkerjaya.

Bergantung kepada varian, ia dilengkapi lampu LED sepenuhnya dengan ciri Welcome Lights, rim aloi 19-inci yang sporty, pilihan warna badan yang menarik, dan bumbung panoramik yang melengkapkan gaya premiumnya.

PROTON X70 juga hadir dengan tempat duduk balutan kulit Nappa dengan ciri pemanas, sistem penapis udara, dan penapis kabin N95 yang bukan sahaja memastikan anda selesa sepanjang perjalanan, malah kekal segar sebaik tiba di destinasi.

Teknologi terkini dalam kereta

Gaya hidup berkerjaya dan berkeluarga cenderung membuatkan anda menghabiskan banyak masa di dalam kereta. Tetapi jangan risau, PROTON X70 padat dengan teknologi yang akan ‘menemani’ anda sepanjang perjalanan.

Ciri seperti sistem navigasi tersedia dan sistem penstriman muzik mampu membuatkan anda kekal terhibur dan fokus dalam pemanduan. Ia disambung pula dengan sembilan pembesar suara bersama amplifier dan subwoofer.

Terdapat juga fungsi arahan suara dimana hanya dengan sapaan, “Hi PROTON”, anda mampu melaras pelbagai fungsi dalam kereta seperti tingkap dan sistem pendingin hawa dengan mudah.

Seperti biasa, PROTON X70 juga dilengkapi dengan sambungan telefon pintar lengkap dengan Bluetooth dan WiFi 4G.

Prestasi TGDi baharu

Sebagai tambahan dari enjin 1.8-liter sedia ada, PROTON X70 kini didatangkan dengan pilihan enjin 1.5-liter TGDi baharu. Enjin turbo 3-silinder suntikan terus bahan api ini mampu menjana 174hp dan 255Nm tork.

Digandingkan pula dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan, ia memberikan pecutan yang mantap dan bertenaga, serta membantu menyalurkan output enjin ke jalan raya dengan berkesan.

Selain dari kapasiti enjin yang lebih rendah, unit 1.5 TGDi baharu ini juga adalah 43kg lebih ringan berbanding model 1.8 liter, justeru menawarkan penjimatan bahan api sehingga tujuh peratus.

Untuk situasi dan keperluan berbeza dalam pemanduan harian anda, terdapat tiga mod yang boleh dipilih untuk disesuaikan iaitu Normal, Eco dan Sport. Ini juga memberikan perbezaan karakter terhadap PROTON X70.

Keselamatan untuk seisi keluarga

Sebagai sebuah kenderaan keluarga, keselamatan pastinya menjadi aspek penting, bukan? Usah risau kerana PROTON X70 dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan terkini.

Enam beg udara, Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Departure Warning (LDW), Blind Spot Information System (BLIS), Autonomous Emergency Braking (AEB) dengan Forward Collision Warning (FCW), anda namakan, semuanya ada dan relevan dengan cabaran dan laluan harian anda.

Kemudahan servis selepas-jualan

Servis selepas jualan bagi kenderaan keluarga adalah penting bukan hanya kerana faktor masa kerana anda mungkin sibuk dengan urusan harian, tetapi ia mustahak bagi memastikan kereta keluarga anda sentiasa berada dalam keadaan tip-top.

PROTON kini memastikan pusat-pusat servisnya untuk memegang stok  tiga bulan untuk 22 alat ganti permintaan tinggi. Dari sudut seorang pengguna, ini bermakna anda tidak perlu lagi menunggu lama untuk mendapatkan alat ganti bagi PROTON X70 baharu ini.  Rangkaian pengedaran PROTON juga banyak berubah sehingga mereka mempunyai jumlah fasiliti 3S/4S yang tertinggi.

Dapatkan segala yang anda perlukan melalui kemudahan aplikasi mudah alih dan laman web Proton seperti kemudahan bagi membuat temu janji servis kenderaan anda, tempah pandu uji, atau meminta bantuan tepi jalan semudah di hujung jari sahaja.

Nilai untuk wang – dari RM98,800

Paling penting, PROTON X70 menawarkan nilai yang baik untuk wang anda. Bermula dengan harga RM98,800 hingga RM128,800, cukup berbaloi bagi sebuah SUV segmen-C yang lengkap dengan pelbagai ciri praktikal dan premium.

Kilang Proton di Tanjung Malim sudah hasilkan 10,000 enjin 1.5-liter TGDI

PROTON meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 di barisan pemasangan enjin baharunya di Tanjung Malim pada 1 Disember lalu. Pencapaian ini hanya mengambil masa selama tujuh bulan selepas unit pertama dikeluarkan pada bulan April tahun ini.

Kilang berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen Proton untuk menaik taraf kemudahannya di Tanjung Malim dengan pelaburan mencecah RM1.8 bilion. Ini selaras dengan teras strategik pertama program DRB-HICOM Automotive High Technology Valley (AHTV) yang bertujuan memaksimumkan aktiviti pembuatan di rantau ini.

Setelah membuat keputusan untuk membina barisan pemasangan baharu, pembinaan dan penghantaran komponen teerpaksa ditangguhkan berikutan permulaan pandemik Covid-19. Namun begitu, keputusan telah dibuat untuk menuju ke hadapan sementara negara menjalani perintah kawalan pergerakan.

Menurut Proton lagi, projek telah dijayakan oleh sepasukan juruteranya yang menempatkan diri di Tanjung Malim untuk memulakan kerja pemasangan.

Bekerjasama melalui perisian mesyuarat maya dengan pasukan daripada pembekal peralatan dan Geely di China, mereka melaksankan pelbagai tugas termasuk membuka kotak komponen, memetakan barisan pengeluaran dan memulakan kerja pemasangan awal.

“Barisan enjin baharu Proton adalah bukti ketabahan dan keazaman pekerja kami untuk mengatasi halangan dan mencapai matlamat kami. Ia adalah salah satu barisan pemasangan enjin paling maju di Malaysia dengan tahap automasi yang tinggi, persekitaran terkawal iklim dan pelbagai gerbang ujian untuk memastikan kualiti pengeluarannya,” kata Dr Li Chunrong.

Tambah beliau, Proton menyasarkan pengeluaran sebanyak 60,000 enjin pada 2023 untuk digunakan pada beberapa model Proton yang lain.

Proton akan lancar 3 model baharu dengan enjin 1.5 TGDI bermula 2023

TAK sampai sebulan selepas melancarkan X70 versi 2022, Proton hari ini mengesahkan bahawa ia akan melancarkan tiga lagi model baharu pada 2023 dan 2024. Seperti X70 dan X50, ketiga-tiga model berkenaan akan menggunakan enjin 1.5 TGDI yang dipasang di fasiliti Enjin dan Powertrain Proton Tanjung Malim.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton ketika berucap pada majlis lawatan media ke kilang pemasangan Proton di Tanjung Malim.

Geely Haoyue

Setakat ini, identiti model-model berkenaan masih belum diketahui namun apa yang pasti, salah satu daripadanya adalah model SUV berasaskan Geely Haoyue yang berkemungkinan besar akan menggunakan nama X90. Model ini sudah beberapa kali dikesan menjalani ujian di negara ini, menandakan pelancarannya semakin hampir.

Haoyue dilancarkan pada Julai 2020 sebagai sebuah SUV segmen-D yang menawarkan konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk. Ia dibangunkan sebagai pesaing kepada model-model seperti Mazda CX-8, Toyota Fortuner dan Hyundai Santa Fe.

Ruang dalaman Proton X90 mungkin tidak jauh berbeza

Di pasaran China, Haoyue ditawarkan dengan enjin turbo 1.8-liter empat silinder dengan 181PS dan 300Nm, manakala di Filipina, di mana ia dikenali sebagai Okavango, model ini dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dengan teknologi mild-hybrid yang menjana 190PS dan 300Nm.

Antara ciri menarik yang terdapat pada model ini adalah sistem GKUI Geely Smart Ecosystem yang terkini, kokpit digital yang terdiri daripada dua paparan berukuran 12.3 inci dan sistem pemanduan autonomi Tahap 2.

Adakah Proton X90 akan tampil dengan ciri-ciri berkenaan? Sama-sama kita nantikan.

Enjin 1.5 TGDI Proton kini dipasang di Tanjung Malim, produksi cecah 180,000 unit setahun

Proton hari ini melancarkan barisan pemasangan enjin 1.5 TGDI (Turbo Gasoline Direct Injection) baharu dan berteknologi tinggi di Tanjung Malim dalam satu lawatan eksklusif untuk media.

Dalam majlis lawatan tersebut, pihak media dibawa meninjau barisan pemasangan enjin berkenaan yang telah beroperasi sejak April lalu. Ini menandakan kali pertama enjin tersebut dipasang di luar China.

Menurut Proton, barisan pemasangan itu meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi dan mempunyai kapasiti maksimum semasa sebanyak 180,000 unit apabila beroperasi dalam tiga syif. Ia merupakan sebahagian daripada RM1.8 bilion yang diperuntukkan oleh Proton untuk menaik taraf kemudahannya di Tanjung Malim.

Ia mempunyai 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual. Barisan pemasangan enjin 1.5 TGDI dibina menggunakan etos IR 4.0 yang menampilkan tahap automasi yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti.

Selain itu, ia juga mempunyai stesen anti-statik bagi membolehkan pelepasan elektrik statik untuk melindungi komponen elektronik berteknologi tinggi. Sistem talian pemasangan bergerak pada sistem penghantara pula bukan sahaja lebih lancar tetapi juga lebih bersih, lebih tahan lama dan lebih murah untuk dikendalikan daripada yang menggunakan rantai.

Semua pekerja di barisan pemasangan telah menjalani latihan yang luas dengan Geely serta pembekal mesin yang digunakan seperti ABB, COMAU, FEV China, FEV India, WiBeda dan Hangxin.

Barisan pemasangan itu juga menggunakan teknologi Internet of Things (IOT) dalam bentuk alat pengumpulan data intensif dan analisis, serta 207 kawalan Error Mistake Proofing (EMP) dan 34 kamera pintar resolusi tinggi untuk mengelakkan kecacatan proses dan pemasangan serta mengurangkan masa henti.

Enjin 1.5 TGDI

Enjin tiga silinder ini dan variannya setakat ini telah digunakan oleh beberapa jenama di bawah Geely dalam lebih 750,000 kenderaan yang dijual di seluruh dunia.

Dengan penyelesaian seperti pengecilan saiz enjin, sistem termal dan pelinciran yang dioptimumkan, pengecas turbo inersia rendah, dan GDI yang dihomogenkan, enjin berkenaan telah memenuhi syarat Euro 6.

Menurut Proton, bekalan alat ganti untuk enjin ini  diperoleh daripada pembekal Malaysia dan serantau. Syarikat itu mendedahkan kini terdapat 72 alat ganti yang dibekalkan oleh 19 vendor Malaysia dan 4 vendor ASEAN.

Untuk barisan pemasangan baharu ini, Proton berkata seramai 202 pekerja diambil untuk bekerja secara langsung, dengan usia purata hanya 24 tahun.

“Apabila perjanjian dibuat untuk bekerjasama dengan Geely pada tahun 2017, salah satu komitmen kami adalah untuk melabur dalam industri automotif Malaysia dari segi kewangan dan melalui pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat ini di samping memberi laluan kepada Proton untuk menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif dan syarikat di masa hadapan,” tambah beliau.