fbpx

Proton buka pusat alat ganti serantau di Kuching

Pusat Alat Ganti Serantau Proton Kuching 03

PUSAT Alat Ganti Serantau (RPC) Proton yang terletak di Kuching, Sarawak telah pun dibuka secara rasmi bagi meningkatkan perkhidmatan selepas jualan syarikat itu di Malaysia Timur.

Menurut Proton, kemudahan itu boleh mengurangkan masa penghantaran alat ganti sekurang-kurangnya 30 peratus, sekaligus memastikan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik.

RPC baharu itu terletak di kawasan perindustrian Bintawa dengan keluasan 28,000 kaki persegi. Ia boleh menerima enam kontena berisi alat ganti di tapaknya secara serentak dan kini sedang memproses dalam purata 17 buah kontena sebulan yang menggunakan keupayaan sepenuhnya untuk menyimpan stok sehingga tiga bulan.

Selain itu, kemudahan itu juga mampu menerima penghantaran terus dari luar negara.

Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton berkata RPC baharu di Kuching itu adalah tiga kali lebih besar berbanding gudang sebelumnya. Ia juga akan berfungsi sebagai pusat pengedaran alat ganti untuk bahagian dan komponen selepas jualan untuk Sarawak serta Sabah jika perlu.

“Ruang tambahan itu juga membolehkan Proton meningkatkan penghantaran sebanyak 50 peratus daripada 3,000 tempahan sebulan kepada 4,500 tempahan sebulan dengan kapasiti maksimum sebanyak 6,000 tempahan sebulan sekiranya diperlukan.

“Ini membolehkan kami mencapai lebih banyak pengeluaran alat ganti dan buat masa sekarang kami sedang menyelesaikan tempahan yang tertunggak daripada pengedar dan pelanggan kami,” tambah Roslan.

Pada 2022, jualan kenderaan Proton di Malaysia Timur menyumbang sebanyak 15% kepada jumlah jualan syarikat manakala bahagian pasaran telah berkembang daripada 10% pada tahun 2018 kepada 20% pada tahun 2022.

Menurut syarikat itu, ia merupakan satu peningkatan secara berterusan sejak tahun 2019 selepas Proton X70 dilancarkan. Turut menjadi pemacu pertumbuhan syarikat adalah tiga model Proton yang menduduki tangga teratas dalam jadual jualan di Malaysia Timur iaitu Saga (10,242 unit), X50 (4,181 unit) dan Persona (2,605 unit).

“Proton menjual 7,697 unit di Malaysia Timur pada 2018 tetapi tahun lepas, sebanyak 19,844 unit telah dijual, iaitu bersamaan dengan pertumbuhan jualan sebanyak 158 peratus,” kata Roslan lagi.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved