Arkib Tag: Terengganu

Pahang sedia jadi tuan rumah Himpunan RXZ Members 6.0

PAHANG sedia menjadi tuan rumah Himpunan RXZ Members 6.0 tahun depan selepas kerajaan negeri bersetuju menganjurkan himpunan itu.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan rasa berbesar hati menawarkan lokasi di Kuantan sebagai Himpunan RXZ Members, awal tahun depan,” katanya dalam satu sidang media semalam.

Fadzli berkata, satu perbincangan akan diadakan dan beliau memberitahu akan berhubung rapat dengan kelab permotoran di dalam mahu pun di luar negeri Pahang bagi membincangkan pengisian program sepanjang himpunan itu nanti.

“Insya-Allah berbagai acara menarik akan dianjurkan sepanjang himpunan ini berlangsung.

“Saya percaya jika acara ini diuruskan dengan baik, ia akan menjadi acara yang terkemuka bukan sahaja di negara ini tetapi juga mendapat sambutan dari negara luar,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih terhadap keprihatinan menteri besar dengan minat generasi muda.

Himpunan Yamaha RXZ terbesar di Malaysia itu sudah memasuki edisi kelima penganjurannya tahun ini selepas kali pertama diadakan bermula 2017 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.

Walaubagaimanapun edisi kelima baru-baru ini menjadi isu hangat apabila ramai motosikal peserta himpunan yang ‘dipukat’ dalam operasi besar-besaran oleh pihak berkuasa. Jadi adakah wajar lokasi acara ini ditukar?

Dan jika ditukar, adakah ia menjamina tiada operasi akan dijalankan? Paling penting, setiap peserta wajarlah menunggang motosikal dengan mematuhi semua undang-undang jalan raya.

Mitsubishi Evo hilang kawalan, pelumba drag maut

SEORANG pelumba drag maut selepas Mitsubishi Evo dipandunya dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pokok di tepi litar.

Mangsa dikenali sebagai Apeh Jamal atau nama sebenarnya Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 39, meninggal dunia dalam kejadian yang berlaku di acara drag Battle of The Kings di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.

Dalam kejadian kira-kira jam 11:35 pagi itu, Muhamad Hafez parah di bahagian kepala dan anggota badan dan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di hospital mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Susulan kejadian tersebut, pihak penganjur telah menangguhkan perlumbaan berkenaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Polis masih menjalankan siasatan tentang kemalangan ini,” katanya.

VTK Drag Battle 2022 buat pelumba ‘lepas geram’ selepas memasuki fasa endemik

DENGAN negara memasuki fasa endemik, acara-acara mula giat dijalankan selepas SOP dilonggarkan, termasuklah acara sukan permotoran. Baru-baru ini, berlangsungnya VTK Drag Battle di Terengganu Drag Strip, Kuala Terengganu.

Ia diadakan pada 21 dan 22 Mei lepas, dianjurkan dengan Kerjasama Gabungan Ipoh Motorsport (GIM).

Sebanyak 12 kategori untuk motosikal dipertandingkan, dan tujuh kategori bagi kereta. Setiap kategori menawarkan empat pemenang dengan hadiah berupa piala dan wang tunai termasuk sijil penyertaan.

Menurut penganjur, bilangan peserta kali ini mencatatkan sedikit penurunan. Walaubagaimanapun, acara berjalan lancar.

Penganjur juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terlibat sepanjang dua hari acara berlangsung.

Jemput belek galeri gambar di bawah.

Teks dan gambar oleh: Raziman Sipico

Op Tahun Baharu Cina: JPJ T’ganu keluar 390 saman, sita tiga kereta

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan lebih 390 saman sepanjang operasi sempena Tahun Baharu Cina pada 25 Januari sehingga semalam.

Pengarah JPJ Terengganu berkata, pihaknya memeriksa lebih 2,301 kenderaan sepanjang operasi dijalankan.

Jelas Zulkarnain Yasin, antara kesalahan paling banyak dikesan adalah penggunaan cermin gelap (87 kes), lesen kenderaan motor tamat tempoh (98 kes), tiada Lesen Memandu Kompeten (90 kes) dan tiada Lesen Vokasional (33 kes).

“Kita (JPJ) adakan sekatan jalan raya di tiga lokasi iaitu di Jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu, Kemaman dan Besut. 

“Kita telah keluarkan 117 saman dan menyita tiga kenderaan,” katanya.

Operasi yang tamat semalam turut mengesan tiga individu terlibat dengan penyalahgunaan dadah hasil ujian saringan air kencing oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Sementara itu, 127 anggota pelbagai agensi terlibat dalam operasi bersepadu melibatkan JPJ, Polis Diraja Malaysia, AADK dan Jabatan Alam Sekitar.

Operasi sepanjang musim perayaan kali ini tertumpu di 22 lokasi yang sering berlaku kemalangan di Terengganu.

Polis T’ganu catat RM6.09 juta kutipan saman dalam tempoh empat hari

POLIS Terengganu mengutip kutipan saman berjumlah RM6.09 juta hanya dalam tempoh empat hari.

Hasil kutipan itu dibuat menerusi tawaran diskaun saman trafik sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, setakat ini 371,042 saman trafik atas pelbagai kesalahan telah dilunaskan orang ramai di seluruh negeri itu.

“Sejumlah 32,129 orang hadir membuat bayaran di kaunter bermula dari hari pertama pelaksanaan tawaran diskaun sehingga kaunter ditutup pada pukul 6 petang semalam,” katanya.

Sementara itu, polis Terengganu turut menasihati orang ramai membuat perancangan untuk menyelesaikan saman trafik dan tidak menunggu pada saat akhir.

Ia penting bagi mengelak berlaku kesesakan semasa mengunjungi kaunter saman kelak.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani. – Foto ihsan Malay Mail

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengumumkan tempoh tawaran diskaun pembayaran saman dilanjutkan sehingga 31 Disember.

Jelasnya, ia dibuat selepas menyaksikan program tersebut menerima sambutan luar biasa terhadap tawaran diskaun saman berkenaan.

Sebelum ini tular insiden kaunter trafik di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang terpaksa ditutup kerana kepadatan orang awam bayar saman.

Secara tidak langsung, perkara ini memberi cabaran besar kepada polis untuk mengawal selia orang ramai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Justeru, kepada anda yang masih mempunyai tunggakan saman trafik polis tunggu apa lagi?

Jom segera rebut peluang diskaun ini sebelum ia tamat pada 31 Disember 2021!