Arkib Tag: syarikat penerbangan

MYAirline umum gantung operasi, AirAsia tawar diskaun kepada penumpang terjejas

MYAirline, syarikat penerbangan tambang murah yang diasaskan pada Januari 2011, mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata keputusan sukar itu terpaksa dibuat akibat tekanan kewangan selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.

“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.

“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” kata Ahli Lembaga Pengarah MYAirline dalam kenyataan tersebut.

Foto: MYAirline

Sementara itu, MYAirline turut menasihati penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang selain perlu mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka.

“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.”

Dalam pada itu, AirAsia menawarkan diskaun 50 peratus bagi tambang asas sehala secara eksklusif kepada penumpang MYAirline yang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat penerbangan tersebut.

Tawaran istimewa itu yang berkuat kuasa serta-merta, adalah khusus kepada penumpang dengan tempahan penerbangan yang disahkan ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Tawau dan Don Mueng-Bangkok dan Suvarnabhumi-Bangkok bermula hari ini hingga 30 November 2023.

“Kami memahami tekanan dan gangguan susulan situasi yang berlaku dan berharap diskaun 50 peratus ini akan membantu penumpang yang terjejas untuk membuat tempahan perjalanan baharu, menggunakan sepenuhnya rangkaian penerbangan kami yang meluas ke semua destinasi utama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd Bo Lingam dalam satu kenyataan.

SKS Airways bawa kami untuk penerbangan demo Embraer E195-E2

SKS Airways memperoleh 10 unit Embraer E195-E2 pada bulan Mei lepas, dan beberapa hari lepas berbesar hati membawa para media termasuk Engear TV untuk penerbangan demonstrasi jet penumpang itu.

Penerbangan demo yang bertempat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah itu dijalankan dengan kerjasama Embraer bertujuan mempertontonkan ciri unik dan canggih pada E192-E2 Tech Lion. Ia juga serentak dengan persediaan SKS Airways yang akan mengoperasikan jet ini pada 2024.

Gambar oleh: Soya Cincau

Embraer E192-E2 merupakan elemen penting bagi perkembangan SKS Airways. Syarikat ini bakal menawarkan rangkaian lebih baik serta keselesaan penumpang yang terbang dalam rantau ini.

E195-E2 milik SKS Airways kini sedang dipasang oleh Embaer yang berpangkalan di Brazil. Ia akan dilengkapi dengan pelbagai ciri mesra penumpang dan pilihan tempat duduk premium.

Ia bakal memperoleh konfigurasi dua kelas, masing-masing dengan jarak tempat duduk 33-inci dan 29.5-inci, kecuali bagi tempat duduk di lorong kecemasan dengan jarak 39-inci. Pesawat ini juga mempunyai ruang atas kepala yang cukup untuk bagasi tangan.

E195-E2 mempunyai ukuran 41.5 meter panjang, 35.1 meter lebar, dan 10.9 meter tinggi. Ia dipacu oleh sepasang enjin turbofan Pratt & Whitney PW1900G. Ia mampu membawa beban sebanyak 16,150kg dan mempunyai berat maksima semasa berlepas 60,700kg.

Pesawat ini memerlukan landasan sepanjang 1,970 meter untuk berlepas, dan mempunyai kelajuan meluncur pada Mach 0.82 (kira-kira 1,012km/j).

E195-E2 merupakan pesawat satu lorong paling cekap dengan penggunaan bahan api rendah. Ia juga paling senyap dalam kelasnya, menjadikannya sesuai untuk beroperasi di lapangan terbang berdekatan bandar.

Syarikat-syarikat penerbangan telah menggunakan pesawat jenis ini di lapangan terbang bandar seperti London City Airport, LaGuardia Airport di New York, dan Santos Dumont Airport di Rio de Janeiro.

Pesawat Embraer E-Jet mewakili 86 peratus dari kesemua penerbangan yang beroperasi di London City Airport. Antara syarikat penerbangan yang mengoperasikannya adalah British Airways, Halvetic Airways, dan KLM.

E195-E2 telah mematuhi bahan api pesawat lestari (SAF) bermakna ia menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan peningkatan kualiti udara.

Gambar oleh: Runway Girl

CEO SKS Airways, Dzuleira Abu Bakar berkata, “Kami teruja dengan rancangan pengembangan kami bersama E195-E2 Tech Lion.

“Kehadirannya ke Lapangan Terbang Subang di sini bertepatan kerana kami dapat mempertontonkan ciri dan kecanggihan pesawat ini.

“Dengan tempat duduk luas, ruang kaki besar, dan kabin senyap, pelanggan boleh menikmati keselesaan bila terbang bersama Embraer E195-E2 milik SKS Airways,” tambahnya.

Menurutnya lagi, penerbangan demo itu juga memperlihatkan sebab mengapa mereka memilih pesawat itu, dan SKS Airways percaya ia mampu mengubah cara perjalanan penumpang.

AirAsia Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia 2021

AIRASIA sekali lagi dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun kelima berturut-turut.

Syarikat itu turut menerima anugerah Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia kali keenam di World Travel Awards 2021 edisi ke-28.

AirAsia dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu menerima undian tertinggi daripada pengguna dan pemain industri profesional di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Bo Lingam dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan syarikat itu.

“Ini adalah pencapaian yang luar biasa dan kami tujukan anugerah ini kepada Allstars yang bekerja keras walaupun dilanda krisis semasa.

“Kami dapat melihat keadaan semakin pulih dan kami tidak sabar untuk kembali terbang tinggi di semua pasaran utama dengan standard keselamatan dan kepatuhan tertinggi.

“Terima kasih kepada World Travel Awards serta lebih 600 juta tetamu…dan rakan industri atas sokongan dan pengiktirafan,” katanya.

Anugerah terbabit menyusuli beberapa pengiktirafan yang telah diterima oleh syarikat penerbangan tersebut baru-baru ini.

Ia termasuk Anugerah Inovasi Perniagaan di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia 2021 daripada pakar penerbangan di Flightglobal.

Selain itu, AirAsia turut dianugerahkan Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia oleh Skytrax untuk tahun ke-12 berturut-turut.