Arkib Tag: selepas jualan

Proton buka pusat alat ganti serantau di Kuching

PUSAT Alat Ganti Serantau (RPC) Proton yang terletak di Kuching, Sarawak telah pun dibuka secara rasmi bagi meningkatkan perkhidmatan selepas jualan syarikat itu di Malaysia Timur.

Menurut Proton, kemudahan itu boleh mengurangkan masa penghantaran alat ganti sekurang-kurangnya 30 peratus, sekaligus memastikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik.

RPC baharu itu terletak di kawasan perindustrian Bintawa dengan keluasan 28,000 kaki persegi. Ia boleh menerima enam kontena berisi alat ganti di tapaknya secara serentak dan kini sedang memproses dalam purata 17 buah kontena sebulan yang menggunakan keupayaan sepenuhnya untuk menyimpan stok sehingga tiga bulan.

Selain itu, kemudahan itu juga mampu menerima penghantaran terus dari luar negara.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton berkata RPC baharu di Kuching itu adalah tiga kali lebih besar berbanding gudang sebelumnya. Ia juga akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sarawak serta Sabah jika perlu.

“Ruang tambahan itu juga membolehkan Proton meningkatkan penghantaran sebanyak 50 peratus daripada 3,000 tempahan sebulan kepada 4,500 tempahan sebulan dengan kapasiti maksimum sebanyak 6,000 tempahan sebulan sekiranya diperlukan.

“Ini membolehkan kami mencapai lebih banyak pengeluaran alat ganti dan buat masa sekarang kami sedang menyelesaikan tempahan yang tertunggak daripada pengedar dan pelanggan kami,” tambah Roslan.

Pada 2022, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang sebanyak 15% kepada jumlah jualan syarikat manakala bahagian pasaran telah berkembang daripada 10% pada tahun 2018 kepada 20% pada tahun 2022.

Menurut syarikat itu, ia merupakan satu peningkatan secara berterusan sejak tahun 2019 selepas Proton X70 dilancarkan. Turut menjadi pemacu pertumbuhan syarikat adalah tiga model Proton yang menduduki tangga teratas dalam jadual jualan di Malaysia Timur iaitu Saga (10,242 unit), X50 (4,181 unit) dan Persona (2,605 unit).

“Proton menjual 7,697 unit di Malaysia Timur pada 2018 tetapi tahun lepas, sebanyak 19,844 unit telah dijual, iaitu bersamaan dengan pertumbuhan jualan sebanyak 158 peratus,” kata Roslan lagi.

Carsome buka pusat servis di Petaling Jaya dan Ampang

CARSOME secara rasminya meneroka pasaran servis kereta selepas jualan dengan pelancaran pusat servisnya yang tersendiri.

Platform e-dagang kereta bersepadu itu memulakan operasi di dua buah lokasi strategik yang terletak di Petaling Jaya dan Ampang. Pemilik kereta kini boleh membuat janji temu untuk pemeriksaan kali pertama melalui laman web Carsome.

Selain memenuhi keperluan pembeli kereta terpakai dari syarikat, pusat servis Carsome juga menawarkan perkhidmatan kepada mereka yang mencari kemudahan penyelenggaraan kereta tanpa kebimbangan selepas tempoh jaminan kenderaan mereka tamat.

Menurut data Carsome, 80 peratus daripada kereta Carsome telah melepasi tempoh jaminan sah lima tahun mereka. Ini membayangkan kemungkinan yang lebih tinggi untuk pemilik kereta menjalankan servis kereta mereka di bengkel biasa berbanding pusat servis bertauliah.

Sebagai sebahagian daripada komitmen Carsome dalam menyampaikan perkhidmatan yang dipercayai, pemilik kereta boleh menikmati perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan dengan kualiti terjamin yang disediakan oleh mekanik bertauliah.

Mereka juga akan menerima bil yang telus dan awal untuk perkhidmatan yang diperlukan. Setiap perkhidmatan penyelenggaraan kereta akan diberi 20 titik pemeriksaan percuma untuk mengenal pasti sebarang isu asas, sebelum disyorkan pakej penyelenggaraan terbaik.

Setelah diperiksa, pusat servis Carsome menawarkan tiga pakej untuk memenuhi pelbagai keperluan dengan perkhidmatan berkala, bersama-sama dengan pelbagai pilihan lain untuk memenuhi keperluan pengguna.

Untuk keadaan kereta yang lebih khusus, pusat servis Carsome akan memberikan sebut harga yang sewajarnya.

Inisiatif #ReadyToDrive Audi Malaysia tawar ketenangan minda kepada pelanggan

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) mengumumkan inisiatif #ReadyToDrive yang memberi fokus kepada aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan ketenangan minda buat para pemilik Audi.

Ini merupakan insiatif selepas jualan yang pertama oleh PHSAM selepas mewakili jenama Audi dari segi jualan, pemasaran dan selepas jualan di Malaysia bermula Julai 2022.

“Kepuasan pelanggan amat penting kepada kami. Jadi, kami meningkatkan usaha terhadap semua aspek. Kami mahu memastikan Audi sentiasa berada dalam keadaan terbaik,” kata Pengarah Selepas Jualan PHSAM, Deenan Nadar.

Berdasarkan kepada laporan terkini daripada satu kaji selidik yang dijalankan setiap dua tahun oleh Audi, keselamatan kenderaan menjadi keutamaan paling penting buat pelanggan.

“Pemilik Audi boleh memanfaatkan pakej penjagaan pelanggan terkini kami yang direka untuk menawarkan keselamatan dan kebolehpercayaan. Dengan musim cuti sekolah dan perayaan, tidak ketinggalan musim tengkujuh yang diramal berlaku tidak lama lagi, kami mahu pelanggan menikmati perjalanan yang selamat.

“Ini akan menjadi masa puncak dengan jumlah kenderaan lebih banyak berada di atas jalan, pemanduan yang panjang dan mungkin berbahaya, di samping hujan lebat, banjir dan ribut petir yang tidak dijangka. Kami mahu memastikan semua pemilik Audi menempuhi perjalanan dengan minda yang tenang,” kata Deenan.

Untuk mengukuhkan kualiti perkhidmatan selepas jualan, juruteknik di semua Pusat Audi di seluruh negara telah menjalani proses penilaian dan peningkatan kemahiran secara berterusan demi menambah baik prestasi servis mereka.

Kempen #ReadyToDrive yang bermula pada 1 Oktober hingga 31 Disember 2022 akan menawarkan nilai luar biasa kepada pemilik Audi menerusi satu pakej komprehensif yang merangkumi:

  • Pemeriksaan 30 poin kenderaan secara percuma untuk pemilik yang tidak mengunjungi Pusat Audi sejak 12 bulan lalu
  • Perkhidmatan ambil dan serah secara percuma
  • Penjimatan sebanyak 20 peratus ke atas Servis Audi serta alat ganti lusuh Audi terpilih
  • Penjimatan sebanyak 20 peratus ke atas bateri Audi

Pusat-pusat Audi juga menawarkan kemudahan dan keselesaan ketika berada di lounge pelanggan yang dilengkapi wifi percuma. Pusat-pusat itu telah disanitasi sepenuhnya dan sentiasa dipantau bagi memastikan kebersihan maksimum dapat dikekalkan.

Kereta Audi yang dibeli di Malaysia hadir dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, perbatuan tanpa had dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Maklumat lanjut mengenai Audi #ReadyToDrive offers, atau menempah temu janji servis, sila layari laman web www.audi.com.my atau hubungi Audi Centre.

Chery akan amal pendekatan ‘user-centric’ global untuk pasaran Malaysia

SEJAK penubuhannya, Chery amat komited terhadap menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi pengguna global melalui pendekatan ‘user-centric’, ataupun mengutamakan pengguna, bagi terus meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kepuasan pelanggan.

Chery mengamalkan kaedah pengurusan penyelidikan Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) untuk memastikan sejauh mana perkhidmatannya memenuhi keperluan dan kehendak sebenar pelanggan.

Menerusi reka bentuk tinjauan yang teliti, persediaan pra-selidik serta pelaksanaan dan penambahbaikan berterusan, Chery mendekati para pelanggan dengan lebih mendalam, memahami gaya hidup, keperluan dan kehendak mereka secara menyeluruh, dan memanfaatkan pengetahuan ini untuk meningkatkan pengalaman dan kesetiaan pelanggan.

Ruang kabin Tiggo 7 Pro

Selain mendengar isu pelanggan melalui penyelidikan aktif, Chery juga telah membangunkan saluran perkhidmatan atas talian bagi membolehkan tindakbalas dan penyelesaian yang cepat. Platform data OTA (over-the-air) bukan sahaja boleh mendiagnosis kenderaan secara bijak dari jauh, malah menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian dalam cloud.

Aplikasi mudah alih global yang beroperasi 24 jam juga membolehkan respon pantas kepada isu pelanggan, selain membolehkan mereka membuat janji temu servis dengan mudah.

Maklumbalas pelanggan di media sosial juga sentiasa dipantau, ditambah dengan tindakbalas cepat daripada pasukan selepas jualan Chery bagi meningkatkan keyakinan dan kepercayaan pelanggan.

Outlet Chery di Brazil

Pasukan teknikal global Chery menjadikan perusahaan automotif terkemuka dunia sebagai penanda aras, dan sejak 2002, syarikat tersebut telah menganjurkan pelbagai pertandingan kemahiran servis global yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran pekerja teknikal dan mencungkil bakat berkualiti tinggi.

Bakat-bakat teknikal dari Brazil, Chile, Argentina, Mesir serta negara-negara lain bersaing di pentas yang sama, mencerminkan daya saing global Chery dalam bidang teknologi dan perkhidmatan selepas jualan.

Kepuasan pelanggan tidak hanya dicapai melalui penyelesaian isu. Di peringkat global, Chery berusaha keras untuk mengadaptasikan perkhidmatannya mengikut pasaran, termasuk mewujudkan identiti korporat bagi ruang istirahat tetamu yang mengambil kira adat dan tradisi tempatan, membawakan pengalaman perkhidmatan peringkat VIP kepada para pengguna di seluruh dunia.

Pada Julai, JD Power telah mengeluarkan keputusan 2022 China Sales Service Satisfaction Study (SSI) dan Chery sekali lagi menduduki tempat kedua dari segi kepuasan jualan di kalangan jenama China.

Dalam 2022 New Car Attractiveness Index Survey Report JD Power yang dikeluarkan Ogos lalu, Chery meningkat lapan kedudukan ke tempat ke-15 dalam kalangan jenama arus perdana – Arrizo 6 Pro menjuarai kategori sedan saiz pertengahan manakala Tiggo 8 Pro Max menduduki tempat kedua dalam segmen SUV saiz pertengahan.

Dengan pencapaian ini,  syarikat tersebut telah membina reputasi yang kukuh di kalangan pengguna global sebagai syarikat yang mengamalkan pendekatan perkhidmatan yang mesra dan mengutamakan pengguna.

Chery akan memanfaatkan pengalaman global ini untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi bagi rakyat Malaysia, mengutamakan pengguna melalui rangkaian jualan dan selepas jualan baharu di seluruh negara, serta menawarkan polisi servis yang kompetitif.

Volvo buka fasiliti pembaikan badan dan cat pertama di Glenmarie dan Ara Damansara

VOLVO Car Malaysia baru-baru ini memperkenalkan fasiliti pembaikan badan dan cat pertamanya menerusi pelancaran pusat Volvo Certified Damage Repair (VCDR) di Federal Auto Cars, Glenmarie dan Sime Darby Swedish Auto, Ara Damansara.

Nick Connor, Ketua Volvo Cars APEC berkata, “Kami amat gembira dapat menyaksikan pencapaian Volvo Car Malaysia setakat ini. Dari pelaksanaan strategi elektrifikasi global hingga menjual XC40 Recharge Pure Electric, hari ini kami melancarkan VCDR untuk merealisasikan visi kami dalam menawarkan standard tertinggi dalam perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan kami.”

Nick Connor

Tambah beliau lagi, Malaysia merupakan negara kedua di rantau ini yang melancarkan VCDR.

VCDR meningkatkan lagi pengalaman selepas jualan pelanggan dengan memfokuskan kepada penyediaan perkhidmatan pembaikan badan dan cat yang cepat dan efisien. Pembaikan berkualiti dilakukan menggunakan peralatan canggih serta menerusi pematuhan ketat kepada standard Volvo.

“Kami mahu pelanggan kami membawa peluang sebuah kereta Volvo dengan ketenangan minda kerana mengetahui bahawa kami bersedia untuk memberikan penjagaan standard antarabangsa Volvo untuk kenderaan mereka,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

VCDR mengintegrasikan teknologi mampan dalam perkhidmatan pembaikan badan dan cat mereka, seperti sistem pengudaraan bertekanan rendah dengan kawalan automatik yang dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida, pelapasan zarah mikroskopik serta penggunaan tenaga.

Charles Frump

Selain itu, mesin-mesin juga menggunakan tenaga bateri untuk memanaskan sistem elektrik dan lebih 80 peratus daripada udara akan disedut menerusi sistem penapisan yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau.

Penggunaan Volatile Organic Compounds (VOC) dalam cat pula telah digantikan dengan cat berasaskan air bagi mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya.

Dilengkapi dengan teknologi terkini dan juruteknik terlatih, Federal Auto Cars Glenmarie dan Sime Darby Motors Centralised Body and Paint Centre merupakan dua pusat servis Volvo pertama di Malaysia yang mematuhi piawaian VCDR. Dengan keluasan 11,133 kaki persegi, setiap fasiliti ini boleh menampung sehingga 1,260 buah kenderaan setahun.