Arkib Tag: sekolah memandu

Had usia kenderaan sekolah memandu dilanjut hingga 10 tahun – Anthony Loke

KEMENTERIAN Pengangkutan bersetuju untuk melanjutkan had usia kenderaan yang digunakan di institut memandu kepada 10 tahun berbanding tujuh tahun sebelum ini.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, dasar baharu itu adalah bagi membantu kos pengoperasian institut pemandu yang terjejas sebelum ini akibat Covid-19.

“Kementerian mengambil sedikit pertimbangan untuk memberi kelonggaran tersebut. Kalau kita ‘rigid’ dan tidak tukar apa-apa peraturan itu maka kebanyakan kenderaan yang masuk ke tahun ketujuh sudah tidak boleh dipakai, sudah menambah beban pengusaha dan ia tidak adil,” katanya.

Dalam pada itu, Loke turut mengumumkan pengecualian pemeriksaan berkala Puspakom bagi kenderaan baharu di bawah institut memandu selama dua tahun.

Gambar oleh: MalayMail

“Untuk tahun seterusnya hingga tahun ke-10, pemeriksaan berkala yang diwajibkan adalah setahun sekali berbanding dua kali setahun,” katanya sambil menambah langkah itu diambil bagi meningkatkan produktiviti aset institut memandu tanpa berkompromi terhadap isu keselamatan.

“Saya mengambil satu pendekatan di mana dari segi dasar kita longgarkan tetapi meletakkan tanggungjawab itu kepada pihak industri,” katanya.

Tegas beliau, sekiranya didapati kenderaan institut memandu tidak diselenggara dengan baik sehingga melibatkan kemalangan, maka pihak kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha institut memandu terbabit.

“Sebenarnya sudah banyak institut memandu telah dikenakan tindakan digantung operasi. Bukan disebabkan isu kemalangan tetapi tidak mengikut syarat-syarat dan sebagainya,” ujarnya.

Institut memandu boleh dikenakan tindakan jika ramai pemandu kemalangan – JPJ

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bertindak membatalkan permit institut memandu dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod ramai pemegang lesen dari institut berkenaan terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, jika ramai pemandu dari sesebuah institut itu terbabit dalam kemalangan jalan raya, berkemungkinan tindakan boleh dikenakan terhadap pengusaha atau pemiliknya.

“Perkara itu akan dilaksanakan menerusi perancangan untuk mewujudkan sistem kod pada lesen yang akan dapat mengenal pasti institut memandu tempat pemegang lesen memperoleh latihan pemanduan kenderaan,” katanya.

“Antara tindakan yang boleh diambil ialah membatalkan permit institut memandu terbabit dan menarik balik sijil tenaga pengajarnya,” tambah Zailani.

Menurutnya, langkah itu diambil dalam usaha JPJ membantu mengurangkan statistik kemalangan jalan raya termasuk angka maut.

Kod pada lesen itu akan diperkenalkan pada pelancaran program e-testing April depan.

“Kita dalam proses bagi kod dalam lesen memandu, kita boleh tahu calon (pemandu) dapat lesen dari mana.

“Jika mereka didapati lakukan kesalahan, terlibat kemalangan, kita akan tahu mereka dapat lesen dari institut memandu yang mana. Kita akan buat audit, pengesanan untuk tahu jika ada masalah dengan institut terbabit.”

Menurut Zailani lagi, ia sebahagian dari pembaharuan JPJ ke arah pendigitalan dengan modul berkenaan dapat mengenal pasti kelemahan di peringkat insitut memandu.