Hyundai Motor Malaysia mengumumkan sebuah lagi model berprestasi tinggi untuk pasaran tempatan, iaitu Ioniq 6 N 2026.
Sedan elektrik ini merupakan unit import sepenuhnya (CBU) dengan harga jualan RM449,888.
Spesifikasi
Sama seperti Ioniq 5 N, sedan pantas ini dipacu oleh motor elektrik berkembar menghasilkan kuasa 609 PS dan 740 Nm.
Dengan mod N Grin Boost, angka tersebut melonjak kepada 650 PS dan 770 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat.
Kelajuan maksimum dihadkan pada 257 km/j.
Ioniq 6 N turut dilengkapi dengan pakej fungsi spesifik N seperti Ioniq 5 N, namun ia hadir dengan ciri eksklusif N Track Manager.
Bateri lithium-ion 84 kWh menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 487 km, selain menyokong pengecasan AC 10.5 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 350 kW (10-80% dalam 18 minit).
Kelengkapan
Ioniq 6 N membawakan ukuran sepanjang 4,935 mm, lebar 1,940 mm, tinggi 1,495 mm dengan jarak antara roda 2,965 mm.
Rim aloi tempa pula bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar Pirelli P-Zero 275/35R20.
Antara ciri luaran termasuklah bukaan liang udara depan agresif, gandingan spoiler ekor itik dan sayap leher angsa, serta fender yang lebih lebar untuk menghasilkan angka pekali seretan serendah 0.27 Cd.
Ruang kabin pula didatangkan dengan tempat duduk N jenis bucket balutan kulit dan Alcantara, roda stereng N, paddle shifter dan juga pedal sport.
Ciri lain termasuklah:
- skrin kluster digital 12.3 inci
- skrin infohibur 12.3 inci
- sokongan Apple CarPlay & Android Auto
- Hyundai Digital Key 2
- skrin paparan kamera sisi
Keselamatan
Sedan pantas ini hadir dengan pakej Hyundai SmartSense merangkumi fungsi berikut:
- Bantuan Pengelakan Pelanggaran Depan (FCA)
- Bantuan Mengikut Lorong (LFA)
- Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA)
- Bantuan Pengelakan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA)
- Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)
- Kawalan Jelajah Pintar berasaskan navigasi
- Bantuan Pemanduan Lebuhraya 2 (HDA2)
Warna
Terdapat pilihan warna glossy seperti Serenity White Pearl, Performance Blue Pearl, Nocturne Grey Metallic dan Abyss Black Pearl.
Pilihan warna matte pula termasuklah Nocturne Grey Matte dan Gravity Gold Matte.
Ruang kabin pula diberikan kemasan warna tona tunggal hitam dan aksen Performance Blue.
