fbpx

SKS Airways bawa kami untuk penerbangan demo Embraer E195-E2

embraer e195 e2 – runway girl

SKS Airways memperoleh 10 unit Embraer E195-E2 pada bulan Mei lepas, dan beberapa hari lepas berbesar hati membawa para media termasuk Engear TV untuk penerbangan demonstrasi jet penumpang itu.

Penerbangan demo yang bertempat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah itu dijalankan dengan kerjasama Embraer bertujuan mempertontonkan ciri unik dan canggih pada E192-E2 Tech Lion. Ia juga serentak dengan persediaan SKS Airways yang akan mengoperasikan jet ini pada 2024.

Gambar oleh: Soya Cincau

Embraer E192-E2 merupakan elemen penting bagi perkembangan SKS Airways. Syarikat ini bakal menawarkan rangkaian lebih baik serta keselesaan penumpang yang terbang dalam rantau ini.

E195-E2 milik SKS Airways kini sedang dipasang oleh Embaer yang berpangkalan di Brazil. Ia akan dilengkapi dengan pelbagai ciri mesra penumpang dan pilihan tempat duduk premium.

Ia bakal memperoleh konfigurasi dua kelas, masing-masing dengan jarak tempat duduk 33-inci dan 29.5-inci, kecuali bagi tempat duduk di lorong kecemasan dengan jarak 39-inci. Pesawat ini juga mempunyai ruang atas kepala yang cukup untuk bagasi tangan.

E195-E2 mempunyai ukuran 41.5 meter panjang, 35.1 meter lebar, dan 10.9 meter tinggi. Ia dipacu oleh sepasang enjin turbofan Pratt & Whitney PW1900G. Ia mampu membawa beban sebanyak 16,150kg dan mempunyai berat maksima semasa berlepas 60,700kg.

Pesawat ini memerlukan landasan sepanjang 1,970 meter untuk berlepas, dan mempunyai kelajuan meluncur pada Mach 0.82 (kira-kira 1,012km/j).

E195-E2 merupakan pesawat satu lorong paling cekap dengan penggunaan bahan api rendah. Ia juga paling senyap dalam kelasnya, menjadikannya sesuai untuk beroperasi di lapangan terbang berdekatan bandar.

Syarikat-syarikat penerbangan telah menggunakan pesawat jenis ini di lapangan terbang bandar seperti London City Airport, LaGuardia Airport di New York, dan Santos Dumont Airport di Rio de Janeiro.

Pesawat Embraer E-Jet mewakili 86 peratus dari kesemua penerbangan yang beroperasi di London City Airport. Antara syarikat penerbangan yang mengoperasikannya adalah British Airways, Halvetic Airways, dan KLM.

E195-E2 telah mematuhi bahan api pesawat lestari (SAF) bermakna ia menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon dan peningkatan kualiti udara.

Gambar oleh: Runway Girl

CEO SKS Airways, Dzuleira Abu Bakar berkata, “Kami teruja dengan rancangan pengembangan kami bersama E195-E2 Tech Lion.

“Kehadirannya ke Lapangan Terbang Subang di sini bertepatan kerana kami dapat mempertontonkan ciri dan kecanggihan pesawat ini.

“Dengan tempat duduk luas, ruang kaki besar, dan kabin senyap, pelanggan boleh menikmati keselesaan bila terbang bersama Embraer E195-E2 milik SKS Airways,” tambahnya.

Menurutnya lagi, penerbangan demo itu juga memperlihatkan sebab mengapa mereka memilih pesawat itu, dan SKS Airways percaya ia mampu mengubah cara perjalanan penumpang.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved