Arkib Tag: satria gti

Proton Arena dengan jajan GTi di UK, untuk dijual RM14.7k sahaja!

PROTON Arena adalah antara model syarikat nasional itu yang tidak berapa laku semasa dijual dulu, tetapi kini menjadi buruan. Harganya masih keras, tinjauan ringkas kami di laman jualan menunjukkan harga masih sekitar RM25,000 hingga RM35,000.

Namun di United Kingdom (UK), terdapat sebuah Proton Arena untuk dijual pada harga £2,500 (RM14,739) sahaja! Arena dikenali sebagai Proton Jumbuck di pasaran-pasaran eksport seperti UK dan Australia.

Bukan sahaja harganya cukup menarik, malah unit Proton Jumbuck berwarna kuning ini siap ‘disalin’ dengan barang-barang Satria GTi!

Ini dapat dilihat pada bampar depan, fender sisi, dan bahagian dalaman seperti papan pemuka, tempat duduk Recaro, pedal, dan karpet original GTi. Aduh hensem…

Menurut pemiliknya, Paul Atkinson yang mengiklankan Jumbuck ini di laman Proton gti owners UK di Facebook, enjinnya juga adalah dari GTi, iaitu unit 4G93P 1.8-liter 16 injap.

Proton Jumbuck GTi ini dicat dengan warna kuning yang memberikannya imej sporti. Kemudian ia diberikan imej rali dengan barangan seperti cermin sisi WRC, mud flap, rim Momo 15-inci putih, dan paling penulis suka, sepasang lampu spot light bulat di depan!

Menurut Atkinson, Jumbuck ini hendak dijual kerana ada terdapat perubahan pada perancangannya. “Ia semakin sukar didapati kini, terutamanya yang telah dimodifikasi.”

“Ia sering mendapat banyak pujian dan agak laju (sekitar 140hp), enjin Evo generasi awal boleh ditukar terus,” katanya.

“MOT sehingga Ogos 2024, 100,000 batu, dan kereta berada di Grantham, Lincolnshire,” tulis Atkinson.

Bayangkan kalau Proton Arena sebegini ada di Malaysia, harganya pasti mencecah RM55,000 dengan mudah. Mungkin lebih. Ini kerana spesifikasi lain padanya cukup menggiurkan juga.

Berikut kami senaraikan apa yang dikongsi oleh Atkinson:

Modifikasi:

  • Enjin dan kotak gear Satria GTi (1.8 16v)
  • Hockley exhaust manifold
  • Custom stainless exhaust
  • Pipercross induction kit
  • Satria GTi interior
  • Deep dish steering wheel
  • Rear view camera
  • CB radio
  • Satria GTi body kit (front bumper & arches)
  • Evo front suspension
  • 15” Momo alloys (recently refurbed)
  • 195 50 15 Avon ZV7 tyres (new)
  • WRC style mirrors
  • WRC style mud flaps
  • Rally spot lights
  • Truckman cab
  • LED rear work lights
  • Air horns
  • Tow bar
  • Rear step

Anak Malaysia pandu Proton Satria GTi di Jerman, beli dengan harga RM4.7k

ENTAH lah, tapi semacam satu perasaan yang sukar digambarkan bila melihat kereta buatan Malaysia berada di negara asing. Mungkin kerana kita tidak seperti Jepun, Jerman, Itali atau Perancis yang sudah biasa mengeksport banyak kereta ke luar negara, jadi bila terjumpa kereta-kereta kita, akan tercetus rasa bangga.

Kali ini kami ingin kongsikan pula seorang anak Malaysia, Danial Khairi yang megah memandu Proton Satria GTi di Jerman.

Danial berkongsi kepada Engear bahawa Satria GTi itu dibeli di sana dengan harga 1,000 Euro (RM4,694) pada 2017. Jika dilihat pada gambar-gambar, Satria GTi ini sememangnya versi eksport memandangkan ia versi pemanduan sebelah kiri (left-hand drive).

“Kereta dalam keadaan standard semasa dibeli, tetapi banyak juga perlu dibaiki dan ditukar. Selepas beli, saya bawa pulang kereta ini dengan towing (trak tunda),” kata Danial.

Menurutnya, harga Proton Satria GTi di sana bergantung kepada keadaan kenderaan. “Yang penting, lulus pemeriksaan,” tambahnya.

“Untuk membolehkannya dipandu semula, saya telah tukar komponen-komponen asas enjin seperti palam pencucuh dan kabelnya, penapis minyak, penapis bahan api, malah tangki minyak juga ditukar.

“Selepas perkara-perkara di atas, saya memeriksa dan buka semula sistem brek,” kata Danial.

Menurut Danial lagi, di Jerman dia tidak sewenang-wenangnya menghantar kereta ‘rare’ seperti Proton Satria GTi ini untuk servis dan penyelenggaraan.

“Saya beli jek, alat-alat diperlukan, baca buku manual. Nak hantar di bengkel itu boleh, tetapi harus pastikan mereka tahu serba sedikit mengenai kereta ini,” kongsinya.

Jika dilihat pada gambar-gambar di akaun media sosial Danial, beliau telah memandu Satria GTi ini ke merata tempat di Jerman, termasuklah melalui jalan bersalji. Siap ‘lepak’ dengan geng Volkswagen Golf Mk7 lagi!

Siaran terbaharu di Facebook Danial menunjukkan dia memandu GTi ini di sekitar Switzerland dan melayan jalan-jalan berbukit di Sustenpass, Innertkirchen.

Pasti seronok menikmati kelazatan Handling by Lotus sambil menghayati pemandangan indah dengan gunung-ganang. Jalan sebegini sememangnya sesuai dengan karakter Satria GTi.

Danial kini bekerja dan tinggal di Freiburg, Jerman. Difahamkan juga semasa di Malaysia, beliau pernah bekerja di jabatan powertrain dalam Proton sebagai pelatih dan untuk percubaan.

Syabas, Danial. Teruskan memandu Satria GTi di sana dan tunjukkan produk serta kemampuan Malaysia!

Sumber gambar: Facebook Danial Khairi