Arkib Tag: sekatan jalan raya

Polis minta orang ramai jangan sebar info sekatan jalan raya di Waze

TINDAKAN segelintir pengguna jalan raya yang berkongsi maklumat sekatan jalan raya atau kehadiran polis di aplikasi Waze menjejaskan tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa terhadap pemandu ingkar.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, tindakan berkongsi maklumat itu menyebabkan polis tidak dapat mengambil tindakan ke atas pemandu yang ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain.

“Orang ramai berpendapat dengan memaparkan keberadaan pihak polis, pemandu akan lebih cenderung untuk memandu dalam keadaan berhati-hati dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Hakikatnya, ia menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu yang ingkar, terutamanya mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan kesalahan trafik lain,” katanya.

Katanya lagi, sebilangan masyarakat memberi reaksi negatif terhadap nasihat polis Kuala Lumpur, yang meminta orang ramai tidak berkongsi maklumat sekatan jalan raya atau kehadiran polis, di aplikasi Waze.

Azmi berkata, pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang akan dihadapi disebabkan oleh kecuaian pemandu, termasuk yang memandu dalam keadaan mabuk, melanggar lampu isyarat dan memandu melawan arus.

“Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah trafik ini, mereka tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung oleh keluarga mangsa.

“Oleh itu, besarlah harapan saya supaya orang ramai terutamanya pengguna jalan raya memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini,” katanya.

Pasca PRU15: Polis adakan sekatan jalan raya seluruh negara

BERMULA malam tadi (22 November), Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik setiap daerah di seluruh negara dengan penugasan secara 24 jam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata langkah mengadakan sekatan jalan raya ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM mencegah jenayah melalui peningkatan ‘omnipresence’ atau kehadiran polis.

Sumber: Facebook Polis Diraja Malaysia

“Langkah ini bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan.

“Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan lalu lintas atau sekatan pada waktu puncak dan siang hari,” tambahnya.

Beliau berkata orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui sekatan jalan raya terutama di waktu puncak.

“Masyarakat tidak perlu bimbang untuk melakukan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan tahap keselamatan di seluruh negara adalah terkawal,” katanya.

SJR itu akan dilaksanakan sehingga satu masa yang ditetapkan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah semalam dilihat di perkarangan Istana Negara memandu Hyundai Palisade.

Dalam perkembangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga semalam, Yang di-Pertuan Agong mencadangkan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

Walaubagaimanapun, Pengerusi PN, Muhyiddin menolak cadangan itu kerana mendakwa ia bertentangan dengan pendirian gabungan itu.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah semalam menitahkan 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Seri Paduka di Istana Negara secara individu pada pagi ini (23 November).

Pemandu lori tunjuk gangster dengan gadis Axia, terus kena tahan polis!

SETIAP kali melihat insiden yang dapat balasan setimpal di depan mata, pasti memberikan satu kepuasan lain macam. “Instant karma”, orang putih kata.

Begitulah yang terjadi dalam insiden antara seorang pemandu lori dengan pemandu Perodua Axia.

Pemandu lori itu terus ditahan polis di sekatan jalan raya tidak lama selepas cuba berlagak samseng dengan pemandu Axia.

Dalam kejadian yang dirakam oleh kereta di belakang itu, pemandu lori dilihat telah turun dari kenderaannya dan berdiri di depan Perodua Axia, memarahi pemandu kereta tersebut.

Tidak dapat dipastikan siapa yang bersalah, tetapi video bermula dengan keadaan itu. Perakam yang berada di belakang juga sempat menegur, “Hoi jangan gaduh-gaduh…”.

Selepas Perodua Axia yang dipercayai dipandu oleh seorang wanita itu berlalu, pemandu lori seperti tidak puas hati dan masih mengekori rapat Axia itu walaupun dalam kesesakan trafik.

Apabila sampai di sekatan jalan raya, polis menyuruh pemandu Perodua Axia meneruskan perjalanan. Tetapi pemandu Axia dilihat seperti memberitahu sesuatu kepada anggota yang bertugas.

Mereka terus mengarahkan lori di belakang untuk ke tepi jalan. Pemandu lori pada mulanya cuba melarikan diri sebelum ditahan oleh beberapa lagi anggota polis.

Dia akhirnya berhenti di tepi jalan dan kelihatan dimarahi oleh anggota-anggota kerana tidak patuh kepada arahan.

Tahniah dan syabas kepada anggota polis kerana bertindak segera, perakam di kenderaan belakang juga begitu berpuas hati dan ketawa melihat insiden itu.

Pengajarannya di sini, bertimbang rasalah semasa memandu dan jika berlaku perselisihan faham, selesaikan dengan cara baik agar tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Jika kita bersalah, jangan segan juga untuk meminta maaf. Tidak dinafikan kadang-kala kita boleh melakukan kesilapan seperti terlupa menyalakan lampu signal atau tidak perasan kenderaan di sebelah sebelum kita menukar lorong.

Gunakan kuasa tangan rakyat Malaysia untuk menunjukkan tanda “maaf”, pasti semua pihak dapat meneruskan perjalanan dengan gembira.

Video ini pada asalnya dikongsi di Twitter dan telah mendapat 16,000 Like dan lebih 12,400 Retweet semasa artikel ini ditulis.

Rentas negeri dibenarkan mulai esok 11 Oktober 2021

SEPERTI dinanti ramai, aktiviti rentas negeri secara rasminya dibenarkan mulai esok (11 Oktober 2021) tanpa memerlukan kebenaran polis bagi mereka yang telah lengkap dos vaksinasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini adalah berikutan kadar vaksinasi bagi populasi dewasa kini telah mencapai 90 peratus.

Kebenaran ini turut tertakluk bagi pergerakan untuk aktiviti pelancongan, namun kebenaran tersebut tidak terpakai bagi pergerakan ke kawasan atau lokaliti yang tertakluk di bawah PKPD.

Ismail Sabri berkata, tiada lagi sekatan jalan raya (SJR) di sempadan-sempadan negeri.

“Tetapi pihak polis akan membuat pemeriksaan secara rawak seperti di R&R misalnya untuk memeriksa status vaksinasi mereka yang mambuat perjalanan rentas negeri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sama-sama mematuhi peraturan dan SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

Ismail Sabri menambah bahawa kebenaran pergerakan ini turut diberikan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang ingin membuat perjalanan ke luar negara tanpa memerlukan permohonan MyTravelPass seperti sebelum ini.

Suspek kes curi rempuh kenderaan, sekatan pihak polis

TAKUT kena cekup pihak polis, dua lelaki bertindak nekad merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Papar, Sabah.

Insiden pada semalam itu berlaku selepas suspek disyaki terlibat dengan beberapa kes curi kabel.

Memetik laporan Bernama, suspek berusia 36 dan 21 tahun dipercayai terlibat dengan sekurang-kurangnya 10 kes kecurian kabel telekomunikasi bernilai RM100,000.

Ketua Polis Daerah Papar DSP Batholomew Umpit berkata, suspek turut bertindak ganas dengan merempuh kenderaan pihak berkuasa.

“Kedua-dua suspek bertindak agresif menyerang polis dengan merempuh kenderaan pihak berkuasa sebelum melarikan diri,” katanya.

Terdahulu, polis telah mengenal pasti lokasi suspek sebelum bertindak melakukan kepungan untuk menahan mereka.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan 379 kerana mencuri .

Siasatan awal turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan curi.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek diminta segera menghubungi pihak polis.

Baling mercun ke arah SJR, dua lelaki direman tiga hari

BIADAP dan tidak mengenang budi.

Itu yang dapat disimpulkan terhadap tindakan dua lelaki didakwa sengaja melempar mercun ke arah anggota polis.

Kejadian berlaku ketika beberapa anggota polis sedang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Lebuh Raya Karak, kelmarin.

Memetik laporan Bernama, pada mulanya anggota polis ternampak dua suspek menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Suspek kemudian berhenti di tepi jalan berhampiran SJR sebelum salah seorang daripadanya bertindak membakar mercun dan membaling ke arah polis.

Polis kemudian mengejar dan menangkap kedua-dua suspek tidak jauh dari SJR berkenaan.

Hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket plastik lut sinar mengandungi 14 biji mercun bola bersama satu pemetik api.

Selain itu, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan dua topi keledar.

Ujian saringan air kencing mendapati kedua suspek bebas pengaruh dadah.

Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan ditahan reman sehingga esok.

PKP Selangor: Polis perketat sekatan jalan raya, gesa orang ramai patuh SOP

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor menyaksikan pihak berkuasa terus memperketatkan pemantauan terhadap orang ramai.

Antara langkah diambil termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa jalan raya utama.

Selain itu, terdapat empat lokasi sekatan jalan raya masih dikekalkan seperti sebelum ini.

Lokasi sekatan jalan raya dimaksudkan adalah di Tol Sungai Buloh, Tol Kota Damansara, Tol Damansara dan Tol Subang.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di Selangor bermula hari ini sehingga 17 Mei.

Daerah dikenakan PKP adalah Petaling, Sepang, Gombak, Hulu Langat, Kuala Langat dan Klang.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memaklumkan pihaknya telah menambah kekuatan pasukan pemantauan.

Pihaknya juga mengadakan kerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Justeru, orang ramai dinasihati untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 agar tidak berdepan tindakan undang-undang.

PDRM perketat kawalan di plaza tol, sempadan negeri

SILA batalkan niat jika anda berhajat merentas negeri bagi menyambut perayaan Aidilfitri.

Ini kerana anda tidak mungkin berjaya berbuat demikian memandangkan pihak polis sedang meningkatkan pengawalan di plaza tol serta sempadan negeri.

Memetik laporan Bernama, langkah memperketatkan kawalan dibuat susulan peningkatan semula kes Covid-19.

Semalam, polis memaklumkan pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis.

Selain itu, perjalanan rentas negeri turut dibenarkan bagi tujuan kecemasan dan kematian melibatkan ahli keluarga terdekat iaitu ibu bapa, anak serta adik-beradik.

Pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial pula adalah dilarang.