Arkib Tag: tambang

Tambang percuma selama sebulan untuk LRT, MRT – PM

RAKYAT Malaysia akan dapat menikmati tambang percuma selama sebulan untuk semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL.

Ini merangkumi MRT, Transit Aliran Ringan (LRT), Bas Rapid Transit (BRT), monorel dan bas RapidKL.

Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini Menteri sempena pembukaan rasmi Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu.

“Kita memahami tentang kesusahan rakyat terutama dengan peningkatan harga barang yang membebankan, dan kos sara hidup meningkat,” katanya.

“Oleh itu, sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu, saya dengan sukacitanya mengumumkan pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL iaitu MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.

Gambar oleh: Malay Mail

“Saya berharap Keluarga Malaysia yang terlibat mengambil kesempatan mencuba perkhidmatan pengangkutan awam ini dan meletakkan kenderaan masing-masing di Park N Ride dan #JomNaikMRT,” tambah Ismail.

Mengulas lanjut, melalui penyediaan kemudahan laluan MRT Putrajaya, Perdana Menteri berkata ia akan terus menjadi pemangkin ke arah mengeratkan hubungan antara komuniti penduduk terutamanya yang tinggal berdekatan dengan jajaran.

“Melalui pembukaan laluan ini, kerajaan yakin kawasan sepanjang jajaran seperti Jinjang, Sungai Buloh, Kepong dan Bandar Sri Damansara akan membangun lebih pesat, setara dengan kawasan-kawasan di bandar lain.

“Laluan ini juga dijangka mencetus dan merancakkan semula pembangunan di kawasan-kawasan yang lama atau yang belum dibangunkan sebelum ini,” katanya.

MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu sepanjang 17.5 kilometer (km) meliputi 12 stesen termasuk tiga stesen yang pada asalnya sebahagian daripada MRT Laluan Kajang dibuka kepada orang ramai mulai jam 3 petang ini.

Penawaran dan permintaan tidak seimbang antara punca kenaikan tambang e-hailing

PENAWARAN dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi menjadikan masa perjalanan lebih lama merupakan antara faktor utama menyumbang kepada lonjakan tambang e-hailing.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata selain itu beberapa syarikat e-hailing juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum Covid-19 melanda.

Imej oleh: Bernama

Katanya kekurangan itu secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan.

Dalam masa sama, katanya fasa peralihan ke endemik bermula 1 Mei lepas juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak terhadap permintaan perkhidmatan e-hailing.

Dalam tempoh sama, pergerakan bebas orang ramai bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian secara normal turut menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular.

“Faktor-faktor ini telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh pengendali e-hailing (EHO) merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini semua mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini.”

Wee berkata perbincangan antara Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan EHO baru-baru ini, EHO telah memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO bersama-sama perkhidmatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna,” katanya.

Wee berkata lebih 130,000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing dan angka ini dijangka bertambah apabila institut memandu dan EHO menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu di seluruh negara termasuk Lembah Klang.

Beliau berkata kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna dan kerajaan akan terus memantau industri e-hailing bagi memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna.

Perkhidmatan e-hailing, inDriver beri pilihan penumpang tawar harga tambang

KEWUJUDAN firma e-hailing di negara ini boleh diumpamakan seperti “cendawan tumbuh” dengan terbaharu, syarikat inDriver tampil menawarkan perkhidmatan.

Setakat ini, operasi inDriver boleh didapati di Pulau Pinang, Alor Setar, Sungai Petani, Ipoh, Taiping, Melaka, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kuantan dan Kuala Terengganu.

Selain itu, syarikat ini juga turut menyediakan perkhidmatan di Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Kota Kinabalu.

Apa yang menarik mengenai perkhidmatan ini adalah ia mempunyai fungsi Real Time Deals (RTD).

RTD membolehkan penumpang menawarkan harga tambang dirasakan sesuai dengan perjalanan ke lokasi yang ingin dituju.

Pemandu kemudian akan membuat keputusan sama ada ingin menerima tawaran tersebut atau menawarkan semula harga yang dirasakan lebih berbaloi.

Selain itu, pemandu juga berhak menolak tawaran yang diberikan penumpang jika tidak berminat dengan tawaran harga tersebut.

Bagaimanapun, pemandu lain yang berada di kawasan berhampiran juga boleh menawarkan perkhidmatan jika bersetuju menerima tugasan daripada penumpang.

Penumpang boleh memilih pemandu berdasarkan harga tambang, rating pemandu, jangkaan masa tiba atau kenderaan digunakan.

Pada masa kini, pembayaran inDriver hanya boleh dibuat secara tunai sahaja.

Fungsi lain ditawarkan aplikasi inDriver termasuk berkongsi lokasi GPS kepada kontak dipercayai dan butang kecemasan menghubungkan pemandu atau penumpang terus ke pihak berkuasa.