Belum pun sempat dilancarkan secara rasmi, jenama Afeela milik Sony Honda Mobility (SHM) akhirnya berkubur terlebih dahulu.
Dalam kenyataan rasmi, SHM mejelaskan mereka akan meneruskan perbincangan dengan pihak Sony dan Honda berkenaan hala tuju dan masa depan syarikat.
Mengikut perancangan awal, syarikat kerjasama Honda dan Sony itu bakal melancarkan sebuah sedan elektrik Afeela 1 pada hujung tahun ini.
Sebuah lagi model SUV bakal diperkenalkan pada tahun 2028.
Punca utama: Rombakan strategi EV Honda
Antara sebab utama kenapa projek ini terhenti berkait rapat dengan rombakan besar strategi Honda yang diumumkan awal bulan ini.
Bagi mengelakkan kerugian bernilai 2.5 trilion yen (RM62 bilion), Honda dilapor membatalkan beberapa program EV penting termasuklah:
- 0 Saloon
- 0 SUV
- Acura RSX
Tanpa sokongan perkakasan, platform dan aset teknikal, SHM mengakui mereka tidak lagi mempunyai laluan realistik untuk membawa model tersebut ke pasaran seperti yang dirancang.
Lebih mengejutkan, pengumuman ini hadir tidak lama selepas SHM Amerika merasmikan Afeela Studio dan hab pengedaran di Torrance, California pada 16 Mac lepas.
Dengan pembatalan ini, pelanggan yang telah membuat tempahan Afeela 1 akan menerima bayaran balik penuh.
Vision-S 01 sebagai titik mula
Sony mengejutkan dunia dengan pengenalan model Vision-S 01 pada CES 2020, diikuti Vision-S 02 dua tahun berikutnya.
Kerjasama antara Honda dan Sony (Sony Honda Mobility) pula ditubuhkan pada tahun 2022.
Jenama Afeela diumumkan secara rasmi pada tahun 2023, diikuti pengenalan model produksi sebenar Afeela 1 pada tahun 2025 dengan sasaran harga US$89,900 (RM356 ribu).
Afeela 1 dikuasakan oleh dua motor elektrik (483 hp) yang dipadankan dengan pek bateri lithium-ion 91 kWh dan keupayaan pengecasan pantas DC 150 kW.
Untuk sekali cas penuh, sedan elektrik ini boleh bergerak sejauh 480 km.
Penamat buat jenama Afeela?
Usah risau, sedan ini sebenarnya masih lagi boleh dipandu ‘secara halal’ menerusi platform Gran Turismo 7.
Menerusi kerjasama antara SHM dan Polyphony Digital, Afeela 1 telah ditambah secara rasmi ke dalam GT7 pada April tahun lepas.
Pihak Polyphony Digital turut menghasilkan bunyi e-motor, diikuti audio khas yang dapat memberikan perasaan kelajuan, brek dan daya selekoh untuk Afeela 1.
