Arkib Tag: skuter kembara

Yamaha RW350 2027 diperkenal, skuter adventure 327 cc dengan teknologi Yamaha Dynamic Ride

Selain model RW700, Yamaha turut memperkenalkan sebuah lagi skuter kembara iaitu Yamaha RW350 2027.

Ia merupakan skuter pengembaraan kelas pertengahan yang menggabungkan kelebihan skuter maxi dan jentera kembara.

Model ini didatangkan dengan enjin baharu dan teknologi Yamaha Dynamic Ride untuk kestabilan serta keselesaan tunggangan.

Spesifikasi

Yamaha RW350 dilengkapi enjin silinder tunggal 327 cc sejukan cecair menghasilkan 29.2 PS @ 7,000 rpm dan daya kilas 31.5 Nm @ 5,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik CVT dan sistem pacuan tali sawat.

Teknologi Yamaha Dynamic Ride menempatkan enjin secara tetap pada rangka, manakala unit CVT bergerak mengikut pergerakan suspensi belakang dengan berpaksikan aci engkol.

Menurut Yamaha, susun atur ini mengurangkan berat tidak terampai dan memberikan lebih kebebasan dalam reka bentuk suspensi belakang.

Sistem pengimbang empat paksi pula membantu mengurangkan getaran.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork jenis terbalik 37 mm dengan jarak gerak 140 mm, dibantu penyerap hentak berkembar belakang dengan jarak gerak 105 mm serta larasan tujuh-tahap.

Brek pula menggunakan rotor tunggal 282 mm di hadapan dan 245 mm di belakang.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • Rim 16 inci hadapan dan 14 inci belakang
  • Skrin paparan TFT berwarna 5 inci dengan sokongan aplikasi MyRide dan navigasi Garmin StreetCross
  • Tempat pemijak kaki lebar serta papan pemijak boleh lipat
  • Tangki bahan api 13 liter
  • Tinggi pelana 810 mm
  • Sistem kunci pintar
  • Lampu membelok padam sendiri

Yamaha RW350 turut mendapat ciri bantuan elektronik seperti:

  • Yamaha Ride Control (YRC) dengan mod Street, Explore dan Eco
  • Sistem kawalan cengkaman
  • Kawalan jelajah
  • Sistem isyarat berhenti kecemasan (ESS)

Yamaha RW700 2027 diperkenal, skuter adventure enjin CP2 689 cc dengan transmisi Y-AMT

Setelah sekian lama, Yamaha akhirnya memperkenalkan RW700 2027, skuter pengembaraan baharu yang mampu memberikan saingan kepada Honda X-ADV.

Yamaha menyifatkan model ini sebagai skuter kembara pertama di dunia yang berkuasa dan berkeupayaan, menggabungkan keselesaan skuter dan DNA motosikal kembara.

Spesifikasi

Yamaha RW700 dilengkapi dengan enjin dua silinder CP2 bersesaran 689 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 69.3 PS @ 8,250 rpm dan daya kilas 65 Nm @ 6,500-6,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan Yamaha Automated Manual Transmission (Y-AMT) dan sistem pacuan akhir rantai.

Dengan sistem ini, penunggang boleh memilih pertukaran gear automatik atau menukar gear sendiri melalui suis pada hendal.

Yamaha mendakwa sistem ini membolehkan pertukaran gear dalam 0.1 saat, dengan talaan yang dioptimumkan untuk kegunaan luar jalan.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork jenis terbalik 41 mm (jarak gerak 160mm) dibantu dengan penyerap hentak tunggal (jarak gerak 155 mm) lengkap dengan larasan pra-beban dan lantunan.

Brek pula menggunakan tetapan rotor berkembar 298 mm di depan dan rotor tunggal 267 mm di belakang.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah:

  • rim jejari 17 inci depan/15 inci belakang
  • tempat pemijak kaki boleh laras kedudukan
  • skrin paparan TFT 5-inci dengan sokongan aplikasi MyRide dan navigasi Garmin StreetCross
  • tangki bahan api 14 liter
  • tinggi pelana 810 mm
  • sistem kunci pintar
  • lampu membelok padam sendiri

Yamaha RW700 turut mendapat ciri bantuan elektronik seperti:

  • sistem pengukuran inersia (IMU) enam-paksi
  • Yamaha Ride Control (YRC)
  • kawalan jelajah
  • pengehad kelajuan

Peugeot XP400 kini lebih mampu milik, harga dari RM33,990

Peugeot Motocycles Malaysia mengumumkan harga baharu bagi skuter crossover premium Peugeot XP400 susulan ketibaan rasmi unit import sepenuhnya (CBU) ke pasaran tempatan.

Ditawarkan dalam unit terhad, Peugeot XP400 kini ditawarkan pada harga RM33,990.

Dengan Pakej Adventure merangkumi crash bar dan kotak storan Givi, harga keseluruhan kini menjadi RM35,990.

Spesifikasi

Skuter XP400 ini dipacu enjin silinder tunggal PowerMotion 400 cc menghasilkan kuasa 36.7 hp @ 8,150 rpm, 38.1 Nm @ 5,400 rpm.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork jenis terbalik (USD) di depan dibantu dengan sistem multi-link di belakang.

Brek depan menggunakan tetapan angkup 4-omboh dan rotor berkembar 295 mm, sementara belakang pula menggunakan tetapan rotor tunggal 240 mm.

Ciri keselamatan yang disertakan termasuklah ABS dua-saluran, TCS dan ESS.

Antara ciri lain termasuklah:

  • sistem kunci pintar
  • lampu LED
  • skrin paparan TFT + meter analog
  • tayar all-terrain Pirelli
  • rim jejari 17 inci depan 15 inci belakang
  • Tangki bahan api 13.5 liter
  • Tinggi pelana 815 mm

Peugeot XP400 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Mad Black dan Satin Technium.

Aveta Falcon 180 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM9,798

Aveta Malaysia secara rasmi melancarkan model skuter terbaharu Aveta Falcon 180 2026 untuk pasaran Malaysia.

Ia dijual pada harga RM9,798 atas jalan tanpa insurans.

Spesifikasi

Falcon 180 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal bersesaran 174cc dengan sistem penyejukan cecair serta suntikan bahan api elektronik Bosch.

Enjin itu menghasilkan 18.2 hp @ 8.500 rpm dan 17.2 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik CVT untuk tunggangan yang lebih lancar dan mudah.

Bagi memenuhi karakter pengembaraannya, Falcon 180 dilengkapi dengan fork hadapan jenis terbalik (USD), penyerap hentak belakang bersama tabung gas luaran serta kelegaan tanah setinggi 140 mm.

Turut ditawarkan ialah kedudukan pemijak kaki kedua, membolehkan penunggang berdiri ketika melalui laluan tidak rata bagi memudahkan pengagihan berat badan dan kawalan motosikal.

Sistem brek menggunakan ABS dwi saluran, disokong kawalan cengkaman (TCS) yang boleh dihidupkan atau dimatikan mengikut keadaan tunggangan.

Antara ciri lain termasuklah:

  • hendal boleh laras
  • penghadang angin boleh laras
  • skrin sentuh TFT tujuh inci
  • kamera rakaman hadapan terbina dalam
  • sistem kunci pintar
  • tangki bahan api 14 liter
  • ruang simpanan yang luas
  • lampu LED sepenuhnya
  • Sistem Henti Melahu (ISS) boleh laras

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Storm Grey, Sahara Bronze dan Alpine White.

Honda ADV160 Trico Edition 2026 kini di Malaysia, harga dari RM14,149

Boon Siew Honda secara rasmi melancarkan skuter kembara Honda ADV160 2026 Trico Edition yang membawakan liveri ikonik Honda untuk pasaran tempatan.

Honda ADV160 edisi Trico ini dijual pada harga RM14,149.

Setiap pembelian akan disertakan dengan fon putik (earbuds) jenama JBL dan balaclava Motowolf sementara stok masih ada.

Spesifikasi

Edisi Trico ini menggunakan spesifikasi ADV160 with Honda RoadSync yang membawakan ciri seperti:

  • skrin paparan TFT 5-inci dengan sokongan sambungan peranti pintar
  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • sistem brek anti-kunci (ABS)
  • sistem kunci pintar
  • U-Box 30 liter

ADV160 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 157 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm.

Kerangka jenis double cradle itu disokong dengan tetapan suspensi fork teleskopik di depan diikuti penyerap hentak berkembar lengkap dengan sub-tangki di belakang.

Antara kelengkapan lain termasuklah:

  • pelana 780 mm
  • tangki bahan api 8.1 liter
  • slot USB Type-C
  • lampu LED
  • skrin penghadang angin boleh laras

Selain edisi Trico (dan Spider-Man Edition), BSH masih menawarkan pilihan warna Matte Grey dan Brown pada harga RM13,649.

Sementara Honda ADV160 Standard (RM13,249) pula hadir dalam pilihan warna putih dan kelabu.

 

Aveta Vanguard 180 & Vanguard 250 edisi terhad 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga dari RM9,398

Aveta Motor Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan dua model baharu dalam rangkaian skuter kembaranya, iaitu Aveta Vanguard 180 dan Vanguard 250 Edisi Terhad.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Aveta Vanguard 180 – RM9,398
  • Aveta Vanguard 250 Edisi Terhad – RM17,188

Spesifikasi Vanguard 180

Skuter kembara ini dipacu enjin 174 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 18.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 17.2 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa disalurkan kepada roda menerusi transmisi CVT dan pacuan tali sawat.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan diikuti penyerap hentak gas berkembar boleh laras di belakang.

Brek pula menggunakan tetapan cakera, angkup dua-omboh di depan dibantu dengan ciri ABS dua-saluran dan Kawalan Cengkaman (TCS).

Antara kelengkapan lain termasuklah:

  • lampu LED & DRL
  • rim 14 inci depan/13 inci belakang
  • tangki bahan api 10.5 liter
  • tinggi pelana 780 mm
  • sistem tanpa kunci pintar
  • skrin paparan TFT 7-inci
  • kamera perakam tunggangan depan
  • port pengecasan USB Type-A & Type-C
  • skrin penghadang angin boleh laras
  • rak barangan di belakang

Terdapat dua warna disediakan iaitu Neon Terrain dan Gray Sandstone.

Aveta Motor Malaysia turut menawarkan varian Explorer Pack (RM9,698) yang merangkumi pelindung rangka motosikal kustom, kotak storan rekaan eksklusif sebesar 46 liter, serta warna eksklusif Frost White.

Spesifikasi Vanguard 250 Edisi Terhad

Selain Vanguard 180, Aveta Malaysia turut memperkenalkan Vanguard 250 Edisi Terhad dengan kelengkapan eksklusif.

Antaranya termasuklah:

  • reka bentuk hendal lebih sporti
  • pemijak kaki logam
  • paparan grafik khas pada skrin TFT
  • pelekat grafik
  • emblem bernombor individu

Vanguard 250 Edisi Terhad ditawarkan sebanyak 688 unit sahaja, di mana setiap satu turut hadir dengan nombor siri individu unik.

Vanguard 250 2026 mengekalkan enjin 244.2 cc menghasilkan kuasa 24.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 6,500 rpm.

Kelengkapan lain yang dimuatkan termasuklah:

  • fork teleskopik 37 mm
  • penyerap hentak berkembar gas di belakang
  • angkup brek empat omboh di depan
  • angkup brek dua omboh di belakang
  • rim 15 inci depan dan 14 inci belakang
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)

 

Voge SR450X bakal tiba di Malaysia tahun ini, harga RM29,888

Mforce Bike Holdings mengumumkan sebuah model skuter kembara yang bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi, iaitu Voge SR450X.

Skuter tersebut dilihat bakal bersaing rapat dengan Zontes 368G yang sudah pun ditawarkan di sini.

Menurut Mforce, Voge SR450X ini bakal ditawarkan dengan harga RM29,888.

Spesifikasi

Mengikut spesifikasi dari pasaran luar negara, Voge SR450X ini dipacu enjin dua silinder bersesaran 398 cc sejukan cecair.

Ia mampu menjana kuasa sekitar 41.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 43.9 Nm @ 5,750 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork hadapan KYB jenis terbalik, diikuti penyerap hentak berkembar KYB boleh laras di belakang.

Antara kelengkapan yang ada pada skuter kembara ini termasuklah:

  • skrin paparan TFT 7-inci
  • sistem brek J.Juan/Nissin
  • rim 17 inci depan/14 inci belakang
  • sistem pencahayaan LED
  • cermin penghadang angin boleh laras
  • pemanas grip bar hendal dan pelana

Ciri keselamatan pula termasuklah sistem brek ABS dua-saluran, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan kamera perakam tunggangan depan/belakang.

SYM Husky 200 2026 bakal tiba di Malaysia Jun ini, dari RM10,988

Mforce Bike Holdings melancarkan skuter terbaharu SYM Husky 200 2026 sempena Malaysia Bike Show baru-baru ini.

Skuter ini tersedia dalam pilihan warna Glossy Green, Silk Purple dan Pearl White, dengan harga jualan RM10,998.

Spesifikasi Husky 200

SYM Husky 200 dipacu enjin silinder tunggal sejukan cecair bersesaran 175 cc dengan kuasa 16.1 hp @ 8,000 rpm dan 15.6 Nm @ 7,000 rpm.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Brek pula menggunakan angkup 2-omboh dan rotor 260 mm di depan, dibantu rotor saiz 230 mm di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan pada skuter ini termasuklah:

  • sistem kunci pintar
  • lampu LED depan dan belakang
  • port pengecasan USB Type-A 3.0
  • skrin penghadang angin
  • panel meter TFT
  • sistem ABS 2-saluran & TCS
  • tinggi pelana 810 mm
  • tangki bahan api 15 liter

Skuter SYM Husky 200 ini dijangka mendarat di pengedar mulai Jun 2026.

Boon Siew Honda lancar ADV160 2026, harga dari RM13,249

Boon Siew Honda secara rasmi melancarkan skuter kembara Honda ADV 160 2026 bersempena Malaysia Bike Show 2026.

Terdapat dua varian diperkenalkan, iaitu:

  • ADV160 dengan Honda RoadSync – RM13,649.00
  • ADV160 ABS – RM13,249.00

Spesifikasi

Kedua-dua varian mengekalkan enjin silinder tunggal 157 cc eSP+ yang mampu menjana kuasa 15.8 hp @ 8,500 rpm dan 14.7 Nm @ 6,500 rpm.

Antara ciri standard yang dibekalkan termasuklah:

  • Honda Selectable Torque Control (HSTC)
  • Anti-lock Braking System (ABS)
  • penghadang angin boleh laras
  • sistem pencahayaan LED
  • sistem kunci pintar
  • port pengecasan USB Type-C
  • ruang storan bawah pelana 30 liter
  • tetapan suspensi belakang Showa dengan subtangki

Varian ABS didatangkan dengan panel meter digital, sementara varian tertinggi pula hadir dengan skrin paparan TFT 5-inci berserta sokongan Honda RoadSync.

Menerusi sambungan ini, penunggang boleh mengakses sistem navigasi, panggilan, muzik, dan notifikasi permesejan menerusi skrin TFT itu tadi.

Honda ADV160 ABS hadir dalam pilihan warna kelabu dan putih, sementara ADV160 dengan Honda RoadSync pula didatangkan dengan pilihan warna Matte Gray dan perang.

SYM Malaysia umum warna baharu untuk Husky 150 SE, harga RM10,598

Bersempena dengan tahun baru, SYM Malaysia mengumumkan empat warna baharu untuk skuter SYM Husky 150 SE.

Empat warna yang dimaksudkan itu ialah Indigo Blue, White, Matt Grey dan Glossy Green.

 

Skuter ini boleh didapati di semuap pengedar sah Mforce di seluruh Malaysia pada harga RM10,598 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

SYM Husky 150 SE dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 14.5 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 14.5 Nm @ 6,000 rpm dengan padanan transmisi CVT.

Antara ciri yang ada pada Husky 150 SE ialah:

  • fork teleskopik depan/penyerap hentak tunggal belakang
  • sistem tanpa kunci
  • paparan meter digital
  • lampu depan dan belakang LED
  • storan bawah pelana 22 liter
  • tangki bahan api 15 liter
  • tinggi pelana 785 mm
  • ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS)

Unit prototaip ARIIC 400GS diperlihatkan – bakal masuk Malaysia tahun depan

Bertempat di Jinlang Motorcycle Culture Week di Taizhou, China, ARIIC memperlihatkan unit prototaip skuter kembara 400GS yang turut disahkan bakal memasuki pasaran Malaysia tahun depan.

Dari segi kuasa, 400GS dilengkapi dengan enjin silinder tunggal 396 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 33.5 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 38.3 Nm @ 5,500 rpm.

Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 3.62 liter/100 km.

Tidak banyak perincian didedahkan buat masa ini, cuma yang pasti 400GS ini hadir dengan sistem ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (HSCT), skrin panel instrumen LCD penuh, serta skrin penghadang angin boleh laras empat-tahap.

Pihak Mforce Bike Holdings turut mengesahkan skuter ini bakal dipasarkan di Malaysia, dengan pelancaran rasmi dirancang pada acara Mforce Motorshow yang berlangsung bulan Mei 2026.

SYM ADXTG 400 rasmi di Malaysia – harga RM29,888

Sebuah lagi skuter dilancarkan oleh MForce Bike Holdings, iaitu skuter kembara SYM ADXTG 400 2025.

Menurut SYM, penampilan dan rekaan agresif skuter ini banyak diinspirasikan daripada harimau zaman pra-sejarah, terutama pada bahagian lampu hadapan dan belakang yang agak tajam itu.

 

ADXTG 400 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc sejukan cecair dengan kuasa 35 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,500 rpm.

Teknologi Hyper-VVS menyumbang kepada tahap penggunaan bahan api yang lebih ekonomi serta prestasi yang mengujakan.

Ciri unik untuk skuter ADXTG 400 ini ialah penggunaan dua aci pengimbang untuk mengurangkan kesan gegaran, fork hadapan jenis terbalik dan tetapan multi-link untuk roda belakang.

Selain itu, unit roda belakang dipacu dengan sistem rantai, bukannya tali sawat seperti kebanyakan skuter yang ada di pasaran.

Terdapat mod tunggangan off-road, sistem brek ABS, kawalan cengkaman untuk memastikan keselamatan terjamin di atas jalan.

Ciri lain yang tersedia termasuklah sistem kunci pintar, skrin paparan LCD berwarna, pengecasan pantas USB 3.0, ruang storan bawah pelana 32 liter, penghadang angin boleh laras manual, tinggi pelana 790 mm serta lengkap dengan pelindung bar hendal dan enjin.

Mforce mengumumkan SYM ADXTG 400 2025 dijual pada harga RM29,888 atas jalan tanpa insurans.

Honda ADV160 2025 dapat warna baharu, harga dari RM13,249

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran warna baharu untuk para peminat skuter kembara Honda ADV160 2025.

Untuk versi standard dengan harga jualan dari RM13,249, terdapat dua warna baharu iaitu hitam kusam dan merah selain warna putih sedia ada.

Sementara edisi khas berharga RM13,549 pula mendapat warna popular kelabu di samping warna hijau kusam sedia ada.

Tiada perubahan dari segi spesifikasi, di mana Honda ADV160 masih lagi kekal dengan enjin silinder tunggal Enhanced Smart Power Plus (eSP+) 157 cc berkuasa 15.8 hp dan 14.7 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah lampu LED penuh, sistem berhenti melahu (ISS), ruang storan 30 liter, paparan meter LCD, skrin penghadang angin boleh laras, dan sistem kunci pintar.

Honda ADV160 dilengkapi dengan tangki bahan api sebesar 8.1 liter, serta tinggi pelana 780 mm.

Ciri keselamatan yang wujud termasuklah sistem ABS, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan lampu berhenti kecemasan (ESS).

SYM ADXTG 400 bakal mendarat di Malaysia Mei ini – harga bawah RM30,000

Baru-baru ini, pihak MForce Bike Holdings mengesahkan pihaknya akan melancarkan sebuah skuter gaya kembara baharu menjelang pertengahan tahun ini, iaitu SYM ADXTG 400.

Daripada segi penampilan, rekaan agresif dan bersegi yang wujud pada SYM ADXTG 400 ini adalah diinspirasikan daripada harimau zaman pra-sejarah.

Ia juga turut mendapat rekaan lampu LED yang tajam pada bahagian depan dan belakang serta tidak ketinggalan ekzos yang lebih bergaya.

SYM ADXTG 400 ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 399 cc yang mampu menghasilkan 35 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 37 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Skuter ini juga turut dibantu dengan teknologi Hyper-VVS yang menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih ekonomi, serta prestasi yang tidak mengecewakan.

Aspek keselesaan tunggangan disumbangkan dengan dua aci pengimbang bagi mengurangkan kesan gegaran, diikuti dengan suspensi fork hadapan jenis terbalik dan lengan ayun aluminium dengan tetapan multi-link di belakang!

Menariknya, ADXTG 400 juga turut menyediakan mod tunggangan off-road, diikuti dengan sistem brek ABS dan kawalan cengkaman.

 

Ciri lain termasuklah bar hendal yang lebar, sistem kunci pintar, skrin paparan LCD berwarna, USB dengan pengecasan pantas 3.0, skrin penghadang angin boleh laras, serta pelindung bar hendal dan pelindung enjin.

Pihak MForce mendedahkan harga jualan anggaran untuk skuter kembara ADXTG 400 ini bermula bawah RM30,000. Berbaloi?

Honda X-ADV 2025 V3 rasmi di Malaysia – dari RM69,999

Boon Siew Honda mengumumkan ketibaan generasi baharu skuter kembara Honda X-ADV 750 2025 untuk pasaran tempatan.

Jentera kegemaran ramai ini dilihat masih lagi mengekalkan enjin parallel-twin 745 cc SOHC yang mampu menjana kuasa 58 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 69 Nm @ 4,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan sistem DCT (klac berkembar) yang telah dinaik taraf untuk pengedaran kuasa yang lebih lancar, lengkap dengan mod manual atau automatik serta fungsi rev-match automatik semasa downshift.

Berbeza dengan model terdahulu, X-ADV 750 baharu ini membawakan rupa paras yang lebih agresif, terima kasih kepada unit lampu nyalaan siang (DRL) yang mengintegrasikan fungsi lampu membelok.

Perumah lampu utama projektor LED sengaja digelapkan untuk efek yang lebih menonjol.

Dari segi praktikaliti, X-ADV menampilkan skrin penghadang angin yang boleh dilaras tiga tahap menggunakan satu tangan, slot pengecas USB-C, ruang glovebox, serta sistem kunci pintar.

Ruang storan bawah pelana adalah sebesar 22 liter, lengkap dengan sistem pencahayaan LED dan pembahagi ruang untuk mengelakkan barangan daripada bergerak sewaktu tunggangan.

Terdapat skrin paparan TFT lima inci berwarna penuh dengan integrasi peranti pintar menerusi Honda RoadSync untuk kawalan navigasi dan muzik dengan menggunakan sambungan Bluetooth.

Melengkapi penawaran X-ADV ialah sistem Throttle-by-Wire, Automatic Turn Signal Canceller, ABS dua saluran, serta sistem kawalan jelajah berasaskan Human Machine Interface (HMI) untuk mengurangkan kepenatan sewaktu perjalanan jauh.

Ciri lain termasuklah fork hadapan terbalik 41 mm SFF-CA, penyerap hentak tunggal di belakang, rotor brek berkembar 296 mm berserta angkup empat omboh di depan, rotor brek tunggal 240 mm berserta angkup omboh tunggal di belakang, tangki bahan api sebesar 13.2 liter serta tinggi pelana 790 mm.

Terdapat tiga warna pilihan, iaitu Matte Deep Mud Gray, Pearl Glare White dan Graphite Black yang boleh dibeli pada harga RM69,999, serta warna istimewa Matte Goldfinch Yellow pada harga RM70,999.

Empat skuter menarik yang sudah mendarat di Malaysia

Belum pun sempat bulan Januari melabuhkan tirainya, pasaran Malaysia kini sudah dibanjiri dengan beberapa buah model skuter yang cukup mencuri perhatian netizen.

Dengan spesifikasi yang lebih menyeluruh serta harga yang mampu milik, ia akan membuatkan golongan pembeli berpotensi pening kepala seketika untuk memilih mana satu yang terbaik.

Tanpa membuang masa, ini adalah senarai skuter baharu yang telah dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan ini:

 

1. Zontes 368G ADV

Zontes 368G ADV ini membawakan spesifikasi yang mampu memalukan pesaing dari Jepun.

Selain daripada enjin 368 cc berkuasa 38 hp/40 Nm, fork hadapan USD, dan sistem brek J.Juan, 368G ADV turut didatangkan dengan pelbagai ciri standard termasuklah crash bar, kamera perakam tunggangan, sistem pemantauan tekanan tayar dan pemanas bar hendal!

Harga: RM28,800

 

2. MODA Sporter S

Jenama motosikal tempatan baharu membuat kemunculan pada awal tahun ini dengan skuter maxi Sporter S.

Skuter 250 cc ini mampu menjana kuasa setinggi 24.8 hp, selain memiliki rupa paras agak sporti yang mampu membuatkan ramai tertoleh di atas jalan raya.

Harga: RM17,888

 

3. SYM Husky ADV 300

MForce membawakan skuter terbaharu SYM Husky ADV 300, dengan enjin 278 cc menghasilkan 25.8 hp dan 26 Nm, tidak ketinggalan rekaan badan yang agresif.

Ciri menarik termasuklah skrin paparan digital, sistem kunci pintar, pelindung tangan, serta kehadiran port pengecasan USB-A dan USB-C.

Harga: RM23,888

 

4. Aveta Vanguard 250

Mahukan yang lebih mampu milik? Aveta baru sahaja melancarkan skuter kembara Vanguard 250 dengan membawakan ciri-ciri yang tidak kurang hebatnya.

Selain enjin 244 cc berkuasa 24.8 hp dan 22.5 Nm, Vanguard 250 hadir dengan ciri seperti penghadang angin boleh laras, bar hendal boleh laras, kamera perakam tunggangan, serta skrin paparan digital TFT.

Harga: RM14,888

 

Zontes 368G ADV rasmi, harga jualan RM28,800

Zontes Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan skuter kembara Zontes 368G ADV untuk pasaran Malaysia.

Mengikut spesifikasi, Zontes 368G ADV ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan cecair SOHC berkuasa 38 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 40 Nm @ 6,000 rpm, dengan dua mod tersedia iaitu Eco dan juga Sport.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 41 mm dengan larasan mampatan/lantunan, penyerap hentak berkembar di belakang dengan larasan pra-bebanan, dan sistem brek J.Juan.

Ia juga turut dilengkapi sistem ABS dua saluran, kawalan cengkaman serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) sebagai ciri standard.

Skuter ADV ini mendapat tangki sebesar 17.5 liter yang mampu menawarkan jarak tunggangan sejauh 500 km dan kadar penggunaan bahan api sekitar 3.5 liter untuk setiap 100 km.

Tidak cukup dengan itu, terdapat storan bawah pelana sebesar 52 liter yang boleh memuatkan dua helmet full-face, penghadang angin boleh laras lima tahap, serta tinggi pelana 795 mm (atau 770 mm untuk versi lebih rendah).

Segala info penting serta tetapan fungsi-fungsi tambahan anda boleh akses menerusi skrin paparan TFT bersaiz lapan inci yang boleh dihubungkan dengan peranti pintar menerusi aplikasi Zontes Intelligent App.

Menariknya, pihak Zontes turut menawarkan beberapa aksesori standard untuk model 368G ADV ini.

Seperti contoh, terdapat crash bar dan pelindung tangan pada bar hendal, serta lampu kabus dengan beberapa tetapan suluhan tersedia bagi melengkapkan imej skuter ADV yang sangat bergaya.

Untuk keselesaan penunggang, 368G ini turut dipasangkan dengan fungsi pemanas grip bar hendal yang sangat berguna semasa membuat perjalanan pada musim sejuk/hujan.

Akhir sekali, terdapat kamera perakam tunggangan (dashcam) untuk bahagian depan dan belakang menggunakan penderia Sony Starvis yang mampu merakam video HD 1080p dan storan sebesar 128 GB.

Harga jualan Zontes 368G ADV ini bermula dari RM28,800 atas jalan, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Terdapat tiga warna menarik iaitu Iron Grey/Blue, White/Gold, dan Golden Stone Green.