Arkib Tag: sorento

Kia Sorento 2.2D 6-Seater AWD untuk yang tak pernah suka SUV! – Pandu uji

SELEPAS meluangkan masa dengan Kia Sorento ini beberapa hari, penulis yakin ia sebuah SUV untuk mereka yang tak pernah suka SUV. Dengar macam ayat penutup, bukan? Tetapi inilah mukadimah untuk laporan pandu uji Kia Sorento 2.2D 6-Seater AWD ini.

Seperti yang kita dapat lihat sekarang, ramai yang semakin sukakan SUV untuk pelbagai sebab sama ada untuk gaya hidup aktif (kononnya), untuk lebih praktikal, atau semata-mata mengikut trend. Tiada yang salah.

Tetapi masih ramai yang masih suka dengan kereta tradisional untuk kenderaan keluarga peribadi, seperti sedan atau hatchback. Mungkin belum bersedia untuk SUV kerana rasa saiznya terlalu besar, kos penyelenggaraan lebih tinggi, atau tidak sukakan bentuk terlalu ‘aktif’ atau rugged.

Dengan Kia Sorento baharu ini, penulis yang bukan kaki SUV pun dah jadi minat. Bahkan bila ditunjukkan pada keluarga dan rakan terdekat, rata-rata mereka suka dengan rupa dan konfigurasi unik Sorento 2.2 6-Seater ini.

“Eh tak tahu pula ada SUV gempak macam ni dalam Malaysia, dah lama masuk ke?” Begitulah kata salah sorang rakan penulis.

Sudut, lekuk, dan krom

Reka bentuk model-model Kia (dan Hyundai) masa kini adalah antara yang paling berani dan menyerlah. Lihat sahaja bagaimana rupa Hyundai Elantra dan Kia Carnival, begitu lain dari kebiasaan yang kita jumpa.

Begitu juga dengan Sorento ini, sejak dilancarkan tahun lepas, penulis terus jatuh hati dengan reka bentuknya. Di depan terdapat gril Tiger Nose yang menjadi identiti Kia, kemudian permainan-permainan krom di lampu, di bahagian sisi, dan tingkap. Segalanya cukup-cukup rasa, tidak keterlaluan.

Di belakang pula dengan lampu petak, ia nampak begitu sesuai di jalan raya Amerika Syarikat bersama kenderaan-kenderaan Ford dan GMC. Tetapi masih diselitkan ‘perisa’ Korea, cukup bergaya.

Keseluruhan reka bentuk Sorento ini menampakkan ia sebuah SUV yang lebar, tegap, dan macho. Penulis belum jumpa sesiapa yang kata Sorento ini buruk. Ada tak?

Konfigurasi unik

Kia Sorento generasi ini ditawarkan dengan tiga varian di Malaysia, terdiri dari pilihan enjin 2.5-liter petrol dan 2.2-liter diesel, bersama kombinasi tujuh atau enam tempat duduk.

Unit pandu uji ini merupakan 2.2D 6-Seater, varian tertinggi, dan seperti anda faham, enam tempat duduk adalah versi lebih mewah.

Dari sudut praktikaliti, mungkin versi ini terhad sedikit kerana ia tidak akan boleh memuatkan lebih dari enam penumpang termasuk pemandu. Tetapi jika keluarga anda tidak terlalu besar, boleh sahaja pilih versi ini.

Penulis pun rasa agak istimewa dengan konfigurasi 2-2-2 ini, dan baris ketiga boleh diakses dengan mudah melalui ruang antara dua tempat duduk baris tengah terutamanya bagi penumpang kanak-kanak.

Tempat duduk baris kedua sudah tentu selesa dengan kerusi ala kapten, siap dengan perehat tangan di bahagian tengah. Di baris ketiga juga masih sangat selesa walaupun untuk penumpang dewasa, tiada masalah walaupun perjalanan kira-kira sejam.

Kelengkapan di baris ketiga tidak kekurangan, dimana anda akan dapat soket 12 volt, panel kawalan pendingin hawa sendiri, dan ruang simpanan serta peletak cawan. Terdapat juga butang untuk melipat tempat duduk ini secara automatik.

Kita ke depan pula, kabin Sorento ini cukup kemas. Walaupun banyak butang dan tuil kawalan, segalanya diatur dengan kemas, tidaklah sehingga membuatkan anda berserabut atau risau memandunya. Lebih kepada rasa dalam kokpit pesawat peribadi. Canggih dan elegan.

Rasa hebat pula bila mengemudinya.

Kelebaran Sorento ini juga boleh terasa bila anda lihat jarak antara dua tempat duduk depan ini. Tetapi semua butang penting boleh dicapai dengan mudah, malah senang difahami.

Di belakang tombol gear, selain butang kawalan Auto Hold dan brek parkir automatik, anda juga dapat satu tombol rotary dengan dwi-fungsi iaitu Mode (pemanduan) dan Terrain.

Untuk mod pemanduan, anda boleh pilih Comfort, Eco, Sport, dan Smart, seperti biasa. Tetapi untuk Terrain, terdapat mod Snow, Mud, dan Sand. Ini pastinya sangat relevan memandangkan SUV ini mendapat pacuan AWD.

 

Mungkin tidaklah mampu off-road hardcore seperti Land Rover Defender atau Toyota Hilux, tetapi cukup untuk melalui kawasan sedikit berliku. Mana tahu anda mahu bawa keluarga ke pantai atau tapak glamping, bolehlah gunakan mod Mud atau Sand, sistem akan melaras respon enjin dan kotak gear untuk disesuaikan dengan permukaan ini.

Seperti di luar, kemasan krom juga terdapat di dalam, menaikkan seri warna kelabu pada papan pemuka. Krom diberikan sedikit pada stereng, corong pendingin hawa, tombol gear, konsol tengah, dan pedal.

Memang sebuah kabin yang sedap dan selesa diduduki walaupun untuk perjalanan jauh. Ya, Kia Sorento memang direka untuk perjalanan jauh, bukan?

Powertrain lazat

Memandu Kia Sorento ini, karakternya sepadan dengan rupanya yang lebar, tegap dan macho. Pergerakan badan Sorento ini terasa berat dan selesa, digerakkan oleh nadi berkuasa.

Tetapi secara fizikalnya, memang Kia Sorento ini berat dan berkuasa. Ia mempunyai jisim lebih 1,800kg, dan dikuasai oleh enjin 2.2-liter diesel dengan output 199hp dan 440Nm tork.

Maka tidak hairanlah pemanduan Sorento ini mirip kereta-kereta Continental seperti S-Class atau Range Rover yang besar dan berat, tetapi enjin yang berkuasa dengan tork menggunung ‘menipu’ fizik, membuatkan ia memecut dengan bersahaja.

Walaupun dengan penumpang dan muatan, Sorento ini mampu menambah kelajuannya semasa mendaki di Bukit Tinggi dari Karak ke Genting Sempah sambil kereta-kereta di depan beralih ke lorong kiri untuk memberi laluan.

Kotak gear dwi-klac 8-kelajuan pula membantu enjin bekerja dengan lebih cekap. Ia terus menerus memberikan gear lebih tinggi bagi memastikan rpm berada dalam julat kuasa semasa memecut. Tetapi bila sudah meluncur di kelajuan malar, Sorento ini kekal senyap walaupun di kelajuan lebuh raya.

Padanan enjin diesel, kotak gear 8-kelajuan, badan besar, semuanya satu resepi untuk kereta long distance idaman. Ahli keluarga anda pasti gembira sepanjang perjalanan. Anda sebagai pemandu pun tidak penat walaupun lebih dua jam memandu.

Pada masa yang sama, ia masih agak menjimatkan dengan penggunaan bahan api sekitar 12 hingga 13km per liter dengan mudah.

Harus diingat, walaupun berkuasa, Sorento ini masih sebuah kenderaan yang besar dan berat, jadi ia tidaklah selincah sedan ketika di selekoh. Ia mampu mengambil selekoh dengan kelajuan tinggi, anda harus lancar dengan input anda, cuma ia tidak begitu gembira untuk pertukaran arah yang laju atau agresif.

@engear.tv #Kia #Sorento 2.2D Buat Aku #Bingung 😶‍🌫️ #suv #diesel #engeartv #malaysia #fyp #carsoftiktok #tiktokmalaysia ♬ original sound – Engear TV

Kesimpulan

Sukar untuk mencari kelemahan Kia Sorento 2.2D ini sebenarnya. Ia segak, luas, terasa premium, sedap dipandu, dan selesa. Jika orang yang tidak sukakan SUV terpaksa memilih SUV, pasti dia tidak keberatan memilih Sorento ini.

Mungkin satu kelemahan yang ingin penulis kongsi ialah dari segi tetapan keselamatan. Ya, Sorento baharu ini padat dengan pelbagai sistem terkini seperti Blind Spot Collision Warning, Lane Keeping Assist, dan Forward Collision-Avoidance Assist.

Cuma jika kita padamkan kebanyakan sistem untuk lebih mudah dipandu dalam bandar yang sibuk, kereta ini tidak menyimpan tetapan ini. Semua sistem akan aktif semua secara sendiri jika anda matikan enjin dan hidupkan semula. Jadi, agak leceh untuk memadamkan semula barisan sistem keselamatan aktif tadi setiap kali.

Ini kerana ada pengeluar lain yang kekal dengan tetapan keselamatan dipilih pemandu walaupun enjin dimatikan dan dihidupkan semula.

Akhir sekali, harganya melebihi RM250,000. Pada tahap ini, mungkin anda dah boleh lihat kereta premium Jerman, tetapi jangan lupakan Sorento jika anda betul-betul perlukan kenderaan keluarga yang besar dan praktikal. Jangan lalai.

Spesifikasi Kia Sorento 2.2D 6-Seater AWD

Harga: RM255,228
Enjin: 2.2-liter diesel turbo
Kotak gear: Automatik dwi-klac 8-kelajuan
Kuasa: 199hp @ 3,800rpm
Tork: 440Nm @ 1,750rpm

Kia Picanto diperbaharui untuk pasaran Eropah, dua pilihan enjin, 5MT dan AMT

DENGAN populariti SUV dan crossover sekarang, segmen-A telah mengurang permintaannya di beberapa pasaran seperti Eropah. Tetapi Kia masih menjadi antara pengeluar yang masih percaya dengan segmen ini, maka mereka tetap melabur untuk Picanto baharu 2023.

Imej yang anda lihat ini ialah varian Picanto GT-Line, dimana Kia memberikan rimbakan besar dari segi rekabentuk. Dapat dilihat keselariannya dengan model-model lain seperti Carnival dan Sorento.

Rupa depan varian ini tampil sedikit kompleks, tetapi masih kemas dan cantik. Ia mendapat lampu utama berbentuk menegak, dengan bar LED di bahagian atas gril ‘tiger nose’. Rekaan serupa diberikan di belakang dimana kedua-dua lampu dihubungkan dengan light bar.

GT-Line ini dilengkapi dengan banyak rongga udara di bampar depan, mungkin versi asas lebih ringkas rekaannya. Di belakang pula terdapat diffuser yang agak menonjol, agak agresif untuk sebuah kereta kecil.

Tetapi ia masih sebuah kompak untuk pemanduan bandar. Rim ditawarkan bersaiz 14-inci, dan terdapat pilihan 15- serta 16-inci, dan anda juga boleh mendapat bumbung suria sebagai pilihan tambahan.

Walaupun rekaan luar telah banyak berubah, kabin masih kekal seperti sebelumnya. Cuma kini skrin infotainmen adalah lebih besar dengan 8-inci, dan paparan kluster instrumen kini digital. Khas untuk GT-Line adalah stereng flat-bottomed dengan fungsi pemanas.

Kia tidak mendedahkan perincian enjin, tetapi menurut beberapa media Eropah, Picanto 2023 ditawarkan dengan pilihan 1.0- dan 1.2-liter, kedua-duanya petrol 3-silinder naturally-aspirated. Enjin ini dikatakan telah ditala agar lebih cekap dan bersih.

Pilihan kotak gear pula adalah manual 5-kelajuan dan automated manual transmission (AMT). Sementara itu, ciri keselamatan cukup padat pada Picanto ini walaupun saiznya kecil. Sistem seperti Blind Spot Monitoring, Autonomous Emergency Braking dan Active Lane Assistant adalah standard.

Apa pendapat anda mengenai Kia Picanto GT-Line 2023 ini? Menarik untuk dibawa masuk ke Malaysia? Pasaran segmen-A kita masih hangat walaupun Picanto akan terpaksa bersaing dengan model segmen-B seperti Myvi dan Iriz memandangkan harganya yang lebih tinggi.

Kia Sorento 2023 tiba di Malaysia, pilihan enjin 2.5 petrol dan 2.2 diesel, dari RM211k

KIA Sorento generasi keempat serba baharu telah tiba di Malaysia, dan lihatlah rupanya, cukup bergaya. Mari kita lihatkan dengan lebih lanjut.

Sorento 2023 ini dipasang secara CKD di negara ini, dan ditawarkan dalam tiga varian dengan harga seperti berikut:

Sorento 2.5 FWD 7-seater: RM211,498
Sorento 2.5 AWD 6-seater: RM235,498
Sorento 2.2 AWD 6-seater: RM255,228

Harga adalah atas jalan, tanpa insurans.

Bergantung kepada varian, Kia Sorento 2023 boleh didapati dengan dua pilihan enjin dan dua konfigurasi tempat duduk.

Varian dengan enjin 2.5-liter merupakan unit MPi petrol naturally-aspirated, menghasilkan 177hp dan 232Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik 6-kelajuan, menggunakan FWD pada model 7-seater, dan AWD untuk model 6-seater.

Untuk enjin 2.2-liter pula menggunakan diesel turbo dengan output 199hp dan 440Nm tork, enjin yang sama pada Kia Carnival. Tetapi enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik dwi-klac 8-kelajuan, untuk varian 6-seater AWD.

Kia Sorento 2023 ini tampil cukup kacak dengan garisan dan lekuk yang menyerlah. Ia masih mendapat identiti Tiger Nose di depan, dengan rekaan lampu LED baharu dan lampu kabus LED.

Rupa belakang juga cukup kemas dengan lampu empat segi, dan lekuk di bawah cermin seakan-akan spoiler. Sorento hadir dengan rim 19-inci.

Ciri lain pada Sorento termasuklah Terrain Mode (model AWD), paparan instrumen digital 12.3-inci, sistem audio Bose, pengecaj tanpa-wayar Qi, dan sambungan Apple Carplay serta Android Auto.

Kia Sorento berada dalam segmen yang sama dengan model seperti Hyundai Santa Fe, Mazda CX-8 dan Volkswagen Tiguan Allspace. Apa pendapat anda mengenai Sorento 2023 ini?

Kia Sorento 2023 kini dengan 2.5 petrol dan 2.2 diesel, anggaran bermula RM220k

DINAMIKJAYA Motors – anak syarikat Bermaz Auto – baru-baru ini telah mendedahkan SUV segmen-D terbaharu untuk pasaran Malaysia, iaitu Kia Sorento, kini dalam generasi keempaat.

Harga belum diumumkan, hanya akan didedahkan semasa pelancaran tidak lama lagi. Tetapi jika anda berminat, sudah boleh mula buat tempahan. Harga anggaran dikatakan sekitar RM220k hingga RM225k, dengan tiga varian ditawarkan.

Dari segi mekanikal, varian asas merupakan 2.5-liter NA petrol MPi dengan output 177hp dan 232Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 6-kelajuan.

Varian pertengahan menggunakan enjin MPi yang sama, tetapi dengan sistem pacuan semua-roda AWD. Bergantung kepada varian, Sorento akan ditawarkan dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-2 atau 2-3-2.

Sementara itu, varian tertinggi akan dikuasakan enjin diesel 2.2-liter AWD. Ianya enjin yang sama pada Carnival dengan output 199hp dan 440Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac 8-kelajuan.

Dari segi dimensi, Sorento mempunyai ukuran 4,810mm panjang, 1,900mm lebar, dan 1,695mm tinggi. Jarak roda juga bertambah sebanyak 35mm, kini berukuran 2,815mm.

Sorento baharu kini mendapat rupa lebih menyerlah dengan garisan-garisan tajam, gril “tiger nose”, lampu depan nipis dan DRL berbentuk L. Rim adalah 18 atau 19-inci, bergantung kepada varian.

Ruang dalaman juga menonjol dengan corong pendingin hawa dua lapis di papan pemuka, dan skrin infotainmen 10.25-inci. Ciri lain termasuklah paparan instrumen digital, sistem audio Bose, dan tempat duduk kulit.

Sorento juga didatangkan dengan ciri butang untuk kemasukan mudah ke baris ketiga, pengecaj tanpa-wayar Qi, keyless entry, pintu but berkuasa, Android Auto dan Apple Carplay.

Ciri keselamatan pula terdiri dari segala beg udara, ABS, EBD, traction control, dan DSC, selain ciri tambahan seperti Multi-Collision Brake Control, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Assist, dan Autonomous Emergency Braking.