Arkib Tag: serena

Nissan Serena C28 dilancarkan di Jepun dengan 8 tempat duduk, ProPilot 2.0

NISSAN secara rasminya memperkenalkan model generasi baharu Serena yang kini boleh didapati dengan trenkuasa hibrid baharu dan lapan tempat duduk.

Dikenali dengan kod C28, MPV generasi keenam ini mengekalkan bentuk badan berkotaknya namun tampil lebih segar dengan lampu depan yang diintegrasikan bersama gril V-motion.

Bukan itu sahaja, semua lampu kini menggunakan LED, manakala cermin penghadang angin depannya dikatakan yang paling luas dalam pasaran minivan. Di Jepun, ia boleh didapati dalam 14 warna termasuk empat pilihan kombinasi dua tona.

Bergantung kepada varian, Serena mempunyai ukuran panjang 4,690 mm atau 4,765 mm, lebar 1,695 mm atau 1,715 mm, dan tinggi 1,870 mm atau 1,885 mm. Ukuran tapak rodanya juga bergantung kepada spesifikasi, iaitu 3,135 mm atau 3,145 mm.

Sementara itu, rekaan papan pemuka Serena dilihat lebih kemas berbanding sebelum ini dengan adanya kluster instrumen digital dan konsol tengah yang lebih kecil. Jika anda perasan, tombol gear sudah tiada kerana ia digantikan dengan jenis suis yang terletak pada panel sentuh sistem pendingin hawa.

Pemandu kini boleh menikmati ruang kaki yang lebih luas sebanyak 120 mm, manakala tempat duduk pelbagai guna pada bahagian tengah barisan kedua membolehkan MPV ini memuatkan sehingga lapan penumpang. Seperti sebelum ini, Serena didatangkan dengan pintu gelongsor bebas tangan dan tailgate berkembar.

Untuk model tahun 2023, Serena boleh didapati dengan dua pilihan trenkuasa. Yang pertama adalah enjin S-Hybrid 2.0-liter MR20DD dengan transmisi jenis Xtronic CVT seperti model C27. Versi ini mempunyai 150 hp dan 200 Nm.

Satu lagi pilihan adalah trenkuasa e-Power generasi kedua yang menampilkan gabungan enjin 1.4-liter dan sebuah motor elektrik yang menawarkan kuasa keseluruhan mencecah 163 hp dan 315 Nm. Menariknya, versi ini boleh didapati dengan outlet AC 100V (1,500 W) yang boleh digunakan untuk perkakasan elektrik ketika berkelah atau dalam situasi kecemasan.

Satu lagi ciri baharu adalah sistem bantuan pemandu ProPILOT 2.0 yang membolehkan pemanduan bebas tangan di lorong tunggal lebuh raya pada kelajuan 40 km/j ke atas.

Selain itu, terdapat juga sistem ProPILOT Park dengan memori yang berupaya untuk merakam dan mengenal pasti garisan ruang parkir. Turut disertakan buat pertama kalinya adalah ciri Steering Assist dengan Forward Collision Avoidance.

Untuk pasaran Jepun, Serena serba baharu ini boleh didapati dalam tujuh gred atau varian, empat varian e-Power dan selebihnya S-Hybrid. Harga bermula dari 3,198,800 yen (RM104,028) untuk e-Power dan 2,768,700 yen (RM90,040) untuk S-Hybrid.

Sementara menunggu kedatangan Serena C28 ke Malaysia, apa kata tonton dulu video pandu uji Serena C27 facelift kami di bawah:

Warna baharu untuk Nissan X-Trail dan Serena sempena Tahun Baharu Cina

EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengalu-alukan kedatangan Tahun Baharu Cina 2022 dengan promosi untuk Nissan X-Trail 2.0L Mid dan Serena 2.0L S-Hybrid Premium Highway Star.

Mengikut kalendar, tahun ini merupakan tahun Harimau Air dan untuk itu, ETCM menawarkan kadar faedah rendah 1.88 peratus untuk model-model terpilih. Mereka yang membeli dan mendaftar kereta baharu juga berpeluang memenangi baucar Lazada bernilai sehingga RM50,000.

Nissan X-Trail dilengkapi dengan sistem keselamatan termaju Nissan Intelligent Mobility (NIM) yang merangkumi ciri seperti Forward Collision Warning, Cruise Control, Lane Departure Warning, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.

Kini, ia hadir dengan warna baharu Monarch Orange untuk varian X-Trail 2.0L Mid.

Nissan Serena pula menampilkan warna dwi-tona Radiant Red baharu dengan bumbung hitam. MPV ini menawarkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu 14.2km/liter.

Ia hadir dengan pelbagai ciri praktikal seperti dua pintu gelungsur berkuasa Hands-free, Dual Back Door, 7 soket USB, Intelligent Around View Monitor (I-AVM), Intelligent Moving Object Detection (I-MOD), dan sambungan telefon pintar dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Menurut Nissan, kedua-dua warna baharu untuk X-Trail dan Serena adalah stok model tahun 2022.

Sebagai tambahan, pelanggan yang memandu uji Almera Turbo baharu dalam tempoh kempen berpeluang memenangi baucar Watsons bernilai RM500.

Untuk maklumat lajut, layari www.nissan.com.my atau hubungi 1-800-88-3838.