fbpx

MYAirline umum gantung operasi, AirAsia tawar diskaun kepada penumpang terjejas

MyAirline plane 1

MYAirline, syarikat penerbangan tambang murah yang diasaskan pada Januari 2011, mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata keputusan sukar itu terpaksa dibuat akibat tekanan kewangan selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal.

“Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi.

“Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini.

“Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini,” kata Ahli Lembaga Pengarah MYAirline dalam kenyataan tersebut.

Foto: MYAirline

Sementara itu, MYAirline turut menasihati penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang selain perlu mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka.

“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.”

Dalam pada itu, AirAsia menawarkan diskaun 50 peratus bagi tambang asas sehala secara eksklusif kepada penumpang MYAirline yang terjejas akibat penggantungan operasi syarikat penerbangan tersebut.

Tawaran istimewa itu yang berkuat kuasa serta-merta, adalah khusus kepada penumpang dengan tempahan penerbangan yang disahkan ke dan dari Kuala Lumpur, Langkawi, Pulau Pinang, Tawau, Kota Bharu, Kuching, Kota Kinabalu, Kota Kinabalu-Tawau dan Don Mueng-Bangkok dan Suvarnabhumi-Bangkok bermula hari ini hingga 30 November 2023.

“Kami memahami tekanan dan gangguan susulan situasi yang berlaku dan berharap diskaun 50 peratus ini akan membantu penumpang yang terjejas untuk membuat tempahan perjalanan baharu, menggunakan sepenuhnya rangkaian penerbangan kami yang meluas ke semua destinasi utama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd Bo Lingam dalam satu kenyataan.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved