Arkib Tag: sesak

Ketahui jadual perjalanan, PLUS kongsi tips elak ‘tersangkut’ di lebuh raya

ORANG ramai ingin menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan bermula hari ini sehingga 6 Februari diminta mematuhi Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA).

Memetik kenyataan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), TTA tersebut boleh digunakan oleh pelanggan dari utara dan selatan tanah air yang ingin kembali ke Lembah Klang.

“Kami menggesa orang ramai supaya merancang perjalanan pulang yang selamat dengan merujuk kepada TTA dikeluarkan,” memetik kenyataan itu.

PLUS menjangkakan jumlah trafik meningkat pada Sabtu dan Ahad ini berikutan orang ramai yang mengambil cuti tambahan sempena cuti sekolah.

Justeru, PLUS membuat persediaan rapi untuk memastikan pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan pulang yang selesa.

Ini termasuk menyediakan pasukan PLUSRonda tambahan untuk membantu mereka yang mungkin menghadapi masalah kerosakan kenderaan di lebuh raya.

PLUS juga bekerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang.

Sementara itu, PLUS menasihati pelanggannya memastikan baki kad Touch ‘n Go atau Touch ‘n Go e-Wallet mencukupi.

Ia bagi mengelak sebarang kesesakan di plaza tol sekaligus menjejaskan perjalanan pengguna lebuh raya lain.

“Pastikan baki kad Touch ‘n Go atau Touch ‘n Go e-Wallet (untuk transaksi RFID) anda mencukupi untuk menikmati perjalanan yang selesa di plaza tol,” katanya lagi.

Dapatkan maklumat dan keadaan trafik terkini melalui platfom media sosial atau layari laman web www.plus.com.my.

P.Pinang sesak sempena Tahun Baharu Cina, PDRM tingkat pemantauan

PULAU Pinang dijangka menerima pertambahan lebih 50,000 kenderaan sehari sempena sambutan Tahun Baharu Cina bermula 1 Februari depan.

Ketua Polis Pulau Pinang berkata, ia dijangka akan menyebabkan berlaku kesesakan trafik di beberapa lokasi utama negeri itu.

Jelas Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, pihaknya akan meningkatkan pemantauan trafik selain melakukan pemeriksaan lalu lintas secara berkala.

“Keseluruhan anggota dan pegawai polis di Pulau Pinang adalah 6,000 lebih, semua bertugas seperti biasa dan kita tidak bekukan cuti cuma hadkan sahaja,” katanya.

Kesesakan trafik boleh dielak jika mengikuti nasihat perjalanan dikeluarkan PLUS. – Foto ihsan Malay Mail

Terdahulu, Mohd Shuhaily melancarkan Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri bermula Jumaat sehingga 6 Februari.

Seramai 110 pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang terlibat dalam operasi tersebut.

JSPT juga berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bagi kempen rumah selamat dan pencegahan jenayah.

Berikut antara jalan dijangka mengalami kesesakan luar biasa:-

  • Jalan Teluk Air Tawar – Jalan Bagan Luar (Seberang Perai Utara)
  • Jalan Perusahaan Perai – Jalan Kulim (Seberang Perai Tengah)
  • Jalan Besar Simpang Empat (KM12-KM32)
  • Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/ Jalan Ayer Itam
  • Jalan Ayer Itam – Paya Terubong
  • Jalan Sultan Azlan Shah
  • Jalan Tun Dr Awang
  • PLUS minta patuhi TTA elak kesesakan sempena Tahun Baharu Cina

    KESESAKAN trafik setiap kali menyambut cuti umum atau musim perayaan bukan lagi rahsia besar dalam kalangan kita.

    Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, tidak dinafikan berlaku pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya terutama ketika musim cuti.

    Justeru, bersempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengeluarkan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA).

    Memetik kenyataan dikeluarkan, PLUS menasihati pengguna mengikuti TTA memandangkan berlaku peningkatan trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan.

    Situasi itu dijangka berlaku bermula pada 28 Januari sehingga 6 Februari.

    “Ini juga terpakai kepada mereka yang menghala Johor ke arah selatan.

    “Bagi destinasi berhampiran dengan Lembah Klang dan negeri lain, pengguna perlu merancang perjalanan mereka dengan memasuki lebuh raya selepas 1 tengah hari,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

    Pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, utara Perak, Johor dan negeri-negeri lain menuju ke Lembah Klang digalakkan keluar sebelum pukul 9 pagi.

    Sementara itu, pengguna dinasihati terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

    PLUS juga menasihati agar orang ramai pengamalkan pemanduan dengan berhati-hati ketika cuaca buruk.

    Orang ramai berdepan masalah boleh menghubungi pasukan peronda lebuh raya PLUS menerusi PLUSLine 1800 88 0000.

    Elak insiden baki tol tidak mencukupi

    Pengenalan Lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) antara inisiatif baik daripada PLUS untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol. – Foto ihsan PLUS

    Terdahulu, PLUS turut mengeluarkan nasihat agar pengguna memastikan perjalanan lancar semasa memasuki dan keluar dari lebuh raya bertol.

    Antara langkah penting perlu diambil adalah dengan memastikan kad Touch ‘n Go dan e-dompet Touch ‘n Go RFID mempunyai baki mencukupi.

    Pengguna juga boleh mengetahui keadaan trafik daripada fungsi CCTV perancang perjalanan Aplikasi PLUS, Twitter PLUSTrafik dan P.U.T.R.I (PLUS Unique Texting Realtime Interface).

    Pengguna lebuh raya juga digalakkan menggunakan aplikasi Waze dan Google Maps untuk navigasi perjalanan mereka.

    Elak terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya, patuhi nasihat Plus

    RANCANG dan ikuti nasihat perjalanan dikeluarkan pihak Plus bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

    Plus dalam satu kenyataan tidak menolak berlaku pertambahan jumlah kenderaan di lebuh raya bersempena cuti sambutan Krismas, esok.

    Orang ramai dari Lembah Klang menuju Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor dicadang memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi.

    Bagi pengguna jalan raya menuju ke lain-lain negeri dicadangkan memulakan perjalanan selepas jam 1 tengahari.

    Plus turut mencadangkan pengguna jalan raya memasuki Lembah Klang dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Johor memulakan perjalanan sebelum jam 10 pagi.

    Jadual perjalanan ini akan berkuatkuasa sehingga 3 Januari 2022.

    Terdahulu, Plus berpesan untuk kekal patuh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepanjang perjalanan di lebuh raya.

    Orang ramai juga boleh membuat pra-pesanan makanan di Aplikasi Plus untuk menikmati pengalaman lebih mudah dan selesa ketika berehat di R&R.

    Para pemandu dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati berikutan musim hujan melanda seluruh negara ketika ini.

    Ipoh bakal terima kemudahan LRT, pengangkutan awam makin efisyen

    BERITA baik untuk warga Ipoh yang mana bakal menikmati perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) tidak lama lagi.

    Exco kerajaan negeri Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia antara rangka pembangunan bagi mewujudkan hab pengangkutan lebih moden.

    Jelasnya, LRT juga diharap dapat mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Ipoh dan kawasan sekitar pada masa hadapan.

    “Kos dan tempoh pembinaan hab pengangkutan itu masih dalam peringkat kajian.

    “Kita akan jadikan ia sebagai hab pengangkutan yang lebih efisien dan moden kerana di Ipoh ini masih banyak lagi (tempat) perlu menggunakan kenderaan sendiri berbanding pengangkutan awam,” katanya.

    Selain LRT, hab pengangkutan bersepadu itu akan disokong dengan kemudahan bas rapid transit, trem, bas serta teksi bagi meningkatkan mobiliti penduduk.

    Pada masa sama, ia juga memberi kemudahan pengangkutan kepada pelancong yang berkunjung ke Ipoh.

    ‘Sumbat’ warga asing pakai gelang pink dalam lori, warga maya akui malu

    DUA foto menunjukkan sekumpulan warga asing menaiki sebuah lori yang sesak tular di media sosial.

    Hantaran salah seorang pengguna Twitter itu mendapat perhatian kebanyakan warga maya yang menganggap ia perbuatan tidak berperikemanusiaan.

    Berdasarkan foto terbabit, kesemua warga asing dipercayai dalam perjalanan ke pusat kuarantin Covid-19.

    Hal ini kerana kelihatan beberapa individu dalam foto itu memakai ‘gelang’ merah jambu yang kebiasaan dipakai oleh mereka dikenakan kuarantin.

    “Bayangkan kalau bangsa kita yang memburuh di negeri orang, legal mahupun illegal dilayan macam ini, apa respon kita?

    “Malaysia, kita lebih baik daripada ini,” kata individu menggunakan nama Adam Adli di media sosial.

    Sementara itu, rata-rata pengguna media sosial kecewa dengan situasi berlaku dan berharap ia tidak berulang di masa depan.

    Pada masa sama, terdapat juga pengguna media sosial yang menyalahkan majikan pekerja warga asing terbabit yang didakwa enggan menyewa bas sebagai langkah penjimatan.

    “Pergi salahkan tokey (majikan) yang tak nak keluar modal sewa bas,” kata Shelah Eber.

    Setakat ini, tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian tersebut.

    Bagaimanapun, ada pengguna media sosial mendakwa ia berlaku di Sungai Petani yang terletak di negeri Kedah.

    SOP PKP diperketat, foto LRT sesak tular di media sosial

    TINDAKAN kerajaan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) menyaksikan berlaku kesesakan di beberapa stesen Transit Aliran Ringan (LRT), hari ini.

    Rata-rata penumpang merungut dengan situasi itu sekaligus melambatkan perjalanan mereka.

    Memetik status pengguna media sosial bernama Rizal Hakimm, keadaan itu didakwa berlaku susulan jumlah penumpang terpaksa dikurangkan.

    Ia bertambah buruk dengan insiden pelanggaran dua tren LRT laluan Kelana Jaya, semalam.

    “Hari ini dan sepanjang PKP yang naik LRT bertabahlah. Ramai merungut.

    “Kapasiti penumpang dikurangkan 50 peratus dan masa menunggu LRT atau kekerapan dipanjangkan antara 10 hingga 30 minit.

    “Tambahan pula kes (kemalangan) semalam jadi bertambah serius situasi sebab hari ini contohnya guna satu landasan sahaja.

    Tapi dalam tren tetap penuh sebab bila dah selepas dua, tiga stesen semakin ramai penumpang.

    “Patutnya masa menunggu atau kekerapan tren dikekalkan cuma kapasiti penumpang sahaja dihadkan,” dakwanya di Facebook.

    Kelihatan penumpang dalam keadaan sesak yang didakwa berlaku di dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT), hari ini.

    Semalam, dua buah tren LRT terlibat dalam satu kemalangan kira-kira jam 8.45 malam.

    Insiden menyebabkan terdapat kelewatan perjalanan LRT bagi laluan Kelana Jaya.

    Seorang penumpang kelihatan cedera selepas tren dinaiki berdepan kemalangan, malam ini.

    Terdahulu, pihak polis diminta menyiasat jika ada unsur kecuaian membabitkan kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

    Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan siasatan perlu didedahkan segera demi kepentingan awam.

    Loke yang juga bekas menteri pengangkutan turut menggesa kes didakwa di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 sekiranya melibatkan kecuaian manusia.

    Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa turut mengucapkan rasa simpati terhadap insiden terbabit.

    Memuat naik ciapan di Twitter, Annuar pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada pasukan kecemasan yang bertungkus lumus menguruskan penumpang cedera.

    Larangan rentas negeri, bagaimana KL-Karak boleh sesak?

    KESESAKAN jalan raya bukan suatu yang asing di negara ini apatah lagi ketika musim perayaan.

    Walaupun kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun, masih terdapat kesesakan di beberapa jalan utama.

    Semalam, tular di media sosial berlaku kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak berdekatan Plaza Tol Gombak.

    Menerusi laman Twitter, seorang pengguna media sosial memuat naik foto kesesakan panjang dipercayai diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

    “Menghala ke KL, balik dari mana tu? Seronok ke beraya dekat kampung?

    “Korang (anda) boleh tengok sendiri entah dari mana manusia ni,” kata pemilik akaun Twitter Shah Klang.

    Sebelum ini, kerajaan melarang sebarang pergerakan rentas negeri tanpa mendapat kebenaran pihak polis.

    Selain itu, setiap individu juga dilarang merentas daerah susulan arahan PKP seluruh negara berkuatkuasa 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

    Sementara itu, rata-rata orang ramai mengecam tindakan individu sengaja merentas negeri bagi menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

    Jelas mereka, tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah, tidak membantu usaha dalam menurunkan kes Covid-19 di negara ini.

    Touch ‘n Go: MyWatch soal bila boleh tambah nilai secara dalam talian?

    SITUASI pemandu ‘tersangkut’ di plaza tol gara-gara baki akaun Touch ‘n Go tidak mencukupi bukan suatu yang asing.

    Terbaharu, pengendali akaun Twitter MyWatch berkongsi video seorang individu merakam kejadian sebuah kereta didakwa tidak mempunyai baki Touch ‘n Go mencukupi.

    Ia secara tidak langsung menyebabkan berlaku kesesakan di plaza tol berkenaan.

    Selain itu, apa yang menarik perhatian adalah terdapat sebuah kereta peronda polis yang turut ‘tersangkut’ gara-gara situasi berkenaan.

    Setakat ini tidak dapat dipastikan lokasi kejadian berkenaan.

    Bagaimanapun, rata-rata pengguna jalan raya mengakui sudah muak dengan insiden kenderaan ‘tersangkut’ di plaza tol kerana baki Touch ‘n Go tidak mencukupi.

    Pengendali akaun MyWatch juga mencadangkan agar tambah nilai kad Touch ‘n Go boleh dilakukan secara dalam talian.